{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Agrobiz

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Agrobiz


Pelaburan berbalik pertanian di Aceh

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Ruhaidini Abd Kadir
(aiman_dinie@yahoo.com)

Ismail Sabri meninjau projek ternakan lembu di Aceh Besar.

TRAGEDI tsunami yang melanda Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 masih menyimpan berjuta kesan bagi mereka yang merasakannya. Gempa yang berlaku kira-kira 32 kilometer dari Pantai Meulaboh Aceh disusuli oleh gelombang tsunami raksasa berukuran 8.9 skala Richter pada tanggal itu telah merosak dan menghancurkan hampir seluruh daerah pesisir Aceh hingga beberapa pulau lainnya.

Bencana tsunami yang dahsyat itu nyata telah menyorot mata dunia untuk menyaksikan betapa lemah dan tak berdayanya Aceh pada waktu itu selain trauma yang sangat mendalam ditanggung hingga kini oleh penduduk di Banda Aceh, sebahagian Aceh Besar, Aceh Jaya, Aceh Barat, Pidie serta Aceh Utara.

Hari ini - selepas hampir sedekad berlalu, Banda Aceh yang teruk terjejas sudah pesat membangun. Aktiviti perdagangan, perbankan, sistem pengangkutan dan telekomunikasi Banda Aceh yang pernah lumpuh secara total waktu tsunami sudah kembali pulih. Jalan raya sudah diturap semula, bangunan-bangunan dicat baru dan Banda Aceh kembali sibuk dengan hiruk-pikuk warga kotanya.

Hal ini diakui sendiri oleh Gabenor Aceh, Dr. Zaini Abdullah kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat lawatan kerja tiga hari ke Aceh dan Medan baru-baru ini bahawa pembangunan pesat yang dinikmati Aceh pada hari ini ialah hasil sumbangan kerajaan Indonesia selain sumbangan besar penderma antarabangsa.

Dr. Zaini, 73, bekas Menteri Luar dalam kerajaan buangan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang memenangi Pilihan Raya Gabenor Aceh pada 2012 turut mengakui, jika bersendirian sukar untuk Aceh bangkit semula meskipun untuk tempoh 20 tahun lagi.

Dianggarkan sebanyak AS$7 bilion (RM23.3 bilion) derma dan sumbangan asing bagi memulihkan Aceh. Sepanjang tempoh pasca tsunami lebih 130,000 rumah, 250 kilometer jalan baru, 18 hospital baru dan lain-lain bangunan kerajaan serta rumah anak yatim dan masjid dibina dengan bantuan negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Singapura, Turki, Arab Saudi, Oman termasuk Malaysia.

Lebih 80,000 hektar tanah pertanian kembali dipulihkan, antaranya sawah padi luas terbentang yang jelas boleh dilihat dari udara, selain 15,000 hektar untuk penternakan ikan.

Lawatan kerja Ismail Sabri ke Aceh baru-baru ini, nyata ia tidak hanya meningkatkan hubungan dua hala Malaysia- Indonesia khususnya Putrajaya-Aceh, malah memberi peluang kepada Malaysia untuk menjelaskan jenis pelaburan yang diingininya daripada Aceh pada masa akan datang, sejajar Program Transformasi Pertanian (Agriculture Tranformation Programme) yang telah dirangka oleh Ismail Sabri dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA).

Ismail Sabri semasa menghadiri majlis Makan Malam Forum Perniagaan Aceh-Malaysia di kediaman rasmi Gabenor Aceh pada Sabtu minggu lalu, mahu pelaburan Malaysia ke Aceh lebih ke arah situasi menang-menang. Dalam erti kata lain, Malaysia akan melaksanakan pelaburan berbalik (reverse investment) di Aceh pada tahun ini dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

Bekalan

Menerusi pelaburan bersifat pelaburan berbalik dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan itu, semua hasil produk diimport secara terus dari Aceh dan pada masa yang sama ia membuka peluang pasaran baru produk halal industri asas tani Malaysia ke pasaran Aceh pula.

Pelaburan bersifat pelaburan berbalik itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelabur Malaysia, malah kepada pengusaha produk halal industri asas tani negara untuk meneroka pasaran di Aceh.

Antara bidang yang ditekankan oleh Ismail Sabri ialah tumpuan kepada pelaburan dalam sektor baharu iaitu agro-makanan iaitu padi, sayur-sayuran, penternakan dan perikanan yang akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di wilayah Aceh pada tahun ini. Melalui anak syarikatnya PT Nafasindo, program ladang kontrak akan diwujudkan bersama peladang di Aceh untuk menjamin bekalan yang berterusan.

Sebelum ini, pelaburan NAFAS di Aceh hanya terhad dalam sektor kelapa sawit sejak 1996 melibatkan ladang seluas 13,000 hektar dengan tenaga kerja tempatan seramai 1,600 orang.

NAFAS yang berperanan sebagai badan induk pertubuhan peladang di Malaysia dengan keahlian lebih 800,000 di seluruh Malaysia kini mempunyai aset terkumpul di Aceh bernilai RM437 juta.

"Aceh mempunyai potensi yang sangat besar dan salah satu kekuatannya ialah tenaga kerja yang ramai. Faktor lain yang mendorong Malaysia membuat pelaburan di Aceh ialah budaya, sejarah dan agamanya yang sama dengan Malaysia, tegas Ismail Sabri yang diiringi 30 anggota delegasi yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah MOA ke Aceh.

Ismail Sabri memberitahu, Malaysia dan Aceh telah bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa teknikal bersama membincangkan projek-projek pertanian dan produk di Aceh yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA, Datuk Mohd Arif Ab. Rahman dan dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan FAMA, LPP, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) serta Jabatan Perkhidmatan Verterinar.

"Keputusan untuk membentuk jawatankuasa bersama itu dibuat berikutan rundingan antara saya dengan Dr. Zaini Abdullah pada Forum Perniagaan Aceh-Malaysia.

"Ada kemungkinan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan diminta terlibat dalam jawatankuasa teknikal bersama jika ada pelaburan yang melibatkan sektor padi di Aceh, jelas beliau.

Selain berkesempatan merasmikan pejabat baru PT Nafasindo di Banda Aceh bersama Gabenor Aceh pada Sabtu minggu lalu, Ismail Sabri dan rombongan turut melawat beberapa industri di Aceh seperti penternakan, kilang padi, pelabuhan dan kawasan industri.

Beliau melihat langsung industri penternakan ayam telur di GRD Farm dan kilang memproses padi yang terletak di Belang Bintang, Aceh Besar selain meninjau kawasan penternakan lembu di PT. Leumona Kutra Melaka, Aceh Besar yang sesuai bagi Malaysia memacu pelaburan.

Dalam lawatan kerja itu juga, Ismail Sabri melihat sendiri kesibukan sebahagian masyarakat Aceh yang masih menjadikan kawasan pantai sebagai sumber kehidupan dan ekonomi mereka seperti kawasan Lampulo dan Ulee Lheue di Banda Aceh yang hancur akibat bencana tsunami sembilan tahun lalu tetapi kini pesat dengan aktiviti sektor perikanan.

"Maklum balas yang diberikan pihak Aceh begitu baik selain potensi pelaburan yang terdapat di Aceh begitu besar. Aceh meletakkan harapan yang tinggi kepada Malaysia untuk terlibat sama membantu membangunkan wilayah itu.

"Delegasi dari Aceh akan datang ke Malaysia untuk mesyuarat pertama jawatankuasa teknikal itu pada 17 Mac depan dan ini menunjukkan minat serta kesungguhan mereka untuk bekerjasama, jelas Ismail Sabri.

Hikmah di sebalik tragedi tsunami hampir sedekad lalu - Aceh kini bukan sekadar kembali mengalami kepesatan ekonomi bahkan kedamaian dan kemakmuran. Aceh turut menawarkan ruang yang sangat kondusif dalam meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala Aceh-Malaysia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat