Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Dibimbing hadapi cabaran hidup
- Asuh jadi penyayang, bertanggungjawab
- Peranti kurangkan pemandu bunyi hon
Dibimbing hadapi cabaran hidup Posted: Dibimbing hadapi cabaran hidup
DEMI memastikan kedua-dua ibu bapanya yang menghidap penyakit kronik mendapat penjagaan, Siti Nur Syaffira Ruslan, 20, atau Angah sanggup meninggalkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada setahun lalu. Ketika itu, anak kedua daripada empat beradik tersebut bakal menduduki peperiksaan akhir bagi program prauniversiti di UiTM Kampus Jengka, Bandar Tun Razak, Maran, Pahang. Sebaik mendapat khabar mengenai ibunya, Rohana, Abdul Hamed, 44, yang tiba-tiba mendapat serangan jantung, Angah bingkas meninggalkan alam pengajian di kampus dan pulang ke Felda Jengka 8. Gadis itu berbuat demikian kerana ibunya yang selama ini menjaga bapanya, Ruslan Mohd. Ismal, 45, yang menghidap kegagalan buah pinggang sudah tidak berdaya melaksanakan tanggungjawab tersebut. "Saya tidak anggap menjaga ibu bapa yang sakit sebagai terpaksa. Ia adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib saya pikul sebagai seorang anak. "Emak dan ayah telah menjaga saya sejak kecil dengan penuh kasih sayang. Sekarang masa untuk saya menggembirakan hati emak dan ayah. "Untuk menanggung perbelanjaan keluarga termasuk adik yang masih sekolah, saya membuka warung menjual buah di tapak niaga Masjid Felda Jengka 8," kata Angah sambil mengesat air mata sebelum meneruskan perbualan. Menurut Angah, mereka enam sekeluarga tinggal menumpang di rumah milik peneroka di Felda Jengka 8 sejak beberapa tahun lalu. Angah dan abangnya, Mohd. Shafie, 23, yang bekerja sebagai nelayan sungai dan menjual ikan sama-sama menanggung perbelanjaan keluarga. Kepayahan hidup sedemikian tidak berputar ligat di sekeliling Siti Nur Syaffira seorang diri, kesulitan seperti itu turut dialami ramai remaja dalam kalangan keluarga miskin yang wajar dibantu oleh anggota masyarakat. PARA peserta mendirikan khemah semasa mengikuti aktiviti luar. "Sabar kakak...bertenang," kata Muazzam Jamil, 15, yang tiba-tiba menyampuk sambil menghulurkan kertas tisu kepada Angah sambil ditemu bual wartawan di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini. Muazzam, yang berasal dari Jasin, Melaka tampak sangat memahami. Anak lelaki bongsu daripada empat beradik itu juga melalui dugaan hidup yang hampir sama seperti Angah. Mereka bukan dilahirkan dalam keluarga kaya, tetapi memiliki jiwa yang kental, lasak, tidak manja atau mudah menyerah kalah terhadap segala kepayahan hidup. Kasih sayang Kesulitan hidup menjadikan jiwa mereka lebih tabah berbanding orang lain yang tidak pernah menempuhi kepayahan sedemikian rupa. "Ibu lumpuh selepas melahirkan saya. Sejak itu, hidup kami empat beradik berubah. Ayah kuat bekerja sejak ibu terlantar sakit. Kemudian pada tahun 2007, ibu meninggal dunia. "Saya membesar dalam keadaan ibu tidak berupaya mencurahkan kasih sayang dia kepada saya, tetapi saya tahu ibu sayang semua anak-anaknya. "Setiap masa kami bersabar dan terus berusaha mendapatkan hidup yang lebih baik," sambung Muazzam sambil menundukkan wajah menyembunyikan kesayuannya daripada pandangan orang di sekeliling. Syaffira dan Muazzam merupakan antara 31 remaja daripada latar belakang hampir sama yang mengikuti Kem Remaja Bersamamu 2014 di Nur Lembah Pangsun Eco Resort dekat Hulu Langat pada 25 hingga 29 Mac lalu. Kumpulan remaja berumur 11 hingga 20 tahun tersebut merupakan anak-anak daripada keluarga kurang bernasib baik yang pernah dipapar menerusi program realiti kebajikan Bersamamu di sebuah stesen televisyen swasta. Bersamamu merupakan sebuah rancangan realiti televisyen berbentuk amal yang membawa penonton meninjau keadaan insan-insan istimewa serta mereka yang kurang berkemampuan dalam meneruskan cabaran hidup. Penonton juga boleh menderma kepada rancangan ini menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). SEBELUM melakukan aktiviti berakit, para remaja diajar cara membina rakit. Bantu ibu bapa Kem tersebut dianjurkan bagi menjadikan remaja berkenaan lebih tabah menjalani hidup dan mendidik mereka supaya menjadi insan cemerlang pada masa hadapan. Tidak seperti anak golongan berada yang berpeluang melancong bersama ibu bapa sehingga ke luar negara, kumpulan remaja berkenaan lazimnya lebih suka menghabiskan masa membantu ibu bapa semasa cuti sekolah. Kem santai motivasi di kawasan peranginan yang diadakan khas untuk kumpulan remaja berkenaan menyediakan peluang bercuti dan memperbaiki sahsiah diri bersama rakan sebaya senasib dengan mereka. "Kalau cuti sekolah, ramai kawan saya pergi makan angin dengan keluarga. Tapi keluarga saya tak mampu. Apabila ada kem macam ini, dapat juga makan angin sambil belajar. "(Hubungan) kami di kem ini semua macam adik-beradik kandung, itu lebih seronok," ujar Muhammad Hazim Mazlan, 15, yang pada awalnya sedikit sukar untuk bersuara. Ketika di rumah, Muhammad Hazim yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3, Negeri Sembilan, membantu keluarga menjaga kedua-dua abangnya berumur 20 dan 21 tahun yang menghidap masalah gangguan saraf akibat demam panas semasa kecil. Keakraban para remaja berkenaan seperti saudara kandung sesama sendiri kerana menanggung kepayahan hidup yang hampir serupa boleh menjadikan sesiapa sahaja berasa kagum, namun kasih sayang mereka terhadap ibu bapa masing-masing lebih menakjubkan. "Mula-mula, berat hati nak datang ke sini sebab tak sanggup tinggalkan emak di rumah. Biasanya, saya bangun pukul 4 pagi, tolong emak buat kuih untuk dijual. "Selepas siap tolong emak dan solat Subuh, baru saya pergi sekolah. Itu pun masih tidak sampai hati tengok emak kerja kuat seorang diri," kata Nur Shahidah Ramli, 17, ketika ditanya pengalamannya mengikuti kem lima hari tersebut. KERIANGAN semasa mengikuti kem tidak menjadikan mereka lupa untuk terus tabah dan berbakti kepada keluarga. Nur Shahidah yang bersekolah di SMK Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan anak kedua daripada empat beradik menempuh kepayahan hidup selepas ketiadaan bapa. Penganjuran kem tersebut juga menjadikan sikap dan nilai-nilai murni sedemikian bertambah utuh dalam diri para remaja berkenaan ketika sebilangan besar rakan-rakan sebaya mereka yang lebih bernasib baik menjalani hidup sempurna. Menerusi kem tersebut, para remaja berkenaan dibimbing dan didedahkan kepada cabaran serta realiti hidup yang lebih hebat pada masa akan datang. Baiki keyakinan diri Bagi mempersiapkan mereka menempuh pelbagai rintangan hidup, para remaja berkenaan dibekalkan dengan bimbingan ibadat terutama solat dan fardu ain, memperbaiki keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi. Selain itu, mereka juga diberi peluang merasai keseronokan yang tidak pernah dinikmati termasuk bermain luncur ais di Sunway Pyramid dekat Subang Jaya, menginap semalaman di hotel bertaraf lima bintang dan sebagainya. Lebih utama, para remaja berkenaan diberi penekanan terhadap kepentingan ilmu dan pendidikan dalam menjalani hidup yang seiring dengan tanggungjawab mereka terhadap keluarga serta anggota masyarakat. Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata, Kem Remaja Bersamamu bertujuan menghimpun anak-anak daripada keluarga yang pernah dibantu menerusi program tersebut. "Kita sedaya upaya mahu memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi insan yang tabah menjalani hidup, cemerlang dalam akademik, berakhlak dan berbudi bahasa. "Setiap sumbangan masyarakat serta korporat bukan sahaja membantu mengubah taraf hidup keluarga yang kurang bernasib baik, malah memberi semangat kepada anak-anak itu untuk meneruskan pelajaran," katanya. | |
Asuh jadi penyayang, bertanggungjawab Posted: Asuh jadi penyayang, bertanggungjawabSESI berkongsi kisah hidup pada hari pertama memberi peluang kepada para peserta untuk saling memahami kepayahan yang dilalui keluarga masing-masing. PENGANJURAN Kem Remaja Bersamamu edisi kelima di Nur Lembah Pangsun Eco Resort dekat Hulu Langat, Selangor pada 25 hingga 29 Mac lalu berperanan membentuk jati diri dan memperkuat kasih sayang sesama manusia. Penerbit Eksekutif Jabatan Majalah dan Dokumentari Primeworks Studios Sdn. Bhd., Mazlin Nordin berkata, para remaja pada peringkat umur tersebut wajar diasuh sebaik mungkin supaya menjadi masyarakat penyayang. "Program Bersamamu lahir daripada perasaan kasih sayang terhadap sesama manusia dan kita juga mahu anak-anak ini menjadi orang yang menyayangi ibu bapa. "Sejak sembilan tahun lalu, lebih 450 keluarga bukan sahaja dibantu ketika mereka memerlukan bantuan, tetapi sehingga mereka yakin menjalani hidup," kata Mazlin semasa ditemui di resort tersebut. Ujar Mazlin, kehidupan semua keluarga yang pernah dibantu menerusi program Bersamamu akan terus dipantau dengan memberi kesedaran pengurusan kewangan dan beberapa pengetahuan lain yang berkaitan. Menurut Mazlin, pengurusan kewangan yang cekap boleh membantu sesebuah keluarga mengelak daripada melakukan kesilapan menguruskan perbelanjaan. "Anak-anak ini diberi pengetahuan yang sewajarnya sepanjang kem ini diadakan. Kita harap, mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga. MAZLIN "Kami juga banyak belajar daripada mereka mengenal erti kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan dan kepayahan hidup menjadikan mereka cepat matang sebelum usia. "Mereka tidak mementingkan diri atau orang lain melebihi ibu bapa. Kesusahan dan kepayahan hidup telah mengajar mereka erti kasih sayang dan ketabahan," ujar Mazlin. Mengulas mengenai program serupa pada masa hadapan, Mazlin menjelaskan, pihaknya akan mengadakan kem yang sama di Pantai Timur Semenanjung. Tambah beliau, ia bagi memudahkan para remaja dalam kalangan keluarga yang pernah dibantu menerusi program Bersamamu di Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat mengikuti kem tersebut. "Selain itu, kita juga bercadang untuk membawa mereka ke luar negara yang terdapat ramai masyarakat miskin seperti di Kemboja, Indonesia dan sebagainya. "Ia supaya mereka bersyukur, terus tabah dan bersemangat untuk bangkit apabila melihat ada lagi orang yang lebih susah (miskin) daripada mereka di negara-negara itu. "Jika mereka fikir hidup mereka susah, mereka akan lihat ada lagi orang yang lebih miskin daripada mereka, tetapi lebih tabah menjalani hidup," kata Mazlin. Dalam pada itu, beliau menyeru anggota masyarakat supaya lebih ringan menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik berbanding mempersoal tindakan beberapa pihak yang memberi pertolongan. | |
Peranti kurangkan pemandu bunyi hon Posted: Peranti kurangkan pemandu bunyi hon
BUNYI hon tanpa henti merupakan perkara biasa di Mumbai, India. Sama ada pemandu bas, lori, kereta atau motosikal, semuanya gemar membunyikan hon yang seolah-olah menjadi suara pemandunya. Ia diburukkan lagi dengan keadaan lalu lintas serta sikap segelintir pemandu yang mudah hilang sabar. Bagaimanapun, bukan semua penduduk bandar ini suka dengan perangai pemandunya yang gemar membunyikan hon sesuka hati. Justeru, wujud usaha pelbagai pihak untuk mengurangkan bunyi hon dalam kalangan pemandu di Mumbai sekali gus menjamin ketenangan bandar itu daripada pencemaran bunyi. Misalnya, seorang jurutera, Jayraj Salgaonkar membangunkan sistem meter hon oren bertujuan mendidik pemandu agar tidak menekan hon sesuka hati. Beliau yang juga aktivis antipencemaran bunyi berkata, oren merupakan sebutan penduduk tempatan yang merujuk kepada perkataan hon. "Fungsi sistem meter ini adalah mudah. Sekiranya pemandu menekan hon melebihi had tertentu, lampu belakang kenderaan akan berkelip-kelip dan pemandu boleh disaman oleh polis trafik," ujarnya. Jayraj memberitahu, pemandu akan diberi amaran melalui elaun hon yang berupa kad berwarna hijau, kuning dan merah. Elaun hon ini boleh ditambah seperti fungsi telefon prabayar. Beliau berharap agar pihak berkuasa menggunakan sistem tersebut. Kini, beliau sedang membangunkan projek keduanya iaitu Program Bleep bersama rakannya, Mayur Tekchandaney. Butang kecil Dalam pada itu, Tekchandaney memberitahu, komponen utama Program Bleep ialah butang kecil berwarna merah yang diletakkan pada papan pemuka kereta. Butang itu akan mengeluarkan bunyi bip yang berkelip-kelip bermakna pemandu telah menekan hon berlebihan. Sistem ini telahpun diuji selama enam bulan terhadap 30 pemandu dan berjaya mengurangkan kira-kira 61 peratus perlakuan menekan hon dalam kalangan pemandu. SELAIN kesesakan jalan raya, bunyi hon kenderaan menjadi punca utama pencemaran bunyi di Mumbai saban hari. "Ia memberi manfaat kepada pemandu lain di jalan raya dan masyarakat secara amnya. Bunyi hon juga mewujudkan gangguan kepada pemandu," jelasnya. Matlamat projek-projek tersebut mungkin merupakan cita-cita tinggi di negara yang tabiat membunyikan hon adalah perkara biasa. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antipencemaran bunyi turut melakukan kempen menerusi pengedaran pelekat dengan mesej seperti Horn OK Please dan Blow Horn. Mesej serupa turut dilukis berwarna-warni menggunakan cat di belakang trak dan lori. Pencemaran bunyi bising makin ketara apabila jumlah kenderaan yang bertumpu di kawasan padat Mumbai meningkat. Dianggarkan sebanyak 900,000 kereta, 10,000 bas dan dua juta motosikal berada di jalan raya bandar yang mempunyai kira-kira 12 juta penduduk itu. Kesesakan perkhidmatan keretapi juga menjadi penyebab penduduk tidak memilih menggunakan pengangkutan awam. Pakar pengangkutan, Ashok Datar memberitahu, bunyi hon bukan sahaja membuatkan orang ramai sakit hati tetapi juga mewujudkan masalah kesihatan akibat tekanan. Penyakit "Selain hon, gabungan projek pembinaan dan perayaan keagamaan yang disambut dengan dentuman bunyi bunga api dan mercun memburukkan lagi keadaan," jelasnya. Difahamkan, bacaan tahap bunyi di kawasan yang sibuk di Mumbai melebihi 85 desibel (dB) dan ia melanggar had yang disyorkan oleh pakar-pakar kesihatan iaitu 45 hingga 55 dB. Kesan ini dipercayai turut menyumbang kepada punca penyakit hipertensi, kehilangan pendengaran dan sakit jantung di bandar itu. Selain Mumbai, penduduk di bandar lain di India turut berhadapan masalah sama. Misalnya, terdapat kumpulan yang berkempen di jalan raya di New Delhi beberapa kali sebulan dengan menampal pelekat Jangan Hon pada kereta mereka. Penduduk di Selatan Bangalore pula telah melancarkan Kempen Tidak Menekan Hon. Kempen itu turut mendapat sokongan seorang pemain kriket India, Rahul Dravid. Melalui kempen itu, pemandu berikrar untuk tidak membunyikan hon. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |