Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Peluang penuntut memilih kerjaya
- STPM: Kelulusan penuh meningkat
- 26 pelajar, usahawan terima sijil, peralatan
Peluang penuntut memilih kerjaya Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT Oleh Shahrinnahar Latib Koperal Udara Tentera Darat Diraja Malaysia, Noriman Johari (kanan) memberi penerangan mengenai pelancar misi, Starburst kepada pelajar Polisas sempena karnival kerjaya di politeknik berkenaan, baru-baru ini. KUANTAN 19 Mac - Karnival kerjaya merupakan satu medan buat para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mencari peluang kerjaya selain mendapatkan maklumat terkini tentang bidang pekerjaan. Mereka seharusnya merebut peluang keemasan ini, selain memastikan mempunyai kelayakan cukup bagi memenuhi jawatan yang ditawarkan. Untuk itu para penuntut juga perlu sentiasa mempersiapkan diri bagi memenuhi pasaran pekerjaan yang semakin mencabar terutama dalam bidang-bidang kritikal. Mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kelayakan akademik semata-mata kerana ketika ini ramai individu yang memiliki kelayakan yang sama selain ada antara mereka yang memiliki pengalaman bekerja. Justeru, bagi membantu penuntut mendapatkan pekerjaan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan telah menganjurkan karnival kerjaya selama tiga hari bermula 11 Mac lalu. Majlis perasmian karnival tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Jabatan Pengajian Politeknik, Shabudin Man di kampus Polisas di Semambu. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kerjaya terutamanya kepada penuntut semester akhir setiap jabatan di Polisas. Menurut Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad, program ini bertujuan memupuk sikap keusahawanan dalam diri penuntut dan memberikan ilmu untuk menghadapi alam kerjaya yang penuh mencabar. "Program ini menyediakan pelbagai peluang kerja dengan kehadiran pelbagai syarikat seperti Pusat Job Malaysia, Telekom Malaysia Berhad, Polyplastic Asia Pacific, DRB Hicom Automotive dan FPG Oleochemical. "Sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung, pelbagai aktiviti disediakan bagi memberi faedah kepada golongan penuntut seperti seminar kerjaya, ceramah motivasi, pameran dan jualan buku," katanya. Tambah beliau, pelbagai petua untuk menceburi alam pekerjaan turut didedahkan kepada semua penuntut yang hadir bagi membolehkan mereka membuat persedian untuk menghadapi temuduga. Katanya, selain itu turut diadakan adalah majlis menandatangani nota persefahaman (NoU) antara Polisas dan syarikat J Resources Gold dan Nokia Here. "Kedua-dua NoU ini menekankan kerjasama dan perkongsian kemahiran serta kepakaran khususnya dalam memajukan bidang pengajaran di Polisas," katanya. Sementara itu, Shabudin berkata, karnival kerjaya merupakan salah satu persiapan kepada para penuntut untuk menghadapi alam pekerjaan. "Para penuntut perlu melengkapkan diri daripada segi imej, kelengkapan dokumen dan kebolehan komunikasi sewaktu menghadiri ke sesi temuduga. "Persediaan yang secukupnya ini penting bagi membolehkan penuntut memperoleh peluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan nanti," katanya. Menurutnya, tanpa persediaan dalam diri yang sempurna termasuklah aspek praktikal adalah sukar untuk seseorang penuntut berdepan persaingan hidup berkerjaya. "Saya berharap mereka berani menyahut cabaran untuk mendapatkan skop kerjaya yang lebih luas dan tidak terikat kepada bidang dipelajari. "Penuntut tidak perlu bimbang mengenai kerjaya yang diceburi berlainan dengan apa yang dipelajari sebaliknya mereka perlu menghadapi sebagai satu cabaran," katanya. |
STPM: Kelulusan penuh meningkat Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA Sepuluh pelajar terbaik SM Perempuan Methodist gembira melihat slip keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia mereka ketika mengambil keputusan tersebut di sekolah berkenaan di Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN 19 Mac - Sebanyak 2,893 atau 97.97 peratus daripada 2,953 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 mendapat kelulusan penuh dengan sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh. Pengarah Pendidikan negeri, Rosdi Ismail berkata, peratus kelulusan penuh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.46 peratus berbanding dengan pencapaian 96.51 peratus lulus penuh pada 2012. Beliau berkata, pencapaian calon bagi negeri ini dalam keputusan STPM 2013 yang diumumkan hari ini telah mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi kelulusan penuh iaitu 97.10 peratus. "Peratusan calon yang lulus penuh dalam lima mata pelajaran (5P) menurun 2.5 peratus berbanding 2.97 peratus pada STPM 2012, bagaimanapun peratus lulus penuh dalam empat mata pelajaran (4P) meningkat sebanyak 13.46 peratus iaitu daripada 53.76 peratus (2012) kepada 67.22 peratus (2013). "Keseluruhannya peratusan calon yang mendapat 5P dan 4P telah meningkat daripada 56.73 peratus pada 2012 kepada 67.69 peratus iaitu peningkatan sebanyak 10.96 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Rosdi berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang, Bera dekat sini telah menunjukkan prestasi terbaik di peringkat negeri apabila mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 3.06 dengan kelulusan penuh 100 peratus. "Terdapat tiga sekolah mengekalkan prestasi kelulusan penuh 100 peratus selama empat tahun berturut-turut iaitu SMK Padang Saujana, Jerantut; SMK Tersang, Raub dan SMK Seri Rompin, Kuala Rompin. "Daripada 49 sekolah yang mendaftarkan calon STPM, 20 sekolah telah mencapai kelulusan penuh 100 peratus sama dengan pencapaian 2012 manakala 28 sekolah mencapai kelulusan penuh 90 peratus berbanding 26 pada 2012," katanya. Beliau berkata, calon yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 dan ke atas adalah lebih tinggi pada STPM 2013 iaitu 910 calon atau 30.82 peratus berbanding 720 calon atau 28.53 peratus (2012). Menurutnya, calon terbaik STPM 2013 aliran sains ialah Noo Jan Wai dari SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan dan Ong Ying Qian (SMK Mengkarak, Bera) manakala Lim Yean Chi (SMK Air Putih, Kuantan) dan Afiqah Suwandi (SMK Dong, Raub) merupakan calon terbaik bagi aliran sastera. "Bagi calon-calon dalam kalangan orang asal, calon terbaik bagi STPM 2013 ialah Shamsiah Nibong dari SMK Abu Bakar, Temerloh dan Ong Yek Mei (SMK Tanjung Gemok, Rompin) yang masing-masing mendapat PNGK 3.75," katanya. |
26 pelajar, usahawan terima sijil, peralatan Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT CAMERON HIGHLANDS 19 Mac - Sebanyak 16 pelajar dan 10 usahawan kalangan Orang Asli menerima sijil pengiktirafan, peralatan perniagaan serta basikal dalam Majlis Anugerah Cemerlang anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Tanah Rata di sini baru-baru ini. Kesemua mereka menerima sijil dan peralatan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John serta Pengurus Besar ECERDC negeri, Mohd. Mazlan Sharuddin. Jebasingam berkata, program Empower yang dianjurkan pihaknya banyak melakar kejayaan dalam bidang keusahawanan bagi kalangan penduduk termasuk Orang Asli dan latihan akademik kepada pelajar miskin. "Sehingga kini sebanyak 22,216 peserta pelbagai kaum mendapat manfaat menerusi program di bawah ECERDC iaitu melahirkan 8,725 peserta keusahawanan manakala 13,491 pelajar termasuk Orang Asli mengikuti latihan akademik," katanya kepada pemberita di sini. Menurut Jebasingam, menerusi latihan akademik, para pelajar didedahkan tentang teknik pembelajaran berkesan untuk membantu mereka cemerlang dalam peperiksaan. Tambahnya, para usahawan pula diberi keyakinan dan bantuan peralatan untuk kemudahan mereka berniaga sehingga mampu berdikari. Dalam pada itu, Palanivel berkata, program latihan akademik Empower merupakan mekanisme terbaik dan mampu menyuntik kecemerlangan pelajar miskin termasuk keyakinan diri untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. "Bukti kejayaan ini jelas dilihat dengan kehadiran peserta Orang Asli yang cemerlang dalam akademik dan mereka menjadi sumber inspirasi kepada kaum minoriti di sini untuk melakarkan kejayaan sama pada masa depan," ujarnya. Beliau berkata, program Empower merupakan serampang dua mata dalam pengisian transformasi pembangunan modal insan untuk membantu merapatkan jurang ekonomi antara penduduk di bandar dan luar bandar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |