Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Kenal pasti punca gagal dapat kerja Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT Abd. Razak Minhat menyampaikan Baucar Buku 1Malaysia kepada salah seorang penerima di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, Johor, baru-baru ini. LEDANG 8 April - Golongan siswazah perlu mengetahui faktor yang membuatkan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) sering gagal mendapat tempat dalam pasaran kerja seperti kelulusan yang ada tidak sesuai dengan keperluan pasaran dan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata, penguasaan bahasa antarabangsa itu adalah satu kelebihan yang membantu mendapat pekerjaan terutama dalam sektor swasta. "Begitu juga sikap yang salah dan gagal meyakinkan bakal majikan, mereka juga tidak bijak berkomunikasi. Saya menggesa bakal graduan supaya lebih aktif menyertai pelbagai aktiviti atau program yang dapat membantu menguasai kemahiran berkomunikasi terutama bahasa Inggeris. "Melalui penglibatan dalam aktiviti persatuan juga akan dapat meningkatkan keyakinan berdepan dengan orang ramai selain mengasah kemahiran berkomunikasi," katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada 457 pelajar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang di Serom 4, dekat sini baru-baru ini. Menurutnya, aktiviti persatuan dapat memupuk semangat dalam kerja berpasukan yang membolehkan mereka lebih bersedia untuk berdepan situasi sebenar alam pekerjaan yang diceburi kelak selain mempersiapkan diri dengan kehendak dan keperluan bakal majikan. Apa yang membimbangkan, kata Abd. Razak, adalah jumlah siswazah menganggur berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan pada 2012 adalah tinggi iaitu seramai 51,835 atau 25.6 peratus melibatkan IPT seluruh negara. "Jumlah itu adalah satu angka yang sangat besar bagi mereka yang menamatkan pengajian tetapi tidak diterima bekerja dan untuk itu segala kelemahan perlu dibaiki selain tidak terlalu memilih kerja. Cabaran terbesar negara untuk memasuki era negara maju pada 2020 adalah kemampuan dalam membangun dan mempersiapkan modal insan berketerampilan. "Modal insan yang dicita-citakan ini hendaklah memiliki modal intelek yang tinggi, kemahiran seni dan pertukangan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran inter dan intra-personal, kemahiran berfikir aras tinggi yang bersifat kritis dan kreatif serta kemahiran inovatif atau kemahiran mencipta sesuatu yang baharu," katanya. |
Dua tinggal sehelai sepinggang Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT Oleh Farik Salleh Wakil Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Zakaria Hassan (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Roziah Othman di Kota Tinggi, kelmarin. KOTA TINGGI 8 April - Seorang ibu tunggal bersama seorang anak angkatnya yang merupakan kurang upaya (OKU), tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Felda Pasak, di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, mangsa, Roziah Othman, 60, berada di dapur sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran diikuti bunyi letupan di depan rumah. Roziah bagaimanapun ber-syukur kerana dia dan anak angkatnya, Mohd. Nor Rahmat, 17, terselamat dalam kejadian itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan. "Saya tinggal berdua bersama anak angkat selepas kematian suami, Mohd. Mukmin Hussin, tahun lalu. Kini saya terpaksa menumpang sementara di rumah jiran sementara menanti bantuan membina rumah baharu," katanya ketika ditemui di sini semalam. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian masih belum dapat ditentukan. Katanya, tiga jentera dari balai bomba itu dan Bandar Penawar dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam dan mengawal kebakaran. Sementara itu, Pegawai Felda Pasak, Mahat Ami ketika ditemui semasa melawat mangsa berkata, pihaknya akan membuat laporan dan memohon bantuan untuk disampaikan kepada Roziah. "Saya berharap mangsa bersabar menerima ketentuan Allah dan kita akan membantu sedaya upaya," katanya yang menyampaikan bantuan awal daripada Felda Wilayah Johor Bahru. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |