Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 18 Mar 2014 06:03 AM PDT SEBAGAI umat Islam doa menerima qada dan qadar menjadi kekuatan ketika berhadapan dengan tragedi yang meninggalkan trauma. Sebahagian daripada kita mungkin pernah melalui pengalaman pahit yang meninggalkan kesan trauma mendalam dan sukar atau hampir mustahil dilupakan seperti terbabit dalam tragedi yang membawa kehilangan orang tersayang, difitnah, dimalukan di hadapan khalayak ramai, bahkan mungkin pernah menjadi mangsa jenayah dan pelbagai lagi. Tragedi terkini iaitu kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370, walaupun secara lahirnya mungkin hanya melibatkan keluarga dan sahabat handai penumpang dan anak kapal tetapi tidak dinafikan ia telah memberikan impak trauma buat hampir seluruh rakyat di negara ini serta negara-negara yang terlibat. Mega berpeluang mendapatkan pandangan dari sudut rundingan kaunselor bersama Presiden Persatuan Kaunselor Profesional Berdaftar Malaysia (Pakar), Mohd. Noor Idris, untuk memahami tentang senario yang amat menggugat emosi ini. Menurut beliau, definisi trauma boleh difahami sebagai keadaan tubuh yang lemah akibat luka atau disebabkan oleh sesuatu tragedi atau kemalangan, namun situasi ini lebih dikenali secara psikologi yang mana sesuatu peristiwa atau tragedi yang dialami oleh seseorang memberikan kesan secara nyata kepada emosi (renjatan emosi). Walaupun tidak menunjukkan tanda secara lahiriah akan tetapi gangguan emosi ini boleh menjejaskan perilaku normal kebiasaan seseorang. Reaksi emosi yang serius ini jika tidak ditangani secara berkesan di peringkat awal boleh menjejaskan prestasi dan motivasi kehidupan seseorang. "Pada ketika itu, individu yang trauma akan berasa sangat gelisah, tidak tenteram atau mengalami gangguan emosi yang membuat mereka tidak dapat tidur nyenyak selama beberapa hari. Bagaimanapun, kebiasaannya gangguan emosi itu akan berlalu, dan kehidupan menjadi lebih normal seperti sediakala. "Sebagai contoh kes trauma yang hilang dengan sendirinya, seperti mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan kita berasa takut dan tidak lagi berani untuk memandu sendiri dan sangat berhati-hati apabila berada di dalam kereta walaupun hanya sekadar penumpang. "Namun, setelah beberapa minggu atau bulan kita sudah mula berani untuk memandu kembali setelah perasaan takut sudah tiada dan reaksi emosi kembali normal. "Inilah yang dikatakan sebagai trauma sementara yang kebanyakan di antara kita pernah mengalaminya," ujarnya. Namun, Mohd. Noor berkata, terdapat sebilangan orang yang mana tekanan emosi dan kecelaruan mental ini tidak berlalu begitu saja, bahkan berterusan malah semakin tidak terkawal hingga menjejaskan kehidupan normal seharian. Bahkan, mereka selalu dihantui oleh perasaan mencengkam dan hidup tidak pernah tenang seolah-olah kejadian traumatik itu berterusan berlaku. Seseorang yang berasa seperti ini mungkin menderita Gangguan Stres Pasca Trauma (Post Traumatic Stress Disorder - PTSD), suatu gangguan psikologi yang menyebabkan penderitanya sentiasa berada dalam keadaan bercelaru, tidak tenang dan tidak merasai kedamaian emosi dalam kehidupan seharian. Gangguan Stres Pasca Trauma Menurut Mohd. Noor, PTSD terjadi apabila seseorang bertindak balas terhadap sesuatu tragedi yang mengerikan yang telah dialami sendiri atau menyaksikan kejadian dahsyat yang dialami oleh orang lain. Pengalaman tersebut menyebabkan seseorang berasakan takut yang sangat kuat, atau perasaan tidak berdaya menghadapinya lagi. Namun katanya, kajian menunjukkan tidak semua orang yang mendapat pengalaman pahit yang dahsyat atau traumatik akan mengembangkan trauma yang dialaminya, bahkan hanya sekitar 20 peratus saja yang berkembang hingga menderita PTSD. "Ringkasnya PTSD adalah reaksi maladaptif yang berlanjutan, kesan terhadap suatu pengalaman yang traumatik. Pengalaman traumatik ini merupakan pengalaman luar kebiasaan yang mencengkam perasaan, mengganggu emosi, mengerikan dan mengancam jiwa seseorang seperti kejadian peperangan, perkosaan, bencana alam, kecelakaan pesawat dan sebagainya lagi. "Gangguan PTSD ini boleh berlaku berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun atau mungkin hingga beberapa dekad jika tidak dirawat dan berkemungkinan besar akan muncul kembali jika berhadapan semula dengan kejadian yang menjadi punca trauma sebelum ini," katanya Akibat melarat Mohd. Noor berkata, bahaya PTSD jika tidak dirawat, berpotensi menjadi penyebab utama kepada merosotnya kualiti kehidupan normal seharian seseorang. Malah, PTSD juga boleh menjadi penyebab utama kepada kemerosotan mutu kerja, minat bersosial dan mampu menjadi pencetus kepada permasalahan kekeluargaan. "Lebih buruk apabila penderita PTSD juga tidak terlepas daripada mengalami risiko kepada permasalahan mental yang lain seperti kemurungan terlampau, halusinasi dan juga mungkin boleh merebak kepada permasalahan skizofrenia. "Selain itu, kesan PTSD juga boleh menggangu tingkahlaku sihat kepada tingkah laku yang tidak sihat seperti penyalahgunaan ubat-ubatan, penyalahgunaan alkohol (mungkin bagi bukan Islam), gangguan makan dan diet diri dan pelbagai lagi tingkah laku maladaptif. "Malah, jika berlaku kepada kanak-kanak atau remaja yang masih bersekolah sudah tentu akan memberi kesan yang nyata kepada prestasi akademik dan pergaulan seharian mereka. Selain itu, PTSD juga member kesan secara tidak langsung kepada risiko terkena penyakit medikal seperti penyakit kardiovaskular, penyakit autoimun seperti reumatoid artritis dan penyakit tiroid, serta penyakit-penyakit musculoskeletal yang lain. "Ringkasnya PTSD sememangnya memberi kesan negatif kepada kesihatan mental, emosi dan fizikal seseorang jika tidak dirawat," tegasnya. - NOOR FAZRINA KAMAL |
Posted: 18 Mar 2014 06:03 AM PDT Oleh NORAZLINA ISMAIL Rawatan bekam pada titik untuk penyakit kronik dilakukan ke atas pesakit yang bertujuan membetulkan organ dalaman utama. EDRI (bukan nama sebenar) baru sahaja memasuki usia 30-an. Sungguhpun begitu pemuda ini kerap mengadu sakit kepala, pening dan mengantuk pada waktu tengah hari. Akibatnya dia tidak boleh berfikir dan hanya mahu berbaring. Sudah kerap kali dia berulang-alik ke klinik dan hospital untuk membuat pemeriksaan, namun doktor memberitahu keadaannya normal. Tidak puas hati dengan jawapan itu, dia memberanikan diri untuk mencuba sejenis rawatan alternatif yang agak popular dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu rawatan bekam. Pemeriksaan pengamal perubatan bekam mendapati bahagian bawah kepalanya bermasalah kerana perjalanan darah di bahagian tersebut tidak lancar. Bekam adalah kaedah rawatan membuang toksin atau darah kotor yang merupakan punca segala penyakit dan dikeluarkan dari dalam tubuh melalui permukaan kulit dengan menggunakan alat bekam. Tetapi masih ramai yang tidak berani mencuba rawatan berkenaan kerana beranggapan bekam adalah satu kaedah rawatan sangat ngeri dan menyakitkan apatah lagi ketika melihat titisan darah mengalir keluar daripada tubuh badan. Lantaran itu, pengamal Pusat Pengubatan Hemeopathy Al-Jawad, Ibrahim Burhanuddin cuba memperbetulkan stigma negatif masyarakat terhadap rawatan bekam. Menurut Ibrahim, bekam adalah kaedah perubatan alternatif terbaik untuk segala jenis penyakit dan keberkesanan kaedah ini sudah terbukti dalam Islam dan dikategorikan sebagai sunnah Nabi Muhammad SAW. "Bekam adalah rawatan terbaik kerana ia menetapkan dua titik utama yang perlu dirawat iaitu titik untuk penyakit kronik dan titik untuk penyakit tidak kronik. "Rawatan bekam pada titik untuk penyakit kronik dilakukan ke atas pesakit yang bertujuan untuk membetulkan organ dalaman utama iaitu hati dan buah pinggang yang terganggu akibat pengumpulan toksin dalam badan," katanya. Beliau berkata, rawatan bekam untuk pesakit yang menghidap kencing manis, sakit jantung dan gout perlu bermula pada titik di hati dan buah pinggang. Kata Ibrahim lagi, segala penyakit kronik yang menganggu kesihatan manusia berpunca daripada darah kotor (bertoksin) yang mengalir dalam tubuh dan apa yang membezakan antara jenis penyakit dengan penyakit yang lain adalah di bahagian tubuh yang mana toksin itu berkumpul. "Dua organ ini perlu dipulihkan kerana kedua-duanya berfungsi untuk membersihkan tubuh daripada kotoran. Buah pinggang adalah penapis terbaik kepada darah dan jika ia dapat berfungsi dengan baik maka semua kotoran atau toksin yang terdapat dalam darah berhasil dikeluarkan melalui air kencing. "Hati pula bertindak untuk menyerap segala jenis bahan kimia beracun daripada makanan dan pengambilan ubat-ubatan, jadi apabila hati seseorang itu gagal memainkan peranannya maka toksin beracun akan terlepas ke dalam aliran darah ," ujarnya. Ibrahim turut menegaskan rawatan bekam sangat berkesan kerana tidak memasukkan sebarang ubat-ubatan yang boleh menghasilkan toksin dalam tubuh badan, sebaliknya, rawatan bekam bersifat membuang toksin melalui titisan darah kotor. "Untuk mengenal pasti darah yang keluar daripada tubuh badan itu bertoksin atau tidak adalah dengan melihat daripada warna darah, dan kepekatannya. "Darah yang bersih dan terhindar daripada toksin adalah berwarna merah terang, dan cair manakala darah bertoksin biasanya berwarna merah kehitaman dan pekat," katanya. Bekam dan kencing manis Ramai penghidap kencing manis enggan menjalani rawatan bekam kerana menyangka bekam akan melukakan bahagian tubuh dan menyebabkan luka berkenaan lambat sembuh. Bagaimanapun, Ibrahim memberitahu ramai pesakit kencing manis yang menjalani rawatan bekam di pusat perubatannya pulih daripada penyakit itu. "Kencing manis terjadi disebabkan wujudnya lebihan gula (toksin) dalam badan. Gula memang diperlukan tubuh tapi hanya sekadar normal jika berlebihan ianya akan bertukar menjadi toksin. "Awalnya gula itu berada di dalam aliran darah kemudian ia akan mengalir ke seluruh tubuh dan turun ke kaki kerana prinsip darah seperti air ia pergi ke tempat rendah. "Maka sebab itu gula (toksin) berkenaan akan menyumbat pembuluh darah di bahagian kaki sebab itu ramai pesakit kencing manis yang kritikal perlu dipotong kakinya," katanya. Tambah beliau, biasanya apabila pembuluh darah di bahagian kaki telah tersumbat, ia akan memberi kesan seperti pesakit mengalami rasa kebas akibat fungsi saraf di bahagian berkenaan telah terganggu. "Sebab itu, kita patut buat bekam kerana bekam mengeluarkan darah yang bertoksin. "Ramai pesakit kencing manis yang datang ke sini dalam keadaan kritikal dan ada doktor yang ingin memotong kakinya tetapi selepas dia menjalani rawatan ini secara konsisten masalah tersebut semakin berkurang, dan luka pada kakinya sudah mulai sembuh," katanya. Bekam Ruqyah pulihkan penyakit metafizik Ramai yang tidak tahu, gangguan mahkluk halus boleh dirawat melalui kaedah bekam. Ibrahim berkata, pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus, dan sihir boleh diubati melalui rawatan bekam. "Pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus akan dibekam dan bacaan ruqyah akan turut dibacakan semasa rawatan. "Insya-Allah syaitan dan iblis yang bersarang di dalam tubuh pesakit akan dikeluarkan melalui darah kotor," katanya. Justeru, bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan bekam atau mengikuti kursus bekam daripada perawat yang bertauliah boleh berkunjung ke Pusat Pengobatan Homeopathy Al-Jawad di Lot 819-8, Kampung Melaka, Batu 9, Selangor. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |