Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Anwar diminta henti guna 'mahkamah rakyat' Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT BATU PAHAT 28 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta berhenti menjadikan pentas politik sebagai mahkamah rakyat untuk mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perbuatan tidak matang itu hanya menggambarkan Anwar seolah-olah orang yang tidak boleh menerima hakikat dan cuba menagih simpati rakyat. Menurutnya, perhimpunan Reformasi 2.0 yang sedang digerakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya menyusahkan rakyat. "Kalau boleh beliau mahu siri perhimpunan seumpama itu diadakan sepanjang masa dengan harapan negara akan berdepan konflik kerana beliau tahu cara itu sahaja kerajaan mampu dijatuhkan. "Ini kerana mereka tidak mampu menggunakan cara yang betul semasa Pilihan Raya Umum (PRU)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas ceramah Reformasi 2.0 yang diadakan di Parit Raja dekat sini malam tadi. Dalam ceramah kira-kira 30 minit itu, Anwar menggunakan sepenuhnya pentas untuk menghentam badan kehakiman yang didakwa mengikut nasihat bomoh ketika mahu menjatuhkan hukuman terhadapnya 7 Mac lalu. Anwar turut menjadikan isu pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai modal ucapan biarpun pada awalnya menyatakan pembangkang turut bersimpati dengan apa yang berlaku kepada penumpang dan anak kapal pesawat itu. Tambah Mohd. Puad, Anwar tidak perlu berdolak-dalik dalam kes dihadapinya dengan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan jika mendakwa badan kehakiman negara tidak telus. "Mengapa perlu pertikai keputusan hakim dan selepas itu membuat rayuan serta menjadikan pentas politik sebagai mahkamah, pada saya ini hanya disebabkan oleh agenda peribadi dalam dirinya. "Saya juga yakin gerakan yang dilancarkannya itu akan gagal kerana ia tidak sama seperti reformasi pada 1998 kerana waktu itu ramai masih keliru dan tidak mengetahui hal sebenar mengenai Anwar," tegasnya. |
Masa undi PRK Balingian tak sama Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT Oleh ANGELINA SINYANG MUKAH 28 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta orang ramai yang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian esok, supaya menyemak terlebih dahulu waktu pengundian kerana tidak semua pusat mengundi dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, daripada 21 pusat pengundian disediakan, hanya empat buah yang dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. Beliau berkata, terdapat dua pusat mengundi dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang, 8 pagi hingga 3 petang (enam) dan 8 pagi hingga 4 petang (sembilan). "Adalah sangat penting bagi pengundi menyemak terlebih dahulu di mana mereka mengundi kerana tidak semua pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. "Saya tidak mahu esok, ada yang sepatutnya mengundi di pusat yang dibuka mulai pukul 8 hingga 2 petang tetapi datang menunaikan tanggungjawab itu pada pukul 2.30 petang menyebabkan dia akhirnya tidak dapat membuang undi," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini hari ini. Bagi mengetahui masa dan pusat mengundi yang betul, Abdul Aziz berkata, pengundi boleh membuat pilihan untuk semakan dengan cara menelefon, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), melawati laman web atau menghantar e-mel kepada SPR. Beliau turut meminta pengundi supaya datang lebih awal kerana cuaca di Balingian esok dijangka hujan renyai-renyai dan mendung antara pukul 11 pagi hingga 4 petang. Jika boleh, katanya, semua penduduk Balingian yang layak mengundi pergi menunaikan tanggungjawab itu bagi meningkatkan peratusan undi sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus yang dicapai pada pilihan raya negeri 2011. Abdul Aziz turut mengingatkan pengundi supaya tidak lupa membawa kad pengenalan, jangan menyerahkan kad pengenalan kepada individu tidak dikenali dan membenarkan jari telunjuk dicelup dengan dakwat sebelum datang ke pusat mengundi bagi mengelak mereka dituduh mengundi dua kali. "Bagi pengundi kurang upaya (OKU) seperti orang buta atau tiada tangan untuk menulis, mereka boleh membawa rakan berusia 21 tahun ke atas yang tidak semestinya pengundi di DUN tersebut atau meminta bantuan daripada ketua penjaga di pusat mengundi untuk membantu mereka menanda calon pilihan dalam kertas undi," katanya. Tambahnya, beliau yakin PRK Balingian bakal berlangsung dalam suasana yang aman jika penduduk di sini berpegang pada budaya saling hormat-menghormati antara satu sama lain, malah sejak hari penamaan calon sehingga kini tiada langsung insiden tidak diingini berlaku dilaporkan kepada polis. Selepas 12 hari berkempen, seramai 13,233 pengundi berdaftar di sini akan keluar menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu bagi DUN Balingian esok. SPR mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong pada 28 Februari lalu selepas penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri dan dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |