Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 05 Mar 2014 11:24 AM PST Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN AHMAD Fakri Saarani (kanan) menjaringkan gol kedua skuad negara pada minit ke-77 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian. KUALA LUMPUR - Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain sepanjang 80 minit, Harimau Malaya membuktikan semangat juang mereka bukan sebarangan apabila masih mampu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Yemen di Stadium Tahnon Bin Mohamed di Abu Dhabi semalam pada aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015. Pemain gantian, Ahmad Fakri Saarani menjadi watak utama kepada kemenangan pertama Harimau Malaya dalam perlawanan berkelas A di luar negara sejak 2007 apabila menjaringkan gol yang cukup penting pada minit ke-77. Amri Yahyah sebelum itu meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-16 biarpun enam minit sebelum itu, benteng Harimau Malaya kehilangan Amirizdwan Taj Tajudin dilayangkan kad merah tetapi Yemen berjaya mendapatkan jaringan penyamaan melalui Mohammed Al-Sarori pada minit ke-59. Namun, kejayaan tiga mata pertama yang diraih oleh Datuk Ong Kim Swee sejak mengambil pasukan Harimau Malaya daripada Datuk K. Rajagobal masih tidak mampu mengubah nasib Malaysia untuk mengisi slot terakhir ke Piala Asia 2015 di Australia selaku pasukan ketiga terbaik dari lima kumpulan. Tempat itu dicuri oleh China biarpun tewas 1-3 kepada Iraq dalam Kumpulan C dengan memungut lapan mata. China layak melalui kelebihan satu jaringan ke atas Lebanon yang turut meraih lapan mata walaupun melakar kemenangan besar 5-2 ke atas Thailand di Bangkok sementara Malaysia memungut tujuh mata daripada enam perlawanan untuk berada di belakang China dan Lebanon. Dalam perlawanan semalam, Kim Swee menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika menentang Filipina pada Sabtu lalu kecuali penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang kembali disenaraikan menggantikan Khairul Azhan Mohd. Khalid yang tidak dibawa kali ini. Harimau Malaya jelas bergelut pada awal permainan dengan gerakan pantas pemain-pemain muda kelihatan sukar disaingi dan situasi itu membawa padah apabila Amirizdwan yang gagal mengekang pergerakan Sadam Hussein terpaksa menjatuhkan pemain itu di dalam kotak penalti yang membuatkan pengadil dari Uzbeskistan, Valentin Kovalenko melayangkan kad merah. Kecekapan Khairul Fahmi menyelamatkan keadaan apabila dia berjaya menangkap kemas bola sepakan penalti yang diambil Wahid Mohammed Mohammed Al-Khyat sebelum jaringan Amri menyusul sepakan bebas Hafiz Kamal yang gagal ditampan kemas oleh penjaga gol lawan dengan menanduk masuk. Yemen bagaimanapun tidak mengalah dengan percubaan jarak jauh A. Al-Sasi pada minit ke-23 hampir memecah kekebalan pintu gol negara tetapi mujur mengenai tiang sebelum usaha mereka menemui hasil pada babak kedua apabila Al-Sagori mudah menewaskan Khairul Fahmi di dalam kotak penalti. Ketika tuan rumah rancak mencari gol kemenangan, situasi bola mati menjadi punca kepada kemenangan Harimau Malaya selepas sepakan bebas yang diambil oleh Mohd. Nazrin Nawi dapat disambar oleh Fakri yang menggunakan lututnya bagi memastikan tiga mata menjadi milik Harimau Malaya. |
Pakistan sepatutnya boleh dihukum Posted: 05 Mar 2014 11:24 AM PST Raja Dr. Nazrin Shah beramah mesra dengan sebahagian bekas pemain hoki negara yang turut hadir dalam majlis penyerahan cek tajaan bagi kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Kuala Lumpur semalam. - Utusan/MOHD. NAJIB MOHD. NOR KUALA LUMPUR - Pakistan sepatutnya dikenakan tindakan kerana menarik diri da-ripada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah pada saat-saat akhir. Bagaimanapun, disebabkan tiada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas perbuatan seperti itu pada masa ini, gergasi hoki Asia itu terlepas daripada dikenakan sebarang hukuman. Bagaimanapun, mengambil pengajaran daripada perbuatan tidak berdisiplin Pakistan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bercadang mengenakan tindakan terhadap mana-mana pasukan yang mengulangi perkara sama pada masa hadapan. Penegasan itu diberikan oleh Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad, yang berkata MHC telah berbincang dengan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan cadangan itu diberikan sendiri oleh badan dunia itu dalam satu pertemuan di Kuantan. Kami telah berbincang dengan FIH semasa pertemuan di Pahang supaya tahun hadapan, mana-mana pasukan menarik diri pada saat akhir daripada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah dikenakan tindakan. Kemungkinan peraturan ini akan mula dilaksanakan pada kejohanan tahun hadapan dan pihak MHC akan menulis sendiri kepada pihak FIH jika peraturan ini kami kuat kuasakan. Sebelum ini pihak penganjur tidak pernah berdepan masalah sebegini (pasukan menarik diri di saat akhir), ada masalah pada pasukan itu sendiri yang memaksa mereka menarik diri dan apa sebabnya, kita tidak boleh beritahu pihak media," katanya dalam sidang akhbar majlis penerimaan penajaan Piala Sultan Azlan Shah di sini semalam. Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, berkenan berangkat ke majlis berkenaan dan menerima tajaan berjumlah RM1.85 juta untuk kejohanan edisi ke-23 itu, yang akan berlangsung 13- 23 Mac di Ipoh, Perak. Pakistan yang terlepas beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama membuat permohonan secara rasmi kepada MHC untuk menarik diri daripada kejohanan pada 23 Februari, kononnya disebabkan masalah kewangan. Tindakan Pakistan itu memaksa kejohanan Piala Sultan Azlan Shah akan hanya disertai enam pasukan iaitu juara bertahan, Australia, Korea Selatan, Kanada, China, Afrika Selatan dan tuan rumah, Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |