Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Jerantut hadapi pencemaran
- Penternak ikan air tawar dakwa alami kerugian
- Pusat Biotek Herba RM80j terbiar
Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT Oleh AMIR SARIFUDIN air berwarna kemerah-merahan dipercayai akibat pencemaran ekoran aktiviti perlombongan tanpa kawalan menyebabkan banyak pengusaha ternakan ikan air tawar terjejas pendapatan. JERANTUT 16 April - Daerah ini sejak sekian lama memang terkenal sebagai destinasi pelancongan menarik yang kerap menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Terkenal dengan Bandar Taman Negara selain Kuala Tahan itu sendiri menjadi tumpuan ramai, daerah Jerantut juga dilihat menjadi destinasi yang memberi pulangan lumayan kepada penduduk, kerajaan negeri dan juga negara. Selain lokasi-lokasi menarik seperti air terjun, gua-gua, fauna dan flora, perkampungan Orang Asli, santuari kelah dan banyak lagi, destinasi pelancongan di daerah ini secara tidak langsung memberi pulangan lumayan kepada pendapatan penduduk. Ini termasuklah perkhidmatan penginapan, pengangkutan dan sebagainya. Pada masa sama, daerah ini juga terkenal dengan sumber ikan air tawar seperti ikan patin, kelah, tilapia dan beberapa spesies lagi. Namun, semua keadaan itu kini didakwa membimbangkan penduduk dan pengusaha ternakan ikan air tawar berikutan pencemaran sungai. Ramai mendakwa pencemaran sungai itu berpunca daripada aktiviti perlombongan yang tidak terkawal hingga menyebabkan air sungai termasuk Sungai Pahang tercemar dan dipenuhi logam. Ini menyebabkan ikan-ikan yang diternak dalam sangkar ada yang mati dan tidak sesuai untuk dimakan kerana dikhuatiri akan memudaratkan pengguna. Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati air sungai yang tercemar turut menyebabkan kolam-kolam ikan yang diusahakan penduduk turut terjejas teruk. Kalangan penduduk mendakwa keadaan itu berlaku sejak adanya aktiviti perlombongan yang tidak terkawal. Malah, pencemaran yang berlaku juga turut dikaitkan dengan berkurangannya kehadiran pelancong ke daerah Jerantut yang selama ini melibat factor alam sekitar menjadi daya tarikan pelancongan. Diangggarkan pada tahun lalu, jumlah pelancongan telah berkurangan kira-kira 10,000 orang berbanding tahun 2012. Kini timbul persoalan, jika keadaan ini berterusan, apakah jumlah pelancong pada tahun 2014 akan turut menerima tempias berikutan pencemaran yang berlaku? Pada masa sama, jika benar dakwaan mengenai pencemaran air sungai ini yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan, apakah nasib dan masa depan penduduk serta pengusaha ikan air tawar? Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris ketika ditemui mengakui menerima beberapa aduan daripada penduduk termasuk para pengusaha ikan air tawar. Menurutnya, penyelesaian kepada masalah pencemaran sungai itu hendak ditangani secara bersepadu yang melibatkan semua agensi penguat kuasa. Kita sedar keadaan ini (pencemaran) hingga menyebabkan penduduk gelisah manakala pengusaha ikan air tawar pula terpaksa menanggung kerugian besar dan ada yang gulung tikar. Sehubungan itu, agensi penguat kuasa berkaitan hendaklah bertindak secara bersepadu iaitu melibatkan tindakan terhadap pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan tanpa kawalan serta penyelesaian terhadap pencemaran air sungai yang berlaku, katanya. Ahmad Nazlan menambah, beliau juga sedang mengumpul pelbagai maklumat berkaitan dengan situasi yang berlaku di daerah berkenaan untuk dibawa ke Sidang Dewan Rakyat. Berikutan itu, juga, Ahmad Nazlan telah melancarkan pasukan pemantau yang dikenali sebagai Rakan Alam Sekitar baru-baru ini. Pasukan yang diketuai Jamlus Mat Zium itu antara lain berperanan meninjau seluruh pelosok deaerah ini termasuk di kawasan-kawasan yang didakwa berlaku pencemaran air sungai sertai lain-lain bentuk pencemaran. Dari tinjauan tersebut, pasukan berkenaan akan mengumpulkan maklumat termasuk aduan daripada penduduk. Segala maklumat itu akan kita ketengahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan selain dibawa ke Sidang Dewan Rakyat, katanya. Menjawab pertanyaan, Ahmad Nazlan berkata, tindakan daripada agensi penguat kuasa terbabit perlulah dilakukan secara bersepadu demi kepentingan penduduk. Jelasnya, masalah pencemaran itu tidak sepatutnya dibiarkan dengan ada agensi terbabit mendakwa apa yang berlaku bukan di bawah bidang kuasa mereka. Sebab itu tindakan penyelesaian hendaklah secara bersepadu yang melibatkan agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain terutama di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Jika ini dapat dilakukan, saya yakin masalah dihadapi penduduk daerah ini dapat segera diselesaikan, katanya. |
Penternak ikan air tawar dakwa alami kerugian Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT JERANTUT 16 April - Pencemaran air sungai yang berlaku dan didakwa akibat aktiviti perlombongan tanpa kawalan di daerah ini, menyebabkan beberapa pengusaha ikan air tawar gelisah. Ini disebabkan, mereka mengalami kerugian berikutan ikan-ikan ternakan banyak yang mati. Pengusaha mendakwa, pencemaran air sungai yang berlaku menyebabkan kandungan logam dalam air juga bertambah dan mengakibatkan ikan ternakan mati. Seorang penternak ikan air tawar di Kampung Binjai di sini, Mohamad Ali Mat Sidek, 54, memberitahu, sebelum ini dia mengusahakan empat kolam ikan dan pendapatan diperolehi agak lumayan. Menurutnya, keadaan itu berubaha apabila air yang masuk ke kolam ikan didapati mula tercemar dan berwarna kemerah-merahan. Akibatnya, ada kolam ikan yang diusahakan dipenuhi lumpur yang dibawa oleh air sungai. Saya dan beberapa pengusaha ikan air tawar percaya keadaan ini berlaku disebabkan pencemaran air sungai ekoran aktiviti perlombongan tanpa kawalan, katanya. Jelas beliau, pencemaran air sungai itu menyebabkan salah sebuah kolam ikannya dipenuhi lumpur setebal tiga kaki. Kolam terbabit yang sebelum ini terdapat kira-kira 6,000 ekor ikan tilapia tidak dapat mengeluarkan hasil. Lumpur berkenaan menghalang ikan-ikan daripada naik ke permukaan air dan seterusnya mati, katanya. Seorang lagi pengusaha ikan air tawar di Kampung Batu Embun di sini, Abdullah Derani, 60, mendakwa dalam tahun ini sahaja kira-kira 30,000 ekor ikan yang diternak dalam sangkar telah mati akibat pencemaran air Sungai Pahang. Menurutnya, keadaan itu sebelum ini tidak pernah berlaku, namun aktiviti perlombongan tanpa kawalan dipercayai menjadi punca utama. Tambahnya, beliau tidak dapat menganggarkan berapa lama lagi dapat bertahan untuk mengusahakan ternakan ikan air tawar itu. Jika masalah pencemaran dan aktiviti perlombongan ini tidak dapat ditangani, saya percayai ramai lagi pengusaha ternakan ikan air tawar akan terjejas. Saya merayu, pihak berwajib supaya bertindak dan membela nasib penduduk, katanya. |
Pusat Biotek Herba RM80j terbiar Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD RAUB 16 April - Majlis Pemba-ngunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) diminta menyelenggarakan semula operasi Pusat Biotek Herba di Taman Teknologi Malaysia (TPM) Hulu Sungai di sini supaya peranannya lebih relevan dalam menghasilkan herba untuk produk antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pusat bernilai RM80 juta itu terbiar begitu sahaja dan diibaratkan seperti projek gajah putih. Menurut beliau, ECERDC sepatutnya bertanggungjawab untuk pengoperasian pusat itu selepas dilancarkan dan sehingga kini kawasan berkenaan terbiar tanpa ada satu pun produk herba malahan merugikan pelaburan yang banyak untuk projek tersebut. Tambahnya, penubuhan pusat itu boleh memberi impak tranformasi dalam bidang pembangunan dan teknologi dalam penghasilan produk herba bagi menambah nilai pasaran setanding dengan pelbagai produk lain di peringkat antarabangsa. Kita kecewa kerana sehingga ini pusat berkenaan antara yang kedua terbesar di negara ini terbiar tanpa penyelenggaraan rapi untuk produk herba selain peluang pekerjaan yang boleh diceburi penduduk setempat termasuk menyemarakkan penyelidikan per-ubatan berasaskan tumbuhan di peringkat antarabangsa. Kerajaan negeri berharap ECERDC yang dipertanggungjawabkan melaksanakan segera operasi pusat itu dan tidak mahu penduduk daerah ini tertanya-tanya mengenai status projek ini selain boleh memberi peluang pekerjaan dan pembangunan keusahawanan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang tunai dan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anjuran Juara Empower ECER Raub di sini kelmarin. Menurut Shahiruddin, pusat itu dibina bersebelahan dengan hutan hujan tropika Banjaran Titiwangsa bertujuan menjalankan kegiatan penerokaan bioteknologi tumbuhan daripada sumber asli di kawasan berkenaan tanpa memusnahkan ekosistem sedia ada. Katanya, pusat itu turut dilengkapi dengan peralatan dan mesin untuk memproses hasil tumbuhan termasuk bahan mentah, mesin mengekstrak dengan kapasiti 1,500 liter, mesin mengkapsul secara automatik dan mesin uncang. Projek ini memfokuskan tentang penghasilan produk herba, secara tidak langsung membawa Malaysia ke satu dimensi penjanaan kekayaan yang tidak sepenuhnya bergantung kepada sumber yang kekal. Ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri menerusi pusat ini menyediakan prasarana bagi pemperosesan herba untuk tujuan komersial serta membantu usahawan bioteknologi melalui khidmat saintifik dan nasihat," katanya. Katanya, pengoperasian semula pusat itu oleh ECERDC memang tepat dan selari dengan misi agensi berkenaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dalam sektor pekerjaan dan keusahawanan selari dengan manifestasi pembangunan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |