Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Ceroboh tanah: 14 rumah diroboh Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT Oleh Farik Salleh Penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi merobohkan sebuah bangunan kekal yang dibina di atas tanah milik kerajaan di Kilometer 11, Batu 8 Jalan Air Terjun di Kota Tinggi, semalam. - UTUSAN/FARIK SALLEH KOTA TINGGI 2 April - Sebanyak 14 rumah termasuk dua separuh kekal yang dibina di atas tanah seluas 17.81 hektar di Kilometer 11, Batu 8 Jalan Air Terjun di sini dirobohkan kelmarin. Operasi merobohkan kediaman itu membabitkan kira-kira 100 orang terdiri daripada penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Daerah Kota Tinggi, Pejabat Daerah, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi, Jamaludin A. Hamid berkata, tindakan tersebut diambil selepas pemilik rumah terbabit gagal mematuhi arahan notis pencerobohan tanah kerajaan yang dikeluarkan pada November 2013 dan Februari lalu. Menurutnya, tindakan tersebut mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 bagi mengekang penerokaan tanah secara berleluasa. Mengikut kanun tersebut, mana-mana pihak yang melakukan pencerobohan sama ada melakukan penerokaan tanah atau membina bangunan secara haram boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. Kita telah mengeluarkan notis pertama pada 20 November tahun lalu meminta penceroboh terbabit meninggalkan kawasan itu dan melarang membina sebarang bangunan kekal. Bagaimanapun kami mendapati notis tersebut tidak diendahkan, malah pemilik masih menjalankan aktiviti seperti biasa selain terdapat penambahan dua bangunan kekal yang baharu dibina di situ. Susulan itu kita menghantar notis kedua pada 26 Februari lalu kepada penceroboh terbabit dan sebahagiannya kita tampal di rumah mereka sebelum tindakan merobohkan bangunan tersebut dilaksanakan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam. Jamaludin memberitahu, pihak pejabat daerah mempunyai perancangan pembangunan yang bersesuaian dengan keadaan semasa di kawasan berkenaan. Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya membuat rujukan dan permohonan rasmi kepada pihak pejabat tanah terlebih dahulu sebelum membina rumah atau meneroka tanah kerajaan agar tidak menimbulkan sebarang risiko pada masa depan. Kita tidak mahu berlakunya kes seperti ini yang bukan sahaja melibatkan kerugian dari segi wang ringgit malah turut menimbulkan rasa tidak puas hati meskipun pada hakikatnya mereka telah melakukan kesalahan," katanya. |
Road to MAHA di Dataran Penggaram hari ini Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT JOHOR BAHRU 2 April - Kerajaan negeri akan menganjurkan Program Road To Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 selama empat hari bermula esok. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, pameran diadakan di Dataran Penggaram, Batu Pahat dan akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Jumaat ini. Ismail berkata, Road To MAHA adalah bagi mempromosikan MAHA 2014 yang akan diadakan pada November depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. Beliau berkata, berdasarkan pengamatan, beberapa negeri telah dipilih untuk mengadakan program tersebut termasuk Pulau Pinang, Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah, Melaka dan Johor. Menurutnya, Pahang telah menganjurkan program tersebut pada 29 November hingga 1 Disember tahun lalu, Pulau Pinang pada 14 hingga 16 Februari lalu dan Perak pada 21 hingga 23 Mac lalu. Dalam Road to MAHA 2014 peringkat negeri ini, kita mengguna pakai konsep gerak usahawan dan antara pengisiannya termasuk pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan khususnya di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya kepada Utusan Malaysia. Ismail berkata, pameran kali ini memberi penekanan tentang teknologi dan inovasi terkini dalam bidang pertanian, pendidikan dan klon terbaharu melibatkan tanaman dan ternakan. Kita turut menjual dan mempromosikan produk pertanian dan industri asas tani oleh golongan usahawan, antaranya benih tanaman dan bunga-bungaan, produk herba, kerepek, kek dan roti serta baja pertanian," katanya. Beliau berkata, pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk pertandingan penghasilan inovasi di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi bagi menyuntik minat mereka terhadap bidang pertanian. Menurutnya, seminar keusahawanan tani juga dianjurkan untuk meningkatkan ilmu keusahawanan dan menyuntik motivasi kepada peserta supaya lebih berjaya pada masa akan datang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |