Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Polisas, Here Solution bekerjasama
- Belia, pelajar sertai kursus hospitaliti
- Penuntut UiTM dekati kehidupan Orang Asli
Polisas, Here Solution bekerjasama Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT Oleh Shahrinnahar Latib KUANTAN 1 April - Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) menjalinkan kerjasama dengan Here Solution (M) Sdn. Bhd., bagi memantapkan perkongsian ilmu serta kepakaran demi pembangunan proses pengajaran dan pembelajaran. Jaringan kolaborasi ini termeterai melalui Program Pembangunan Data Spatial menggunakan perisian Map Creator dan ditandatangani pada 12 Mac lalu bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Kejuruteraan Awam, Polisas. Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam Polisas, Radziah Hashim, kerjasama itu sangat bermanfaat khususnya kepada penuntut dan pensyarah yang membolehkan mereka mendapat perkongsian kepakaran daripada pekerja terlatih Here Solution. "Program kolaborasi pengambilan Data Spatial ini dilaksanakan sekitar September tahun lalu sebagai prafasa dan bertujuan memberi peluang kepada Polisas untuk berkongsi data berkenaan. "Melalui ini juga, para penuntut dan pensyarah dapat mempelajari aplikasi Map Creator iaitu sistem berasaskan web dan diaplikasikan dalam sistem pengajaran," katanya. Tambah beliau, kerjasama itu turut membuka ruang dan peluang kepada penuntut serta pensyarah menjalani latihan industri. "Seramai 80 penuntut Diploma Ukur Tanah (Geomatik) terlibat dalam kerjasama ini yang dilaksanakan melalui bengkel pengambilan dan pengemaskinian Data Spatial menggunakan perisian Map Creator yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. "Kolaborasi ini merupakan satu nilai tambah kepada penuntut berkenaan khasnya dalam menghasilkan yang lebih bagus sejajar dengan visi utama Polisas iaitu sebagai penjana utama modal insan inovatif melalui pendidikan," katanya. |
Belia, pelajar sertai kursus hospitaliti Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT PARA pelajar sekolah menengah mempelajari simpulan dan ikatan yang merupakan antara pengisian ikhtiar hidup dalam kursus pelancongan anjuran Kolej Komuniti Lipis di Kuala Kenong, Kuala Lipis, baru-baru ini. KUALA LIPIS 1 April - Bagi merealisasikan usahawan berjaya dan mengisi kerjaya profesional dalam bidang pelancongan, Kolej Komuniti Lipis (KKL) melaksanakan Kursus Pengurusan Hospitaliti dan Pemanduan Pelancong kepada pelajar sekolah serta belia di sekitar daerah ini baru-baru ini. Kursus yang diadakan selama dua hari di Taman Rimba Kuala Kenong di sini memberi fokus terhadap modul latihan berasaskan pelancongan termasuk pemanduan arah kepada peserta menerusi bimbingan pensyarah KKL serta pengusaha pelancongan bandar ini. Pengarah KKL, Anuar Ralib berkata, kursus jangka pendek itu merupakan pendedahan awal mengenai bidang berkenaan yang juga ditawarkan di peringkat diploma dan ijazah di kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain. "Program ini bertujuan mendekatkan mereka supaya cintakan alam sekitar dan menggunakan kemudahan berkenaan untuk tujuan pembangunan sektor pelancongan. "Latihan singkat diberikan berupa pengenalan lokasi pelancongan, pengurusan semasa rekreasi, perkhemahan, ikhtiar hidup, keselamatan, percambahan fikiran mengenai pelancongan dan tugas pemandu pelancong," katanya di sini . Anuar berkata, pelaksanaan kursus ini diberikan secara spesifik kepada belia dan pengusaha mengenai pengurusan hospitaliti serta pemanduan pelancong bagi memudahkan mereka memulakan bidang keusahawanan dalam bidang ini. "Kita juga turun padang ke kampung dan penempatan Orang Asli untuk mempromosikan kursus tersebut sekali gus menarik minat belia, suri rumah dan pengusaha menimba kemahiran berkenaan di kolej ini," katanya. |
Penuntut UiTM dekati kehidupan Orang Asli Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT PENUNTUT UiTM cawangan Pahang bergotong-royong membersihkan salah satu bilik darjah dalam program khidmat masyarakat di Perkampungan Orang Asli Bukit Gemuruh, Bera, baru-baru ini. KUALA KRAU 1 April - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini menganjurkan program khidmat masyarakat di Perkampungan Orang Asli Bukit Gemuruh, Bera baru-baru ini yang bertemakan Riben Merah: Sebarkan Cinta. Pengarah Program, Siti Aishah Mohd. Alip berkata, program itu dianjurkan penuntut Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (DPTP), Pusat Pengurusan Gunaan (PPG) dan Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP). Menurutnya, program itu merupakan salah satu tugasan daripada subjek Pengurusan Majlis bagi membantu golongan yang memerlukan. "Seramai 18 penuntut semester empat DPTP dan sukarelawan daripada penuntut semester dua program itu turut terlibat dalam menjayakan aktiviti berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia. Program itu dirasmikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Pahang, Prof. Madya Dr. Halil Paino dan dihadiri penasihat program berkenaan, Noorsuraya Mohd. Mokhtar. Antara aktiviti yang diadakan adalah pertandingan memasak, sukaneka, peragaan dan rumah tercantik. "Selain itu, para penuntut dapat mengamalkan cara hidup berintegriti dengan lebih baik serta membentuk akhlak mereka menjadi seorang mahasiswa yang berguna kepada bangsa dan negara," katanya. Katanya, aktiviti yang diadakan pertandingan Battlechef (pertandingan memasak), pertandingan Hunger Game (sukaneka), pertandingan Revolution Night (pertandingan peragaan) dan Pertandingan Love Bridge (Pertandingan rumah tercantik). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |