Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Kasih sayang pendorong kehidupan Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT Pada kursus yang diadakan untuk para remaja baru-baru ini, saya sungguh gembira apabila mendengar kenyataan tentang curahan kasih sayang ibu bapa terhadap mereka. Saya sering mengingatkan, ketika belajar bukan sahaja memerlukan minda, tetapi juga hati. Perasaan mereka ini mesti tenteram dan diisi dengan kasih sayang terhadap diri, ibu bapa, keluarga, dan orang di sekeliling mereka. Saya memberitahu bahawa mereka dilahirkan dengan hati yang bercahaya dan merah, sedia menerima kasih sayang, segala kebaikan dan mereka sememangnya bersikap penyayang. Walaubagaimanapun, semakin membesar, mereka belajar memiliki perasaan hasad dengki dan sakit hati, terutamanya kepada ibu bapa sendiri apabila sesuatu yang tidak kena berlaku. Golongan ini merasakan segala nasihat yang diberikan oleh ibu bapa bererti satu kemarahan buat mereka yang menyebabkan terbantut perkembangan dan pertumbuhan emosi mereka. Mereka tidak dapat lagi merasai kasih sayang dan menerima nasihat serta menidakkan kepedihan hati sendiri untuk mengelakkan daripada lebih disakiti. Jauh di sudut hati mereka, lukanya masih berdarah serta hati itu merintih mahukan kasih sayang. Namun, mereka tetap berlagak seperti tidak memerlukan sesiapa. Sekiranya ibu bapa dan penjaga tidak peka, tidak mengetahuinya, akhirnya semua sudah terlambat. Apabila kumpulan ini dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, mereka mengalami kekurangan dan kecacatan sikap sebagai ibu bapa. Mereka tidak dapat menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak dan menyebabkan kesakitan di jiwa anak-anak, sama seperti yang dirasai mereka akibat perbuatan ibu bapa dan guru-guru. Pada suatu hari, anak perempuan saya baru pulang dari pusat beli-belah dan kelihatan sungguh terganggu. Rupa-rupanya dia telah terlihat seorang ibu mengugut untuk tidak menyayangi anak kecilnya hanya kerana anaknya itu tertumpahkan air dan buang air kecil di hadapan orang ramai. Kata ibu itu: Ibu tidak sayang kamu lagi, kamu kencing di dalam seluar sedangkan ibu telah ingatkan, jangan Ibu malu dengan sikap kamu." Mengapa anak saya sangat terganggu? Kerana dia faham akan akibat daripada insiden tersebut kepada jiwa anak sekecil itu kerana hatinya telah terguris. Sekiranya emosi yang terluka itu tidak dirawat dan kepedihan itu terus bertapak di hati anak berkenaan, dikhuatiri akan melumpuhkan semangatnya untuk mencapai kejayaan. Walaupun kelihatan seperti sesuatu yang remeh, tetapi sebenarnya bukan, percayalah. Kasih sayang ialah pendorong kehidupan. Apabila kita mahu mencari kekuatan diri, lihat kembali masa sewaktu kita lahir ke dunia ini sehingga berumur enam tahun. Pada ketika ini jiwa kita dipenuhi dengan kasih sayang dan rasa sungguh menyayangi. Destinasi jiwa kita ialah kasih sayang dalam erti kata yang sebenar. Jika ibu bapa mengimpikan anak-anak yang berjaya dan berjasa, belajarlah meraih kompetensi, iaitu sikap, skil dan ilmu untuk menjadi ibu bapa penyayang agar anak-anak cemerlang. Sedikit percikan ilmu untuk menjadi ibu bapa penyang ini; Ibu bapa yang sebegini telah mendefinisikan kepada anak-anak mereka tentang erti peraturan, batas serta sempadan tahap tingkah laku dalam kehidupan secara amnya dengan jelas. Kerana kasih sayang yang kuat terhadap anak-anak, mereka tegas. Keibupaan penuh kasih-sayang, tidak lari daripada ketegasan Mereka melatih anak-anak untuk memahami batas-batas ini dan memberikan amaran yang jelas apabila anak-anak mereka mencabuli had batasan itu. Namun, mereka ialah jenis ibu bapa yang memberikan galakan dan mempamerkan kasih sayang mereka dengan jelas. Mereka sanggup menghabiskan masa dengan anak-anak dan melakukan segala daya usaha untuk berkomunikasi dengan semua anak. Anak-anak yang datang daripada keluarga begini biasanya mempunyai rasa hormat dan keyakinan diri yang tinggi serta menghormati peraturan, sama ada di sekolah, agama atau di mana-mana sahaja mereka berada. Ramai ibu bapa mahu menjadi ibu bapa cemerlang, penuh kasih-sayang supaya anak-anak mereka berjaya namun ramai orang mengatakan kalau disayang sangat anak, nanti menjadi derhaka. Namun, anda tahu di dalam hati, cara terbaik mendidik anak adalah dengan kasih-sayang. Maka kerana itulah saya akan mengadakan seminar di KGPA Bukit Kiara pada 20 April ini, supaya ibu bapa akan menjadi lebih bulat hati, faham dan memperkasakan keibubapaan penuh kasih-sayang ini. Mari kita berjumpa di Facebook Jelajah Kasih Bersama Ibu Rose atau http://in96ed.wix.com/projek-jelajah-kasih. |
Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT Majlis ringkas penyerahan sumbangan sabun Antabax kepada penduduk Orang Asli di perkampungan Kuala Mu, Perak, baru-baru ini. Produk penjagaan diri yang diyakini berkesan serta boleh diharapkan dalam memupuk gaya hidup sihat dan bersih untuk seisi keluarga, Antabax baru-baru ini menyumbang kira-kira 250 buku sabun mandi kepada masyarakat Orang Asli di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak. Sumbangan itu disampaikan oleh sukarelawan Orang Asli, Siti Khadijah Mohd Yusof, 46, di perkampungan Orang Asli Kuala Mu baru-baru ini. Menerusi program yang dinamakan Mesra Rakyat Bersama Orang Asli itu, para sukarelawan turut menyediakan burger untuk diberi kepada anak-anak Orang Asli. Menurut Siti Khadijah, program anjuran Team Pecah 4x4, Team Utara dan Amal Team itu melibatkan 29 sukarelawan yang menaiki lapan buah kenderaan pacuan empat roda. Kesemua mereka turut membawa sumbangan makanan seperti burger, ais krim tajaan syarikat Embun; roti dan kek cawan tajaan Norbaini Cakes serta beras, gula, teh dan susu tepung tajaan Klinik Kerajaan Hulu Langat. Lain-lain barang yang disumbangkan adalah sabun mandi dettol, ubat dan berus gigi serta pakaian. Misi tersebut katanya, diketuai oleh Zuffree Jasmane, 32, manakala penasihat program, Shamsuri Osman, 52, dari Petronas. Terdapat juga sukarelawan dari sektor awam dan swasta serta pelajar tahfiz Darul Quran. Misi ini bertujuan membantu penduduk dari segi pendidikan moral dan suai kenal antara penduduk bandar dengan masyarakat Orang Asli di pedalaman," katanya. Menyentuh mengenai tajaan sabun Antabax, katanya, pihaknya bersyukur dapat menerima sumbangan tersebut. Kami telah membawa anak-anak Orang Asli ke sungai di kampung ini untuk mandi dengan menggunakan sabun tersebut. Pada sebelah petang, pihak penganjur turut mengadakan sukaneka dan latihan praktikal mengenai cara-cara mengambil wuduk dan menggosok gigi. Dalam pada itu, katanya, pihaknya kini sedang berusaha mengumpul 400 helai telekung dewasa dan kanak-kanak untuk diagih-agihkan kepada masyarakat Orang Asli di beberapa kawasan pedalaman di seluruh negara. Untuk menderma atau maklumat lanjut, sila hubungi Siti Khadijah di talian 017-2497901. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |