Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL Mohamad Hasan SEREMBAN 21 April - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menegaskan kerajaan boleh menarik balik lesen dan mengarahkan keluar dari berniaga di Medan Selera Ampangan yang baharu jika peniaga di situ kelak enggan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Kata beliau, medan selera yang baharu ini hendaklah dijaga keharmoniannya, kebersihan dan kekal menjadi pusat tumpuan keluarga dan orang ramai. "Saya ingin berikan amaran awal, jika didapati ada peniaga mahupun operator yang tidak mahu bekerjasama dengan MPS, kita tidak akan teragak-agak mengambil balik lesen dan meminta mereka keluar dari berniaga di sini. "Jangan main ikut suka hati, negara ini ada peraturan dan undang-undang yang perlu dihormati. Orang yang suka mengutuk kerajaan, saya nasihatkan eloklah berhenti dari berbuat demikian. "Jika tidak sudi dengan kerajaan sedia ada, tidak perlu berniaga di sini (medan selera). Saya bercakap ada asas kerana saya tahu ada individu yang membuka video dan mengutuk kerajaan dan lepas itu hendak berniaga dalam premis kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Medan Selera Ampangan di sini hari ini. Kata Mohamad, bangunan yang menelan belanja RM8.7 juta itu hendaklah diselenggara dengan baik, selain kebersihan menjadi keutamaan. "Saya mahu semua pihak iaitu peniaga, operator dan orang ramai menjaga kebersihan di medan selera ini. Selepas menjaga kebersihan, peniaga pula jangan naikkan harga. Saya tidak mahu mendengar ada masalah itu selepas pusat ini dibuka kelak," tegas beliau. Tegasnya, bangunan ini disiapkan oleh kerajaan dan menjadi mercu tanda yang dibanggakan oleh penduduk sekitar Ampangan dan Seremban khususnya. "Kita mahu juga, kawasan ini dijadikan persinggahan untuk orang ramai makan dan membeli barangan keperluan lain. Ini juga akan menjadi salah satu tarikan kepada pelancong bagi menikmati masakan Negeri Sembilan di sini," ujarnya. Beliau berkata lagi, dengan berbaki kerja menyiapkan siling serta pemasangan jubin lantai, kerajaan menjangkakan ini boleh dibuka kepada orang ramai dalam waktu terdekat ini. "Apapun, kerajaan tidak pula berkompromi dalam soal ketelitian kerja. Bagi kita, selagi mana ada kerja yang hendak dilakukan, akan diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum dipastikan semuanya selesai untuk dibuka kepada peniaga dan orang ramai," ujar beliau lagi. Dalam pada itu, Mohamad melahirkan rasa gembira dengan pelaksanaan projek di sini yang sudah 96 peratus siap dan mendapati berjalan seperti yang dijadualkan, biarpun pada awalnya terdapat kelewatan dalam pemasangan cerucuk di situ. Medan Selera Ampangan ini menempatkan 60 unit gerai makanan dan 10 lagi gerai kering seperti jualan akhbar, majalah, kraftangan dan lain-lain serta telah dibina mengikut spesifikasi ditentukan. |
Rakyat mesti peka Sindrom MERS-CoV Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT MELAKA 21 April - Kerajaan negeri menggesa masyarakat berhati-hati dan peka terhadap tahap kesihatan mereka berikutan penularan jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) kebelakangan ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil berat terutamanya bagi yang baharu pulang atau pergi ke negara Timur Tengah. Katanya, walaupun masih belum ada laporan sindrom tersebut dilaporkan berlaku di negeri ini, namun langkah kesihatan yang ketat tetap dilaksanakan dalam usaha menghindarinya. "Justeru, Jabatan Kesihatan negeri amat berharap dan merayu orang ramai agar membuat pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami batuk, selesema, sakit tekak dan tanda-tanda lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Marathon Antarabangsa Sungai Melaka 2014 di Dataran Pah-lawan, Banda Hilir di sini semalam. Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhammad. Jelas Idris lagi, beliau juga menasihatkan orang ramai yang bakal ke Mekah untuk mengerjakan umrah agar dapat mengambil langkah pencegahan sepatutnya. Tegas beliau, agensi pelancongan yang menguruskan pakej umrah juga perlulah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya. "Jika gejala dialami pesakit itu berterusan dan bertambah teruk, mereka hendaklah segera diberikan rawatan perubatan serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat," katanya. Pada 13 April lalu, sindrom MERS-CoV telah meragut nyawa seorang lelaki berumur 54 tahun dari Batu Pahat, Johor yang baharu pulang dari menunaikan umrah. Kes kematian itu merupakan yang pertama melibatkan sindrom berkenaan di negara ini. |
Ibu tunggal tabah jaga anak OKU Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT JASIN 21 April - Seorang ibu tunggal, M. Prema, 37, dari Taman Nyalas Baru, Asahan tabah menjaga lima orang anak termasuk seorang yang kurang upaya (OKU) serta seorang anak angkat biarpun hidup dalam serba kekurangan. Menurut Prema, dia tidak pernah menyesal menguruskan anak istimewa, S. Jeegan, 15, selain bersyukur mendapat suami yang banyak membantu. Bagaimanapun katanya, pemergian suami tercinta pada Mei tahun lalu akibat penyakit hati menyebabkan hidupnya kini berubah sehingga pernah tidak menjamah nasi akibat kesempitan hidup. Selain empat anak yang masih bersekolah, Prema juga terpaksa menjaga ayahnya yang menghidap parkinson. "Kehidupan kami sekeluarga kini semakin terhimpit lebih-lebih lagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima anak saya sebanyak RM300 sebulan di atas nama mendiang suami telah dihentikan. "Ketika suami masih hidup, kami sekeluarga bergantung dengan pendapatan dia sebagai pemandu lori selain bantuan JKM, namun bila suami sudah tiada, hidup kami benar-benar terhimpit, malah bantuan itu juga telah tidak diterima lagi. "Saya merayu bantuan JKM dapat disambung semula secepat mungkin, kerana kos untuk menyara anak OKU semakin meningkat dan saya juga tidak bekerja kerana menjaga anak OKU dan ayah yang sakit di rumah," katanya. Keadaan keluarga Prema itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Nyalas, Hashim Sood menerusi program Ziarah Kasih baru-baru ini. Sementara itu, Ghafaar berkata, JKM wajar menyambung semula bantuan di atas nama ibu tunggal berkenaan. "Saya telah menyarankan JKM segera mengambil tindakan meluluskan kembali bantuan kepada keluarga itu kerana kita dapati mereka layak untuk menerimanya. "Malah, sebelum ini saya difahamkan mereka telah beberapa kali memohon agar bantuan itu disambung, malangnya masih belum mendapat sebarang maklum balas," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |