Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Kes bunuh budak ke Mahkamah Tinggi Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT Oleh MARZITA ABDULLAH KUALA LUMPUR 19 Mac - Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini memerintahkan kes seorang peniaga yang dituduh membunuh anak teman wanitanya berusia dua tahun di Taman Rimba Komanwel sebelum mayatnya ditanam di kawasan hutan di Gunung Brinchang, Cameron Highlands tahun lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zulia Balqish Syed Agil yang mengendalikan pendakwaan kes tersebut. Mohd. Hisham Mat Yunus, 43, didakwa membunuh Muhamad Umar Haiqal Mohd. Hazlee di bilik B-006, Commonwealth Forest Park & Resort (Taman Rimba Komanwel) KM 23, Jalan Kuala Lumpur-Rawang dekat sini antara pukul 2 petang, 9 Mei 2013 dan 4.30 pagi, 2 Jun 2013. Tertuduh yang yang diwakili peguam, Isad Mohamad didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Lelaki itu yang berkaca mata hadir dengan memakai seluar jeans panjang dan baju T. Sebaik sahaja prosiding tamat, dua wanita dipercayai ahli keluarga tertuduh dilihat bercakap sesuatu serta menutup kepala tertuduh dengan baju panas berwarna putih ketika lelaki itu dibawa keluar dari mahkamah. Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun didakwa dipukul sehingga mati oleh teman lelaki ibunya dan mayat mangsa ditanam di kawasan hutan di Gunung Brinchang, Cameron Highlands. Kejadian tersebut terbongkar selepas ibu mangsa dapat melarikan diri daripada kurungan kekasihnya sebelum membuat laporan polis pada 18 Jun tahun lalu. |
Tun Juhar tersentuh lihat ahli keluarga tertuduh menangis Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT KOTA KINABALU 19 Mac - Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mengakui antara pengalaman yang sukar dilupakan semasa berkhidmat sebagai majistret dahulu ialah apabila melihat ahli keluarga tertuduh berlinangan air mata semasa mahkamah menjatuhkan hukuman. Sebagai manusia biasa katanya, beliau juga ada perasaan belas kasihan apabila melihat reaksi seumpama itu. ''Tetapi keputusan kita dibuat berdasarkan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan awam," katanya selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada University of Wolverhampton (UoW) United Kingdom di sini semalam. Juhar yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima pengiktirafan itu daripada Naib Canselor UoW, Prof. Geoff Layer dalam satu Majlis Konvokesyen Komemoratif yang berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Canselor UMS. Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Norlidah RM Jasni. Dalam temu bual eksklusif oleh pihak UMS itu, Juhar memberitahu, minatnya terhadap bidang undang-undang bermula sejak di bangku sekolah lagi dengan menjadikan ayahnya sebagai pendorong utama. Beliau yang turut dilantik sebagai Penaung Alumni UoW Malaysia turut berkongsi pengalaman ketika menuntut Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di universiti itu yang dahulunya dikenali sebagai The Polytechnic, Wolverhampton. Katanya, budaya masyarakat di England sememangnya jauh berbeza dengan budaya Malaysia, namun tidak sukar baginya untuk menyesuaikan diri memandangkan terdapat ramai rakan yang melanjutkan pengajian di institusi itu berasal dari Malaysia termasuk pelajar Sabah. "Kesulitan utama yang dihadapi semasa itu ialah perhubungan dengan keluarga di Sabah. Pada masa itu belum ada talian Internet dan sistem komunikasi yang canggih seperti hari ini. "Perhubungan hanya melalui surat-menyurat," katanya sambil memberitahu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai antara teman rapatnya ketika berada di universiti itu. Juhar yang dilahirkan pada 5 November 1953 di Kampung Tambisan, Sandakan mendapat pendidikan awal di Government Primary School Tambisan (1965) sebelum melanjutkan pelajaran hingga tingkatan tiga di Government Secondary School Sandakan (1970). Beliau kemudiannya menuntut di Sabah College dalam tingkatan empat dan lima pada tahun 1971 hingga 1972 sebelum melanjutkan pengajian peringkat A Level di Technical College Birmingham England. Atas usaha dan semangat yang tidak pernah kenal erti jemu dalam pencarian ilmu, beliau meneruskan pengajiannya sehingga berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Undang-Undang) dari The Polytechnic, Wolverhampton (1980) dan Barrister-At-Law, Lincon's In London (1981). Kariernya dalam Perkhidmatan Awam bermula pada tahun 1982 apabila dilantik menjadi Majistret Kelas Pertama. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Setiausaha Politik pada tahun 1986 hingga 1989 sebelum diberi kepercayaan untuk bertanding dan menang di kawasan Parlimen Kinabatangan pada tahun 1990. Beliau kekal sebagai ahli Parlimen kawasan tersebut sehingga 1999 dan dalam masa sama turut dilantik memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Bermula 2002 hingga 2010, Juhar dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |