Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Kemegahan Pulau PinangMELEWATI laluan sejauh 24 kilometer (km) di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) memberikan pengalaman yang berbeza berbanding melalui Jambatan Pulau Pinang. Laluan berliku jambatan kedua negeri itu yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau menyajikan panorama alam semula jadi yang menakjubkan. Apatah lagi, 16.9km daripada strukturnya merentasi permukaan laut Selat Selatan. "Memandu di jambatan ini seolah-olah sedang meniti alam semula jadi dengan berlantaikan permukaan laut yang luas. Pemandangannya sungguh luar biasa. Saya tidak nampak langsung bangunan-bangunan di daratan semasa berada di tengah-tengah jambatan. "Perasaan kagum dan teruja bergejolak tatkala menyaksikan bukit-bukau di pulau di samping pemandangan Pulau Jerejak dan Pulau Aman," luah seorang pengguna terawal jambatan itu, Nurul Azila Ismail, 28. JSAHMS dibuka untuk laluan orang awam bermula pukul 12.01 malam 2 Mac lalu. Pada malam sebelumnya, Nurul Azila turut bersama-sama lebih 10,000 yang lain berada di Batu Maung bagi menyaksikan majlis perasmian jambatan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. NAJIB merasmikan JSAHMS pada 1 Mac lalu. Anak tempatan Menyingkap kembali idea pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu, ia dicetuskan oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi meningkatkan kegiatan ekonomi di negeri tersebut menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9). Pada 12 November 2006, majlis penanaman cerucuk besi JSAHMS dilakukan Abdullah sebelum pembinaannya dimulakan pada November 2008. Antara kawasan yang mendapat tempias pembangunan itu termasuklah kawasan berdekatan Seberang Perai, Pulau Pinang; Kulim, Kedah dan utara Perak. Jambatan merentasi laut terpanjang di dunia ialah Jambatan Teluk Jiaozhou yang menghubungkan bandar pelabuhan barat China, Qingdao ke Pulau Huangdao sejauh 42.8 kilometer. Dibuka pada Jun 2011, ia dibina dengan kos kira-kira RM5 bilion. Biarpun JSAHMS baru seminggu beroperasi, ia telah mengubah landskap kehidupan di Batu Kawan terutamanya di Kampung Darat, Kampung Pengkalan dan Kampung Masjid yang menjadi pintu masuk ke jambatan tersebut. "Dahulunya kawasan ini cuma ladang kelapa sawit. Pemandangannya pula suram kerana terletak di hujung laluan berdekatan laut. "Namun, dalam tempoh enam tahun lalu, keadaan berubah sedikit demi sedikit," kata penduduk Kampung Pengkalan, Eng Bak Chooi, 77. Tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk Batu Kawan, jambatan itu turut memendekkan masa perjalanan dari tanah besar ke Balik Pulau, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bahkan bandar raya George Town. Jambatan berkenaan turut meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitarnya sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus. Bagaimanapun, jambatan kedua tersebut bukanlah pengganti Jambatan Pulau Pinang yang telah digunakan sejak September 1985. KEDUA-DUA jambatan ikon negeri Pulau Pinang menjadi pelengkap dalam menghubungkan tanah besar dengan bahagian pulau. Sebaliknya JSAHMS menjadi pelengkap dalam menghubungkan tanah besar dengan bahagian pulau. Sebanyak 25 hingga 30 peratus trafik dari Jambatan Pulau Pinang yang sudah berusia 28 tahun dijangka ditampung oleh ikon baharu tersebut. Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Datuk Ir. Dr. Ismail Mohamed Taib, pembinaan jambatan bernilai RM4.5 bilion itu telah membuktikan kehebatan dan kepakaran anak tempatan. "Pada peringkat awal reka bentuk sahaja kita menggunakan kepakaran dari China. Tetapi dari aspek pengurusan, pekerja, perunding dan bahan-bahan binaan semuanya menggunakan sumber tempatan," katanya. JSAHMS dilengkapi ciri-ciri keselamatan tinggi, antaranya menggunakan galas getah redaman tinggi yang diperbuat daripada getah asli tempatan dan mampu menahan kesan gempa bumi sehingga 7.5 pada skala Richter. Reka bentuknya juga dicipta untuk keperluan mendapan sebanyak 50 meter bagi tempoh 20 tahun akan datang. Pada asalnya, jambatan ini dijangkakan siap pada September 2013, namun atas masalah teknikal, pembinaannya dilanjutkan sehingga November 2013. Pada 6 Jun tahun lalu, seorang bekas anggota polis, Tajudin Zainal Abidin maut selepas tanjak penyambung susur keluar jambatan itu ke Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di Batu Maung runtuh. Konkrit seberat 300 tan itu menghempap kereta Perodua Kelisa yang dinaiki Tajudin. Tragedi itu menyebabkan pembinaan tertangguh selama dua bulan sebelum siap sepenuhnya pada Februari lalu. |
Posted: Salmonela pasar malamAYAM yang terdedah dan tidak disimpan di bawah suhu sepatutnya mudah terkena bakteria salmonela. ANEKA makanan yang dijual di pasar malam begitu mudah membangkitkan selera namun, risiko untuk terkena keracunan makanan juga tinggi kerana kebersihannya belum pasti terjamin. Selasa lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Muhammad Iqbal Rafie Mohd. Ilme, mati akibat keracunan makanan dipercayai selepas memakan ayam goreng yang dibeli oleh ibunya daripada sebuah pasar malam di Terengganu. Ibu kanak-kanak malang tersebut, Siti Zuraina Mohd. Yusoff, 28, berkata, sebelum kejadian, dia dan anak tunggalnya pergi ke pasar malam tersebut pada pukul 6.30 petang dan membeli ayam goreng, nasi goreng serta air keladi. Kesemua makanan tersebut dimakan oleh Siti Zuraina sekeluarga. "Pada pukul 7 pagi keesokan hari, anak dan suami saya mengadu sakit perut dan mengalami cirit-birit. Kami kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan Bukit Payung di Marang untuk mendapatkan rawatan," katanya. Tambah Siti Zuraina, walaupun ubat-ubatan telah diambil, keadaan anak dan suaminya sebaliknya semakin teruk. "Selepas itu, kami pergi semula ke klinik yang sama. Bagaimanapun, doktor mengatakan keadaan Iqbal semakin teruk hinggakan dia terpaksa menerima bantuan pernafasan. "Kemudian, Iqbal terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zafirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut," ujarnya. Semasa dalam perjalanan ke hospital tersebut, Siti Zuraina menyedari nadi anaknya telah tiada manakala keadaan suaminya masih lemah. Muhammad Iqbal disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang sewaktu dalam perjalanan ke HSNZ. Sebenarnya keracunan makanan tersebut bukan sahaja berlaku kepada keluarga Siti Zuraina malah melibatkan berpuluh-puluh penduduk tempatan lain pada hari kejadian. SITI ZURAINA dan suaminya, Mohd. Ilme menunjukkan gambar Muhammad Iqbal yang maut akibat keracunan salmonela di Terengganu baru-baru ini. Difahamkan, rata-rata mereka mengalami simptom keracunan makanan iaitu muntah-muntah dan cirit-birit selepas membeli makanan di pasar malam berkenaan. Menurut Ketua Jabatan Sains Sosial, Konsultan Makanan dan Kulinari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Shahrim Karim, peniaga sepatutnya lebih peka terhadap makanan yang dijual terutamanya dari segi kebersihan supaya tidak memudaratkan pembeli. "Kebersihan pasar malam di negara ini boleh diragukan kerana kita tidak tahu cara penyediaan makanan tersebut lebih-lebih lagi pada masa ini sesiapa sahaja boleh berniaga dengan mudah di pasar malam. "Jika diteliti, segelintir peniaga tidak mempunyai pengetahuan tentang cara penyediaan makanan yang betul dan sering mengambil mudah dengan apa yang mereka lakukan," katanya. Ujarnya, atas faktor tersebut, tidak hairanlah jika kejadian keracunan makanan disebabkan memakan makanan di pasar malam kerap berlaku. Pemeriksaan pihak hospital terhadap 10 sampel najis pesakit di Kuala Terengganu baru-baru ini turut mendapati kesemuanya positif bakteria salmonela. Oktober tahun lalu, tiga orang maut di Kedah selepas mereka makan ayam masak merah yang dicemari salmonela pada majlis kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani. Dalam pada itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof. Dr. Son Radu berkata, salmonela merupakan sejenis bakteria yang mudah merebak di dalam makanan terutamanya jika ia terdedah kepada suhu yang tidak bersesuaian dalam jangka masa yang lama. "Kebiasaannya salmonela wujud dalam makanan berasaskan ayam dan itik di mana ia boleh membiak sepantas 10 minit jika tidak disimpan di tempat yang betul. "Saya percaya faktor kebersihan juga menjadi punca yang membawa kematian kanak-kanak lima tahun di Terengganu baru-baru ini," katanya. - KHAIRIYAH HANAFI |
Kerjasama pertanian Malaysia-Aceh Posted: Kerjasama pertanian Malaysia-AcehOleh AQMAR ALLADAD MALAYSIA akan melabur dan mengusahakan bidang pertanian di Aceh dan membawa hasil pertanian itu balik ke negara ini. ACEH, Indonesia bakal menjadi pusat pelaburan baharu bagi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) terutamanya dalam bidang penanaman dan pemprosesan padi, penternakan, pertanian serta perikanan pada tahun ini. Pelaburan berkonsep kebalikan (reverse investment) itu meyakinkan Aceh dengan kemampuan Malaysia daripada segi teknologi dan kewangan untuk membantu wilayah tersebut melonjakkan sektor pertanian serta ekonomi. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan melabur dan mengusahakan pertanian di Aceh dan membawa hasil pertanian tersebut balik ke Malaysia sebagai sumber makanan baharu. Menurutnya, selain itu, bekalan bahan mentah untuk menghasilkan makanan ternakan seperti kacang soya dan jagung juga akan dibangunkan di Aceh. "Sebagai timbal balik kepada pelaburan tersebut, kerajaan Aceh pula akan mengimport produk-produk halal industri asas tani ke wilayah tersebut," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat baharu PT Nafasindo bersama Gabenor Aceh, Dr. Zaini Abdullah di Banda Aceh baru-baru ini. PERIKANAN antara bidang pelaburan baharu bagi Nafas di Aceh. Menurut Ismail Sabri, sebelum ini halangan terbesar untuk melakukan reverse investment adalah dasar yang menghalang pelabur membawa balik hasil tani yang diusahakan di luar negara. "Misalnya Nafas boleh menanam padi di luar negara tetapi tidak boleh membawa pulang beras yang diproses dan dihasilkan ke Malaysia. "Bagaimanapun di Aceh, saya difahamkan dasar yang menghalang pelabur asing membawa balik hasil tani dapat diselesaikan kerana Aceh mempunyai kuasanya sendiri untuk menentukan dasar tersebut," ujarnya. Sesi lawatan selama tiga hari ke Aceh dan Medan itu turut membincangkan potensi Nafas melabur dalam penanaman padi dan mendirikan kilang memproses padi untuk menghasilkan beras di Aceh. Setakat ini, pelaburan Nafas di Aceh hanya terhad dalam sektor mengusahakan ladang sawit seluas 13,000 hektar yang sudah bertapak di Aceh selama 17 tahun menerusi anak syarikatnya, PT Nafasindo. "Gabenor Aceh telah menyatakan keterbukaan kerajaan Aceh untuk menerima pelaburan daripada Malaysia. Ini kerana menurut beliau, Aceh kaya dengan sumber modal terutama tanah pertanian yang luas, tenaga kerja ramai serta jaringan perhubungan yang baik. "Malaysia akan menggunakan model dan pengalaman PT Nafasindo milik Nafas di Singkil, Aceh untuk memastikan pelaburan-pelaburan ini berjaya," jelasnya. Justeru itu, Ismail Sabri menjelaskan sebagai langkah awal, Malaysia dan Aceh akan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pertanian untuk menentukan produk pertanian yang sesuai diusahakan di wilayah itu. Tambah beliau, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman. Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh para pegawai daripada Nafas, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Veterinar. BEKALAN bahan mentah untuk menghasilkan makanan ternakan seperti kacang soya dan jagung juga akan dibangunkan di Aceh. "Perjanjian persefahaman antara kerajaan Aceh dan Malaysia akan dibuat semasa rombongan Aceh mengadakan kunjungan balas ke Malaysia nanti," ujarnya. Sementara itu, Zaini pula menyifatkan hasrat Nafas untuk meneroka pelaburan dalam agromakanan di Aceh sebagai peluang cerah untuk Aceh mendapatkan pelaburan besar. "Pelaburan dalam sektor agromakanan dapat membantu meningkatkan ekonomi dan membangunkan Aceh. Pada masa ini di Aceh, ramai yang masih menganggur. Jadi saya mengharapkan pelaburan Malaysia untuk membawa peluang pekerjaan kepada penduduk di sini," katanya. Pengarah PT Nafasindo, Saipol Bahari Suib pula berkata, Nafas berhasrat menjadikan Aceh sebagai halaman belakang Malaysia bagi mengeluarkan produk makanan yang akan dibawa pulang ke Malaysia. Pada masa ini, aset terkumpul Nafas di Aceh bernilai RM437 juta. Nafas memulakan operasi di Aceh pada 1996 dan ia merupakan pelaburan luar negara Nafas yang pertama. Nafas berperanan sebagai badan induk pertubuhan peladang di Malaysia. Pada masa ini, anggota Nafas mencecah lebih 800,000 di seluruh negara. Mereka terlibat dalam sektor perladangan, pertanian dan penternakan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |