Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Kompaun penanda aras kesedaran alam sekitar
- 19 GRO warga China, tiga lelaki tempatan ditahan polis
- Lelaki maut, seorang parah kereta bertembung
Kompaun penanda aras kesedaran alam sekitar Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT Mohd. Azhar Abd. Hamid (tengah) ketika melakukan lawatan Zon Sifar Sampah di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini. TELOK KEMANG 24 April - Kejayaan mendidik masyarakat untuk peka berhubung aspek menjaga alam sekitar serta kebersihan boleh diukur melalui jumlah kompaun yang dikeluarkan. Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, apabila jumlah kompaun yang dikeluarkan meningkat ini bermakna kesedaran itu masih menipis. Kita mahu sampai tahap sukar mencari pesalah yang membuang sampah merata-rata serta mengeluarkan jumlah kompuan yang sedikit sahaja barulah kita berjaya dari segi mendidik masyarakat yang mencintai alam sekitar. Untuk itu pihak kami sentiasa berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjayakan misi ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini. Mohd. Azhar berkata, masyarakat wajib mengutamakan kebersihan dan mengamalkan sistem kitar semula selain mengelak daripada melakukan pembaziran terutama pembaziran makanan. Apabila ini berjaya dilakukan ia secara tidak langsung membantu mengurangkan kutipan dan mempermudahkan sistem pelupusan sampah. Dalam menuju status negara maju kita seharusnya mempunyai pemikiran bersama untuk mencintai alam sekitar dengan semaian menjaga kebersihan dan bukan hanya meletakkan peranan tersebut di bahu sesebuah organisasi mahu pun jabatan sahaja," tegasnya. Tambah beliau, apabila budaya itu berjaya diterap dalam setiap diri ahli masyarakat, beliau yakin tidak akan wujud lagi masalah pembuangan sampah malah mereka yang ingin melakukan kesalahan juga berasa segan dan menyedari akibat perbuatan mereka itu. |
19 GRO warga China, tiga lelaki tempatan ditahan polis Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT MELAKA 24 April - Seramai 19 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam serbuan Ops. Noda di sebuah premis hiburan di Jalan Merdeka, Banda Hilir di sini awal pagi semalam. Dalam operasi pukul 1.30 pagi itu, kesemua GRO berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan ketika sedang asyik melayan pelanggan sambil menari dan menyanyi. Pegawai Turus, Asisten Superintendan Azhar Abdul Rahim berkata, turut ditahan ialah tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 50 tahun. Menurutnya, mereka yang ditahan itu adalah seorang penjaga premis yang menggaji pekerja tanpa permit manakala dua lagi ialah pelanggan, turut didapati positif dadah jenis syabu. Ketika serbuan, kesemua GRO yang ditahan gagal melarikan diri melalui pintu belakang kerana dikepung sepasukan empat pegawai dan 12 anggota D7 yang dibantu Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC). Daripada siasatan awal, mana-mana pelanggan yang berkunjung di pusat hiburan ibu diberi pilihan untuk memilih pelbagai jenis tiara dan jubah yang dijual sehingga harga mencecah ribuan ringgit untuk diberikan kepada GRO yang disukai. Kesemua GRO yang ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit dan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya ketika ditemui selepas operasi itu. Menurut Azhar, pihak polis akan turut menyiasat berhubung dakwaan premis berkenaan mempunyai lesen bagi menjalankan penerbitan dan penggambaran filem. Beliau menambah, premis tersebut mendakwa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran 25 nama yang dibenarkan membuat penggambaran di situ. |
Lelaki maut, seorang parah kereta bertembung Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT TELOK KEMANG 24 April - Seorang lelaki maut apabila Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 5.6, Tanah Merah Site C, Port Dickson, dekat sini malam tadi. Dalam kemalangan kira-kira pukul 11.50 malam tersebut, mangsa, S. Thibanraj, 24, yang tersepit di bahagian pemandu, maut di tempat kejadian. Ayah mangsa, P. Sivan, 51, berkata, sebelum nahas, anaknya itu telah meminta kebenaran untuk keluar ke pekan Lukut kerana mahu berjumpa anak saudara dan rakannya. Bagaimanapun sebaik ingin melelapkan mata, saya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang memaklumkan anak saya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya serta saya diberitahu dia cedera parah. Saya segera ke lokasi kejadian dan mendapati anak sudah tidak sedarkan diri manakala kereta milik kakaknya itu rosak teruk dan remuk di bahagian depan," katanya ketika di temui malam tadi. Jelas Sivan, selepas kemalangan berlaku, mangsa dikatakan masih mampu menghubungi abang iparnya yang tinggal di Lukut untuk memberitahu dia terlibat dalam kemalangan. Thibanraj adalah anak bongsu dan masih bujang," jelasnya. Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan dan Penyelamat Port Dickson, Abdul Rahim Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11.52 malam dan bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di lokasi tersebut kami mendapati Perodua Myvi yang dipandu mangsa remuk setelah bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira. Kedua-dua kereta rosak teruk dan kedua-dua pemandu kereta terbabit tersepit di tempat duduk pemandu," katanya. Tambah beliau, ketika sampai, Thibanraj didapati sudah tidak bergerak lagi dan disahkan meninggal dunia kemudiannya. Pemandu kereta Proton Wira pula patah kaki kiri dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dirawat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |