Utusan Online - Luar Negara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Luar Negara |
Abdel Fattah pemusnah demokrasi Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT KAHERAH 1 April - Pergerakan Islam Mesir, Ikhwanul Muslimin memberi amaran bahawa kemenangan bekas ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dalam pilihan raya Presiden Mei ini, akan menjerumuskan negara ini di bawah pemerintahan tentera, sekali gus memusnahkan demokrasi yang baru bertapak selama setahun sejak penggulingan bekas Presiden, Hosni Mubarak pada 2011. Dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman web www.ikhwanweb.com, Ikhwanul Muslimin berkata, hasrat Abdel Fattah bertanding dalam pilihan raya tersebut secara jelas membuktikan bahawa penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu, merupakan satu rampasan kuasa oleh pihak tentera. Malah, tindakan bekas ketua tentera berusia 59 tahun itu menggunakan kesemua saluran media milik kerajaan untuk mengumumkan hasratnya bertanding sebagai Presiden pada 26 Mac lalu, menunjukkan beliau menggunakan harta kerajaan demi kepentingan diri. "Rakyat Mesir telah lama berjuang untuk mengecapi sistem pemerintahan demokrasi, sekali gus menamatkan pemerintahan tentera yang bersifat kuku besi selama 40 tahun. "Hasrat rakyat untuk merasai pemerintahan demokrasi hanya bertahan selama setahun sehingga Abdel Fattah menghancurkan impian mereka dengan menggulingkan Mursi dan kini mahu bertanding sebagai Presiden," jelas kenyataan itu. Dalam pada itu, pergerakan tersebut melabelkan Abdel Fattah sebagai seorang pembunuh yang bertanggungjawab ke atas kematian beribu-ribu orang awam yang tidak bersalah dan penipu kerana sering mengkhianati sumpah atau janji yang dilaungkan sebelum ini bahawa beliau atau institusi tentera tidak berniat memerintah Mesir. Jelasnya, Abdel Fattah juga disifatkan sebagai seorang pensabotaj keadilan Mesir dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong Ikhwanul Muslimin dengan hanya dua kali sesi perbicaraan dalam tempoh 20 minit. "Sifat diktator dalam diri Abdel Fattah terserlah apabila mendalangi penahanan dan penyeksaan lebih 23,000 tahanan Mesir, termasuk kanak-kanak dan wanita kerana mengadakan tunjuk perasaan secara aman. "Beliau juga merupakan seorang pengecut kerana menggunakan kekuatan tentera termasuk kereta kebal dan pesawat tempur untuk menggempur kampung dan pekan di negara ini, sedangkan beliau sendiri tidak pernah berperang menentang musuh Mesir," kata kenyataan tersebut. |
Tiga maut serangan bermotifkan politik di Aceh Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT Seorang pemuda dikenali sebagai Fakhrurazi yang mengalami kecederaan parah akibat insiden tembakan rambang, dirawat di sebuah hospital di Banda Aceh, Indonesia, semalam. - AFP BANDA ACEH 1 April - Seramai tiga orang awam termasuk seorang bayi maut apabila dua penunggang motosikal yang bersenjatakan pistol melepaskan tembakan rambang di tengah-tengah bandar Aceh, Indonesia, kata anggota polis semalam. Kejadian itu merupakan keganasan terbaharu berlaku di barat Indonesia menjelang Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2014 minggu depan. Kesemua mangsa terkorban malam semalam apabila penyerang melepaskan tembakan ke arah sebuah van mini yang dihiasi beberapa gambar calon pilihan raya dari Parti Aceh, yang menguasai politik tempatan. Polis berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti penyerang. Keganasan yang berlaku menunjukkan bahawa tahap keselamatan di Aceh, yang terletak utara Sumatera itu masih lemah. "Suspek yang bersenjata dipercayai mengekori van mini tersebut yang dinaiki 12 orang penumpang bersama dua bayi. Penyerang melepaskan tembakan dari belakang dan mengenai empat orang," kata Ketua Polis Daerah Bireuen, Ali Khadafi. Ali berkata, pemandu van mini itu bergegas membawa para penumpangnya ke sebuah pusat rawatan, namun mangsa terdiri daripada bayi berusia 18 bulan, lelaki dan wanita disahkan meninggal dunia sebaik-baik tiba bagi mendapatkan rawatan. Tambahnya, seorang lelaki dikenali sebagai Fakhrurazi, 35, masih berada dalam keadaan kritikal. Sejak kempen pilihan raya dilaksanakan, beberapa siri keganasan tercetus di Aceh termasuk insiden tembakan dan serangan bom tangan. Sebelum ini, seorang calon Parlimen daripada Parti Kebangsaan Aceh (PNA), Faisal ditembak mati oleh sekumpulan penyerang tidak dikenali ketika sedang memandu pada Ahad lalu. Portal berita Jakarta Post melaporkan, Ketua Polis Negara, Jeneral Sutarman mengesahkan kejadian tembakan di Aceh itu bermotifkan politik. Kejadian itu merupakan yang kedua di Aceh dalam tempoh tiga minggu, selepas dua lelaki bertopeng menyerang bilik gerakan calon Parti Demokrat Nasional (NASDEM), Zubir HT, serta serangan ke atas dua penyokong calon tersebut pada 16 Februari lalu. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |