Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Polis edar lakaran wajah suspek kedua Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT Khairuldin Saad menunjukkan gambar suspek semasa mengadakan sidang akhbar berkenaan perkembangan suspek yang menembak dua anggota polis di Ibu Pejabar Daerah Ampang, Selangor, semalam. KUALA LUMPUR 14 April - Polis yakin dapat menangkap dua penjenayah dalam kes tembak dua anggota pasukan itu di Lembah Maju, Ampang, di sini Jumaat lalu, berikutan telah mengenal pasti lakaran wajah suspek kedua. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, lakaran tersebut diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran berdekatan kejadian. Katanya, enam CCTV telah dikesan di sekitar kawasan kejadian dan tiga daripadanya berjaya merakam gambar suspek kedua tersebut. Pihak kami masih mengumpul maklumat tetapi setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat. Namun kita tidak akan berhenti memburu suspek dan kami mengharapkan kerjasama dan bantuan orang ramai bagi menyalurkan sebarang maklumat untuk membantu mengesan kedua-dua suspek terbabit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Jumaat lalu, Lans Koperal Lionel Richard Jr. 26, cedera parah manakala rakan setugasnya, Koperal Zul Fazli Atlahi, 28, cedera ringan akibat ditembak seorang daripada dua penjenayah yang bertatu harimau di Lembah Maju, Ampang. Berikutan itu, polis mengedarkan lakaran wajah suspek pertama yang melepaskan tiga das tembakan ke arah dua anggota terbabit. Khairuldin memberitahu, polis turut menemukan kesan cap jari dan bahan bukti lain termasuk baju suspek, selipar serta sebutir anak peluru dipercayai jenis revolver .38 yang dijumpai di tempat kejadian. Kami menemukan 18 kesan cap jari pada motosikal, topi keledar dan beberapa barang peribadi milik suspek yang ditinggalkan selepas kejadian. Namun setakat ini, tiada persamaan dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan data berkaitan kedua-dua suspek sedang dikumpul dengan kerjasama JPN. Siasatan ke atas motosikal yang digunakan suspek juga merupakan kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," jelas beliau. |
Culik: Pegawai Esscom ke Filipina Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT Oleh ASSIM HASSAN KOTA KINABALU 14 April - Penghantaran beberapa pegawai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ke Selatan Filipina baru-baru ini adalah untuk membantu dan berunding dengan pihak pihak keselamatan negara itu bagi menyelamatkan dua wanita mangsa culik di Resort Singamata, Semporna pada awal bulan ini. Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek menjelaskan, pegawai berkenaan tidak menjalankan urusan perundingan tebusan bersama para penculik sebaliknya berkongsi maklumat risikan untuk menyelamatkan mangsa. Katanya, sehingga kini Esscom masih belum menerima sebarang tuntutan rasmi daripada penculik berhubung nilai tebusan yang dikatakan berjumlah RM36 juta itu. Kami juga tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mewakili Esscom bagi mengadakan rundingan membebaskan warga China itu," katanya dalam sidang akhbar di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 April lalu, seorang pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik dari Singamata Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki berbaju hitam, bertopeng dan bersenjata. Mengulas lanjut, Mohammad mendedahkan empat daripada suspek yang dikenal pasti terlibat dalam penculikan tersebut pernah menetap di Semporna tanpa dokumen perjalanan yang sah. Katanya, tiga daripada empat suspek itu juga dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan ke Selatan Filipina manakala seorang lagi didakwa pernah bekerja di pekan Semporna. Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 19 Mac lalu, bahagian risikan Esscom mengesan lima buat bot yang cuba memasuki perairan negara ini dipercayai untuk melakukan jenayah penculikan di Semporna. Bagaimanapun kawalan ketat pasukan keselamatan mampu menyekat kemasukan empat buah bot itu dan hanya sebuah saja yang berjaya lolos dan masuk ke perairan negara hingga melakukan jenayah terbabit di Resort Singamata," katanya. Sementara itu, Mohammad berkata, Esscom merancang untuk memperkenalkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunapakai oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan sebagai satu keperluan bagi syarikat-syarikat yang bercadang untuk menubuhkan pusat peranginan di negeri ini. Beliau berkata, SOP yang bakal dijadikan pra syarat untuk memperoleh lesen membuka resort itu akan dibentangkan dalam pertemuan dengan pengendali pusat peranginan di bawah Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) yang akan diadakan di sini, esok. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |