Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- WiFi percuma di seluruh negeri
- Kemudahan mesin hemodialisis makin terbatas di hospital
- 545 PATI ditangkap dalam tempoh 4 bulan
WiFi percuma di seluruh negeri Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT Oleh Radhuan Hussain Ahmad Said sambil diperhatikan oleh Jailani Johari (tengah) dan A. Latiff Awang (kanan) berinternet menggunakan perkhidmatan WiFi percuma yang dilancarkan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu semalam. KUALA TERENGGANU 7 April - Terengganu hari ini melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan perkhidmatan WiFi secara percuma di seluruh negeri itu dengan menjadikan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebagai perintis. Pelancaran projek Terengganu Open WiFi' itu yang dirancang pelaksanaannya di bawah Bajet 2014 bagi menyebar luas dan memperkasakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Ahmad berkata, penyediaan kemudahan itu merupakan fasa pertama yang turut membabitkan empat lagi lokasi di sekitar daerah ini iaitu sekitar Pantai Batu Buruk, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), stesen bas dan Perpustakaan Awam negeri. Beliau memberitahu, tempat lain yang juga akan dipasang dengan kemudahan itu ialah Pusat Dagangan Terengganu (TTC), semua Pejabat Daerah dan Tanah, Taman Syahbandar, kolam renang dan lain-lain kawasan tumpuan awam. Jelasnya, kemudahan internet secara percuma itu melibatkan kesemua 600 lokasi di seluruh negeri membabitkan peruntukan RM30 juta yang dijangka siap dipasang penghujung tahun ini. "Sebenarnya kemudahan WiFi percuma di lapangan terbang ini (LTSM) sudah sebulan lalu dipasang dan digunakan, jadi sekarang ada lima tempat yang dipasang kemudahan yang sama. "Untuk seluruh negeri, kita akan pasang WiFi percuma ini di 600 tempat dengan peruntukan RM30 juta termasuk di jeti-jeti untuk pelancong ke pulau-pulau dan kesemuanya itu dijangka siap dipasang akhir tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis itu di sini hari ini. Yang hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang. Menurut beliau, kerja-kerja pemasangan kesemua kemudahan itu di seluruh negeri ini akan dikendalikan oleh Top IT Industries Sdn. Bhd., anak syarikat kerajaan negeri. Beliau memberi jaminan, kemudahan internet tanpa bayar seumpama itu akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan. "Kita akan tambah lagi peruntukan dan perkhidmatan di tempat-tempat lain di negeri ini sekiranya ada keperluan terutama di kawasan destinasi pelancongan ," ujarnya. |
Kemudahan mesin hemodialisis makin terbatas di hospital Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT SETIU 7 April - Kemudahan mesin hemodialisis di seluruh hospital di negeri ini semakin terbatas bagi menampung keperluan dengan jumlah pesakit buah pinggang terus meningkat dan membimbangkan. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman berkata, dengan purata 150 pesakit baharu didaftarkan setiap tahun, keperluan agak mendesak di empat hospital iaitu di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Kemaman dan Besut. Katanya, kini terdapat sebanyak 128 buah mesin hemodialisis di semua hospital kerajaan di negeri ini bagi menampung 467 pesakit buah pinggang. "Di Hospital Setiu, terdapat 13 mesin dengan 46 pesakit. Jadi yang agak mendesak bagi kita ialah empat hospital ini, kecuali Hospital Setiu dan Dungun yang mencukupi,'' katanya di sini kelmarin. Menurutnya, semua unit hemodialisis beroperasi dalam tiga syif sehari bagi memenuhi keperluan pesakit dan kerajaan negeri kini turut membantu mencari jalan untuk menambahkan kewujudan pusat hemodialisis. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga rapi buah pinggang kerana organ itu turut mengalami penuaan seiring dengan peningkatan usia seseorang. "Penjagaan yang paling senang ialah melalui tabiat pemakanan yang seimbang, bersenam dan tidur dengan cukup,'' ujar beliau. Katanya, penyakit buah pinggang ini yang paling ditakuti adalah kegagalan buah pinggang di peringkat akhir ataupun peringkat teruk. "Jika sudah sampai di peringkat teruk, tidak dapat dipulihkan. Pesakit perlu menjalani rawatan gantian seumur hidup, rawatan gantian fungsi buah pinggang rosak dan gagal berfungsi. "Rawatan ini ada tiga cara sahaja iaitu rawatan hemodialisis, rawatan CABD (Cucian Melalui Perut) dan rawatan pemindahan buah pinggang," katanya. |
545 PATI ditangkap dalam tempoh 4 bulan Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT Rusli Karim melihat pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam satu serbuan di Ladang Velu, Kampung Air Batu,Tanah Merah, Kelantan, kelmarin. -utusan/- Rosmizan Resdi KOTA BHARU 7 April - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan menangkap seramai 545 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tempoh Januari sehingga April ini. Komandernya, Rusli Karim berkata, tangkapan tersebut adalah hasil daripada risikan yang telah dibuat secara berterusan bagi mengurangkan kadar kemasukan PATI ke negeri ini yang rata-ratanya adalah warga Myanmar. Beliau berkata, dalam waktu yang sama, pihaknya juga turut mensasarkan penahanan PATI seramai 700 orang sehingga Jun ini. "Berdasarkan jumlah tangkapan ini, ia menunjukkan peningkatan terhadap kemasukan PATI ke negeri ini berbanding tahun lalu, kita telah berjaya menahan seramai 706 orang. "Peningkatan ini berlaku kerana selepas operasi 6P Fasa II, mereka yang balik ke negara masing-masing mula kembali semula ke sini untuk bekerja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam. Dalam perkembangan terbaru, seramai 15 PATI ditahan dalam satu serbuan di Ladang Velu, Kampung Air Batu, Tanah Merah kira-kira pukul 3.45 pagi semalam. Kesemua PATI terbabit terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh perempuan yang berusia dalam lingkungan 11 hingga 69 tahun dan dipercayai untuk di hantar ke Lembah Klang. Rusli berkata, kesemua mereka ditahan dalam dua buah kenderaan di mana terdapat sembilan orang dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream manakala enam lagi dalam kereta jenis Proton Persona. "Siasatan awal mendapati sindiket ini membawa masuk PATI ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok. "Selain itu, sindiket ini juga didapati menggunakan kenderaan mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain menggunakan sebuah motosikal untuk melalui jalan yang kecil," katanya. Ujar Rusli, sindiket ini menggunakan pengkalan haram bagi membawa masuk rakyat asing ke negara ini dengan bayaran sebanyak RM170 sehingga RM270 untuk setiap seorang . "Kesemua mereka akan di hantar ke Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan kes di siasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |