{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Mohon rumah dalam talian

Posted: 17 Apr 2014 11:35 AM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
utusanjohor@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) diberi penerangan mengenai info terkini sempena merasmikan Minggu Sains dan ICT Negeri Johor 2014 di Persada Johor Bahru, baru-baru ini. - UTUSAN/ Baazlan Ibrahim

JOHOR BAHRU 17 April - Rakyat negeri ini yang ingin memiliki rumah mampu milik dan rumah kos rendah kini boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi Aplikasi Sistem Permohonan Rumah Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, medium tersebut diperkenalkan untuk memudahkan orang ramai membuat permohonan selain turut membantu kerajaan negeri membuat perancangan dengan lebih berkesan.

"Permohonan untuk rumah kos rendah dan rumah mampu milik di negeri ini boleh dibuat dengan melayari laman sesawang erumah.johor.gov.my.

"Secara tidak langsung, sistem ini turut membantu meningkatkan kecekapan pihak kerajaan negeri dalam merancang dan menguruskan permohonan rumah mengikut permintaan rakyat," katanya selepas merasmikan Minggu Sains, Teknologi dan ICT (Misti) Negeri Johor 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini kelmarin.

Misti Johor 2014 yang bermula Rabu lalu hingga Isnin ini dengan tema 'Ke Arah Komuniti Pintar' menyasarkan kehadiran seramai 40,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya rakyat negeri ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Menteri Besar berkata, sistem permohonan dalam talian tersebut turut selari dengan janji kerajaan negeri sebelum ini yang mahu mendirikan sebanyak 28,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah dalam tempoh lima tahun sejak tahun lalu.

Sementara itu, Hasni memberitahu, kerajaan negeri telah mengenal pasti kira-kira 100 lokasi awal untuk mewujudkan kemudahan perkhidmatan WiFi terbuka untuk rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri kini sedang dalam perancangan mewujudkan perkhidmatan WiFi ke seluruh negeri, namun proses ini perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

"Buat permulaan, kita sudah mengenal pasti 100 lokasi bersesuaian yang majoritinya berada di wilayah Iskandar Malaysia sebelum perkhidmatan tersebut diperluaskan ke daerah lain," katanya.

Penternak ikan terima bantuan RM2,500 seorang

Posted: 17 Apr 2014 11:35 AM PDT

ISMAIL Abu Hassan (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada para penternak ikan yang menerima bantuan akibat kejadian kematian ikan di Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau, Gelang Patah, Johor, baru-baru ini.

GELANG PATAH 17 April - Seramai lapan penternak yang terjejas akibat kematian ikan secara mengejut di Perairan Pendas di sini baru-baru ini, menerima bantuan barangan bernilai RM2,500 seorang daripada kerajaan.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Datuk Ismail Abu Hassan berkata, sumbangan itu bertujuan membantu meringankan beban mereka akibat kejadian ledakan alga.

Menurutnya, ledakan alga atau nama saintifiknya 'Karlodinium sp.' menyebabkan insang ikan tertutup, seterusnya tidak dapat menyerap oksigen seperti biasa.

"Kami memandang serius masalah ini kerana Johor merupakan pembekal ikan sangkar ketiga terbesar di negara ini dan kejadian itu sedikit-sebanyak menjejaskan pengeluaran.

"Sehubungan itu, kerajaan memberikan bantuan dalam bentuk barangan seperti benih ikan dan peralatan lain," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau dekat sini kelmarin.

Kejadian yang berlaku awal Februari lalu menyebabkan kerugian berjumlah kira-kira RM1 juta apabila lebih 300,000 ikan, antaranya siakap, kerapu, merah dan senangin mati.

Sementara itu, seorang penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Gires Usup berkata, hasil analisis yang dilakukan mendapati kejadian tersebut merupakan fenomena semula jadi yang sering berlaku ketika musim panas berpanjangan.

"Fenomena itu adalah kejadian biasa yang turut berlaku di negara-negara Eropah, namun ini yang pertama kali berlaku di Pendas. Punca peningkatan alga menyebabkan kematian ikan-ikan itu, bagaimanapun masih dalam kajian kami," katanya.

Kumpulan penyelidik yang melibatkan pelbagai jabatan kerajaan dan swasta itu akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang pada masa depan.

Pergiat pemasaran IKS Johor melalui ICT - Zulkurnain

Posted: 17 Apr 2014 11:35 AM PDT

ZULKURNAIN Kamisan (dua dari kiri) menyerahkan tajaan 2,000 nama domain kepada wakil peserta Program .myBuddies Zon Selatan di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar di Johor Bahru, baru-baru ini. - UTUSAN/MOHAMAD FIKRI ROSLY

JOHOR BAHRU 17 April - Pemerkasaan pembangunan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Johor menerusi platform teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan e-dagang adalah langkah yang diambil kerajaan negeri kerana kemajuan teknologi kini begitu hampir dengan setiap aspek kehidupan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, selari dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dijalankan kerajaan pusat, penggunaan ICT dalam IKS membolehkan penjenamaan dan pemasaran produk dilakukan secara mudah, pintar dan efektif.

"Suatu masa dahulu ramai yang pelik jika seseorang memiliki telefon bimbit kini berbeza kerana orang yang tidak memilikinya dilihat sebagai satu kejanggalan. Begitu juga pemilikan domain kerana dalam realiti dunia perniagaan hari ini, laman web bukan lagi kemewahan tetapi kemestian namun tidak sampai 20 peratus usahawan IKS menggunakannya.

"Pelancaran ini membuktikan kerajaan negeri serius dalam membantu golonga berpendapatan rendah dan sederahana meningkatkan pendapatan. MyBuddies boleh dijadikan rangkaian mengembangkan perniagaan dan cara baru melakukan pemasaran produk," katanya ketika berucap merasmikan Program .myBuddies Zon Selatan di Dewan Besar, Pusat Iskandar, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Hasnul Fadhly Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif Asertech Sdn. Bhd., Mohd Zairulanuar Mohamed Rasim; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Abdul Aziz Abdul Rahman; Pengarah .myBuddies Johor, Wan Zuraimi Wan Abdul Jamil dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Mohamad Alif A. Rahim.

Program .myBuddies Zon Selatan menawarkan inisiatif pemilikan sehingga 2,000 domain .my secara percuma berserta seminar yang ditaja oleh Asertech, bagi memberi pendedahan tentang dunia perniagaan berteras ICT serta peluang ekonomi digital.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat