{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Darah muda Miera Liyana

Posted:

Darah muda Miera Liyana

Darah muda Miera Liyana

MEMECAH masuk ke arus lakonan menerusi drama arahan Aziz M. Osman bertajuk Luna Fantasiku, ketika itu umurnya belum mencecah 16 tahun. Jiwa rangup yang dibuai emosi mentah itu terus mengalir secara laju apabila menyambut kepercayaan pengarah hebat, Mamat Khalid untuk beraksi dalam naskhah filem Apokalips X.

Populariti segera disemarakkan dengan imej seksi serta percintaan dari lokasi ke lokasi menjadikan Miera Liyana terkenal dengan nada negatif. Tahun-tahun pertama kemunculannya, Miera dilabel gadis sensasi.

Tergelak dan ketawa mengingatkan zaman remaja yang semakin ditinggalkan, Miera mahu menyelak halaman baharu. Di sebalik sifat gila-gila yang sarat dalam jiwanya, Miera punyai matlamat sementelah angka 21 sudah tertulis pada kotak usianya.

"Saya bukan lagi budak perempuan tetapi sedang menjadi wanita. Saya belum matang tetapi sedang berjalan ke arah itu," katanya sambil mengakui zaman remajanya tidak seperti gadis remaja yang lain.

Sambil mengambil posisi membetulkan duduknya, Miera menambah: "Masa remaja, saya tidak banyak masa dengan rakan-rakan sebaya kerana banyak waktu di lokasi penggambaran dan acara hiburan. Dahulu saya sedikit terkejut dengan dunia glamor. Saya ingat jadi pelakon itu kerja yang suka-suka.

"Waktu itu masih sekolah, cikgu-cikgu dan kawan-kawan pandang saya lain macam. Tapi sekarang saya mula sedar, berlakon itu kerja yang serius. Saya mahu jadi pelakon. Maksudnya saya, pelakon yang tahu apa itu lakonan dan bekerja dengan serius."

Pelakon hingusan

PERNAH terpalit banyak kontroversi, Miera Liyana mengakui, dahulu dia terlalu mentah menilai percaturan populariti. Kini, Miera semakin matang dan serius untuk menjadi seorang pelakon sejati.


Melihat perjalanan karier lakonannya sedang di landasan yang ada hala tuju, trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kategori filem yang dimenangi menerusi Anugerah Skrin 2013 jadi titik permulaan kepada metamorfosis Miera.

"Mula-mula orang nampak saya sebagai pelakon hingusan. Asyik jaja kisah cinta, seksi dan kontroversi tetapi saya okey sahaja sampailah saya dinilai dengan sebuah trofi anugerah. Dari situ saya mula sedar yang saya harus buktikan sesuatu. Setakat ini saya masih bukan lagi pelakon yang sebenar tetapi saya mahu jadi pelakon yang bagus," katanya yang kini muncul dapa filem Apokalips X di pawagam tanah air.

Apokalips X sepatutnya menjadi pemula kepada kemunculan Miera Liyana namun filem pertama yang dilakonkan empat tahun lalu itu bagaimanapun harus akur untuk menjadi penerus kredibiliti Miera sebagai anak seni.

"Saya memang mahu khalayak menonton filem Apokalips X. Itu filem saya. Saya tak tahu kenapa saya dipilih masuk ke dalam filem itu tetapi saya yakin Apokalips X sebuah filem unik. Rasanya tidak ada filem Mamat Khalid yang seserius filem Apokalips X," ujar Miera yang melakonkan watak Qi Qi dalam filem yang sudah ditayangkan sejak 3 April lalu.

Sedikit terkilan namun pasrah mengenai nasib filemnya yang terpaksa menangguhkan pratonton media serta tiada ruang promosi yang agresif disebabkan tragedi MH370, Miera akui, Apokalips X sebuah filem pertama seumpamanya yang dihasilkan pengarah tempatan.

"Saya hanya bawa watak kecil. Seorang gadis yang dihalang hubungan cinta dengan pemuda daripada kelompok yang lain, bagaimanapun watak itu penting dalam menggerakkan konflik dan plot keseluruhan.

"Ya, filem ini sepatutnya jadi pemula kepada kemampuan Miera Liyana, tetapi seronok juga dapat melihat hasil kerja yang dilakukan ketika masih mentah," katanya riang.

Tutup cerita cinta

Silir cinta Miera Liyana seperti mahu bertiup semula apabila ada desas-desus mengatakan dia kini sedang mengulit hubungan istimewa bersama pelumba kereta drift.

Sengaja mengusiknya yang sudah agak lama tidak disensasikan episod cinta, Miera ditebak tentang kebenaran dakwaan itu. Jika sewaktu bercinta dengan Lash Mokhtar dan Shahrizal Jaszle, mudahnya sahaja dia mengiakan isi hati namun, Miera kini sedikit berbeza.

"Betul juga, kenapa saya macam sudah tak seronok bercakap pasal cinta. Mungkin sebab tak ada hubungan yang benar-benar istimewa dengan mana-mana lelaki. Mungkin sebab umur pun sudah meningkat. Dahulu, ada teman lelaki sahaja sudah mula cakap pasal kahwin, kelakar.

"Sekarang, saya mahu fokus kerja. Kalau nak cari teman lelaki yang betul-betul, saya tak mahu lelaki pengongkong tapi pada masa yang sama, saya juga tak suka lelaki yang boleh saya kongkong. Biar sama-sama saling memahami, itu yang susah.

"Sekarang ini, nak kata saya cuba mengelak kontroversi, tidak juga tapi nak kurangkan memang ada. Sekarang saya memilih untuk berkawan sahaja," ujar Miera yang bagaimanapun mengakui sedang jatuh cinta terhadap sukan berlumba drift.

Banyak berkongsi kegilaan baharunya itu, pelakon yang sedang sibuk di lokasi drama bersiri 60 episod, Kusinero Cinta itu menjadikan drift sebagai hobi yang memberi kepuasan kepadanya.

"Saya anak kedua, sejak kecil saya mahu jadi seperti abang. Saya lasak dan tidak begitu menggemari permainan budak perempuan. Selama ini minat dengan kereta itu ada tetapi tidak mendalam seperti sekarang," katanya mula belajar drift secara profesional sejak lapan bulan lalu.

SEPI daripada sensasi kisah cinta, Miera kini mempunyai kecintaan baharu. Dia sudah lapan bulan menjadi fanatik sukan drift. Gara-gara drift, Miera dikatakan sedang menjalin hubungan dengan seorang pelumba kereta, namun cerita itu dakwanya sekadar gosip.


Pelantikannya sebagai salah seorang duta Drive M juga membuka laluan untuk Miera untuk beraksi sebagai drifter.

"Mana tahu suatu masa nanti saya boleh jadi pelumba drift pula," katanya berseloroh namun sempat berkongsi impian untuk mempunyai sebuah rumah produksi sendiri pada masa hadapan.

Lahir daripada golongan berada bukan satu alasan untuk Miera secara mudah memperoleh setiap kemahuannya. Tanpa lakonan, Miera sebenarnya sudah boleh meneruskan bisnes keluarga.

"Saya kena berusaha sendiri juga. Hajat nak ada rumah produksi itu memang disokong oleh keluarga tetapi saya kena tahu selok-beloknya dulu, kena kuatkan nama dulu.

"Sekarang ibu saya menjadi orang yang selalu ada di sisi. Dia orang paling layak saya percaya, dan dia juga sedang menyokong impian saya satu itu," optimis bunyinya kehendak Miera kali ini.

Otak saya rosak, otak Ayu segar - Radhi OAG

Posted:

Otak saya rosak, otak Ayu segar - Radhi OAG

Otak saya rosak, otak Ayu segar - Radhi OAG


RADHI dan Ayu bergambar bersama Mohd. Rifdhi usai majlis akad nikah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Jumaat lalu.


PERBEZAAN usia sebanyak 17 tahun bukan satu alasan untuk Radhi, 37, dan Nur Shahira Ayu Zahiri, 20, bersatu sebagai suami isteri.

Mereka selamat bernikah pada pagi Jumaat lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Ringkas dan sederhana, namun majlis bertemakan serba putih yang hanya dihadiri kira-kira 100 tetamu daripada keluarga serta rakan terdekat itu cukup bererti buat Radhi dan isterinya yang mesra disapa Ayu.

Mereka menyulam cinta selama empat tahun dan dalam tempoh itu, Radhi banyak menghabiskan masa untuk membebaskan diri daripada ketagihan dadah di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur.

"Saya bersyukur sangat kerana perancangan kami berjalan lancar. Selepas ini kami tidak akan ditanya lagi tentang perkahwinan. Saya harap pernikahan kedua saya ini akan berkekalan. Ayu ialah tulang belakang saya selama ini.

"Otak saya sudah banyak yang rosak akibat dadah tetapi Ayu, otaknya masih segar dan muda. Dia seorang yang tenang dan boleh mendamaikan saya apabila saya berada dalam tekanan.

"Kadang-kadang saya rasa, sikapnya yang tenang dan matang itulah yang jadi penyelamat hidup saya selama beberapa tahun ini," jelas Radhi.

Tiga tahun 'bersih' sepenuhnya daripada ketagihan dadah, Radhi mulanya berdepan kesukaran untuk meyakinkan keluarga Ayu bahawa dia mampu menjadi suami terbaik buat wanita muda itu.

"Prosesnya agak lama juga tetapi sejak mula berkenalan, perkara utama yang saya lakukan ialah bertemu ibu dan ayah Ayu. Kali pertama bertemu tiga tahun lalu, saya sudah menyatakan hasrat itu.

"Lama-lama mereka boleh terima saya bahkan saya pernah berubat untuk bersihkan diri daripada dadah daripada ayah Ayu," cerita Radhi yang merancang mengadakan majlis resepsi mereka selewat-lewatnya Disember nanti.

Tersenyum dan manis dalam busana rekaan Shawn Sinar Sutra, Ayu tentunya cukup mengenali siapa Radhi sebelum bulat hati menerima penyanyi yang popular dengan lagu Generasiku itu.

"Sebenarnya saya mula-mula kenal Radhi sewaktu saya berumur 15 tahun. Ketika itu saya masih bersekolah. Setiap hari jalan kaki ke sekolah dan ke kelas tuisyen, setiap hari juga ibu berpesan supaya hati-hati, jangan nakal dan jangan bercampur dengan budak dadah.

"Akhirnya saya jumpa juga dengan Radhi yang ambil dadah, tetapi masa itu dia sudah mahu berubah. Saya banyak belajar daripada Radhi.

"Dia cerita zaman mudanya yang hampir musnahkan dirinya. Dari situ, dengan sendiri saya rasa tak guna saya habiskan zaman remaja saya untuk bersosial semata-mata.

"Saya senang dengan dia, dia teladan yang baik untuk saya," jelas Ayu yang mengakui sifat penyayang dan ambil berat Radhi membuatkan dia sedikit demi sedikit jatuh cinta terhadap lelaki itu.

"Kata-kata Ayu buat saya tekad masuk Rumah Pengasih. Dia kata, saya hanya bercakap tetapi buatnya tidak," celah Radhi.

Bagi Ayu, anak bongsu daripada tujuh beradik menyifatkan sikap Radhi yang gila-gila dan simple salah satu punca dia tidak pernah menimbulkan jurang komunikasi mereka sebagai kekasih mahupun kini selepas bergelar suami isteri.

"Rasanya karakter Radhi tidak menampakkan beza usianya dengan saya.

"Memang saya muda tetapi saya bukan jenis yang gila-gila sangat, harap kami boleh saling memperbaiki diri antara satu sama lain," kata Ayu yang kini berjinak-jinak untuk menguruskan karier dan bisnes kecil-kecilan bersama Radhi.

Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, pernah bernikah dengan Shazlin Sharif pada Januari 2005 namun bercerai pada Jun 2010. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd. Rifdhi Muslim, 8.

Hanez Suraya pasang bodyguard

Posted:

Hanez Suraya pasang bodyguard

Hanez Suraya pasang bodyguard


TENAGA penting teater Projek Kahwin bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani (barisan belakang, dua dari kanan).


KONTROVERSI cinta dengan suami orang begitu besar impaknya terhadap Hanez Suraya. Kata-kata cacian, sumpah-seranah, cemuhan dan pandangan jelik sudah menjadi makanan buat pelakon yang popular dengan watak-watak antagonis itu. Sepintas lalu, ada yang mudah mengagak, karier lakonan Hanez sudah sampai ke penghujung usia.

Namanya digugurkan daripada terus menjadi jurucakap produk kecantikan AuraWhite. Tidak mahu memburukkan keadaan, Hanez sendiri mengundur diri daripada terlibat dalam acara Anugerah Bintang Popular. Tidak habis di situ, situasi yang sama jugalah membuatkan pelakon Love You Mr Arrogant itu berkira-kira untuk menarik diri daripada terlibat dalam teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan pada Jun nanti.

Namun, selepas perbincangan dan kata sepakat yang dibuat, pihak produksi tetap mahukan Hanez sebagai peneraju utama dalam pementasan itu nanti.

"Memang pada mulanya, saya ada cakap dengan pihak produksi yang saya mahu tarik diri. Bukan apa, saya tak mahu pihak lain juga terkena tempiasnya.

"Saya sendiri maklum yang teater ini melibatkan banyak pihak sebab itu saya mahu tarik diri, tetapi pihak produksi bagi semangat kepada saya dan tidak membenarkan saya undur diri," luah pelakon berumur 29 tahun itu.

Mengambil kata-kata positif yang diberikan kepadanya, Hanez kemudian bersetuju untuk berlakon dalam teater itu nanti.

"Pihak penganjur dan Istana Budaya mahu beri peluang kepada saya untuk capai impian saya beraksi di pentas besar itu nanti.

"Lagi pun, mereka kata saya sudah terlibat dalam mempromosi teater ini sejak tahun lepas lagi, jadi sebab itu mereka mahu saya beraksi sama untuk asah bakat saya dalam bidang teater," ceritanya.

Biarpun Hanez hanya akan muncul dalam empat pementasan daripada 10 persembahan yang dipertontonkan, sekurang-kurangnya peminatnya yang menyokong Hanez selama ini berpeluang melihat aksinya di pentas Istana Budaya.

Hanez yang berkongsi watak bersama pelakon Kilafairy dalam teater itu nanti bakal tampil pada pementasan yang diadakan dari 12 hingga 14 Jun.

Tegas Hanez, tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa kontroversi cinta akan mengubah putaran hidupnya secara mendadak.

Dibenci sehingga menimbulkan kemarahan ramai terutamanya wanita, Hanez juga berasa bimbang dengan kecaman bersifat ancaman yang diterimanya.

Lantaran risiko bahaya itu, Hanez mengakui dia terpaksa menggunakan khidmat pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan dirinya sewaktu berada di luar rumah.

"Sebenarnya, keluarga saya risaukan keselamatan saya. Mereka bimbang jika saya keluar bersendirian memandangkan keadaan saya yang banyak menerima ugutan dan ancaman.

"Jadi atas faktor itulah, saya gunakan khidmat pengawal peribadi," katanya sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman pelakon teater Projek Kahwin di Istana Budaya baru-baru ini.

Pelakon drama Sedetik Cinta bagaimanapun mengakui janggal kerana perlu berdampingan dengan pengawal peribadi.

"Saya seorang yang jenis bersahaja. Kalau keluar pun selalu dengan orang yang saya kenal. Jadi, apabila ada orang yang sentiasa mengikut, agak kurang selesa. Tapi atas permintaan keluarga yang bimbang dengan saya, saya akur dan turutkan," tuturnya.

Jelas Hanez, khidmat pengawal peribadi yang digunakan itu juga hanyalah bersifat sementara sahaja sehingga isu yang melanda dirinya itu reda.

"Bodyguard (pengawal peribadi) tidak ikut kesemua tempat. Dia hanya akan teman saya untuk ke majlis-majlis atau ke tempat-tempat tertentu sahaja," tambahnya.

Pihak Istana Budaya juga bersedia untuk meminta khidmat anggota polis dan memperketatkan kawalan keselamatan bagi melindungi Hanez serta pengunjung Istana Budaya daripada perkara yang tidak diingini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat