{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Feminin

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Feminin


Jauh perjalanan luas pemandangan

Posted: 08 Apr 2014 11:22 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

IKLIL Haziqah rasa bertuah dapat menjelajah ke negara Eropah.

TIDAK semua bertuah dapat merasai pengalaman duduk di luar negara, apatah lagi bila dapat berkongsi pengalaman untuk diadaptasi pada budaya masyarakat di negara ini.

Sebagaimana yang dilalui oleh gadis penghias Mega kali ini, Iklil Haziqah Datuk Hashim, 20, yang banyak dibesarkan di negara barat kerana mengikuti bapanya yang berkhidmat sebagai diplomat.

Ibu saya merupakan warga Singapura dan bapa pula berasal dari Melaka. Bapa merupakan pegawai kanan kerajaan dan bekas diplomat di London. Jadi memang sejak dari kecil saya dibesarkan di luar negara iaitu pada tahun 1995 hingga 1997 di New Zealand dan pada tahun 2003 hingga 2006 pula di London.

Berada di New Zealand kerana ketika itu bapa saya menyambung pelajaran dan di London pula kerana bapa bertugas di sana," katanya.

Di New Zealand Iklil Haziqah bersekolah tadika di Riverdale Kindergarten dan dia tidak begitu ingat pengalaman tersebut kerana masih kecil. Apabila pindah di London pula, dia berpeluang bersekolah di Wessex Gardens Primary School dan Hendon Secondary School.

Seingat saya seawal usia tiga tahun, saya sudah dimasukkan ke kelas ballet dan berenang kerana majoriti masyarakat di sana memang memulakan sesuatu aktiviti di awal usia," imbas Iklil Haziqah yang berkongsi pengalaman bersama penulis di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Melihatkan wajah dan bentuk tubuhnya yang sangat persis wanita Eropah, Iklil Haziqah menafikan dirinya berdarah kacukan. Apatah lagi gadis ini juga lebih mudah berbahasa Inggeris dari berbahasa Melayu kerana sudah terbiasa dengan bahasa itu sejak kecil.

Menjadi anak diplomat, saya perlu melalui kehidupan yang lebih kurang sama seperti bapa saya, cuma bezanya saya tidak pernah berpeluang masuk ke dalam Istana Buckingham seperti ibu bapa saya atas urusan kerja.

Tapi pengalaman yang menarik bagi saya secara peribadi ialah dapat menikmati cuaca empat musim dan yang paling saya suka ialah ketika musim salji. Ketika musim salji, waktu malam lebih panjang dari waktu siang dan pemandangan bersalji bagi saya adalah sesuatu yang amat indah.

Saya masih ingat ketika itu saya memang suka membina orang salji bersama adik perempuan saya. Satu lagi pengalaman ialah ketika dalam bulan Ramadan apabila kami di sana berbuka puasa sekitar pukul 3 hingga 4 petang, tapi bila bulan Ramadan jatuh pada musim panas kami berbuka pada pukul 9 atau 10 malam," cerita Iklil Haziqah penuh teruja.

Keliling Eropah

Kata orang rugilah kalau tidak mengambil kesempatan melihat negara sekitar Eropah kalau sudah menetap di sana, dan itulah hakikat yang paling disukai Iklil apabila dapat melancong ke lebih banyak negara luar sekitar Eropah.

Ketika tinggal di United Kingdom, bapa memang membawa kami ke pelbagai negara sekitar Eropah. Pengalaman tersebut memang sukar digambar oleh saya kerana ia satu pengalaman yang perlu dilalui sendiri baru tahu betapa nikmatnya dapat melihat bumi Allah yang luas ini.

Selain dapat berjalan, saya juga sempat memantapkan skil tarian di London dan pernah menjalani uji bakat di The Royal Academy Of Dance in London. Tapi bahagian paling menarik apabila duduk di luar negara ini ialah umpama kita bercuti setiap hari," katanya sambil tersenyum.

Menurut Iklil, perbandingan paling ketara antara London dan Malaysia adalah dari segi pelajaran.

Di Malaysia sistem pengurusan sekolah secara berpusat tapi berbeza di London apabila pengurusan sekolah itu lebih bebas. Walaupun setiap sekolah mempunyai undang-undang masing-masing tapi peraturan tersebut lebih fleksibel berbanding sekolah di Malaysia.

Sebagai contoh, pelajar di London boleh mewarnakan rambut mengikut suka mereka dan boleh memilih apa jenis kasut untuk dipakai ke sekolah.

Seperkara lagi, di London, para guru sudah mengesan bakat setiap pelajar dari awal sekolah dan memupuk bakat tersebut untuk dijadikan kerjaya pada masa depan. Pelajar sekolah juga digalak menyuarakan pendapat dan berfikir di luar ruang lingkup walaupun pada usia muda," jelasnya.

Kini Iklil Haziqah memilih menyambung pelajarannya dalam bidang perniagaan.

Baginya yang mahu menjadi usahawan wanita berjaya satu hari nanti, dia dapati dunia perniagaan memang sangat menarik. Dia suka membuat orang gembira dan objektif utama selain mendapat untung ialah memuaskan hati pelanggan. Baginya perniagaan adalah seni kerana perlu berimaginasi untuk menarik lebih pelanggan.

Ibu, Datin Zairin Mahadi adalah idola saya. Bagi saya ibu memang seorang yang hebat. Bukan senang menjaga keluarga yang tinggal di luar negara dengan pelbagai cabaran tapi ibu berjaya lakukannya. Ibaratnya bapa saya menanam baja, ibu pula menjaga dan memastikan ia tumbuh dengan baik.

Dulu walaupun ibu bekerja dan pada masa yang sama dia dapat menjaga kami adik-beradik dan bapa dengan baik. Ibu saya juga seorang yang sangat menjaga penampilan diri, saya berdoa untuk menjadi hebat seperti ibu satu hari nanti," ujar Iklil Haziqah.

Sentuhan Yustie Dieanna

Posted: 08 Apr 2014 11:22 PM PDT

PENGALAMAN alam kolej dilalui Nurul Dieanna Atiqah Saifuddin, 21, begitu unik sekali, mengapa? Gadis ini begitu bertuah kerana ibunya, Noorma Yustie Abd. Majid, 37, merupakan rakan sekelasnya yang juga merangkap teman baiknya sepanjang tempoh hampir dua tahun mereka belajar di International Academy of Fashion & Design (IFTC) yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, selepas graduasi, pasangan ibu dan anak ini bergabung menghasilkan jenama mereka sendiri yang diberi nama Yustie Dieanna.

Ternyata Yustie Dieanna mempunyai kelainannya yang tersendiri. Noorma Yustie yang mempunyai kekuatan dalam menghasilkan rekaan tradisional kontemporari ditambah dengan kreativiti anak gadisnya, menghasilkan satu busana yang cukup indah dan ada kelainannya.

Kami memang sama-sama meminati fesyen. Saya mengenali anak saya dan tahu minat serta kekuatannya, jadi saya mengambil keputusan mengikutinya belajar dalam jurusan yang sama iaitu diploma dalam bidang seni reka fesyen.

Dalam kelas, kami mempunyai rakan yang sama malah pensyarah mengetahui hubungan kami anak-beranak. Walaupun begitu tidaklah bermakna kami hanya berkawan berdua. Kami berkawan dengan semua dan itu lebih menjadikan perasaan saya sebagai ibu tenang kerana dapat memantau pergerakan anak gadis sendiri," kata Noorma Yustie yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Contohnya apabila ada kerja berkumpulan, Noorma Yustie dan Nurul Dieanna akan berada dalam kumpulan yang sama.

Sebenarnya menurut Noorma Yustie, anaknya itu sudah biasa dengan fesyen kerana dirinya telah mengusahakan perniagaan butik pengantin sejak umur anaknya itu sembilan tahun lagi.

Rekaan eksklusif

Idea untuk membina jenama fesyen Yustie Dieanna bermula selepas mereka tamat belajar. Yustie Dieanna mempertaruhkan konsep fesyen bercita rasa tinggi.

Ini termasuk busana pengantin, busana ke majlis formal atau ke mana saja majlis rasmi. Semua pakaian yang dihasilkan Yustie Dieanna dijahit sendiri dan rekaannya juga eksklusif.

Inspirasi kami ialah sentuhan songket, bermakna dalam setiap rekaan, kami menerapkan sedikit atau banyak elemen songket. Misalnya pada bahagian bahu atau butang mesti ada songket.

Mengapa elemen songket? Ini kerana songket lambang kain mewah dan juga fabrik tradisi dalam masyarakat kita sejak turun- temurun. Jika kita lihat masa kini trend menggayakan songket di majlis perkahwinan juga semakin diminati.

Untuk generasi muda pula kami menghasilkan songket dalam potongan yang lebih kontemporari dan akan datang lebih banyak pakaian kasual sedia dipakai juga akan menggabungkan sentuhan songket dengan fabrik selesa berkualiti lain," kata Noorma Yustie lagi.

Mereka juga akan mengubah persepsi songket dari dilihat terlalu 'berat' kepada lebih ringkas dan moden.

Bagi meletakkan Yustie Dieanna di persada fesyen tanah air mereka perlu bekerja keras dan mengambil peluang untuk memperkenalkan hasil kerja mereka berdua.

Bagi mereka, apabila memasuki lebih banyak pertandingan fesyen membuatkan mereka yakin bahawa jenama ini mempunyai kekuatan dan boleh bertapak dalam industri ini.

Ketika zaman belajar, kami berpeluang ke kota fesyen di Paris untuk menghadiri seminar di sana. Ilmu yang diperoleh di Paris memang membuatkan kami semakin bercita-cita tinggi. Namun semuanya tidak mudah dan usaha perlu dilakukan seiring dengan matlamat kami," ujar ibu kepada lima anak ini.

Mengagumi Bernard Chandran

Yustie dan Dieanna turut berkongsi idola yang sama dalam bidang fesyen iaitu Datuk Bernard Chandran. Bagi mereka kejayaan Bernard ke peringkat antarabangsa adalah satu motivasi dan hasil rekaan Bernard memang memiliki keistimewaan yang tersendiri.

Semenjak melangkah ke IFTC lagi kami berdua menanam cita-cita untuk berjaya seperti Bernard. Kata orang impian mesti tinggi supaya kita berusaha lebih lagi. Untuk memantapkan lagi jenama Yustie Dieanna kami memilih lokasi butik di Sunway Giza, Kota Damansara. Butik ini mula beroperasi kepada peminat fesyen eksklusif sejak dua bulan lalu," ujarnya.

Dalam pembahagian kerja, Noorma Yustie mengakui kekuatannya lebih kepada pemasaran manakala anaknya pula di bahagian pengeluaran.

Sekarang semua kami buat sendiri dari operasi hinggalah ke jahitan, kami bekerja keras hingga tidur pun tidak mencukupi, namun yang penting kami puas dan seronok apabila dapat mengejar cita-cita kami.

Insya-Allah dalam tahun ini juga Yustie Dieanna akan mengeluarkan koleksi pakaian dalam eksklusif kami sendiri, saya sendiri yang akan mereka bentuknya dan akan memastikannya lain dari apa yang pernah dijual di pasaran komersial," katanya yang akan memasuki kursus penghasilan pakaian dalam selepas ini.

Untuk menemui peminat fesyen, Yustie Dieanna juga akan menganjurkan satu makan malam amal bertemakan Touch of Songket bertempat di Hotel Royale Bintang, Seremban, Negeri Sembilan.

Majlis makan malam ini akan menampilkan pelbagai busana rekaan pereka muda tempatan yang berinspirasikan songket. Bukan itu sahaja, Yustie Dieanna mengambil tanggung jawab sosialnya dengan mendermakan sebahagian kutipan amal makan malam ini kepada Persatuan Parkinson Negeri Sembilan. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 012-6460022. - NOOR FAZRINA KAMAL

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat