Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Tian Chua terus hasut rakyat jatuhkan PM Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT Tian Chua KUALA LUMPUR 20 April - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua sekali lagi mengajak rakyat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan nanti. Biarpun sedang disiasat polis berhubung kes menghasut rakyat untuk menjatuhkan Perdana Menteri di jalanan menerusi akaun Twitternya sebelum ini, namun Tian Chua seolah-olah terus mencabar kewibawaan undang-undang negara. "Ini janji saya. Kalau Najib berani penjarakan Anwar, kita akan bangkit jatuhkan Najib. "Kita pernah menunjukkan rekod sebelum ini. Saya sendiri pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting selama dua tahun, pernah kena gas pemedih mata tetapi semua ini tidak memberi kesan," katanya dalam ceramah di Pantai Dalam di sini malam ini. Sebelum ini, beberapa pihak telah membuat laporan polis berhubung kes Tian Chua dalam akaun Twitternya iaitu @tianchua pada 7 Mac lalu mendakwa hukuman terhadap Anwar telah dijatuhkan sendiri oleh Najib. Malah, Ahli Parlimen itu juga dengan sengaja menghasut rakyat untuk menjatuhkan Najib dalam tempoh lima bulan dengan mendakwa kononnya Perdana Menteri sedang mengisytiharkan perang terhadap pakatan pembangkang. Dalam pada itu, Tian Chua juga dengan angkuh mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga meletakkan jawatan kerana desakan dan tindakan bantahan rakyat melalui reformasi. "Kita kena tunjukkan kuasa rakyat seperti yang pernah ditunjukkan sebelum ini kepada Najib pula. Jangan ingat dia akan terus berkuasa. Kita akan bangkit menunjukkan kuasa kita kepada mereka nanti," katanya. |
UMNO Tanah Merah tumpu pembangunan pendidikan Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT Ikmal Hisham Abdul Aziz (duduk, dua dari kanan) memberikan penerangan kepada ibu bapa pada Majlis Dialog Bersama Ibu Bapa dan Pelajar Lepasan SPM dan STPM 2013 di Tanah Merah, Kelantan, semalam. TANAH MERAH 20 April - UMNO Bahagian Tanah Merah akan terus memberi perhatian ke arah pembangunan pendidikan dalam kawasan Parlimen tersebut. Ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu dengan memberikan yang terbaik kepada setiap pelajar termasuk sering mengadakan sesi perjumpaan bagi mendalami segala permasalahan mereka. "Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) khususnya, kita akan mengadakan sesi taklimat sehingga keputusan mereka diketahui. "Melalui sesi taklimat ini juga, kita akan membantu mereka dalam proses rayuan memasuki mana-mana institusi pengajian memandangkan Tanah Merah adalah kawasan luar bandar yang perlu diberikan perhatian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Bersama Ibu Bapa dan Pelajar Lepasan SPM dan STPM 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ipoh, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Hanisathirah Mohd. Ghari. Seramai 1,000 pelajar serta ibu bapa melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Panau, Kemahang dan Gual Ipoh hadir mendengar taklimat dan penerangan pada majlis tersebut. Dalam pada itu, Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, pihaknya akan berperanan sebagai rujukan serta pembimbing kepada pelajar untuk mencari institusi pengajian yang sesuai dengan kelayakan akademik masing-masing. "Kerajaan sebenarnya telah menyediakan banyak institusi kemahiran namun masih ada segelintir daripada kita yang kurang tahu mengenai hal tersebut sehingga menyebabkan mereka terlepas peluang. "Sehubungan itu perjumpaan serta sesi dialog dibuat bagi membantu anak-anak Tanah Merah untuk memilih peluang menyambung pengajian di peringkat sijil, matrikulasi, diploma dan ijazah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |