Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT Oleh NIZAM YATIM OPERASI mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pihak berkuasa Indonesia setelah gagal menemui bangkai pesawat Boeing 737-400 Adam Air yang hilang pada 2007. APABILA negara dihebohkan dengan kisah pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 hilang di perairan Laut China Selatan pada awal pagi Sabtu lalu, yang terlintas di fikiran kita sudah tentulah satu insiden hampir sama yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia. Pada 1 Januari 2007, pesawat Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dari Bandung ke Manado secara tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan, dipercayai telah terhempas di Selat Majene, Sulawesi. Kira-kira sebulan selepas itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat dan tragedi itu kemudiannya telah dilupakan oleh rakyat republik itu. Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat yang merakamkan data penerbangan dan perbualan juruterbang dalam kokpit berjaya ditemui. Setelah sembilan bulan analisis dibuat oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS), ia merumuskan juruterbang telah mematikan alat pemanduan automatik bagi membaiki Sistem Rujukan Inersia (IRS). Ketika sibuk membuat pembaikan tiada siapa yang menerbangkan pesawat sehingga menyebabkan ia mengiring ke kanan dan menjunam ke dalam laut. Walaupun masih awal untuk merumuskan apa yang berlaku pada pesawat Boeing 777-200 milik MAS, sesuatu yang harus diakui bahawa Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) dalam misi menyelamat pesawat tersebut. Seperti yang disebut oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya telah menerima laporan berhubung kehilangan isyarat pesawat itu pada 1.30 pagi iaitu 49 minit selepas pesawat itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. DCA telah bertindak serta-merta untuk mengesan semula kedudukan pesawat berkenaan dengan bantuan pihak-pihak berkenaan dari Vietnam dan Singapura. Pihak MAS turut dimaklumkan dengan segera oleh DCA yang kemudiannya telah bertindak pantas memaklumkan kedutaan dan konsulat yang mempunyai rakyat yang menaiki pesawat tersebut. Syarikat itu turut menubuhkan Pusat Kawalan Respons (RCC) bagi menyediakan maklumat berterusan, kemudahan perjalanan untuk kaum keluarga ke Kuala Lumpur, tempat tinggal, makanan dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa. Segala yang dilakukan oleh syarikat itu seharusnya dihargai oleh semua pihak. Seperti yang telah diluah ayah kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohd. Sofuan Ibrahim yang turut hilang, Ibrahim Abd. Razak, MAS dan pihak-pihak berkaitan sangat membantu dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal yang selesa dan akses maklumat. "Alhamdulillah, tiada apa yang perlu dirisaukan dan rungutan, cuma hati sendiri yang masih belum tenang selagi perkara ini belum selesai," katanya kepada portal berita, Malaysia Gazette. Satu lagi yang harus dipuji adalah kerjasama yang ditunjukkan oleh semua negara untuk melaksanakan operasi dan menyelamat termasuk Vietnam, China, Singapura, AS, Thailand, Indonesia dan terbaharu Australia di kawasan lautan yang kini menjadi pertikaian banyak negara. Untuk mencari pesawat di lautan yang luas adalah cukup payah dan ia terbukti apabila bangkai pesawat Air France 447 jenis Airbus A330 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 6 Jun 2009 hanya ditemui enam hari selepas itu dan kotak hitam pula hanya dapat dikeluarkan dari laut dua tahun kemudian. Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai rekod bersih yang tidak pernah mengalami kemalangan udara dahsyat kecuali penerbangan MH653 yang meletup dan terhempas bersama 93 orang di Tanjung Kupang, Johor pada 1977; sebenarnya terdapat banyak faktor di luar kawalan yang mungkin menyebabkan tragedi itu berlaku. Walaupun pesawat Boeing 777-200 itu dikatakan pernah mengalami patah pada hujung salah satu sayap setelah berlanggar dengan pesawat China Eastern Airline, Airbus A340 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, China pada 2012, masalah yang akan berlaku hanyalah ketika mendarat atau berlepas. Sebaliknya, kata bekas jurutera keselamatan Boeing yang juga Pengarah Airsafe.com Foundation, Todd Curtis, tragedi berlaku ketika pesawat sedang dalam penerbangan dengan kelajuan tinggi. "Satu kemungkinan adalah tragedi berlaku terlalu pantas sehingga juruterbang tidak sempat menghantar isyarat kecemasan," katanya lagi kepada AP. Dalam pada itu, pensyarah yang pakar dalam kemalangan pesawat daripada Universiti Aeronautik Embry-Riddle, AS, William Waldock turut sependapat dengan Curtis bahawa tragedi yang berlaku adalah secara tiba-tiba dan sangat ganas sehingga alat penentu lokasi pesawat tidak berfungsi. Menurut beliau, sekiranya berlaku kerosakan mekanikal termasuk kedua-kedua enjin tidak berfungsi, juruterbang masih mempunyai masa untuk membuat panggilan kecemasan. Untuk rekod, Boeing 777-200 mempunyai rekod keselamatan yang paling selamat selama 18 tahun dengan hanya satu tragedi melibatkan pesawat Penerbangan Asiana yang terhempas dan membunuh tiga orang pada tahun lalu. Para pakar keselamatan penerbangan kini berpendapat terdapat dua kemungkinan tragedi itu terjadi sama ada angkara pengganas atau juruterbang sendiri sengaja menghempaskan pesawat ke laut. Perkara sama dinyatakan akhbar United Kingdom, Sunday Mirror yang memetik pakar antipengganas, Kolonel Richard Kemp, bahawa kumpulan militan Islam Uighurs atau mereka yang bersimpati dengan mereka mungkin terbabit dengan kejadian tersebut. Walaupun terdapat petunjuk ke arah itu, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sehingga kotak hitam pesawat terbabit ditemui seperti dalam kes pesawat 737-400 Adam Air. Tambahan pula, data pemantauan awal yang diperiksa oleh pihak tentera AS, Pentagon hari ini mencadangkan pesawat MAS yang hilang, tidak meletup di Laut China Selatan. |
Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT MAHMOOD ADAM DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menerima lebih setengah juta permohonan untuk berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan. Jumlah itu adalah satu peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan 2.1 juta permohonan sepanjang 2013. Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, QAMARUL RIZAL di Putrajaya baru-baru ini, Pengerusi SPA, TAN SRI MAHMOOD ADAM menjelaskan peningkatan itu adalah hasil program transformasi yang bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan suruhanjaya itu. Boleh ceritakan latar belakang SPA? MAHMOOD: Ia ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 iaitu sama umur dengan kemerdekaan negara yang sudah nak masuk 57 tahun. Terdapat enam tugas SPA yang termaktub dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan termasuk urusan melantik lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara. Urusan pelantikan lain dilakukan oleh pihak berkuasa lain iaitu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. SPA juga tidak terlibat dalam pelantikan kakitangan badan berkanun seperti universiti, Felcra, Felda dan juga pihak berkuasa tempatan. Pelantikan di peringkat negeri juga tidak dilakukan oleh SPA kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Di sembilan negeri lain, ia dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) masing-masing iaitu Johor, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. Tugas lain adalah pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan kawalan tatatertib. Difahamkan banyak transformasi dilaksanakan SPA? Setakat ini kita sudah ada 75 transformasi. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Maknanya apa sahaja dasar atau peraturan baharu yang kita nak buat hendaklah bagi memenuhi kehendak rakyat. Ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menekankan supaya penjawat awam mempunyai sikap, cara bekerja dan cara berfikir yang sesuai dengan kehendak rakyat sekarang. Inisiatif ini juga dibentuk dengan tujuan merakyatkan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan SPA. Transformasi ini berasaskan tujuh prinsip iaitu tidak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan, tidak memerlukan pertambahan jawatan dan tidak perlu kepada pindaan undang-undang. Prinsip lain adalah berasaskan pendekatan yang popular dan sangat dikehendaki oleh orang ramai terutama pemohon pekerjaan, pelaksanaan yang menghasilkan impak menang-menang, bersifat besar dan mempunyai titik sentuhan. Apakah contoh transformasi yang dibuat? Kita telah panjangkan tempoh sah laku permohonan pekerjaan secara dalam talian (online) daripada setahun kepada lima tahun. Kalau pemohon terlupa untuk membuat permohonan baharu selepas setahun, mereka masih berpeluang untuk dipanggil menghadiri temu duga. SPA juga mengadakan sesi temuduga pada waktu malam, hujung minggu dan secara panggilan telefon untuk kemudahan pemohon yang tidak dapat hadir pada waktu siang atau ketika hari bekerja. Transformasi ini bersifat menang-menang kerana menggalakkan lebih ramai orang memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan pada masa sama memberi lebih banyak pilihan kepada SPA untuk memilih calon terbaik. Kita juga membenarkan pemohon mendaftar sebanyak mana jawatan kerajaan yang dikehendaki dan bukannya maksimum 15 jawatan sahaja seperti sebelum ini. Kita turut menghapuskan dasar One Step Lower bagi membolehkan calon berkelayakan lebih tinggi memohon jawatan gred rendah yang memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja. Mereka yang ditawar jawatan oleh SPA tetapi telah menolaknya sebelum ini juga tidak akan disenarai hitam. Apa lagi transformasi yang akan dilaksanakan? Kita sedang mengkaji semula 1,113 peraturan SPA bagi memastikan ia tidak bertindih dan masih relevan pada masa sekarang. Kita akan permudahkan peraturan terbabit supaya berpihak kepada penjawat awam dan mereka yang memohon pekerjaan. Sejak Januari tahun ini, SPA turut mengadakan kursus percuma setiap Sabtu di seluruh negara bagi menerangkan kepada mereka yang berminat mengenai ciri-ciri pegawai kerajaan yang dikehendaki. Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlah kehadiran melebihi 7,000 orang di seluruh negara. Antara ciri yang disenaraikan adalah cepat, tepat dan berintegriti (CTI); produktif, kreatif dan inovatif (PCI) serta bersifat setia, berfikiran terbuka dan memudahkan rakyat (LOF). Mereka juga diajar cara-cara menghadapi sesi temu duga SPA yang berdasarkan kepada kaedah Temuduga Berasaskan Kompetensi (CBI) dan psikometrik, cara-cara menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan sukatan pelajaran yang kita gunakan. Apakah transformasi paling besar? Ia adalah transformasi ke-75 yang dijangka mula dilaksanakan pada Jun ini melibatkan peperiksaan penjawat awam secara dalam talian. Langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan bagi membolehkan peperiksaan melalui kaedah ini dijalankan dan tidak berlaku sebarang penipuan. Kalau berlaku penipuan pun, kita masih mempunyai mekanisme untuk mengesannya iaitu ketika temu duga dan sesi penilaian lain. Sebagai permulaan, peperiksaan dalam talian ini akan diadakan secara kecil-kecilan tanpa membabitkan penjawat awam yang ramai sebelum diperluas melibatkan peperiksaan paling besar iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang boleh mencecah 70,000 orang. Peperiksaan dalam talian ini akan menjimatkan duit kerajaan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun. Kita juga dapat menjimatkan masa, tenaga kerja dan kertas. Pegawai kita juga tidak perlu lagi pergi ke universiti luar negara bagi menguruskan peperiksaan untuk rakyat Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir di sana. Bagaimana cara untuk memastikan individu mempunyai rekod jenayah tidak diambil bekerja? Kalau dahulu, kakitangan awam akan menjalani tapisan keselamatan semasa mereka dalam tempoh percubaan iaitu antara satu hingga tiga tahun, sebelum disahkan jawatan. Ini bermakna tapisan dibuat semasa mereka sudahpun masuk ke dalam perkhidmatan awam. Tetapi dengan transformasi yang dibuat, kita melaksanakan tapisan keselamatan sebelum calon menerima surat lantikan. Ini melibatkan tapisan taraf kewarganegaraan, status kebankrapan dan rekod jenayah. Untuk tujuan itu, kita sudah wujudkan Sistem Semakan Maklumat Individu (SSMI) dengan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain. Sejak dilancarkan pada tahun lepas, kita telah tapis kira-kira 37,000 pemohon dan terdapat 27 kes yang tersangkut kerana mempunyai rekod tidak memuaskan. Berapakah jumlah permohonan pekerjaan yang diterima? Untuk Januari dan Februari tahun ini, kita telah menerima 553,365 permohonan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah permohonan ialah 2.1 juta. Ini adalah satu peningkatan besar dan puncanya besar kemungkinan pertama, mereka tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan kerajaan. Keduanya, kerana tertarik dengan kemudahan-kemudahan yang diterima pegawai kerajaan dan ketiga, saya percaya mereka tertarik dengan ketelusan sistem pengambilan kakitangan kerajaan oleh SPA. Pada 2013, kita sudah melantik 60,059 orang sebagai kakitangan kerajaan. Proses pengambilan ini dibuat secara berterusan apabila terdapat kekosongan jawatan. Apakah langkah untuk menarik lebih ramai bukan Melayu? Kita telah menyiarkan iklan kekosongan jawatan di akhbar-akhbar Cina dan Tamil serta mengadakan pertemuan dengan wakil media terbabit. SPA juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji penyertaan kaum Cina dan India dan berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum itu secara berkala bagi mendapat pandangan mereka mengenai cara-cara menarik bukan Melayu serta mengubah persepsi negatif kaum berkenaan terhadap perkhidmatan awam. Pegawai SPA juga pergi memberi penerangan di institusi pendidikan yang mempunyai ramai kaum Cina dan India seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tafe. Kita juga telah mengadakan taklimat kerjaya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Malaysia. Berapakah pecahan angka pengambilan mengikut kaum? Pada tahun lepas, kita menerima 1.7 juta permohonan daripada orang Melayu; 44,633 Cina; 75,361 India dan 295,461 kaum lain. Pemohon Melayu yang dipanggil temu duga seramai 212,913 orang; daripada jumlah itu hanya 149,906 orang hadir manakala 45,392 orang berjaya mendapat pekerjaan. Peratus kejayaan pemohon Melayu berdasarkan bilangan yang hadir temu duga dengan yang dilantik adalah 30.28 peratus. Seramai 7,262 pemohon Cina dipanggil temuduga; namun hanya 4,694 orang hadir dan daripada jumlah itu, 2,901 orang berjaya. Peratus kejayaan adalah 61.80 iaitu yang tertinggi. Daripada 7,373 orang pemohon India yang dipanggil temu duga pula, sejumlah 4,960 orang hadir dengan 2,018 orang berjaya memperoleh pekerjaan iaitu kejayaan 40.69 peratus. Untuk dua bulan pertama tahun ini pula, kita menerima 440,019 permohonan daripada Melayu; 7,763 Cina; 14,622 India dan 90,961 kaum lain. Yang kita telah lantik secara tetap, Melayu sebanyak 3,863 orang; Cina 223 orang; India 324 orang dan kaum lain 848 orang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |