{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Mahkamah Chicago tolak

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh Salleh Buang

Monica Kelly dari firma guaman Amerika Syarikat, Ribbeck Law Chartered International menghadiri sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu, bagi mengumumkan yang firma itu telah memulakan prosiding undang-undang bernilai berjuta-juta dolar terhadap syarikat Boeing dan Malaysia Airlines (MAS) berhubung kes kehilangan pesawat MH370. - AFP

BERITA terkini dari Chicago menyatakan prosiding mahkamah yang difailkan oleh firma guaman Ribbeck Law Chartered di bandar raya itu minggu lalu berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah pra-matang dan menyalahi peraturan.

Hakim Kathy Flanagan memutuskan pada Isnin lalu (31 Mac 2014) bahawa undang-undang hanya membenarkan kes seperti itu difailkan di mahkamah apabila identiti bakal defendan sudah pun dikenal pasti.

Hakim itu selanjutnya memarahi firma itu kerana memfailkan kesnya terlalu awal sebelum ada apa-apa keterangan kukuh dikumpulkan. Walaupun kapal terbang malang itu hilang pada 8 Mac lalu, hakikatnya sehingga kini usaha mencari dan menyelamatkan pesawat dan penumpang masih lagi belum menunjukkan apa-apa hasil.

Keputusan hakim ini disokong pelbagai pihak dalam kalangan pengamal undang-undang di bandar raya itu.

Robert Clifford, seorang peguam yang punyai pengalaman luas selama 30 tahun mewakili ahli keluarga mangsa nahas kapalterbang, menganggap perbuatan firma Ribbeck Law Chartered itu sebagai satu publicity stunt untuk mendapatkan manfaat bagi firma itu sahaja.

"Perbuatan seperti ini membuat kita semua (pengamal undang-undang) nampak buruk sekali di mata rakyat," tambah Clifford lagi.

Menurut Clifford, firma Ribbeck Law telah melakukan perkara yang sama pada tahun lalu selepas nahas pesawat Penerbangan 214 di San Francisco. Dalam kes itu, mahkamah telah juga menolak kes yang difailkan itu sebagai pra-matang.

Pakar litigasi penerbangan sependapat dengan Clifford. Walaupun tindakan memfailkan kes di mahkamah dengan maksud memelihara keterangan yang berkaitan itu adalah satu langkah yang amat penting, perbuatan memfailkan kes sebelum pesawat yang hilang itu ditemui adalah jumping the gun dan tidak wajar sama sekali.

Prof. Bruce Ottley dari De Paul University menyatakan bahawa tindakan memfailkan kes di peringkat awal memang menarik perhatian semua pihak. "Tetapi bila anda failkan kes anda sebelum ada kepastian penumpang kapal terbang itu telah meninggal dunia, itu adalah terlalu awal sekali".

AMARAN DIKENAKAN SEKATAN

Hakim Flanagan turut menyatakan dalam penghakiman empat halamannya bahawa firma Ribbeck telah memfailkan petisyen yang hampir serupa pada tahun lalu selepas peristiwa nahas kapal terbang di San Francisco dan Laos. Dalam semua kes itu, dia (Hakim Flanagan) telah menolaknya atas alasan yang sama - iaitu kes difailkan terlalu awal dan belum matang.

Kata Hakim Flanagan lagi, walaupun firma berkenaan telah diperintahkan jangan mengulangi perbuatan silam mereka, firma berkenaan masih degil melakukannya lagi dalam kes ini (petisyen berhubung penerbangan MH370), walaupun ia tahu belum ada asas untuk berbuat demikian.

Justeru, Hakim Flanagan memberi amaran kepada firma itu sekiranya ia meneruskan juga memfailkan kes sedemikian pada masa depan, mahkamah akan (impose sanctions) mengenakan hukuman terhadap firma tersebut.

PETISYEN PENZAHIRAN

Dalam dua kes yang difailkan oleh firma Ribbeck Law Chartered minggu lalu (disebutkan sebagai petisyen penzahiran) dua orang plaintif yang diwakili firma itu memohon mahkamah memerintahkan syarikat Boeing dan MAS menzahirkan beberapa perkara yang didakwa ada kaitannya dengan kehilangan pesawat MAS yang malang itu.

Perkembangan berikutnya menunjukkan bahawa salah seorang plaintif, bernama Januari Siregar, yang disebutkan sebagai bapa kandung penumpang Firman Chandra Siregar (24 tahun) yang hilang bersama pesawat MAS itu, ialah sebenarnya bapa saudara dan hubungannya dengan ahli keluarga lain pun tidak begitu mesra atau rapat. Seorang jurucakap bapa sebenar Firman Chandra memberitahu akhbar Chicago Tribune bahawa firma Ribbeck Law tidak diberi apa-apa kebenaran atau izin memfailkan kes bagi pihak keluarga mereka di Chicago.

Pada minggu lalu, seperti semua rakyat Malaysia sudah sedia maklum, sepasukan peguam dari firma Ribbeck Law, diketuai Monica Kelly, sudah pun mendarat di lapangan terbang KLIA dan sejurus selepas itu telah membuat sidang akhbar menawarkan khidmat dan kepakaran firma itu kepada ahli keluarga penumpang yang hilang dalam pesawat MAS pada 8 Mac lalu.

Selesai bercakap dengan wakil media di Kuala Lumpur, mereka terus bergegas ke Beijing, pastinya dengan maksud mencari pelanggan dalam kalangan ahli keluarga penumpang China yang hilang bersama pesawat malang itu.

DAKWAAN MONICA KELLY

Semasa bercakap kepada pengamal media di Kuala Lumpur minggu lalu, Monica Kelly menyatakan bahawa sebagai peguam plaintif, mereka telah memohon dibekalkan dokumen berhubung reka bentuk dan kecacatan mekanikal serta tindakan yang diambil oleh syarikat Boeing dan MAS (defendan) yang mungkin menyebabkan nahas itu berlaku.

"Kita percaya kedua-dua defendan bertanggungjawab atas nahas MH370," katanya lagi.

Monica menjelaskan bahawa matlamat petisyen itu adalah meminta mahkamah memerintahkan Boeing menzahirkan identiti pembuat komponen kapal terbang malang itu, termasuklah komponen elektrik dan pendawaian, bateri, bekalan oksigen, dan sistem penggera api. Permohonan itu juga mahu dizahirkan identiti syarikat atau individu yang membuat pemeriksaan terakhir badan kapal terbang (fuselage) dan siapakah yang menjalankan penyenggaraan.

Petisyen itu juga meminta mahkamah memerintahkan MAS memberi maklumat sepenuhnya mengenai latihan yang diberi kepada anak kapal untuk menangani insiden nahas, amalan dan latihan keselamatan, serta penilaian anak kapal.

"Kita mesti cari kepastian apa yang menyebabkan nahas itu dan selanjutnya mendesak agar apa sahaja masalah yang ada kaitan dengan reka bentuk dan pembuatan pesawat itu segera diatasi agar nahas yang serupa tidak berlaku lagi di masa depan," tambah Monica.

Monica juga memaklumkan wartawan bahawa firmanya akan menamakan beberapa defendan lain dalam masa terdekat, termasuklah pereka (designers) dan pembuat bahagian-bahagian kapal terbang yang berkaitan.

Akhbar South China Morning Post minggu lalu ada memetik kata-kata Monica Kelly setelah dia selesai ditemubual warga media di negara itu. Kata peguam dari Chicago itu - "Our theory of the case is that there was a failure of the equipment in the cockpit that may have caused a fire that rendered the crew unconscious, or perhaps because of the defects in the fuselage, which had been reported before, there was some loss in the cabin pressure that also made the pilot and co-pilot unconscious."

Lalu Monica Kelly membuat kesimpulan - "That plane was actually a ghost plane for several hours until it ran out of fuel."

Kini setelah dua kesnya yang difailkan di mahkamah ditolak Hakim Flanagan, manakala dia sendiri telah ditegur oleh mahkamah, apakah Monica Kelly akan terus mempromosikan teorinya tanpa mengambil kira perasaan ahli keluarga penumpang pesawat malang MH370 di saat-saat begini? Sama-samalah kita tunggu.

Bukan sebarang portal aduan

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

PENGERUSI Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous menunjukkan portal Aduan ForTheRakyat yang boleh dilayari melalui web dan peranti mudah alih di Ibu Pejabat Biro itu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

EFEKTIF dan interaktif.

Agak teruja penulis apabila melayari portal aduan ForTheRakyat hasil inisiatif Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang beroperasi sejak 3 Mac lalu.

Bukan sengaja mahu mengangkatnya tetapi inilah cara yang paling tepat untuk mewujudkan situasi menang-menang melibatkan gandingan kerjasama sayap kanan parti pemerintah dan agensi-agensi kerajaan dalam kejayaan menyelesaikan isu-isu rakyat.

Satu ciri istimewa portal aduan ini adalah ia membolehkan orang ramai termasuk Gen Y memperoleh jawapan atau penyelesaian sesuatu masalah terus daripada pihak berkuasa atau pihak berkuasa tempatan. Tiada kerenah birokrasi, tiada hanky-panky.

Antara aduan yang sempat penulis titipkan dalam ruangan ini berkisar rintihan seorang lelaki berusia 40-an yang kepingin mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Kehidupannya daif sehinggakan terpaksa membawa isteri dan anak tinggal dalam sebuah kereta yang diletakkan di pinggir bandar.

Yang menariknya dalam kotak jawapan pada aduan berkenaan jika anda melayari portal ini adalah tertera kesanggupan pihak Biro Aduan Komuniti menemukan pengadu tadi dengan pegawai agensi yang bertanggungjawab dalam isu tersebut. Ini termasuklah menyertakan sekali nama pegawai dan nombor telefonnya untuk dihubungi. Akhirnya, setelah urusan pertemuan dilakukan, pengadu berkenaan menerima khabar gembira. Tidak lama lagi dia bakal menduduki rumah PPR berkenaan.

Bukan sahaja aduan biasa, masalah yang pelik turut disisipkan dalam portal aduan ini. Antaranya, luahan seorang adik yang memohon agar kakaknya yang kini jatuh bankrap setelah ditipu oleh seorang lelaki Afrika, dapat dipertimbangkan bantuan zakat oleh Baitulmal. Meskipun umum maklum permohonan seumpama ini sukar dilayan, namun ia tetap dalam perhatian biro. Demi memuaskan hati pengadu, pihak biro membawa isu ini ke pengetahuan pegawai baitulmal berkenaan. Jawapannya, permohonan terpaksa ditolak kerana permintaan itu di luar tanggungjawab baitulmal. Lebih menarik lagi, jawapan yang boleh dilihat dalam portal aduan ForTheRakyat ini menyertakan sekali nama pegawai baitulmal tadi dengan nombor telefon untuk dihubungi.

Penulis kemudiannya menghubungi Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous bertanyakan sambutan yang diterima portal aduan itu dalam tempoh sebulan ini. Kata Exco Pemuda yang berusia awal 30-an ini, maklum balas yang diterima begitu baik.

Pelbagai jenis aduan, sama ada besar, kecil atau nampak remeh, semuanya tetap diberi perhatian serius dengan tindakan susulan sama rata.

"Setakat ini kesemua 41 aduan berjaya ditangani seperti mana yang saudara (penulis) lihat semasa melayari portal kami. Ya, ia (portal aduan ini) beroperasi seperti Strategi Lautan Biru yang mana kita (Biro Aduan Komuniti Pemuda) bergandingan rapat dengan agensi-agensi kerajaan. Selain itu kami berkolaborasi dengan rakan-rakan strategik seperti Persatuan Peguam Syarie, SukaGuam, Yayasan Salam Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia serta Yayasan Sukarelawan Siswa dalam menangani aduan yang diterima.

"Biro ini tidak mahu menjadi sekadar jaguh kampung. Kami wujudkan portal ini untuk mendidik masyarakat dengan penyediaan saluran yang tepat," kata Sheikh Nafiq.

Bermotokan "Demi Rakyat, Keutamaan Kami", portal aduan ForTheRakyat yang beroperasi dalam dwibahasa - bahasa Melayu dan bahasa Inggeris - menjadi platform untuk membolehkan sesiapapun mengadu secara atas talian di mana-mana sahaja. Segala aduan yang diterima dimuat naik ke dalam sistem untuk membolehkan pihak Biro Aduan Komuniti serta rakyat mengikuti perkembangan setiap aduan yang diutarakan.

Kaedah crowdsourcing yang diguna pakai membolehkan orang ramai melayari portal aduan ForTheRakyat untuk memberi komen serta mengundi aduan yang telah dikemukakan.

Selain itu, penyelesaian yang diberi oleh pihak biro juga dimuat naik supaya mereka yang menghadapi masalah sama boleh mengguna pakai penyelesaian tersebut. Ini termasuklah para pegawai yang sama pernah mengendalikan kes yang lebih kurang serupa.

Seterusnya, aduan yang dimuat naik ke dalam portal akan melalui beberapa langkah sebelum dapat ditangani. Langkah-langkah yang dimaksudkan ialah Aduan Baharu, Aduan Disemak, Aduan Diproses serta Aduan Ditangani.

Pengadu akan dimaklumkan melalui e-mel status aduan untuk membolehkan mereka mengikuti perkembangan aduan berkenaan. Pada masa sama, fungsi terkini yang diwujudkan dalam portal aduan ForTheRakyat adalah pautan ke laman sosial Twitter. Ini untuk membolehkan pengadu terus berkongsi status mereka ke laman sosial tersebut.

Menurut Sheikh Nafiq, Biro Aduan Komuniti Pemuda berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memanjangkan suara rakyat kepada agensi berkaitan.

"Kita nak bina masyarakat yang bukan sahaja tahu bagaimana hendak buat aduan tetapi pada masa sama sebahagian besar masyarakat lagi boleh memberi jalan penyelesaiannya. Contohnya masalah sampah, pihak biro akan usulkan bukan sahaja bahagian penguat kuasa berkenaan malahan pegawai yang sepatutnya boleh ditemui," kata Sheikh Nafiq.

Segala aduan yang terkandung dalam portal aduan ForTheRakyat dijamin ketanggungjawabannya berikutan maklumat peribadi pengadu direkodkan dengan pengesahan kad pengenalan dan nombor telefon. Ini sama sekali berbeza dengan media sosial yang apa sahaja komen boleh dilontarkan tanpa identiti atau berselindung.

Selain menangani aduan dalam portal, Biro Aduan Komuniti turut menawarkan pertemuan bersemuka antara orang ramai dengan pimpinan tertinggi Pemuda. Ini dibuat menerusi program Klinik Pemuda yang diadakan dua kali sebulan pada setiap Selasa dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari di ruang legar Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Idea mewujudkan portal aduan berkenaan berupa satu penjenamaan yang mengandungi statistik dan laporan lengkap untuk tatapan kepimpinan tertinggi negara yang membolehkan tindakan lebih efisien mengikut kawasan di setiap negeri.

Tidak hanya di web, portal ini boleh dilayari di peranti mobil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tweetnya menyifatkan portal aduan ForTheRakyat sebagai suatu inisiatif yang baik dan telah menyatakan kesediaan untuk menyempurnakan pelancarannya bersama Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dalam waktu terdekat.

Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO boleh dihubungi di alamat 81-01, Megan Ambassy, 225 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur atau di talian 03-2171 6266, 03-2171 6366 dan nombor faksimile 03- 2181 6166.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat