Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
1,647 graduan PPD terima diploma Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT Oleh KHAIRUL NAJIB Sebahagian daripada graduan gembira selepas menerima diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson (PPD) Ke-23 di Dewan Wawasan PPD, dekat Telok Kemang, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - Khairul Najib Asarulah Khan TELOK KEMANG 18 Mac - Seramai 1,647 pelajar pelbagai jurusan Politeknik Port Dickson (PPD) dianugerahkan diploma dalam Majlis Konvokesyen ke-23 di Dewan Wawasan PPD di sini. Konvokesyen yang dilangsungkan pada Sabtu hingga semalam itu disempurnakan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak. Penerima terdiri daripada pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan. Menurut seorang penerima diploma, Lee Wai Hong, 23, dia amat gembira kerana berjaya menamatkan pengajian namun menyedari langkahnya masih jauh dalam memburu kejayaan. "Saya akan terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi mencapai cita-cita menjadi seorang perunding yang dikagumi. "Dengan mengikuti bidang Kejuruteraan Awam, langkah untuk maju amat perlu kerana saya mempunyai ramai pesaing dalam bidang ini. "Saya akan sambung pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor," kata anak pemandu lori yang berasal dari Mambau itu, kelmarin. Bagi, Ikhwan Kamarudin, 22, pula, dia amat gembira apabila dapat menyarungkan jubah konvokesyen. "Saya merupakan anak sulung dan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada tiga orang adik. "Perjuangan dalam menuntut ilmu akan diteruskan sebelum memasuki alam pekerjaan. Pelbagai lagi rintangan perlu ditempuhi bagi mencipta kejayaan yang lebih besar," jelasnya. R. Shankar, 22, berkata, dia berhasrat menyambung pengajian di luar negara bagi mendapatkan suasana mendalami ilmu yang berbeza. "Walaupun ayah seorang penternak lembu dan ibu adalah suri rumah, saya ingin menyambung pengajian untuk membalas jasa mereka," katanya. |
Video Origami harumkan nama USIM Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT Kumpulan penuntut USIM yang mendapat tempat ketiga pada pertandingan menghasilkan video berhubung penyakit Disleksia di Melaka,baru-baru ini. SEREMBAN 18 Mac - Meskipun tidak mengikuti pengajian dalam seni persembahan atau perfileman, namun ia tidak menjadi penghalang bagi sekumpulan penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menyertai pertandingan menghasilkan video berhubung penyakit Disleksia, di Melaka baru-baru ini. Lebih membanggakan, video pendek berdurasi 3.04 minit yang berjudul Origami terbitan kumpulan itu telah terpilih untuk menduduki tempat ketiga pertan-dingan anjuran Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Persatuan Dyslexia Malaysia. Pertandingan itu terbuka kepada semua penuntut institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai Disleksia. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal. Skrip dan olahan jalan cerita yang menarik telah menjadikan video Origami terpilih sebagai lima finalis untuk mara ke peringkat akhir. Penilaian dan pemenang dibuat berdasarkan pilihan penonton secara online di laman YouTube melalui jumlah 'Like' yang diperolehi bagi setiap video yang dipertandingkan sebelum finalis diminta membentangkan hasil kerja mereka di hadapan para juri profesional. Menurut salah seorang ahli kumpulan Fairus Abdul Manaf, kejayaan itu dianggap sebagai satu bonus kepada-nya dan seluruh ahli kumpulan yang lain. "Ini kerana Origami adalah satu-satunya video yang bukan dari UTeM berjaya tersenarai sebagai finalis. "Syukur alhamdulillah, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menyokong kami serta para penonton yang telah sudi menonton dan 'Like' video Origami di YouTube,'' katanya di sini baru-baru ini. Kumpulan tersebut turut dianggotai oleh Maisarah Mohamad, Jasmi Mohd Zain, Muhammad Nor Amin Jamaluddin, Ahmad Hafiz Mislachuddin, Muhamad Safuan Mohd Fadzil, Muhammad Aiman Mohd Nasaruddin dan Zainal Hakim Zakaria. Sebelum ini, kumpulan terbabit juga berjaya merangkul Anugerah Video/Filem Paling Popular menerusi penerbitan filem pendek berjudul Dompet dalam Majlis Anugerah Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada hujung tahun lalu. |
Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT Oleh Nursuraya Zulkifli Mohd. Khalil Yaakob bersama sebahagian peserta Rimbunan Kaseh ketika mengadakan lawatan ke projek berkenaan di Serkam Darat di Jasin, Melaka, kelmarin. - Utusan/NURSURAYA ZULKIFLI JASIN 18 Mac. - Peserta projek Rimbunan Kaseh Serkam dijangka mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan berbanding RM1,500 dalam tempoh lima tahun akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, sasaran itu boleh direalisasikan dengan perluasan kawasan tapak projek selain mewujudkan industri hiliran di kawasan berkenaan. Menurutnya, aktiviti ekonomi kawasan tersebut tidak hanya bergantung kepada pertanian dan ternakan ikan sahaja tetapi dipelbagaikan dengan industri seperti pemprosesan bebola ikan, pengetinan buah-buahan dan sebagainya untuk dikomersial serta dipasarkan di dalam dan luar negara. "Projek Rimbunan Kaseh adalah paling berjaya di negara ini dan diakui sebagai contoh yang berhasil selain menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan miskin dalam pertanian yang berteknologi moden, peserta mendiami rumah yang lebih selesa dan kadar sewa yang rendah. "Saya yakin dan percaya masa depan peserta projek ini mempunyai masa depan yang cerah dan seperti yang digambar oleh pihak Iris Corporation Berhad yang bertanggungjawab melaksanakan projek pertanian di kawasan itu pasti mempunyai rancangan untuk terus membangunkan kawasan berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke tapak projek Rimbunan Kaseh Serkam di sini semalam. Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Naim Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zaidi Attan Hasan berkata, namun ada beberapa yang dibangkitkan selain cadangan dan pendapat yang bernas untuk penambahbaikan projek Rimbunan Kaseh Serkam ini akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk dipertimbang dan diberi perhatian. Tambahnya, konsep projek Rimbunan Kaseh Serkam ini boleh digunapakai di 28 DUN di negeri ini dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu golongan yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik keluar dari kepompong kemiskinan dan membina kehidupan yang lebih selesa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |