{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Mendokumentasi khazanah negara

Posted:

Mendokumentasi khazanah negara

Mendokumentasi khazanah negara

SARAWAK Chamber di Taman Negara Mulu mempunyai ruang bawah tanah terbesar di dunia hingga mampu menampung 40 buah kapal terbang Boeing 747.


HANYA 30 minit lagi, kakinya akan menjejak ke Taman Negara Mulu selepas menaiki penerbangan dari Miri, Sarawak.

Meskipun sudah lima kali berkunjung ke Mulu, Diana Rose, 40, masih teruja dan bersedia menerokanya semula.

Apa yang pasti, Diana mahu menikmati keindahan alam semula jadi di samping menyaksikan semula contoh terbaik luluhawa batu kapur tropika termasuk kawasan rabung batu kapur yang tajam, ngarai dan curam hingga digelar sebagai The Pinnacles itu.

Menariknya, kata Diana, taman negara tersebut memiliki bentuk geografi yang unik terdiri daripada gua batu kapur, lingkaran air batu yang jernih dan dilitupi oleh hutan dara tropika.

"Taman Negara Mulu bukan hanya untuk orang-orang yang inginkan ketenangan daripada kesibukan kota tetapi sesuai kepada mereka yang menginginkan kegiatan lasak.

"Taman negara ini juga menawarkan pelbagai aktiviti pilihan dalam meneroka keindahan Gunung Mulu termasuk trek mendaki yang sukar tetapi ia sangat berbaloi," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Diana yang berasal dari Mukah memberitahu, taman negara tersebut boleh dikunjungi menggunakan pesawat dari Miri dan terus ke Taman Negara Mulu.

Bagaimanapun, katanya, bagi yang inginkan cabaran, mereka boleh pergi ke Mulu menggunakan jalan lain iaitu menggunakan bot ekspres dari Kuala Baram, Miri ke Marudi dan kemudian ke Taman Negara Mulu.

Ceritanya, bagi yang pertama kali datang ke Mulu, pasti berasa kagum dengan rangkaian-rangkaian gua terpanjang di dunia yang terdapat di Mulu selain Sarawak Chamber iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia hingga mampu menampung 40 buah kapal terbang Boeing 747.


WARISAN Arkeologi Lembah Lenggong yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh, Perak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.


"Sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaan saya ketika pertama kali melawat Gua Rusa iaitu gua yang mempunyai terowong terbesar di dunia.

"Saya juga tertarik dengan Gua Air Jernih iaitu gua paling panjang di Asia Tenggara yang menjadi tempat tinggal berjuta-juta kelawar dan burung layang-layang yang berterbangan keluar menjelang waktu senja," jelasnya.

Begitulah pengalaman mengunjungi tapak warisan semula jadi yang mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu.

Taman Negara Mulu diwartakan sebagai Taman Negara pada 3 Oktober 1974 dan terletak di hulu Sungai Tutuh dengan keluasan 544 kilometer persegi dan ia dikategorikan sebagai warisan ketara di negara ini.

Itu cerita warisan ketara, lain pula ceritanya bagi warisan tidak ketara yang menumpukan kepada soal permainan, bahasa dan persuratan, busana, seni, makanan, lauk-pauk, perubatan tradisional, adat serta budaya.

Makanan warisan

Menurut Pakar Makanan yang juga selebriti, Cef Kamarul Hasni Che Ros, 39, perlu satu tindakan yang lebih ke depan dalam usaha mengangkat makanan-makanan di Malaysia sebagai warisan negara.

Misalnya, nasi lemak, kata Kamarul, makanan tersebut seharusnya sudah diangkat sebagai warisan negara memandangkan ia sudah menjadi makanan ruji kepada seluruh lapisan masyarakat di Malaysia.

"Nasi lemak bukan lagi makanan pilihan, tetapi menjadi makanan wajib seb6agai sarapan pagi di negara ini bahkan hidangan itu turut dimakan pada waktu lain termasuk tengah hari, petang dan malam.

"Jadi, tidak salah jika makanan seumpama ini diangkat sebagai makanan warisan negara. Jangan nanti ada negara lain seperti Singapura, Indonesia mahupun Brunei mendapatkan hak warisan terhadap makanan itu dan akhirnya kita berputih mata," ujarnya.

Kamarul menegaskan, negara lain sentiasa berusaha untuk mengangkat makanan-makanan yang ada di negara mereka sebagai warisan hinggakan ada hidangan yang mengambil sempena nama negara itu sendiri seperti mihun Singapura.

Selain Singapura katanya, Indonesia turut mempunyai nasi lemak yang dipanggil nasi uduk, meskipun ada sedikit perbezaan tapi ia banyak persamaan dengan sajian berkenaan.

"Malaysia selalu terkebelakang dalam soal mengiktiraf atau mendapatkan hak dan paten makanan sebagai warisan negara selain kurang mendokumentasikan khazanah-khazanah seumpama itu.

"Seharusnya, pihak yang bertanggungjawab perlu bekerjasama dengan pemain industri untuk mencari mekanisme bagaimana untuk mengangkat warisan-warisan negara ini," katanya yang turut mencadangkan perlu ada piawaian dan keseragaman dalam usaha untuk menjadikan nasi lemak sebagai warisan tidak ketara itu.


MEK Jah mempersembahkan tarian makyung yang diiktiraf sebagai warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 2005.


Iktiraf

Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Rosnan Abdul Rahman, 41, sependapat dengan Kamarul bahawa warisan negara seharusnya didokumentasi serta dibukukan supaya tidak luntur dek panas, tak lekang dek hujan.

Rosnan yang merupakan satu-satunya pakyung lelaki dalam seni persembahan teater tradisional makyung memberitahu, masih banyak bidang seni dan budaya di negara ini yang belum lagi diangkat atau diiktiraf sebagai warisan negara seperti makyung yang mendapat pengiktirafan daripada UNESCO pada tahun 2005.

Antara kebudayaan dan kesenian yang boleh diangkat sebagai warisan ialah wayang kulit, mek mulung, tarian barongan, tarian asyik, tarian hadrah, gamelan, ghazal, dikir rebana, boria, dikir barat, cak lempung dan sebagainya.

"Makyung misalnya, adalah satu-satunya bentuk kesenian rakyat negara ini yang telah diangkat menjadi antara warisan dunia sekali gus memperlihatkan betapa tinggi nilainya.

"Justeru, kita mahu warisan kesenian dan kebudayaan lain di negara ini turut mendapat pengiktirafan yang sama dan harus dipertahankan dari generasi ke generasi seterusnya," katanya yang pernah mewakili Malaysia mengadakan persembahan di New York, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.

Dalam pada itu, Rosnan menjelaskan, di negara-negara luar terdapat panggung tradisional yang khusus untuk persembahan kebudayaan mereka seperti persembahan opera di China serta kabuki di Jepun yang identitinya dikenali seluruh dunia.

"Di Malaysia, kita tidak ada panggung khas untuk makyung sedangkan ia sudah bertaraf warisan dunia. Saya berharap kita tidak hanya menang pada nama, tetapi kita juga harus menang dalam mempersembahkan warisan budaya sendiri kepada dunia luar," katanya.

Mahu pertahan warisan Malaysia

Posted:

Mahu pertahan warisan Malaysia

Mahu pertahan warisan Malaysia


PERSEMBAHAN dikir barat merupakan warisan tidak ketara negara yang perlu mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.


SEBAGAI sebuah negara yang bukan hanya memiliki keindahan alam semula jadi, bahkan turut kaya dengan warisan serta sejarahnya, Malaysia harus memelihara dan memulihara warisan asli milik rakyat agar tidak hilang dek arus pembangunan.

Disebabkan alasan-alasan ini, timbulnya idea daripada Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim untuk mewujudkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan dikenali sebagai Yayasan Warisan Negara.

Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemubual orang kuat Yayasan Warisan Negara iaitu Pengerusinya, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf bagi mengupas peranan serta fungsi organisasi yang baharu ditubuhkan pada awal tahun ini.

Yayasan Warisan Negara dibiayai oleh Yayasan Al-Bukhary. Kamaruddin menjelaskan, penubuhan yayasan ini bertujuan untuk meningkatkan dan mengekalkan kesedaran terhadap pemuliharaan dan pembangunan warisan lampau di Malaysia dan alam Melayu (Nusantara) dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, peninggalan warisan boleh dikategorikan dalam bentuk sama ada bersifat ketara mahu pun yang tidak ketara.

"Untuk tujuan itu, yayasan akan bergerak menerusi promosi, menggunakan media massa sama ada dengan kerjasama media tempatan mahu pun alam Nusantara dan arena antarabangsa bagi melakukan usaha-usaha penyelidikan, pemulihan, seminar dan sebagainya.

"Kerjasama ini turut merangkumi pembabitan pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan dengan peninggalan warisan terutamanya Jabatan Warisan Negara, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, NGO, individu, swasta dan awam," katanya ditemui di Pejabat Yayasan Warisan Negara di Bangunan Yayasan Al-Bukhary, di Kuala Lumpur.

Kesedaran

Selain itu, Kamaruddin memberitahu, yayasan juga berperanan untuk menyedarkan masyarakat tempatan, nusantara mengenai kepentingan sejarah dan artifak negara dinilai, dipelihara untuk generasi akan datang.

Katanya, sebagai warisan negara, ia bukan sahaja berkaitan dengan sejarah atau masa lampau, namun ia berkait rapat dengan proses pembentukan negara.

Tambahnya, ia juga berkait dengan semangat cintakan negara di samping menyemat jati diri bangsa memandangkan budaya dan bangsa saling berkaitan.

"Justeru, yayasan dengan kerjasama agensi kerajaan terutama Jabatan Warisan Negara akan memastikan usaha dan dasar kerajaan dalam memelihara, mempertahan dan menjaga warisan ini dapat dicapai.

"Secara tidak langsung, langkah itu dilihat penting sebagai galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan di samping memberi nilai tambah kepada pendapatan ekonomi negara," ujar beliau.

Kamaruddin menambah, negara yang memelihara dan mempertahankan warisannya seperti Jepun, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia telah menjadikan rakyatnya mempunyai jati diri yang kuat, memiliki semangat cintakan bangsa dan negara yang cukup tinggi.

Apa yang pasti, beliau menegaskan, objektif kewujudan yayasan tersebut sudah tentunya untuk mengangkat warisan negara ke persada antarabangsa selain membuka mata dunia bahawa Malaysia memiliki peninggalan warisan bernilai tinggi.


KAMARUDDIN menerusi Yayasan Warisan Negara komited dalam memelihara dan mempertahankan warisan negara.


Kesedaran

Untuk mencapai usaha tersebut katanya, Yayasan Warisan Negara telah merancang dan melaksanakan program berkaitan warisan dalam usaha meningkatkan kefahaman serta kesedaran rakyat untuk memelihara dan mempertahankan warisan.

"Kita juga akan meningkatkan jaringan dan kerjasama pertukaran maklumat atau penerangan kepentingan bersama melalui NGO, komuniti rakyat serta media massa tentang apa juga yang berkaitan dengan warisan.

"Pada masa sama, yayasan akan menjalankan program pertukaran tenaga penyelidik, promosi dan memberi bentuk bantuan kepada persatuan-persatuan yang aktif dalam menjaga dan mempertahankan peninggalan warisan," jelas beliau.

Selain itu kata Kamaruddin, yayasan akan mengadakan aktiviti yang memberi peluang serta ruang kepada pencinta warisan untuk menimba pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dalam bidang-bidang warisan budaya seperti ukiran, batik dan sebagainya bagi memastikan ia dapat dipertahankan.

"Kita akan berusaha untuk menerbit serta mendokumentasikan warisan negara dengan memberi bantuan dalam bentuk geran dan sumbangan kepada para pengkaji dan penyelidik dalam bidang berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, warisan negara terbahagi kepada tokoh orang hidup, warisan ketara serta warisan tidak ketara.

Warisan yang melibatkan tokoh orang hidup ialah seperti Datuk Ramli Ibrahim yang pakar dalam tarian klasik India, Puan Mek Jah Deris (Mak Yong) dan Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat).

Bagi warisan ketara membabitkan bentuk warisan arkeologi, semula jadi, seni bina, seni halus dan objek ketara.

Sementara itu, warisan tidak ketara pula adalah permaianan tradisi dan pertahanan diri; bahasa dan persuratan; busana, tekstil, seni hias diri dan kraf, seni persembahan, makanan warisan kuih-muih dan manisan, lauk-pauk, perubatan tradisional serta adat dan budaya.

Sebanyak empat tempat di Malaysia telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu bandar raya bersejarah Melaka dan George Town sebagai tapak warisan budaya manakala Lembah Lenggong (tapak warisan arkeologi).

Dua lagi tapak warisan dunia adalah Taman Negara Mulu dan Taman Negara Kinabalu yang dikategorikan sebagai tapak warisan semula jadi.- SOPI SAMAILE

Manfaat kitar semula di Nigeria

Posted:

Manfaat kitar semula di Nigeria

Manfaat kitar semula di Nigeria

Setiap kali mengumpulkan barang kitar semula, masyarakat di Nigeria bakal menerima hadiah melalui skim Wecyclers.


ADEBIYI (lima dari kiri) menerima anugerah Inisiatif Cartier Wanita, Oktober lalu.


LAGOS, bandar terbesar di Nigeria dengan kepadatan penduduk kira-kira 20 juta menghasilkan lambakan sisa buangan sehingga 10,000 tan metrik sehari.

Sisa tersebut boleh dilihat berlapis-lapis di kawasan jalan yang sibuk selain terapung di permukaan pembetungan terbuka.

Sehingga kini, dianggarkan 40 peratus daripada sisa buangan di bandar raya itu dikumpul dan dibawa ke pusat pengumpulan sampah sebelum pengutip sampah mengambilnya untuk dijual.

Bagaimanapun, satu skim yang baru dilancarkan diharapkan dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Menerusi skim berkenaan, insentif diberikan kepada mana-mana pihak yang menyumbang barangan buangan seperti botol plastik, beg dan tin.

Skim 'Wecyclers' merupakan idea Bilikiss Adebiyi untuk menangani masalah sisa buangan di bandar itu ketika sedang menuntut di peringkat Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Amerika Syarikat.

"Orang ramai maut akibat bencana banjir kerana perbuatan membuang sampah sarap sehingga sistem perparitan tersumbat.

"Selain itu, bahan kimia daripada plastik dibiarkan reput dalam tanah memburukkan lagi keadaan. Mereka tidak faham bahawa wujud proses dan kaedah yang betul untuk melupuskan sisa buangan itu," tegasnya yang merupakan graduan Pengurusan MIT Sloan School dan bekas jurutera perisian IBM.

Adebiyi memberitahu, bahan kimia daripada plastik turut memberikan kesan negatif terhadap kesihatan, mata pencarian dan produktiviti.

Dalam pada itu, skim Wecyclers yang diwujudkan sejak 18 bulan lalu dengan sokongan daripada sebuah pertubuhan awam, Pengurusan Sisa buangan Autoriti Lagos (LAWMA), lazimnya menguruskan pengumpulan bahan buangan dan penaja yang ingin membantu.


HASIL sisa kitar semula dikumpulkan di Surulere.


Basikal

Melalui kerjasama tersebut, Wecyclers berjaya mengumpulkan hampir 200 tan metrik sisa buangan daripada kira-kira 5,000 isi rumah. Kesemua sisa buangan berkenaan dikutip menggunakan basikal.

Wecyclers mempunyai cara tersendiri dalam usaha mengumpulkan sisa buangan dari setiap kawasan perumahan dan perniagaan sehingga melalui jalan paling terpencil.

Pengutip berbasikal akan ke setiap rumah untuk mengumpul dan menimbang sisa buangan yang dikumpulkan.

Setiap kilogram (kg) sampah adalah bernilai bagi membolehkan penduduk memenangi hadiah menerusi setiap kutipan mata terkumpul.

"Kitar semula bukanlah perkara asing, namun kita mempunyai kesedaran yang rendah dalam konteks ini bahkan mereka tidak tahu apakah itu kitar semula.

"Inilah sebabnya, kita memperkenalkan sistem insentif melalui pungutan mata supaya mereka boleh menebus barang berharga," jelas Adebiyi.

Setiap isi rumah boleh menebus mata dengan barangan seperti makanan, kelengkapan dapur termasuk pengisar, kad prabayar atau wang tunai.

Malah, terdapat klien yang berjaya menebus mata tersebut dengan penjana elektrik yang merupakan barangan mewah berikutan gangguan elektrik sering berlaku di bandar itu.

Ademiyi berkata, kaedah itu bukan sahaja menghargai klien malah, mampu mendidik mereka memelihara alam sekitar. Ia juga menggalakkan lebih ramai rakyat melakukan kitar semula.

Manfaat

"Insentif ini sering menjadi topik utama dalam kalangan klien. Kami biarkan mereka teruja mengumpul barang kitar semula dan menerima manfaat.

"Kebaikan yang mereka peroleh ialah kebersihan dan mengurangkan kadar kekerapan banjir serta faktor kesihatan," tambahnya.

Setiap sisa yang dikumpul akan dihantar ke sebuah kawasan yang disewa oleh LAWMA di Surulere. Setiap sisa kemudiannya diasingkan sebelum dijual kepada kilang kitar semula.

Bahan plastik yang dikitar semula dijadikan isi bantal dan tilam, gentian tekstil, plastik sampah serta selipar manakala tin timah dicairkan untuk digunakan dalam penghasilan produk aluminium.

Projek berkenaan semakin terkenal hingga Oktober tahun lalu, Adebiyi menerima anugerah Inisiatif Cartier Wanita iaitu sebuah anugerah mengiktiraf keusahawanan wanita di serata dunia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat