{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Jejak bertapak Moudini di Malaysia

Posted:

Jejak bertapak Moudini di Malaysia

Jejak bertapak Moudini di Malaysia

BERBEKAL sebuah topi berwarna hitam, dia dilihat melambungkan objek berkenaan ke udara beberapa kali. Ligat tangannya beraksi, Mahdi Moudini, 35, tidak pernah lekang memberikan senyuman kepada penonton.

Selepas beberapa saat 'berinteraksi' dengan topi berkenaan, dengan tidak semena-mena, dia dilihat mengeluarkan beberapa ekor burung merpati yang berlainan warna. Teruja dengan persembahan tersebut, para penonton yang hadir kedengaran bersorak sambil bertepuk tangan.

Begitulah aksi yang dipersembahkan oleh Mahdi pada majlis penyampaian anugerah Tokoh Merlin dan Best Illusionist in Malaysia 2014 menerusi Merlin Award di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengasas Merlin Award, Tony Hassini.

Berhasrat mengajar kemahiran serta ilmu silap mata yang ada padanya kepada dua orang cahaya matanya, Mahdi turut bercita-cita mahu melihat ilmu tersebut diperturunkan serta diwarisi oleh beberapa generasi Moudini akan datang.

Turun ilmu

"Sejak berusia lima tahun, saya telah mula mempelajari ilmu silap mata yang diperturunkan oleh datuk dan ayah saya. Pada usia itu juga, saya telah mula berjinak-jinak dengan persembahan di atas pentas.

"Oleh yang demikian, saya mahu melihat anak-anak saya turut mewarisi kemahiran yang serupa supaya ilmu tersebut tidak terputus tanpa dipelajari oleh ahli keluarga yang lain," ujar Mahdi ketika ditemui usai majlis penyampaian anugerah tersebut.


AKSI spontan Mahdi melakukan ilusi silap mata bersama pelakon Betty Banafe (kiri) dan Annahita Bakavoli.


Bagaimanapun, hasratnya itu bukanlah berbentuk paksaan, malah lebih kepada galakan masa lapang selepas Marcheline dan adik lelakinya, Maddix Moudini, 3, pulang daripada sekolah.

"Saya hanya menggalakkan mereka untuk mempelajari teknik-teknik silap mata pada masa terluang sahaja. Sebagai contoh, selepas mereka pulang dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah yang diberikan kepada mereka.

"Jika suatu hari nanti mereka mahu bertukar selera atau bidang, saya perlu akur dengan kehendak itu. Tetapi, setakat ini, mereka gembira dengan apa yang dipelajari dan sentiasa ingin mencuba belajar sesuatu yang baharu," ujar Mahdi yang begitu menginginkan salah seorang daripada anaknya bakal menjadi generasi kelima Moudini yang arif dalam bidang silap mata.

Sama seperti anak-anaknya, Mahdi mendapat pendedahan awal dalam bidang ilusi silap mata menerusi bapanya, Ismail Moudini. Selain itu, dia turut menjadikan datuknya, Ibrahim Moudini sebagai sumber inspirasi untuk terus berusaha dan mengukir nama dalam bidang tersebut.

Selepas tamat menjalani latihan ketenteraan di kampung halamannya, anak jati kelahiran Karaj, Iran ini mengambil keputusan untuk mengembara dan mencari platform yang lebih sesuai bagi mengembangkan kemahirannya dalam mempersembahkan ilusi silap mata.

Malaysia negara selamat

"Ketika itu saya berusia 18 tahun. Saya dan seorang rakan mengambil keputusan untuk terbang ke Jepun bagi mengembangkan karier di sana. Tetapi, disebabkan masalah visa, saya terpaksa singgah ke Kuala Lumpur bagi memohon visa yang lain sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun.

"Bagaimanapun, ketika berada di lapangan terbang, saya melihat seorang pemandu teksi telah memulangkan beg kepunyaan penumpangnya yang tertinggal di dalam kenderaannya.


MAHDI dani sterinya, Mahdis Aqilah Goh berhasrat untuk melihat anak mereka iaitu Marcheline dan adik lelakinya, Maddix berjaya dalam bidang silap mata suatu hari nanti.


"Di situ, saya lihat Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat dan terus mengambil keputusan untuk bermaustautin di sini," ujar Mahdi sambil menyifatkan Kuala Lumpur juga merupakan sebuah platform yang sesuai untuk memperkembangkan profesyennya sebagai ahli ilusi silap mata.

Setelah berada di Kuala Lumpur selama lebih dua minggu, Mahdi kemudiannya ditawarkan untuk membuat persembahan dan menjadi ahli silap mata residen di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

"Ketika membuat persembahan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur, sambutan yang diterima sungguh menggalakkan. Saya tidak pernah mendapat sambutan serupa ini ketika mengadakan persembahan di Iran.

"Sehingga sekarang, sambutan yang diterima tidak pernah hambar. Malah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak serta mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menyukai persembahan saya," ujar Mahdi lagi.

Persembahan berskala besar

Melanjutkan perbualan, Mahdi yang menerima anugerah Tokoh Merlin buat kali yang ketiga berkata, dia bercita-cita mahu membuat sebuah ilusi terbesar yang melibatkan pesawat dan lapangan terbang.

Impian tersebut telah dipasang sekian lama. Mahdi membayangkan dia akan menaiki pesawat dari satu lokasi menuju satu destinasi yang tidak dinyatakan, namun dirinya akan berada di destinasi tersebut sebelum pesawat tiba di sana.

Malangnya, setelah apa yang berlaku ke atas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 baru-baru ini, Mahdi yang berkebolehan untuk melakukan sebanyak 1,000 ilusi silap mata ini mengambil keputusan untuk menangguhkan hasratnya itu.

Bagaimanapun, Mahdi berpendapat bahawa dia akan berusaha untuk melakukan persembahan itu dalam masa yang terdekat ini.


MEMUKAU. Selain kanak-kanak, persembahan Mahdi turut mendapat perhatian golongan dewasa.


Suka bersukan

Bercerita mengenai kehidupannya di belakang tabir, Mahdi memberitahu, dia merupakan seorang individu yang gemar bersukan serta menjaga kesihatan.

"Untuk menjadi seorang ahli silap mata, kita perlu menjaga kesihatan badan dan mengekalkan bentuk tubuh yang ideal. Ini kerana, setiap ilusi yang ekstrim menuntut pergerakan tubuh yang fleksibel.

"Justeru, bagi mendapatkan bentuk tubuh yang ideal, saya sering berjoging selama 90 minit setiap kali selepas selesai solat Subuh. Selain itu, saya juga melakukan senam perut sit-up sebanyak 3,000 kali setiap hari," ujarnya lagi.

Manusia magis bertaraf global

Posted:

Manusia magis bertaraf global

Manusia magis bertaraf global


Siegfried & Roy


SEJAK dahulu lagi, ramai antara ahli silap mata yang terkenal memilih negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sebagai platform untuk mereka memperkembangkan karier. Selain berjaya menempa nama, mereka juga turut meraih populariti dan menjadi pujaan oleh khalayak di sana. Bagaimanapun, masih ada antara mereka yang masih mampu menempa nama di peringkat antarabangsa walaupun tidak menukar status kerakyatan.

James Randi

Terkenal dengan ilusi yang melibatkan cabaran paranormal, James Randi atau nama sebenarnya Randall James Hamilton Zwinge merupakan seorang ahli silap mata yang berasal dari Toronto, Kanada. Walaupun sering dilabelkan sebagai pembongkar isu-isu misteri, namun, Randi lebih gemar jika dia digelar sebagai penyiasat. Sepanjang bergelar ahli silap mata, dia telah menulis beberapa buah buku mengenai bidang tersebut serta sejarah yang berkaitan dengannya.

Siegfried & Roy

Duo yang berasal dari German ini memulakan karier mereka sebagai ahli silap mata sejak tahun 1999. Selepas berhijrah ke Amerika Syarikat (AS), Siegfried Fischbacher dan Uwe Ludwig Horn yang cukup terkenal dengan ilusi-ilusi berskala besar mula dikenali menerusi persembahan mereka di Las Vegas. Sepanjang tiga dekad di sana, mereka dikatakan telah mengadakan persembahan di hadapan lebih 25 juta penonton.

Horace Goldin

Hyman Elias Goldstein atau lebih dikenali dengan nama pentas Horace Goldin berhijrah dari Vilnus, Lithuania ke Nashville, Tennessee, AS ketika dia berusia 16 tahun. Setelah mendapat kritikan yang teruk daripada pihak media sewaktu memulakan kariernya di sana, dia mengambil keputusan untuk menggunakan pendekataan baharu iaitu silap mata tanpa bicara. Sejak daripada itu, dia dikenali dengan nama samaran "The Whirlwind Illusionist". Dia meninggal dunia ketika sedang mengadakan persembahan di Wood Green Empire Theatre, London pada tahun 1939.


Harry Houdini


Harry Houdini

Dilahirkan pada 24 Mac 1874, Erik Weisz atau Harry Houdini merupakan seorang ahli silap mata terkenal yang berasal dari Budapest, Hungary. Berhijrah ke AS pada 3 Julai 1878, Harry mula menempa nama sebagai ahli silap mata pada persembahan kecil di muzium dan sarkas. Terkenal dengan beberapa ilusi lagak ngeri yang melibatkan usaha untuk melepaskan diri, Harry turut terlibat dalam beberapa buah filem antaranya The Man From Beyond dan The Houdini Serial. Dia meninggal dunia pada 31 Oktober 1926 akibat penyakit apendiks.

Cyril Takayama

Walaupun menetap di Hollywood, California, Cyril Takayama pernah berhijrah ke Tokyo, Jepun ketika zaman remajanya akibat berselisih faham dengan bapanya. Sesampainya di sana, Cyril diberi kepercayaan selama beberapa tahun untuk membuat persembahan oleh seorang ahli perniagaan berbangsa Jepun. Dia juga gemar memuat naik video-videonya di laman YouTube. Pada tahun 2010, dia muncul di AXN menerusi beberapa siri pertunjukkan silap mata yang disiarkan di seluruh Asia.

Fred Kaps

Berasal dari Belanda, Abraham Pieter Adrianus Bongers atau Fred Kaps terkenal dengan ilusi yang diberi nama Dancing & Floating Cork. Ilusi yang melibatkan Fred menarik penyumbat gabus secara ghaib ini sering dipersembahkan di hadapan penonton secara dekat. Tidak seperti ahli silap mata yang lain, nama Fred cukup dikenali di AS, Indonesia dan Britain walaupun dia masih bermaustautin di negara asal.

Sentuhan ajaib Kangaroo care

Posted:

Sentuhan ajaib Kangaroo care

Sentuhan ajaib Kangaroo care


IBU bayi pramatang dilarang bergerak dalam tempoh lima jam sepanjang mendakap bayi mereka.


PERHUBUNGAN melalui sentuhan atau kangaroo care iaitu meniru konsep seekor kanggaru membesarkan anak dalam poket kini diguna pakai dalam usaha membantu tumbesaran bayi pramatang.

Selepas berjaya menempelak pelbagai keraguan, konsep itu sudah dipraktis lebih 30 tahun di Amerika Selatan berikutan kekurangan inkubator dan kini tersebar ke seluruh dunia.

Bertempat di Hospital San Ignacio Bogota, Colombia, ibu bapa seperti Cesar Algericas sanggup menghabiskan masa selama lima jam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Neonatal sambil memeluk bayi pramatangnya dengan penuh kasih sayang.

"Merasai setiap degupan jantungnya amat menenangkan," kata jurutera komputer berusia 36 tahun sambil mendakap erat anak lelakinya ke dada.

"Kadangkala saya tidak perlu melihat ke skrin monitor untuk memastikan anak saya dalam keadaan yang baik," jelasnya.

Baru berusia 27 minggu, anak lelaki Algericas merupakan sebahagian daripada bayi pramatang yang lahir di hospital tersebut yang kini berjuang meneruskan kelangsungan hidupnya.

Walaupun bayi tersebut masih dirawat dalam inkubator, Algericas yakin hubungan fizikal antara dia dan anaknya membawa kepada keajaiban.

Ibu bapa seperti Algeciras menaruh sepenuh kepercayaan terhadap teknik itu mampu menyelamatkan nyawa anaknya.

Setiap hari, tidak kurang daripada 30 ibu atau bapa memeluk erat anak masing-masing yang dibaluti selimut dan penutup kepala yang comel.

CHARPARK merupakan individu penting memperkenalkan Kangaroo Care di Colombia.


Sentuhan

Sentuhan kasih sayang itu sudah lama menjadi pegangan Dr. Nathalie Charpark yang merupakan individu menyelaraskan standard kangaroo care sejak tahun 1978.

Katanya, bayi yang ditempatkan di ICU tidak tidur lebih daripada 19 minit. Ia keadaan yang trauma dan menyeksakan," katanya.

Kangaroo care kelihatan mudah, bagaimanapun menuntut setiap ibu bapa mematuhi beberapa peraturan yang digariskan.

"Ibu bapa juga tidak dibenarkan menukar posisi kecuali untuk memberi makanan dan membersihkan bayi. Malah pada waktu malam, ibu bapa dilarang untuk baring kerana bayi perlu berada dalam posisi menegak selain mengekalkan sentuhan kulit antara kedua-duanya," ujar beliau.

Keadaan persekitaran bilik juga memainkan peranan. Jururawat akan memalapkan lampu dan peka terhadap bunyi persekitaran bertujuan mewujudkan ruang bilik seakan-akan rahim ibu.

Mendapat perhatian

Charpark mendakwa, konsep berkenaan berkesan seperti sebuah inkubator mula mendapat perhatian luar negara.

"Sehingga kini, kita sudah melatih pengamal perubatan lebih daripada 30 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Sepanyol dan Sweden," katanya.

Doktor dari Colombia turut menjelajah ke seluruh Asia dan Afrika untuk menyebarkan teknik tersebut.


HOSPITAL San Ignacio Bogota, Colombia ini menempatkan pusat Kangaroo Care sejak tahun 1978.


Usaha berkenaan dilihat menerima maklum balas positif dan kebanyakan pusat perubatan sudah mula menggunakan teknik tersebut.

Dalam pada itu, data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan dalam tempoh 20 tahun, Brazil berjaya mengurangkan kadar kematian bayi kira-kira dua pertiga bagi usia bawah lima tahun setelah menjalankan program usaha sama kangaroo care.

Berdasarkan rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia, seorang daripada 50 bayi meninggal dunia sebelum berusia sebulan yang sebahagian besarnya adalah kerana kelahiran pramatang.

Namun begitu, perbezaan dan halangan budaya masih membelenggu kangaroo care apabila terdapat pihak yang menolak untuk mempraktikkan kaedah tersebut.

Charpak memberitahu, keadaan seperti itu misalnya, ketara di India atau beberapa negara Afrika kerana kaum wanita di sana perlu keluar bekerja selepas bersalin.

"Dalam kalangan pengamal perubatan juga menolak kangaroo care terutama di beberapa negara membangun. Bagaimanapun, kita masih yakin perkara ini boleh diterima cuma perlukan sedikit masa," tambahnya. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat