Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 8 ditahan, 39 biji pil kuda dirampas
- Usahasama ATM, PDRM berjaya turunkan indeks jenayah
- Gurauan anak jadi kenyataan - Ibu
8 ditahan, 39 biji pil kuda dirampas Posted: 12 Apr 2014 11:46 AM PDT Oleh TOREK SULONG PASIR PUTEH 12 April - Polis merampas sejumlah 39 biji pil dipercayai pil kuda bernilai hampir RM1,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Abal, di sini kelmarin. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu, lapan lelaki berusia 19 hingga 41 tahun turut ditahan. Katanya, serbuan dilakukan sepasukan anggota yang diketuai Inspektor Eddy Yusman Abu Bakar selepas menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan penagihan dadah di situ. "Hasil siasatan awal mendapati pemilik rumah berkenaan berusia 29 tahun itu tinggal bersendirian dan menjadikan rumah tersebut sebagai lokasi untuk menghisap dadah. "Kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini semalam. Menurut Mohd. Kamal, kes-kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990. Katanya, dua daripada suspek berusia 23 dan 27 tahun cuba meraih simpati anggota polis supaya membebaskan mereka untuk mengambil adik mereka di sekolah selain mendakwa anak yatim piatu. "Bagaimanapun, polis tetap bertindak berasaskan peruntukan undang-undang," katanya. |
Usahasama ATM, PDRM berjaya turunkan indeks jenayah Posted: 12 Apr 2014 11:46 AM PDT KUALA TERENGGANU 12 April - Rondaan bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS 8) membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini mampu memberi impak positif bagi menurunkan indeks jenayah. Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kerjasama itu penting bagi bergerak sebagai satu pasukan dalam menjaga keamanan dan keselamatan awam. Beliau memberitahu, buat masa ini, pihaknya masih menunggu arahan pihak atasan sebelum program seumpama itu dilaksanakan sepenuhnya di negeri ini termasuk jumlah anggota yang diperlukan. Malah, jelas beliau, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak PDRM untuk mengenal pasti lokaliti sesuai di serata negeri ini terutama di kawasan-kawasan tumpuan awam sebelum dilaksanakan sepenuhnya kelak. "Buat masa ini masih di peringkat kajian dan kita dalam perancangan untuk laksanakan sepenuhnya usaha sama ini (ATM-PDRM), kita sedang tunggu perkembangan selanjutnya. "Ada negeri telah pun mula laksanakan termasuk Kelantan manakala Terengganu agak lewat sedikit disebabkan indeks jenayahnya tidak tinggi," katanya. Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Hari Terbuka ATM/PDRM Peringkat Negeri Terengganu 2014 NBOS 8 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah. Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Md. Jamil dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin. Pada majlis itu, orang ramai turut berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan menarik termasuk demonstrasi membanteras jenayah ragut secara bersepadu membabitkan anggota ATM dan PDRM. Dalam sidang akhbar sama, Hamzah berkata, hasil rondaan di bawah NBOS 8 yang masih di peringkat kajian itu telah berjaya membantu menurunkan kadar jenayah iaitu 4.8 peratus di negeri ini dan 11.6 peratus di daerah Kuala Terengganu. Jelas beliau, pihaknya akan menentukan keperluan dari segi lokaliti yang sesuai berdasarkan kepadatan penduduk dan tumpuan ramai termasuk di Batu Buruk manakala pihak tentera pula bersedia membantu termasuk keperluan keanggotaan. |
Gurauan anak jadi kenyataan - Ibu Posted: 12 Apr 2014 11:46 AM PDT Anggota bomba dan polis mengusung mayat Muhamad Fikri Salman Fauzi untuk dibawa ke Hospital Machang, kelmarin. TANAH MERAH 12 April - Gurauan seorang remaja kepada abang dan ibunya yang dia tidak akan sempat berkahwin kerana akan meninggal dunia di usia muda, menjadi kenyataan selepas dia ditemukan mati lemas di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Besar, dekat sini hari ini. Mayat Muhamad Fikri Salman Fauzi, 16, dijumpai kira-kira pukul 10.30 pagi setelah dilaporkan hilang ketika mandi bersama tujuh lagi rakannya di sungai tersebut, kira-kira pukul 5.15 petang semalam. Ibunya, Salmah Othman, 42, berkata, dia tidak menyangka gurauan anak ketiganya itu bahawa akan meninggal dunia ketika usia muda, menjadi kenyataan. Beberapa hari sebelum kejadian, arwah telah berkata aku tak sempat nak kahwin sebab akan mati muda tetapi tak apa kerana aku tak banyak dosa. Arwah berkata demikian ketika kami sedang bersembang mengenai siapa yang akan kahwin dulu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Pasir Besar, dekat sini, hari ini. Salmah berkata, arwah tinggal bersama bekas suaminya, Fauzi Mat Nor dan kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada malam Khamis lalu. Pada malam tersebut, dia datang ke rumah saya dan meminta wang RM1," katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Hanaffi Mohd berkata, mayat mangsa yang tidak bersekolah itu ditemukan pasukan penyelamat kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha yang turut melawat keluarga mangsa me- rakamkan ucapan takziah dan berharap mereka bersabar dengan ujian yang menimpa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |