{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kesihatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kesihatan


Semangat juang di Gurun Sahara

Posted: 03 Apr 2014 09:35 PM PDT

Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Gambar KAMAL BASIR

Gurun Sahara merupakan gurun terpanas dan juga kawasan gersang ketiga terbesar di dunia selepas Antartika dan Artik.

Walaupun keadaan di Gurun Sahara amat menyukarkan, dan bagi sesiapa yang berada di sana terpaksa berhadapan dengan ribut pasir dan cuaca sejuk dan panas melampau serta tidak menentu, namun dua aktivis AIDS, Ralph Dixon dan Jeff Lau bakal berlari merentasi laluan paling sukar di muka bumi ini demi memperjuangkan nasib golongan HIV/AIDS negara ini.

Cabaran MAF Marathon des Sables 2014 akan menyaksikan dua pelari ini melakukan larian di Gurun Sahara yang dijangka mengambil masa tujuh hari bermula dari 4 April 2014, sejauh 125 kilometer bagi mengutip dana untuk dua pertubuhan di bawah Yayasan AIDS Malaysia (MAF) iaitu Program Rawatan, Penjagaan dan Sokongan (TCSP) serta Kelab Belia Riben Merah (RRYC).

TCSP memberi perhatian khusus kepada wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV dan RRYC pula merupakan pertubuhan yang mensasarkan golongan remaja sebagai platform untuk mereka menyalurkan sumbangan terhadap usaha-usaha kemasyarakatan dalam menangani epidemik HIV di peringkat akar umbi.

Dixon, penggemar larian maraton yang juga merupakan Pemegang Amanah MAF bersedia untuk mengulangi pencapaiannya pada tahun 2010 selepas melengkapkan percubaan pertama dalam Marathon des Sables edisi ke-25.

Selepas menamatkan perlumbaan pertama, saya pernah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak melakukannya lagi dan tidak akan meletakkan diri saya melalui situasi paling mencabar yang saya boleh gambarkan sebagai enam hari paling buruk dalam hidup saya.

Namun, dengan situasi sekarang yang masih lagi tidak berubah dengan sumbangan dana yang tidak mendapat perhatian ramai, pada masa yang sama penghidap HIV terus dipinggir masyarakat disebabkan stigma dan diskriminasi, membuatkan saya terus bersemangat dan ingin melakukannya lagi demi golongan ini," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Marathon des Sables 2014 merupakan salah satu program tanggungjawab sosial yang dianjurkan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan merupakan salah satu program amal bagi mengutip dana dan mengubah stigma masyarakat terhadap realiti sebenar penghidap HIV/AIDS.

Katanya, wanita merupakan golongan paling berisiko menghidap HIV memandangkan kes-kes terbaharu menunjukkan bahawa setiap satu daripada 10 kes baharu sejak sedekad yang lalu adalah daripada kaum wanita.

Sama seperti orang lain yang hidup dengan HIV, tidak adil buat kaum wanita apabila stigma dan diskriminasi masih lagi diguna pakai dalam masyarakat kita sehingga ke hari ini. Keadaan ini menyebabkan mereka terus dipinggir masyarakat dan membuatkan mereka menjauhkan diri daripada menerima rawatan, penjagaan dan sokongan yang sepatutnya mereka perolehi," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi MAF, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, yayasan itu memerlukan dana yang banyak untuk menjayakan misi dalam program membantu pesakit HIV dan AIDS agar mereka dapat terus menjalani kehidupan selain memberi pendidikan kepada umum tentang virus bahaya itu selain memastikan perjalanan program kemanusiaan berkenaan dapat diadakan secara berterusan.

Kami telah mengadakan kempen kutipan dana sejak Januari lalu dan sehingga kini berjaya mengumpul dana keseluruhan sebanyak RM70,000. Usaha kami ini tidak akan berhenti setakat ini kerana kempen ini berterusan sehingga akhir April.

Kami begitu menghargai respon daripada pelbagai pihak seperti kerajaan, masyarakat, komuniti, badan-badan keagamaan dan sektor korporat, dalam meningkatkan akses kepada rawatan ini khasnya untuk manfaat komuniti yang terjejas dan terpinggir disebabkan stigma HIV," katanya.

Yayasan AIDS Malaysia (MAF) telah ditubuhkan pada tahun 1992 untuk mentadbir dan meningkatkan dana untuk menyokong aktiviti-aktiviti dan program-program di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan organisasi rakan kongsi, di bawah naungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

MAF juga membantu mencari penderma dari sektor korporat untuk menyokong projek-projek yang tidak berjaya mendapat pembiayaan daripada kerajaan disebabkan sumber yang ada terhad.

Daripada statistik hasil kaji selidik seluruh dunia, ternyata golongan muda pada usia 15 hingga 24 tahun adalah golongan yang paling terdedah untuk dijangkiti virus pembunuh HIV/ AIDS.

Realiti

Melihat kepada realiti sebenar HIV dalam kalangan remaja yang semakin serius menyebabkan Lau, 24, seorang pelajar dan juga ahli aktif dalam Kelab Belia Riben Merah mencabar dirinya untuk turut serta dalam cabaran maraton ke gurun Sahara.

Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai anak muda Malaysia untuk menyebarkan kesedaran tentang bahayanya HIV/AIDS dan secara tidak langsung menggalakkan rakan-rakan saya untuk menjalani gaya hidup yang sihat serta bebas jangkitan HIV," katanya.

Sememangnya telah diketahui bahawa sebahagian besar jangkitan virus tersebut berlaku melalui hubungan seks dan perkongsian jarum suntikan dadah, aktiviti yang lazimnya terdedah kepada golongan muda, selain jangkitan daripada ibu kepada anak yang dikandung dan pemindahan darah tercemar.

Statistik terkini katanya, menunjukkan keperluan untuk mendidik golongan itu akan kepentingan mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus HIV dan lain-lain jangkitan bawaan hubungan seks.

Apabila ditanya tentang persediaan larian di Gurun Sahara, kedua-duanya telah bersedia untuk melakukannya memandangkan mereka telah menjalani latihan yang agak padat semenjak tahun lepas untuk menguatkan mental dan stamina.

Kami sudah bersedia untuk menghadapi cabaran termasuklah cuaca panas kering dengan suhu panas melampau pada waktu siang manakala malamnya pula amat sejuk serta kemungkinan terjumpa binatang berbisa seperti ular.

Sokongan daripada rakan-rakan dan keluarga termasuklah pihak MAF sendiri banyak membantu kami dalam persediaan ini. Kami berharap dengan usaha yang tidak seberapa ini dapat mengumpul dana bagi membantu penghidap HIV/AIDS dan membuka mata masyarakat di luar sana bahawa kesedaran tentang isu ini amatlah perlu dititik beratkan," ujar mereka.

Kempen kutipan dana yang diadakan sehingga akhir April ini mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan mereka yang ingin menyumbang boleh melayari www.mac.org.my.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat