Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Bersandarkan hubungan baik negara Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT Oleh MUIN ABDUL MAJID SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel, (tengah) menyampaikan ucapan pembukaan di persidangan meja bulat bersama Menteri-Menteri Pertahanan Asean pada 2 April lalu, di Honolulu, Hawaii. - AGENSI LAWATAN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Hawaii di tengah-tengah krisis kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, baru-baru ini dilihat berjaya mencapai objektifnya, ibarat peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air. Beliau bukan sahaja dapat mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada Menteri Pertahanan Asean termasuk Amerika Syarikat (AS) di Honolulu, malah mengambil kesempatan itu untuk memaklumkan kepada mereka mengenai perkembangan terkini dalam pencarian pesawat Malaysia yang hilang sejak 8 Mac. Menteri Pertahanan Malaysia itu yang secara meluas dianggap sebagai wajah carian MH370 benar-benar ikhlas dengan ucapan terima kasih beliau terhadap bantuan yang dihulurkan kepada Kuala Lumpur dalam operasi pencarian pesawat yang melibatkan pelbagai negara, yang kini tertumpu di Selatan Lautan Hindi. Keakraban antara Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan dan menteri-menteri lain jelas kelihatan di Honolulu dengan mereka saling berinteraksi mesra antara satu sama lain dalam pelbagai perbincangan di Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean pertama yang diusahakan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel. Seorang pemerhati berkata, Malaysia dapat mengumpulkan banyak negara di rantau Asia Tenggara dan negara lebih jauh seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, India, China dalam usaha untuk mencari MH370, berikutan Kuala Lumpur, hakikatnya rakan kepada semua orang. "Dengan Malaysia, apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapatkan," katanya mengenai pengendalian Malaysia dalam hubungannya dengan negara-negara lain. Pesawat Malaysia Boeing 777-200ER ke Beijing membawa 277 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang pada 8 Mac di Laut China Selatan setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370 "berakhir di Selatan Lautan Hindi". Operasi membabitkan pelbagai negara bagi mencari MH370 itu bermula di Laut China Selatan sebelum diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman. Analisis data satelit menunjukkan bahawa pesawat itu terbang menuju ke arah Selatan Lautan Hindi, lokasi di mana carian terus dijalankan. Walaupun tuduhan yang diterima sebaliknya, Malaysia terus teguh mengatakan bahawa ia tidak menyembunyikan apa-apa dan begitu telus dalam mengendalikan pesawat penumpang yang hilang itu. Sidang media diadakan secara kerap untuk mengemas kini pihak media - juga diperluaskan kepada dunia - mengenai pencarian MH370 dengan pegawai rakyat Malaysia dihantar ke Beijing untuk melakukan perkara yang sama kepada anggota keluarga penumpang warga China. Daripada 227 penumpang pesawat ber- kenaan, 153 adalah warga China. Di Honolulu, menteri pertahanan Asean menyokong Malaysia dalam perkara ini dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir forum pertahanan yang bermula dari 1 hingga 3 April. "Kami percaya bahawa Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini melihat semata-mata kepada skala operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terbesar dan paling kompleks pernah kami lihat," kata mereka. Menteri-menteri berkenaan menegaskan bahawa perpaduan negara Asean kekal kukuh dan 10 negara anggota kumpulan negara Asia Tenggara benar-benar komited untuk membantu Malaysia dalam menyelaraskan operasi besar-besaran SAR bagi mengesan MH370. Hagel sendiri secara jelas menyokong komitmen AS untuk terus memberi sokongan kepada operasi mencari dan menyediakan apa sahaja aset yang perlu. Kepentingan Setiausaha Pertahanan AS untuk tinggal di Hawaii walaupun terpaksa berurusan dengan insiden tembakan beramai-ramai di pangkalan tentera AS di Fort Hood, Texas yang mengakibatkan empat terbunuh dan 16 cedera, jelas tidak mengenepikan Hishammuddin dan Asean. "Ia menggambarkan sejauh mana penekanan Setiausaha Hagel terhadap Asean," kata Hishammuddin merujuk kepada pegawai pertahanan atasan AS itu. Asean terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Di Honolulu juga, Hishammuddin mendapat pengesahan dari rakan sejawatannya dari United Kingdom, Philip Hammond bahawa Kapal Selam Nuklear British, HMS Tireless telah menyertai misi pencarian pesawat penerbangan MH370. Menteri Malaysia itu terbang pulang dengan hati yang tenang dalam pengetahuan bahawa Kuala Lumpur mempunyai ramai kawan yang boleh diharapkan ketika waktu, ia sangat memerlukan bantuan. - BERNAMA |
Letakkan kepentingan negara mengatasi politik Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT Oleh Hassan Mohd. Noor MINGGU pertama bulan Mac pada tahun 2013 dan 2014 sememangnya amat mencabar bagi negara kita. Dalam dua tempoh ini, Malaysia menjadi tumpuan dan perhatian dunia. Pertama pada Mac 2013 apabila pihak keselamatan melancarkan Ops Daulat di Sabah pada 5 Mac bagi memerangi pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu sejak 12 Februari. Operasi itu terpaksa dilakukan selepas rundingan selama sebulan gagal mencapai penyelesaian. Ketika itu, ada pihak yang menyifatkan pencerobohan itu sebagai sandiwara kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun yang turut menjadi korban adalah anggota pasukan keselamatan kita. Tanpa memikirkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mangsa, pihak berkenaan sanggup memutar belitkan peristiwa itu demi kelangsungan politik mereka. Kini tragedi pada bulan Mac berulang.Walaupun ia bukan dalam bentuk serangan atau pencerobohan tetapi apa yang berlaku mencetuskan perhatian besar dunia. Sebulan sudah berlalu. Misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac belum terjawab walaupun penerbangan pesawat itu `berakhir di Lautan Hindi. Masyarakat dunia masih menanti jawapan di manakah pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu. Masih ada yang mengharapkan anak-anak kapal dan penumpang selamat. Sudah banyak teori dibincangkan termasuk melalui laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter. Lebih malang lagi apabila ada pihak yang menyatakan kerajaan menyembunyikan maklumat atau tidak telus berhubung misteri ini. Kenapa kerajaan perlu menyembunyikan maklumat? Jika benar, tergamakkah Malaysia menyusahkan dunia? Adakah mereka (pihak yang menuduh) sedar bahawa sudah banyak tenaga kerja, wang ringgit yang dihabiskan untuk mencari MH370? Pencarian yang dianggap termahal dalam sejarah itu bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi banyak negara yang turut menyumbangkan peralatan tercanggih. Bayangkan jika Malaysia sebagai pihak tuan rumah diwajibkan membayar kos berkenaan. Apa akan terjadi kepada negara ini? Ada juga yang secara sinis memperlekehkan tahap keupayaan negara sehingga ke tahap mendabik dada bahawa jika mereka berada di jawatan berkenaan, masalah boleh selesai. Ada juga yang menjadikan tragedi ini sebagai usaha menarik perhatian orang ramai menghadiri ceramah mereka kerana sedar bahawa isu lain tidak mampu menarik kehadiran pengunjung. Dengar tajuk ceramah teruja orang mahu mendengarnya. Contohnya Ceramah Perdana Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu di Muar, Johor baru-baru ini bertajuk Penjelasan Misteri MH370. Siapakah Mat Sabu yang mahu menjelaskan misteri berkenaan? Maka diselitkan sepatah dua perkara berkaitan misteri itu tetapi tidak ada penjelasan yang jelas. Dalam erti kata lain mereka ini seolah-olah lebih bijak daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak, lebih hebat daripada Perdana Menteri Australia, Tony Abbott atau Menteri Pengangkutan Hishammuddin Tun Hussein. Ada juga yang bercakap dan memberi kenyataan' seolah-olah merekalah yang lebih tahu berbanding pengetahuan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya atau Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman. Mereka yang di luar operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini seolah-olah lebih arif. Begitulah jadinya apabila setiap isu mahu dipolitikkan oleh sesetengah pihak demi kelangsungan hayat politik mereka. Sepatutnya dalam situasi seperti ini, rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu bersama - satu hati - menyokong kerajaan dalam melakukan sebarang tindakan untuk menyelesaikan kemelut ini. Janganlah bertindak menikam dari belakang. Adalah kurang bijak kita meludah ke langit kerana akhirnya terpalit di batang hidung sendiri. Tindakan golongan seperti ini boleh menggugat kestabilan negara. Cukuplah serangan siber yang tidak henti-henti menyalakan api kebencian terhadap kerajaan. Begitu juga media asing yang cuba mencari silap. Ada juga orang politik yang menggunakan media asing untuk menuding jari terhadap kerajaan. Mereka tidak peduli apa yang akan berlaku kepada negara. Ingatlah situasi yang dihadapi hari ini bukan kerana politik. Maka tidak wajar mana-mana pihak mempolitikkan isu ini. Alangkah baik jika mereka tidak bercakap sesuatu yang hanya memburukkan nama negara. Lebih baik mereka sama-sama mendoakan agar usaha pencarian ini berjaya dan diselesaikan dengan segera. Kenapa ketika kebanyakan negara di dunia menghargai usaha yang dilakukan Malaysia, masih ada pihak mempersendakan keluarga sendiri? Agak membimbangkan jika dalam suasana hari ini, akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjejaskan imej negara. Sememangnya musuh akan sentiasa mencari ruang untuk memusnahkan kita. Kita tidak tahu agenda yang ada. Jerat tidak pernah melupakan pelanduk tetapi pelanduk selalu melupakan jerat. Kelemahan dan perpecahan sesuatu kaum atau bangsa itu akan memudahkan usaha meruntuhkan kekuatan yang ada. Tidak dinafikan orang kita memang gemar mendengar cerita-cerita karut yang menarik perhatian mereka untuk menganalisis sesuatu peristiwa lebih-lebih lagi melalui laman media sosial. Ada juga pihak yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu apa penyelesaiannya. Umpama saudagar air liur. Teori mereka, dan siasatan mereka berdasarkan pelbagai sumber media sosial, lebih hebat daripada agensi perisikan FBI atau CIA. BACAAN AL- QURAN SERTA DOA LEGA apabila mendengar kekerapan bacaan ayat-ayat suci al-Quran walaupun sekadar surah al-Fatihah di media elektronik. Mungkin langkah ini boleh dikekalkan selepas ini. Jangan menanti musibah baru kita mengingati ayat-ayat al-Quran yang siap dengan terjemahannya. Tanpa perlu mencari penaja untuk menaja bacaan ayat-ayat al-Quran ini, media elektronik boleh meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Siarkan surah-surah pendek yang dapat memberi peringatan kepada masyarakat. Bagi orang Islam, sekurang-kurangnya dapat mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT. Begitu juga dengan doa yang berkaitan dengan misteri kehilangan MH370. Terasa tenang mendengar doa-doa ini dibaca atau dihuraikan. Seperkara lagi, banyak juga pihak yang menyarankan supaya doa perjalanan dibaca sebelum pesawat berlepas. Beberapa syarikat penerbangan melakukannya termasuk Saudi Airlines, Royal Brunei, Qatar Airways dan Emirates. Doa perjalanan walaupun hanya melalui tayangan video tetapi sekurang-kurangnya ia memberi peringatan kepada kita. Jika tidak dibaca oleh pihak syarikat penerbangan, berapa ramai yang membaca doa perjalanan sebelum pesawat berlepas. Berapa ramai pula yang menunaikan solat musafir sebelum melakukan perjalanan jauh. Adakah kita hanya sedar apabila musibah sudah berlaku dan kemudian mencari silap orang lain. Lumrahnya, silap sendiri dilupakan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |