Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT Oleh ABDUL YAZID ALIAS DARI KIRI: ABDUL KHALID IBRAHIM, JEFF OOI SHAH ALAM 25 April - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menempelak Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dengan menyifatkan pemimpin kanan DAP itu tidak mempunyai hak untuk memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. Sebaliknya Abdul Khalid yang mula memegang jawatan tersebut sejak tahun 2008 menegaskan, beliau tidak akan melepaskan jawatan itu meskipun wujud desakan daripada pihak yang mahukannya berbuat demikian. "Saya ingat dia tidak ada kuasa meminta saya meletak jawatan Menteri Besar," katanya dengan ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat peringkat daerah Klang di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini hari ini. Jeff Ooi menerusi laman Facebooknya dilaporkan secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan kepada Abdul Khalid dan menggesa beliau dipecat sebagai Menteri Besar kerana didakwa gagal menangani isu air di negeri ini. Pemimpin DAP itu dikatakan berang dengan pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor di bawah Abdul Khalid yang didakwa gagal menguruskan isu catuan bekalan air di negeri ini yang disifatkannya tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN). Selain Jeff Ooi, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menerusi sebuah portal berita, www.astroawani.com hari ini dilaporkan turut mempersoalkan kredibiliti Abdul Khalid dan bersedia untuk menamakan calon yang layak menggantikan Menteri Besar Selangor. Dalam pada itu, Abdul Khalid enggan mengaitkan kenyataan Jeff Ooi dan Zuraida itu mempunyai kaitan dengan pemilihan PKR yang beliau akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden menentang penyandang jawatan tersebut, Azmin Ali serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. "Saya tidak mahu kata perkara itu ada hubung kait. Kalau saya kata begitu, nanti saya pula dikatakan membuat fitnah. "Mengenai kenyataan Zuraida, saya pun ada nama calon untuk menggantikan beliau sebagai Ketua Wanita PKR," katanya. |
Pemimpin PKR Selangor 'dayus tidak pertahan MB Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT SHAH ALAM 25 April - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor disifatkan seolah-olah bersikap dayus kerana bersikap berdiam diri apabila seorang pemimpin kanan DAP secara terbuka mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan. Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Wan Indra Putra Ahmad berkata, tindakan pemimpin kanan DAP terbabit, Jeff Ooi mengkritik pentadbiran Abdul Khalid itu sepatutnya dipandang serius kerana bukan sahaja menjurus kepada Menteri Besar Selangor itu tetapi melibatkan PKR di Selangor secara keseluruhannya. "Bagaimana pemimpin PKR Selangor sanggup berdiam diri apabila Menteri Besar mereka dikritik seorang pemimpin yang bukan mewakili rakyat di Selangor tetapi di Pulau Pinang. Saya difahamkan Jeff Ooi turut mengkritik kerajaan negeri yang gagal menguruskan isu catuan bekalan air di Selangor. "Apakah pemimpin PKR di Selangor tidak berani untuk mempertahankan seorang Menteri Besar dalam kalangan mereka sendiri. Ini yang perlu dijelaskan oleh para pemimpin PKR di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Jeff Ooi yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong menerusi laman Facebooknya dilaporkan secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid dan menggesa beliau dipecat sebagai Menteri Besar Selangor kerana didakwa gagal menangani isu air di negeri ini. Wan Indra yang merupakan Pesuruhjaya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Selangor dan Wilayah Persekutuan itu tidak menolak kemungkinan tindakan Jeff Ooi seolah-olah mempunyai kaitan dengan politik khususnya melibatkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan populariti Abdul Khalid dalam PKR. Ini kerana berdasarkan pemerhatian beliau, Abdul Khalid dilihat berada dalam kedudukan selesa lebih-lebih lagi pada pemilihan parti itu pada Mei ini berbanding pencabarnya yang turut bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. "Justeru Jeff Ooi mungkin berperanan sebagai kaki pukul oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Abdul Khalid. Dari segi logiknya, wajarkah seorang ahli Parlimen dari Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mencampuri urusan pentadbiran di Selangor. "Mungkin juga kerana Abdul Khalid sebelum ini bertindak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan Kerajaan Pusat sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak senang pemimpin dalam pakatan pembangkang. Mereka mungkin menganggap Abdul Khalid seorang Menteri Besar yang mesra dengan Kerajaan Pusat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |