Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 13 Apr 2014 11:03 PM PDT IKAN haruan secara umumnya diketahui akan fungsi dan keberkesanannya dalam mengubati luka-luka dalaman terutama kepada wanita selepas bersalin. Sejak turun temurun lagi amalan perubatan menggunakan ikan haruan telah digunakan untuk membantu menyembuhkan luka selain meredakan penyakit berkaitan kulit seperti radang, gatal-gatal dam sebagainya. Popularitinya meningkat tatkala hasil penyelidikan mendapati dagingnya mengandungi asid Arachidonis yang mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat di samping kaya protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan. Ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus merupakan spesies air tawar karnivor yang dikategorikan sebagai antara haiwan popular di negara ini khususnya dalam bidang perubatan. Seorang penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Manan Mat Jais yang tertarik dengan keajaiban ikan haruan telah bertindak mengetuai sepasukan penyelidik dalam usaha menggunakan ekstrak ikan tersebut bagi tujuan saintifik dan perubatan. Mengenengahkan konsep produk semula jadi, Abdul Manan bekerja keras m menghasilkan krim sapuan pelbagai fungsi menggunakan air (water based) sebagai asas intipati krim haruan tersebut. Mencampurkan beberapa tumbuhan organik, rempah ratus serta pewarna dan bau berasaskan alam semula jadi ke dalam campuran krim, penyelidik itu berjaya menghasilkan formulasi haruan yang boleh digunakan untuk membantu mengubati penyakit kulit. Produk berbentuk krim sapuan pelbagai fungsi ini telah menjalani ujian saintifik dan hasil daripada itu, saya mendapati bahawa ia memberi tindak balas yang positif serta progresif dalam proses pemulihan penyakit serta kecederaan di kulit. Menerusi analisis protein serta kajian terhadap vitamin lain yang terdapat pada isi dan kulit ikan haruan, maka saya menemukan potensinya sebagai penyembuh penyakit kulit dan luka," katanya ketika ditemui di UPM baru-baru ini. Dalam usaha memastikan produk ini mendapat kepercayaan masyarakat, krim sapuan ini turut menjalani ujian klinikal bagi menjamin tahap keselamatan serta diperakui sesuai untuk kegunaan semua lapisan masyarakat. Menyentuh tentang manfaat produk penemuannya itu, Abdul Manan menjelaskan, hampir semua penyakit kulit menunjukkan tanda penyembuhan lebih cepat apabila disapukan krim tersebut. Antara penyakit kulit yang dikatakan termasuk kurap, kayap dan juga luka kecil serta bengkak. Selain itu katanya, hasil kajian menunjukkan asid arachidonik yang terkandung dalam isi ikan haruan amat bermanfaat dalam membantu proses penyembuhan penyakit kulit. Berdasarkan kajian itu, isi ikan haruan turut disahkan mengandungi kesemua asid amino dan asid lemak yang bermanfaat untuk proses perubatan dan penyembuhan penyakit kulit. Krim haruan ini dikhususkan kepada pesakit kulit ekzema, psoriasis dan ruam di kalangan kanak-kanak dan dewasa selain mereka yang menghidap penyakit arthritis dan sendi. Namun masih banyak kajian yang perlu dilakukan sebelum pengesahan dapat dibuat berhubung khasiat ikan haruan terhadap penyembuhan penyakit kulit. Di samping itu turut mengambil kira adalah pandangan masyarakat terhadap produk, sumber bekalan ikan haruan serta langkah mengimport bekalannya sebelum proses mengkomersialkan dilakukan," tambahnya. Ditanya mengenai pengkomersialan krim haruan itu, Abdul Manan memberitahu, setakat ini pihaknya hanya menjual kepada pesakit atau pengguna yang berminat sahaja. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan krim tersebut, boleh berhubung terus dengan Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM atau hubungi 03-89472334. - NOOR DIANA AZIS |
Posted: 13 Apr 2014 11:03 PM PDT Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD Contoh sistem penanaman tegak (vertikal) yang boleh digunakan bagi menggalakkan penduduk bandar bercucuk tanam. - Gambar hiasan Bidang pertanian masa kini tidak lagi tertakluk dengan konsep ruang tanah yang luas, modal yang tinggi, kotor serta tidak menjamin masa hadapan. Malah, bidang tersebut mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan dengan betul dan bersungguh-sungguh. Pertanian Adalah Perniagaan merupakan antara kempen yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini. Semakin ramai yang berminat untuk menceburkan diri, terutamanya golongan muda yang suatu ketika dahulu menganggap kerjaya sebagai petani itu tidak mempunyai masa depan cerah. Kini, fenomena bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat kembali dipopularkan namun bukan di kawasan kampung, sebaliknya di kawasan bandar yang tanahnya terhad, warganya sentiasa sibuk bergerak pantas mengejar tugasan serta tuntutan kerjaya. Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Tengku Ab. Malik Tengku Maamun, kadar urbanisasi negara dianggarkan sekitar 2.4 peratus setahun dan hampir 72 peratus rakyat Malaysia tertumpu di 20 bandar utama. Ujarnya, menerusi kajian, dianggarkan pada tahun 2020, sekitar 40 hingga 45 peratus rakyat miskin akan tertumpu di bandar dan kota raya utama negara. Penduduk bandar bakal terbeban dengan kadar harga makanan yang sentiasa meningkat dan dianggarakan penduduk bandar pada ketika itu perlu membelanjakan sejumlah 50 hingga 70 peratus daripada pendapatan mereka untuk mendapatkan makanan. Bagi mengatasi masalah yang lebih buruk di masa hadapan, pertanian bandar merupakan antara solusi terbaik buat masa kini bagi mengurangkan kos perbelanjaan dapur selain menambah pendapatan jika produk pertanian yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan baik," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini. Tambah Tengku Ab. Malik, pertanian bandar sebenarnya telah lama diamalkan di negara-negara maju dan kaji selidik mendapati hampir 14 peratus penduduk di kota London menanam buah-buahan dan sayur-sayuran di halaman rumah mereka. Menerusi amalan tersebut, penduduk kota London mampu menghasilkan 232 tan buah-buahan dan sayur-sayuran menyamai 18 peratus keperluan penduduknya. Perkara yang sama boleh diaplikasikan di negara ini jika masyarakat kita diberi pendedahan, sedikit ilmu, usaha dan minat untuk memastikan amalan yang sama dapat kita laksanakan bagi menjamin bekalan makanan yang stabil di masa-masa akan datang," katanya. Pertanian bandar boleh didefinasikan sebagai penanaman, pemprosesan dan pengagihan makanan dan produk makanan menerusi penanaman intensif dan ternakan terpilih di bandar. Di antara kelebihan pertanian bandar adalah membekalkan sebahagian daripada makanan kepada penduduknya yang kian bertambah dan amalan tersebut juga dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka menerusi pelbagai sumber pendapatan. Jelas Tengku Ab. Malik lagi, sistem pertanian bandar yang kompleks merangkumi sudut pengeluaran, pemprosesan, pemasaran, pengagihan dan penggunaan dengan pelbagai manfaat sampingan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan daripada rantaian aktiviti, bahkan mampu melahirkan usahawan tani moden di bandar. Malah, penglibatan komuniti dalam amalan tersebut dapat meningkatkan kemahiran perancangan projek, pengurusan projek, teknik pertanian serta persekitaran dan kemahiran perniagaan. Pada masa yang sama, amalan pertanian bandar berasaskan penggunaan teknologi moden mampu meningkatkan intergrasi sosial dan kesejahteraan kejiranan. Oleh yang demikian, bagi menyokong amalan pertanian bandar tersebut, MARDI sebagai pusat penyelidikan pertanian utama di Malaysia telah membangunkan beberapa teknologi yang sesuai dengan situasi bandar sekarang. Antara apsek yang diambil kira dalam menghasilkan teknologi khas buah penduduk bandar adalah ruang tanaman yang terhad serta penghuni yang sentiasa sibuk dengan aktiviti seharian. Teknologi yang dihasilkan oleh MARDI berkonsepkan teknologi moden dengan pengeluaran yang itensif dan efisien menerusi kaedah penjimatan air dan kurang menggunakan bahan kimia. Untuk penggunaan ruang secara maksimum, sistem tanaman bertingkat merupakan antara pilihan teknologi yang sedang dibangunkan. Di samping menggunakan teknologi termoden, kualiti sayur-sayuran dan buah-buahan keluaran pertanian bandar juga perlu dipelihara dengan mengamalkan pertanian tanpa sisa racun atau sisa racun yang rendah. Oleh kerana penduduk kota sangat sibuk, tenologi yang disyorkan mestilah mudah, tidak memerlukan kemahiran yang spesifik atau hanya memerlukan kemahiran yang mudah untuk dipelajari," katanya. Sebagai contoh teknologi yang sesuai adalah teknik pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan terpilih di bawah struktur pelindung hujan dengan teknik fertigasi. Teknologi fertigasi yang dihasilkan MARDI adalah seperti Ferikit yang merupakan sistem fertigasi mini, mudah alih dan bertingkat sesuai dengan kawasan perumahan yang memiliki kawasan terhad seperti rumah pangsa dan kondominium. Plant factory atau kilang tanaman adalah generasi ke empat dalam proses pengeluaran tanaman dan kini konsep tersebut merupakan teknologi terkini dalam amalan pertanian bandar. Kilang tanaman merupakan teknologi hidroponik (yang pernah dipopularkan dahulu) dan aeroponik menggunakan cahaya tiruan dalam persekitaran yang terkawal bagi menghasilkan produk yang bermutu tinggi tanpa penggunaan racun perosak. Sistem hidroponik bertingkat dengan penggunaan NFT (nutrient film technique) atau DFT (deep flow technique) merupakan teknologi yang boleh diaplikasi untuk pertanian bandar sama ada secara individu mahupun komuniti. Antara sayuran yang sesuai untuk teknik tersebut adalah jenis sayurn berdaun seperti salad, sawi, kailan dan ulam-ulaman tradisional. MARDI menerusi teknik NFT juga berjaya membangunkan satu lagi sistem baharu yang dikenali sebagai Vertigrow iaitu sebuah sistem tanaman secara vertikal. Bagaimanapun amalan pertanian bandar di negara ini masih baharu dan dijangkakan pelbagai isu dan cabaran perlu dihadapi contohnya hak milik tanah yang akan dibangunkan dan pembiayaan kos terlibat kerana penggunaan teknologi yang memerlukan kos pembangunan seperti infrastruktur, pembelian bahan seperti Greenkit, sistem fertigasi dan sebagainya. Sehubungan itu satu seminar berkaitan pertanian bandar akan diadakan esok bagi memberi membincangkan isu-isu berkaitan teknologi terbabit. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |