{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Dalam Negeri

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Dalam Negeri


DSA 2014 tonjol kerjasama ASEAN dalam industri pertahanan

Posted: 13 Apr 2014 12:38 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 April - Pameran peralatan dan teknologi pertahanan "Defence Services Asia 2014" (DSA) yang bermula esok akan memperlihat kerjasama erat antara Malaysia dan negara ASEAN lain dalam industri pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penganjuran DSA kali ini menjadi platfom bagi negara terlibat mengkoordinasi bidang pertahanan masing-masing untuk menghadapi pelbagai kemungkinan ancaman pada masa depan.

"Sasarannya ialah memastikan ASEAN dilihat sebagai satu blok yang boleh bekerjasama dan boleh dikoordinasi dari segi industri pertahanan selain memberi fokus terhadap isu berkaitan ancaman-ancaman baharu," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pameran DSA di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan Malaysia bakal mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 2015, solidariti kerjasama negara anggota dalam industri pertahanan dan keselamatan akan diberi penekanan.

Pameran DSA 2014 yang berlangsung sehingga Khamis merupakan pameran peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaian keselamatan generik terkini untuk memenuhi keperluan pasukan keselamatan negara serta negara-negara Asia Pasifik.

Hishammuddin berkata, penganjuran kali ini mencatat penyertaan terbesar sejak ia dianjurkan pada 1988, dengan penglibatan kira-kira 1,000 syarikat industri pertahanan dari 50 buah negara berbanding 850 pempamer pada 2012.

Beliau menarik perhatian bahawa pengurangan dalam bajet pertahanan melalui koordinasi dalam kalangan negara ASEAN turut menjadi elemen utama dalam penganjuran DSA kali ni.

"Kalau dilihat dari segi luar kotak kerana kalau ancamannya sama, bagaimana kita dapat bekerjasama dengan negara ASEAN yang lain supaya tidak ada pembaziran dalam bajet pertahanan.

Adalah penting untuk kami mencari jalan yang kreatif dan murni untuk melihat industri pertahanan ... satu cara melakukannya ialah dengan melihat Asean sebagai satu pasaran," katanya.

ASEAN dianggotai Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam. - BERNAMA

MH370: Malaysia bincang tentukan hak jagaan kotak hitam

Posted: 13 Apr 2014 12:36 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 April - Malaysia sedang berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan pakar-pakar mengenai siapakah sebenarnya yang berhak menjaga kotak hitam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kini berada di United Kingdom untuk membincangkan perkara itu termasuk dengan agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Peguam Negara kini di UK (United Kingdom) membincangkan dengan pihak berkuasa berkaitan seperti ICAO dan pakar-pakar yang terlibat, berdasarkan undang-undang tempatan dan antarabangsa, siapa sebenarnya mempunyai hak penjagaan ke atas kotak hitam itu," beliau memberitahu wartawan selepas melawat tapak pameran Defence Services Asia, di sini hari ini.

Boeing 777-200ER itu didaftarkan di Malaysia dan dimiliki MAS. Di bawah Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, negara asal pesawat itu, Malaysia perlu melakukan siasatan dan mendapatkan serpihan pesawat.

Bagaimanapun, Malaysia telah meminta Australia untuk mengetuai pencarian pesawat itu di selatan Lautan Hindi.

Namun, Hishammuddin berkata, tumpuan tetap kepada mencari pesawat itu dahulu, yang telah hilang selama 37 hari daripada skrin radar sejak 8 Mac lepas.

Beliau berkata, tiada panggilan telefon dari pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid ketika pesawat itu terbang rendah pada hari ia hilang seperti dilaporkan dalam akhbar-akhbar.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu itu dalam perhatian polis dan lain-lain agensi antarabangsa berkaitan dan akan didedahkan apabila masanya tiba.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai perkara itu untuk menghormati keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang, dan saya tidak mahu mengganggu penyiasatan yang berjalan sekarang, tidak hanya oleh polis Malaysia tetapi agensi perisikan lain," katanya.

Hishammuddin juga berkata, berdasarkan siasatan semasa, tiada keadaan yang mencurigakan pada manifes penumpang dan polis masih menyiasat empat kemungkinan atas kehilangan MH370.

"Polis masih menyiasat kemungkinan rampasan, isu keganasan, masalah peribadi dan psikologi. Siasatan masih berjalan," katanya.

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di atas Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. - BERNAMA

Sultan Mizan minta Terengganu tumpu prinsip tadbir

Posted: 13 Apr 2014 12:16 AM PDT

KUALA TERENGGANU 13 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin meminta Terengganu menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus baik dalam semua dimensi pengurusan, pematuhan peraturan undang-undang serta ketelusan maklumat sebagai agenda utama kerajaan negeri.

Baginda bertitah, sebagai negeri menuju ke arah pembangunan dan berdaya saing, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said perlu menambahbaik prosedur kerja dan mengurang karenah birokrasi untuk memperkaya pengurusan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Ini termasuk nilai integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan negeri ini dan Beta harap sistem ini terus diamalkan dan ditingkatkan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Sidang Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Baginda juga bertitah supaya suara rakyat diutamakan dalam memacu kemajuan negeri agar selari dengan slogan 'Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan'.

"Rakyat merupakan elemen penting pembangunan malah kemajuan yang dikecapi tertakluk kepada kesepaduan rakyat. Sekiranya jika tiada persefahaman, kerjasama dan perpaduan di antara kerajaan dan rakyat negeri ini, pembangunan yang nikmati selama ini akan terbatas," titah baginda.

Justeru itu, Sultan Mizan meminta kerajaan negeri memberi penekanan lebih dalam mengenal pasti strategi, kelemahan, peluang dan halangan khususnya dari aspek urus tadbir ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Mizan meminta Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan kepada Terengganu sebanyak RM50 juta bagi menggantikan paip-paip pecah dan bermasalah secara berkala untuk mengurangkan kadar kehilangan air tidak terakaun supaya rakyat dapat menikmati bekalan air bersih.

"Beta bersyukur kerana Syarikat Air Terengganu (SATU) berusaha menurunkan kadar kehilangan air tidak terakaun sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh 5 tahun akan datang wajar diberi pujian," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut berpuas hati dengan hasil pelaksanaan program pembangunan yang menyaksikan ekonomi Terengganu berkembang pada tahap positif selain berjaya menarik ramai pelabur dalam negara dan asing dengan projek pelaburan bernilai berbilion ringgit.

"Beta puas hati dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang berdaya tahan pada 2013 telah memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM20.2 bilion.

"Dengan pengekalan kukuh melalui asas ekonomi domestik dan pelaburan swasta serta pasaran tenaga kerja yang stabil, pertumbuhan ekonomi negeri dijangka terus positif tahun ini," titah baginda.

Antara projek pelaburan nilai berimpak tinggi itu ialah pembinaan loji bersepadu bio-metionina dan tiokimia pertama di dunia oleh pelabur CheilJedang (CJ) dari Korea Selatan dan pelabur Arkema dari Perancis di Taman Bio Polimer di Kerteh yang merupakan di bawah kendalian pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pelabur dari Amerika Syarikat, Cevo Inc pula dijangka memberi komitmen pelaburan sebanyak RM1.65 bilion untuk membangunkan loji pembuatan isobutanol dan biojisim selulosa.

Pembangunan fizikal dalam Bandaraya Kuala Terengganu, pembinaan 'drawbridge', menaik taraf semua jalan raya utama negeri kepada empat lorong, pembangunan kawasan Bandar Baharu Bukit Besar dan daerah baharu Kuala Nerus adalah antara projek yang dipuji Sultan Mizan dalam usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat seperti perumahan, infrastruktur dan kemudahan asas lain.

"Beta juga gembira apabila bandar raya Kuala Terenggganu mula meyaingi bandar raya maju di negara ini dengan adanya pembangunan Muara Selatan dan Muara Utara serta mengukuhkan imej Kuala Terengganu sebagai 'Bandar Raya Warisan Pesisir Air'," titah baginda.

Sultan Terengganu turut menyarankan kerajaan negeri supaya memberi fokus berterusan terhadap sektor industri kecil dan sederhana (IKS), kesihatan awam, industri pelancongan terutama pembangunan Tasik Kenyir, pembinaan rumah mampu milik, sektor pertanian yang lebih komersil dan isu kemiskinan dalam kalangan rakyat Terengganu.

"Beta berpuas hati dengan berkat usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri di mana 31,120 rakyat negeri ini telah terkeluar daripada senarai Pendapatan Garis Kemiskinan berdasarkan data dikumpul dan disahkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pada 12 Mac tahun lepas," titah baginda. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat