Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 06 Apr 2014 12:36 PM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI Astaman Abdul Aziz (tengah) melihat replika model pembangunan Kampung Baru pada perasmian Majlis Rasmi Hari Terbuka PITPKB di Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI KUALA LUMPUR 6 April - Semua pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru di sini diberi tempoh selama dua bulan iaitu sehingga akhir Mei ini bagi meneliti dan menilai cadangan Draf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru 2020 (PITPKB). Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung PKB, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang pandangan dan daripada mereka berhubung pembangunan yang akan dijalankan di kawasan itu nanti. "Pemilik dan pewaris tanah boleh datang melihat cadangan draf itu di pejabat PKB pada bila-bila masa sewaktu hari bekerja untuk memberi komen dan idea. "Dengan cara itu, mereka berpeluang mengetahui segala aspek dan corak pembangunan kerana mereka adalah pemegang saham kepada aset-aset yang bakal dibangunkan," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Rasmi Hari Terbuka PITPKB 2020 di Dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, di sini semalam. Yang turut hadir Timbalan Pengerusi PKB, Datuk Seri Matshah Safuan; Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharuddin Abdullah dan Pengarah Urusan AJM Planning And Urban Design Group Sdn. Bhd., Norliza Hashim. Lebih 300 penduduk Kampung Baru menghadiri taklimat khas dan sesi soal jawab mengenai cadangan pembangunan itu. PKB ditubuhkan pada tahun 2011 untuk merancang dan menyelaras pembangunan 121.7 hektar tanah di Kampung Baru. Abdul Aziz berkata, secara amnya, penduduk Kampung Baru dapat menerima cadangan pembangunan itu walaupun ada yang mengambil sikap tunggu dan lihat. "Bagaimanapun, apabila kita memberikan penjelasan, mereka berpuas hati dan sedia bekerjasama untuk membangunkan hartanah masing-masing," katanya. Sementara itu, jelasnya, antara yang bakal menarik perhatian dalam pelan pembangunan itu ialah pembinaan sebuah kolam buatan manusia seluas 6.8 hektar. "Kolam itu bukan sekadar untuk tujuan rekreasi, malah menjadi satu penyelesaian secara tuntas kepada masalah banjir yang sering melanda di Kampung Baru. "Ia bakal menjadi kolam tebatan banjir terbesar di Kuala Lumpur bagi mengawal saliran dari Sungai Klang dan Sungai Gombak setiap kali berlakunya hujan lebat," katanya. |
Siasat dakwaan Selangor jual tanah di Kuala Langat Posted: 06 Apr 2014 12:36 PM PDT KUALA SELANGOR 6 April - UMNO Selangor akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa menjual tanah seluas 474.2 hektar di Kuala Langat kepada sebuah syarikat swasta. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, berdasarkan kronologi penjualan tanah tersebut, beliau melihat kemungkinan wujud unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang boleh dipertikaikan kerana proses tersebut dibuat semasa kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dalam status kerajaan sementara. "Ketika dalam keadaan tersebut, kerajaan negeri hanya boleh menyelesaikan hal pentadbiran. Selain itu, tanah berkenaan dijual dengan harga rendah iaitu RM17 sekaki persegi berbanding harga pasaran RM35 kepada syarikat terbabit. "Kita lihat ini adalah sesuatu yang serius kerana melibatkan harta rakyat dan aset negeri yang jelas merugikan negeri Selangor," katanya kepada pemberita selepas kejohanan balapan dan padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor 2014 di sini, baru-baru ini. Pada April lalu, kerajaan negeri telah menjual tanah paya di Kuala Langat dengan pelan pembangunan kawasan tersebut. Selepas menjual tanah tersebut, syarikat terbabit dikatakan telah menjual kepada pihak lain dengan harga yang yang tinggi. Dalam pada itu, Noh juga mendesak Abdul Khalid supaya menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara berkenaan kerana urusan jualan tersebut dibuat secara tergesa-gesa sebelum berlangsung Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang lalu. Dalam perkembangan lain, Noh turut meminta Abdul Khalid supaya tidak lepas tangan dalam isu Hotel Quality Shah Alam yang akan ditutup pada Jun ini serta memberhentikan sebanyak 105 pekerjanya. Katanya lagi, Abdul Khalid yang sering mencanangkan dirinya sebagai tokoh korporat sebenarnya hanya menjual aset negeri namun tidak membantu untuk mengembangkannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |