{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Feminin

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Feminin


byBintu ringkas namun eksklusif

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB">

FABRIK yang digunakan adalah eksklusif kerana hanya byBintu memiliki fabrik bercorak sedemikian.

REKAAN yang ringkas menjadi pilihan dan keutamaan butik byBintu yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan pakaian. Menyedari ramai wanita lebih menyukai gaya yang ringkas dan boleh dipakai di banyak tempat, pemilik butik ini, Bintu Rasyada Abdul Rahman memilih untuk mengekalkan gaya sebegini bagi butik beliau.

Mengutamakan pakaian untuk muslimah moden bagi pelbagai golongan, Bintu memastikan setiap rekaan menepati kehendak seorang muslimah. Contohnya pakaian yang labuh, blaus yang menutupi punggung, tidak jarang, tidak melekat dan warna yang tidak terlalu menarik perhatian orang.

Walaupun rekaan byBintu ini tampak ringkas daripada segi potongan, namun keistimewaannya dapat dilihat pada pilihan fabrik yang bermutu dan corak unik yang jarang dilihat di butik lain. Fabrik satin, satin krep, syifon, lycra dan kapas menjadi pilihan kerana cantik bagi rekaan dres labuh atau jubah moden.

Kebanyakan fabrik dibeli oleh suaminya semasa bertugas di luar negara. Justeru, ia adalah eksklusif kerana hanya byBintu yang memiliki fabrik bercorak sedemikian. Bagi fabrik yang jarang, bahagian lengan turut dibuat lapik untuk melindungi bahagian lengan.

Perincian seperti renda, butang bungkus atau reben ditambah pada sesetengah rekaan bagi menambah gaya si pemakai yang sukakan sesuatu yang ekstra. Ibu yang menyusukan bayi juga boleh bergaya dengan rekaan byBintu

Kadang-kadang terdapat baju yang sudah cantik dan cukup sesuai bagi mereka yang bertudung. Namun apabila lengan tidak ada lapik maka pelanggan membatalkan hasrat untuk membeli. Walaupun memakai baju inner, namun ia tidak nampak cantik dan kemas.

Sebab itu, saya amat berhati-hati apabila membuat sesuatu rekaan. Saya akan pastikan semuanya memenuhi kehendak wanita yang bertudung kerana saya mahu pelanggan berasa selesa dan seronok apabila memakai koleksi saya. Potongan princess mendapat sambutan daripada pelanggan kerana potongannya yang longgar," kata Bintu yang menghasilkan rekaan baru pada setiap minggu.

Tidak sukar mendapat pelanggan kerana sekali membeli, pelanggan akan datang semula dengan membawa rakan atau saudara-mara, Bintu turut memilih warna-warna yang menarik yang mudah dipadankan dengan tudung dan selendang yang turut dijual di butik beliau. Di antara warna yang mendapat sambutan adalah kuning biji sawi, ungu kebiruan, hitam, merah samar, ungu muda dan sebagainya.

Setiap rekaan boleh diperoleh dalam 10 warna bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang terdiri daripada golongan pelajar, golongan bekerja atau wanita pertengahan usia.

Menurut Bintu, pelanggan yang datang bukan hanya pada cuti hujung minggu tetapi setiap hari pasti terdapat pelanggan yang mencari baju yang sesuai bagi dipakai pada majlis tertentu atau untuk ke pejabat. Oleh itu, beliau harus sentiasa peka dengan trend semasa dan untuk itu, beliau sering bertukar-tukar pendapat dengan pelanggan mengenai fesyen yang dicari.

Jodoh kami kuat

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

Abdul Rahim Abu (kanan) dan Nor Mottahatti Mat Noor bergambar sambil menunjukkan tanda sayang di Ayer Keroh Melaka di sini hari ini.

Pertemuan pertama di bilik mesyuarat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka empat tahun lalu hanyalah berkisarkan tentang kolaborasi pengajian antara dua institusi pengajian tinggi (IPT).

Tiada siapa di antara pasangan ini menyangka itulah detik yang mencipta bait-bait perkenalan antara mereka sehingga membawa ke alam rumah tangga.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif INSPIN, Datuk Abdul Rahim Abu dan isterinya, Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Melaka, Datin Nor Mottahatti Mat Noor masing-masing mengakui keajaiban jodoh dan takdir yang mempertemukan mereka.

Bagi Nor Mottahatti, kehidupan sebagai ibu tunggal berlandaskan sumber kekuatan tiga anak berusia antara 20 hingga 27 tahun serta kerjaya yang baik memadai untuknya meneruskan kehidupan ketika itu.

Bagaimanapun akuinya, pertukaran tugas dari UiTM Shah Alam ke UiTM Melaka pada tahun 2010 telah mengubah kehidupannya kini.

Perkenalan singkat sekitar Oktober 2010 dengan Abdul Rahim telah membawa pasangan ini ke jenjang pelamin pada 25 Disember 2010.

Katanya, ketulusan dan keikhlasan hati Abdul Rahim yang melamarnya tanpa berselindung telah membuka pintu hatinya untuk kembali berumah tangga.

Dia mengajak saya bertemu di luar untuk melakukan perbincangan. Pada fikiran saya, perbincangan hanya berkisarkan tentang kolaborasi yang ingin dilakukan.

Tanpa saya duga, dia bersikap berterus-terang dan terbuka untuk mengenali saya dengan lebih rapat seterusnya berhasrat untuk memperisterikan saya.

Saya tiada kenalan untuk bertanya tentang dia. Hanya Rektor UiTM Melaka ketika itu, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam yang saya kenal. Alhamdulillah banyak perkara positif yang saya dengar daripadanya," katanya.

Hasil perkahwinan terdahulu, Nor Mottahatti dikurniakan tiga anak iaitu Wan Nur Syafiqah, 27; Mior Mohamed Ridzwan, 26, dan Wan Nur Nadiya, 20.

Untuk memastikan hubungan yang bakal dibina sentiasa bahagia dan direstui, bagi Nor Mottahatti, persetujuan daripada anak-anak dan keluarga menjadi keutamaan.

Abdul Rahim pula berkata, dia dapat merasakan bahawa Nor Mottahatti adalah jodoh kurniaan Ilahi buatnya apabila mendapat petunjuk daripada mimpi pada malam sebelum dia bertemu dan menyatakan hasrat kepada Nor Mottahatti.

Katanya, jalan yang diberikan Allah SWT begitu mudah untuknya termasuk perbincangan bersama anak-anak serta pertemuan dengan keluarga Nor Mottahatti.

Syukur, inilah jodoh yang Allah berikan kepada saya, saya ingat lagi pesanan bekas Ketua Menteri Melaka, katanya kalau saya ingin mencari isteri, biarlah orang ini boleh menjaga saya.

Saya rasa memang inilah jodoh saya dan apabila saya terlupa memakai sarung kaki, isteri saya ini akan menegur dan mengingatkan saya.

Syukur Nor Mottahatti merupakan isteri yang sangat baik dan bertanggungjawab," katanya.

Menjalani kehidupan bersama bagaikan syurga buat pasangan ini, kata Abdul Rahim, biarpun dia kini sudah tidak lagi bekerja, namun dia tetap memberikan kepercayaan penuh setiap kali membenarkan isterinya keluar bekerja serta sentiasa menyokong kerjaya isterinya sehingga kini.

Ramai yang berkata, tempoh berkenalan dengan isteri dikatakan terlalu singkat. Malah ada rakan-rakan di peringkat awal bertanyakan tentang keputusan kami untuk berkahwin. Kesemua itu kami anggap sebagai satu dorongan bagi membuktikan jodoh kami kuat,"ujarnya.

Alhamdulillah, katanya, kehidupan mereka dari awal perkahwinan sehingga kini penuh dengan kasih sayang, saling percaya, sentiasa memahami dan menyayangi bagaikan telah lama menjalani kehidupan bersama.

Kunci kebahagiaan dalam melayari bahtera rumah tangga adalah setiap suami isteri mestilah saling mempercayai," katanya ringkas.

Hasil perkahwinan terdahulu Abdul Rahim dikurniakan sembilan anak iaitu Muhd. Fakhrul Anwar, 38; Nur Azeeyatty, 37; Muhd. Fakhrul Ridzuan, 36; Nur Haillyatti, 35; Muhd. Fakhrul Fadzly, 34; Muhd. Fakhrul Adly, 33; Nurul Huda, 32; Muhd. Fakhrul Hilmy, 31, dan Nur Atiqah, 30.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat