Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Tiada lagi isyarat kotak hitam
- Paip minyak bocor punca bekalan air terjejas
- Kenderaan robotik boleh bergerak sedalam 4,500 meter
Tiada lagi isyarat kotak hitam Posted: Tiada lagi isyarat kotak hitam
PERTH - Memasuki hari ke-36 misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi, tumpuan kini bagi pengerahan Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat Blue Fin 21 kerana dikhuatiri bateri kotak hitam telah kehabisan berikutan tiada isyarat dikesan pasukan mencari bagi tempoh 24 jam lepas. Dua isyarat getaran akustik dikesan pada Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield manakala satu isyarat dikesan pesawat Australia AP-3C Orion pada Khamis lalu disahkan tidak ada kaitan dengan alat pengesan isyarat pesawat di bawah permukaan air. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata, bagi misi mencari semalam, kapal Ocean Shield terus menumpukan usaha untuk mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat dengan menggunakan alat pengesan pinger ditunda. Menurutnya, AP-3C Orion turut meneruskan misi pencarian akustik, bersama-sama kapal Ocean Shield dan kapal oseanografi HMS Echo. "Tiada sebarang pengesanan akustik disahkan dalam tempoh 24 jam lepas," menurut JACC dalam kenyataan semalam. Pihak JACC berkata, sembilan pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 14 kapal terbabit dalam misi mencari MH370 di Lautan Hindi semalam, melibatkan kawasan seluas kira-kira 41,393 kilometer persegi. Kawasan pencarian bertumpu di sekitar kira-kira 2,331 kilometer barat laut Perth, katanya. "Berdasarkan ramalan cuaca hari ini (semalam), tiupan angin dari arah tenggara selaju 10 knot dan hujan sekejap-sekejap, ombak setinggi satu meter dan jarak penglihatan lima kilometer dalam keadaan hujan," kata JACC. Menurut JACC, tiada sebarang objek yang diambil dari kawasan pencarian mempunyai kaitan dengan pesawat MH370. Pada Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC, Angus Houston berkata, Kenderaan Dalam Air Automatik akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan. Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat asal iaitu 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran. Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April lalu manakala kapal Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April lepas. Kotak hitam merekodkan data perbualan di kokpit dan data penerbangan mungkin memberikan jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama. Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan sebelum beralih ke selatan Lautan Hindi. Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit milik United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth. - Bernama | |
Paip minyak bocor punca bekalan air terjejas Posted: Paip minyak bocor punca bekalan air terjejasDUA penduduk mengangkat kotak mengandungi botol-botol air minuman yang dibeli dari sebuah pasar raya di Lanzhou, China kelmarin. - AFP BEIJING - Sebatang paip minyak yang bocor telah menyebabkan tahap bahan kimia benzena yang mudah terbakar meningkat dengan banyak dalam saluran paip air bersih di bandar Lanzhou, China. Kebocoran itu sekali gus telah mencemarkan sumber bekalan air bersih di bandar tersebut. Menurut agensi berita Xinhua semalam, paip minyak itu dikendalikan Perbadanan Petroleum Kebangsaan China milik kerajaan negara ini. Pihak perbandaran Lanzhou menyatakan, ia kini memantau tahap kandungan benzena di dalam paip air bagi memastikan keselamatan penduduk awam. Ekoran tindakan pihak berkuasa memutuskan bekalan air di bandar itu, penduduk sanggup beratur di kedai-kedai untuk membeli botol air minuman sejak kelmarin. Sebanyak 2.4 juta penduduk di bandar Lanzhou, barat laut China terjejas kerana mereka tidak mendapat bekalan air bersih. - AP | |
Kenderaan robotik boleh bergerak sedalam 4,500 meter Posted: Kenderaan robotik boleh bergerak sedalam 4,500 meterGAMBAR fail menunjukkan Kenderaan Dalam Air Automatik, Blue Fin 21 diangkat ke atas kapal Ocean Shield milik Australia pada 1 April lalu. PERTH - Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat iaitu Blue Fin 21 boleh bergerak sedalam 4,500 meter ke dalam Lautan Hindi. Ia yang merupakan kenderaan robotik akan dihantar ke dasar Lautan Hindi selepas para pegawai yang terlibat mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak lagi menemui isyarat getaran yang pernah dikesan sebelum ini. Isyarat getaran yang sebelum ini dikesan beberapa kapal pencari pesawat MH370 itu dikesan datang dari kedalaman 4,500 meter di selatan Lautan Hindi. Kawasan pencarian kotak hitam MH370 itu terletak sejauh 2,300 kilometer dari timur laut Perth. Kenderaan robotik itu akan mengambil masa enam minggu hingga dua bulan untuk mencari di zon kawasan pencarian pesawat MH370 itu. Sebanyak 10 buah pesawat dan 14 buah kapal terlibat dalam misi mencari kapal terbang MH370 itu semalam. - AP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |