Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: KD, Ratu Cinta & keluarga
PETANG Isnin lalu, berbumbungkan langit kelabu dan beransur-ansur pecah rintik hujan, figura jelita dari Indonesia, Kris Dayanti hadir memasuki ruang Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Mungkin ada ironinya dengan renyai hujan yang turun berderai, KD sebak mengenangkan tragedi pesawat MH370 milik syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang sehingga kini masih belum bertemu jalan pasti. "14 tahun saya bersama penerbangan MAS dan apabila suami saya memberitahu berita pesawat hilang, saya sangat terkejut. Apatah lagi setelah mendapati ia sebuah pesawat besar yang ada 239 penumpang. "Saya mengambil kesempatan mewakili teman-teman artis di Indonesia merakamkan ucapan takziah dan perasaan dukacita atas tragedi ini. "Serentak dengan itu saya merancang untuk membikin sebuah lagu tribute kepada mangsa dan keluarga tragedi pesawat MH370. Besar harapan saya agar Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search dapat bergabung sama nanti," mula butir katanya melayangkan perasaan sayu pada sidang akhbar Minggu Setiausaha PICC di Putrajaya baru-baru ini. Cemburu Kali terakhir, kata KD, dia menjejakkan kaki ke Malaysia adalah pada tahun 2009 untuk memenuhi undangan nyanyian. Sejak itu, dia 'berehat' sehingga kembali dijemput untuk memeriahkan majlis yang akan berlangsung pada 16 dan 17 April depan. Datuk Rossa antara penghibur dari Indonesia yang mendapat perhatian hingga dikurniakan gelaran 'datuk'. Mungkin KD pernah rasa cemburu akan pencapaian cemerlang golongan artis baharu di Malaysia? "Cemburu? Pastinya tidak kerana itu rezeki masing-masing. Kalau benar saya cemburu pun kerana mereka punyai suara yang sedap. "Sememangnya di Indonesia susah untuk karyawan (artis) membuat persembahan contohnya konsert kerana kekurangan tempat, sekurang-kurangnya kami perlu tunggu dua tahun tapi di Malaysia, syukur Alhamdulillah, artis dari Indonesia diberikan platform untuk membuat persembahan," getusnya. Ahmad Dhani bikin panas Terdahulu, KD pernah diburu kontroversi empat tahun lalu apabila perkahwinannya bersama penyanyi Anang Hermansyah yang dibina sejak tahun 1996 berakhir selepas dikurniakan dua cahaya mata, Azriel, 15, dan Aurel, 13. Tidak cukup dengan cerita perselingkuhan dengan gitaris Tohpati, Dicky Wahyudi dan cucu presiden Indonesia, Ari Sigit, KD menjalinkan hubungan pula dengan usahawan dari Timor Leste, Raul Lemos yang menjadi suaminya kini. Kisah sensasi itu bagaimanapun kembali diungkit oleh juri Indonesian Idol, Ahmad Dhani yang menyindir Anang selepas seorang peserta menyanyikan lagu Unfaithful pada konsert program realiti televisyen itu pertengahan Mac lalu. SUDAH berusia 39 tahun, KD menyatakan dia juga mempunyai hasrat untuk memakai hijab. Terkesan dengan kata-kata itu, ujar KD, dia enggan memanjangkan cerita tapi menasihatkan agar semua pihak menghormati privasi dan tidak memanaskan kisah silam itu. "Saya fikir itu tidak elok, jadi saya sampaikan ketidakselesaan saya kepada suami saya dan dia sudah menegur Ahmad Dhani secara berhemah. "Kami ada anak-anak yang sudah dewasa dan mereka menonton acara besar itu sekali gus nampak tidak baik. Sebagai ibu bapa kami mahukan yang terbaik untuk masa depan anak-anak. "Ahmad Dhani juga sudah meminta maaf atas kealpaan dan silap bicara itu. Memang akan memakan masa untuk masyarakat melupakan kisah yang pernah terjadi, tapi jangan membenci sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu," tegasnya. Keluarga Menerusi perkahwinan KD bersama Raul Lemos, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ariannha Amora, 2, dan Kellen Alexander, 1 tahun 3 bulan. Bercerita mengenai kebahagiaan, KD menjelaskan anak-anak dan keluarga menjadi keutamaannya malah dia bersyukur diberikan peluang kedua untuk menjadi ibu dan isteri. "Anak-anak menjadi keutamaan saya dan membuatkan saya berbangga menjadi seorang wanita. Bukan kerana saya seorang diva atau penyanyi popular tapi kerana berjaya melahirkan empat cahaya mata. "Perkara terindah yang berlaku dalam hidup saya adalah saya tiada waktu untuk bersedih. Saya dapat sokongan daripada suami saya sepanjang masa dan berpeluang untuk kembali mencintai keluarga dan hamil lagi pada usia tidak muda. "Saya yakin Allah dekat dengan saya dan syukur diberikan kesempatan untuk kehidupan kedua serta kembali menguruskan suami dan anak-anak. "Walau secara kasarnya, Azriel dan Aurel (anak hasil perkahwinan dengan Anang) jauh dari mata, tapi saya sering memantau mereka. Dulu saya tidak berpeluang mendukung anak saya sebab terlalu sibuk dengan undangan nyanyian, tapi peluang kedua kali ini membuatkan saya lebih menghargai kehidupan," katanya yang mendapat keizinan Raul untuk kembali menyanyi. Berhijab Genap usia 39 tahun pada 24 Mac baru-baru ini, KD mengakui banyak pelajaran yang dikutip sepanjang hayatnya. Terjentik pangkal hatinya untuk bertudung tapi biarlah benar-benar ikhlas, kata KD. "Akhirat tujuan sebenar saya, Insya-Allah sampai masa nanti saya akan berhijab. Ada peminat saya dari Pekan Baru menghantarkan hijab kepada saya dan selepas memakainya, hijab itu terus dipasarkan atas nama saya tiga hari kemudiannya. "Mungkin itu petanda yang Allah cuba tunjukkan saya jalan. Saya senang dengan perkara ini dan sudah pasti saya mahu berhijab. "Apabila usia menginjak tua, tanggungjawab pun semakin besar dan perlu menjadi lebih bijaksana pada masa akan datang. Insya-Allah, apabila berhijab suami saya mungkin lebih tenang," tuturnya. | ||
Posted: Sinar baharu Radhi OAGOleh MOHD. IZUAN ROSELI
KELIBAT vokalis utama kumpulan OAG, Radhi kelihatan menyerlah dalam kalangan tetamu yang berada di Bilik Nikah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Perasaan gemuruh terpancar pada wajahnya. Namun wajahnya kelihatan tenang, sentiasa tersenyum melayan kerenah saudara-mara yang hadir memeriahkan pada majlis penuh bermakna buat dirinya itu. Majlis akad nikah serba sederhana yang dihadiri saudara-mara terdekat menggamatkan lagi suasana majlis tersebut. Pasangan mempelai yang mengenakan busana putih tampak berseri dek aura raja sehari. Tepat pukul 10.30 pagi, dengan sekali lafaz, Radhi, 26, sah bergelar suami kepada model sambilan, Nur Shahirah Ayu Zahiri, 20. Majlis akad nikah yang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar masjid tersebut, Mohd. Firdaus Subhi itu diwalikan bapa kandung kepada pengantin perempuan, Zahiri Kitan. Sebelum majlis tersebut berlangsung, Radhi dan Nur Shahirah melangsungkan acara merisik dan pertunangan. Pada masa yang sama, rombongan lelaki turut membawa 12 dulang barangan hantaran, dibalas 15 dulang daripada pihak perempuan. Pada majlis tersebut, Nur Shahirah menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta wang hantaran sebanyak RM30, 000. Antara barangan hantaran mempelai lelaki termasuk sejadah, barangan solekan, senaskhah al-Quran dan set barang kemas manakala pengantin perempuan membalasnya dengan sirih junjung, buah-buahan, jubah dan tali pinggang. Harapan baharu Mengimbas kembali perkenalannya dengan Nur Syahirah, ujar Radhi, kehadiran gadis tersebut membawa sinar baharu dalam kehidupannya. "Sepanjang perkenalan kami, dia (Nur Syahirah) merupakan orang yang bertanggungjawab untuk membimbing saya ke jalan yang benar. "Dia merupakan semangat saya untuk terus berjuang melawan najis dadah suatu ketika dahulu. "Saya amat bersyukur kerana kehadirannya banyak membawa perubahan dalam hidup saya. "Walaupun saya kini masih lagi menjalani pemulihan di rumah Pengasih (Persatuan Pengasih Malaysia), dia tetap berada bersama saya," ujar Radhi ketika ditemui, usai majlis tersebut berlangsung, semalam. Tambah Radhi, Nur Shahirah juga merupakan seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Walaupun jarak usia mereka mencecah 15 tahun, namun, keserasian yang ada antara mereka menguatkan lagi hubungan cinta yang sudah terjalin sejak empat tahun dahulu. "Saya mengakui dia masih muda, namun sifat dan perangainya lebih matang daripada saya. Dia selalu menasihati saya dalam pelbagai hal termasuk melibatkan hal kerja saya. Sementara itu, Nur Shahirah tersenyum ketika ditebak soalan tentang sebab dia memilih Radhi sebagai suaminya. "Radhi merupakan seorang yang bertanggungjawab dan penyayang. "Dia tidak pernah lupa kepada tangungjawabnya untuk menjaga saya dan juga anaknya sebelum ini. "Walaupun mempunyai perwatakan gila-gila, saya rasa itulah yang menjadi kekuatan dalam hubungan kami," tuturnya yang kini aktif menggiatkan diri dalam perniagaan produk kecantikannya sendiri, Marini Signature. RADHI dan Nur Shahirah bergambar kenangan bersama Mohammad Refdi Muslim. Tambah Nur Shahirah, walaupun Radhi suatu ketika dahulu mempunyai kisah hitam yang tidak mungkin terpadam, dia reda dengan ketentuan Allah. Baginya, Radhi banyak berubah daripada dahulu sehingga sekarang. "Saya kagum dengan perubahan dirinya. Jika tidak ada daya usaha yang tinggi untuk berubah, nasihatlah macam mana pun dan perkara sama akan berulang. "Namun, Radhi kali ini saya nampak dia nekad untuk berubah. Saya sebagai isteri akan sentiasa di sisinya," ujar Nur Shahirah. Ketika ditebak soalan mengenai hala tuju perkahwinan mereka, ujar Radhi, dia bakal melantik isterinya untuk menjadi pengurusnya. "Memandangkan dia merupakan salah seorang yang paling rapat dan memahami diri ini, saya rasa dia yang layak untuk menjadi pengurus saya. "Di samping dapat melicinkan urusan pekerjaan, kami juga dapat meluangkan masa bersama," katanya yang bercadang untuk bercuti di Johor Bahru sebaik berakhir majlis pernikahannya itu. Sementara, menyentuh tentang majlis resepsi yang akan diadakan nanti, kata Radhi, dia dan isteri bercadang untuk mengadakan acara tersebut untuk kedua-dua belah pihak secepat mungkin. "Kalau tidak ada aral melintang, kami bercadang untuk mengadakan majlis resepsi pada Hari Raya Aidilfitri (yang jatuh pada 28 Julai ini) untuk kedua-dua belah pihak. "Namun, hal tersebut masih lagi dalam perbincangan. "Majlis tersebut akan diadakan secara sekali gus melibatkan kedua-dua pihak saya dan dia. "Agak sukar untuk merancang majlis ini memandangkan keluarga saya menetap di Kuching, Sarawak," tuturnya. Restu bekas isteri Radhi pernah melayari bahtera suatu ketika dahulu dengan bekas isterinya, Nur Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005. Namun ikatan perkahwinan mereka terputus di tengah jalan apabila mereka bercerai pada 8 Jun 2010. Radhi berkata, dia bersyukur hubungan dengan bekas isterinya, Nur Shazlin kini masih baik dan komitmen mereka bersama untuk membesarkan anak mereka yang berusia lapan tahun, Mohammad Refdi Muslim, tidak pernah diabaikan kedua-dua pihak. "Dia (Nur Shazlin) mengucapkan tahniah sempena perkahwinan saya ini. "Bagaimanapun, dia ada menasihatkan saya supaya tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap anak kami itu," katanya. | ||
Lagu Kacang tidak sindir sesiapa Posted: Lagu Kacang tidak sindir sesiapaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
KREDIBILITI David Teo sebagai seorang penerbit sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Sejak menerajui Metrowealth pada tahun 2000, syarikatnya itu sudah menerbitkan lebih 100 buah filem. Malah, kebanyakan pelakon popular yang ada sekarang ini seperti Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lisa Surihani, Yana Samsuddin dan Nora Danish antara yang kerap tampil dalam filem terbitan syarikatnya. Namun begitu, di sebalik kesibukannya selaku seorang penerbit dan peneraju kepada Metrowealth, David memberitahu, dia juga bakal lahir dengan sebuah single baharu berjudul Kacang yang dinyanyikan secara duet bersama Fida Ibrahim. Kosmo! sempat menembual David yang ditemui semasa majlis pelancaran Dunia Sinema yang berlangsung di Menara TM, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kosmo!: Apakah yang membuatkan David tiba-tiba mahu menyanyi dan merakamkan single berjudul Kacang? DAVID: Sebelum ini saya sudah beberapa kali membuat penampilan khas dalam filem terbitan syarikat saya. Jadi, saya berasa sudah tiba masanya untuk mencuba bidang nyanyian pula. Ketika ini, rakaman single terbaharu saya berjudul Kacang baru sahaja selesai dilakukan dan ia dinyanyikan secara duet dengan Fida Ibrahim, manakala lagu berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh Cat Farish. Kenapakah memilih Fida sebagai rakan duet untuk lagu Kacang? Sebenarnya saya mula tertarik untuk memilih Fida kerana melihat gandingannya bersama Datuk AC Mizal menerusi lagu Apo Kono Eh Jang yang begitu mendapat sambutan baik peminat. Memandangkan Kacang merupakan sebuah lagu berentak rap, saya melihat Fida merupakan pilihan terbaik untuk berduet dengan saya. Menurut David, Kacang dicipta sepenuhnya oleh Cat. Jadi, kenapa anda menggunakan khidmatnya bagi menghasilkan lagu berkenaan? Saya memilih Cat kerana dia merupakan antara penyanyi rap yang berjaya di Malaysia dan kebanyakan lagu ciptaannya mendapat tempat di hati peminat. Setelah tertarik dengan kebolehan yang dimilikinya itu, saya lantas mengambil keputusan untuk menggunakan khidmatnya sebagai komposer. Lagipun saya memang serius merakamkan single ini dan sudah tentu saya mahu hasil yang terbaik. Kalau boleh, saya mahu lagu ini tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM). David memberitahu, antara lirik yang terkandung dalam lagu Kacang ialah 'kacang jangan lupakan kulit'. Adakah anda ingin menyindir mana-mana pihak menerusi lagu berkenaan? Saya tidak menyindir sesiapa pun kerana lirik tersebut disampaikan secara umum tanpa menuju kepada mana-mana pihak. Mesejnya mudah iaitu kalau sudah berjaya, jangan cepat lupa diri atau melupakan jasa individu yang sudah banyak membantu. Baru-baru ini salah seorang pelakon di bawah naungan Metrowealth iaitu Nina Iskandar mengumumkan dia sudah bertunang. Sedangkan sebelum ini timbul cerita yang mendakwa, artis Metrowealth dilarang bercinta selagi terikat dengan syarikat. Boleh David jelaskan mengenai perkara tersebut? Selama ini Metrowealth tidak pernah menghalang mana-mana artis di bawah naungannya untuk bercinta. Asalkan artis tersebut berterus-terang kepada saya dan memberitahu perkara sebenar sekiranya sudah bertemu dengan lelaki atau wanita pilihan masing-masing. Dalam kes Nina ini, ibu bapanya sendiri yang memaklumkan kepada saya tentang anak mereka yang ingin mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya dan saya langsung tiada masalah kalau diberitahu perkara sebenar. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |