{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Akademi sasar 5,000 penuntut

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin (belakang, tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ, Hamsan Saringat (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Abu Hasan Ismail dalam majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Prestariang Technology dan YPJ Holding di Pejabat Menteri Besar Johor di Nusajaya, Johor, baru-baru ini.

NUSAJAYA 1 April - Akademi Petroleum Malaysia (Akademi) yang akan ditubuhkan di sini bagi menawarkan kursus vokasional dalam bidang minyak dan gas menyasarkan untuk melatih 5,000 penuntut dalam tempoh tiga tahun.

Akademi tersebut yang ditubuhkan hasil usahasama syarikat Prestariang Technology Sdn. Bhd. (PTSB) dan Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH) itu akan membuat pengambilan kumpulan penuntut pertama seramai 1,000 bermula pertengahan Mei ini.

Kedua-dua syarikat tersebut baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Akademi yang disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ketua Pegawai Eksekutif Prestariang Bhd., Dr. Abu Hasan Ismail berkata, jumlah penuntut akan ditambah pada setiap pengambilan sekali gus mampu menyediakan tenaga pekerja mahir terutama dalam bidang minyak dan gas.

"PTSB dan YPJH akan menggabungkan kemahiran, usaha dan sumber untuk membina dan menawarkan modul yang sesuai serta relevan untuk pelbagai latihan vokasional dan teknikal bagi sektor minyak dan gas di negara ini.

"Pendidikan dan latihan teknikal ditawarkan Akademi akan ditanda aras pada pensijilan yang diiktiraf di peringkat global, sekali gus diharap dapat dimanfaatkan mereka yang berminat," katanya.

Beliau berkata, pada permulaan Akademi menawarkan kursus seperti jurukimpal, perancah, pemasang paip, juruteknik elektrik dan instrumentasi, pengecat, pelukis pelan dan pengurus penyelenggaraan kepada golongan belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.

"Lulusan Akademi kelak diharap dapat mengisi keperluan permintaan tenaga kerja terlatih di seluruh negara terutamanya di Pengerang yang kini dalam proses menjadi hab minyak dan gas negara," katanya.

Jalinan kerjasama NMIT, SSU

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

MALEK Pourzanjani (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Mike Wilkinson sambil diperhatikan oleh Pengarah Urusan Netherlands Maritime Institute of Technology, Kapten Razali Yaacob (kanan) dan Dekan Fakulti Maritim dan Teknologi Southampton Solent University, Prof. John Chudley di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 1 April - Sebagai persediaan untuk menjadi peneraju dalam sektor pendidikan maritim di negara ini, Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT) menjalinkan kerjasama dengan Southampton Solent University (SSU) baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif NMIT, Prof. Malek Pourzanjani berkata, menerusi kerjasama itu, pemegang diploma NMIT berpeluang untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah maritim di SSU yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerjasama tersebut turut meliputi pertukaran penuntut, program pengembangan akademik serta usahasama dalam bidang penyelidikan dan perundangan.

"Kerjasama ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri maritim Malaysia melibatkan dua institusi pengajian swasta dan mampu memberikan penuntut tempatan peningkatan yang diperlukan untuk lebih berdaya saing.

"Sebagai penglibatan kami di peringkat global, NMIT sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan institusi maritim yang ternama dan bertaraf dunia," katanya selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di sini baru-baru ini.

Malek menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak NMIT manakala SSU diwakili Timbalan Naib Canselor, Prof. Mike Wilkinson.

NMIT merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta hasil usahasama Malaysia dan Belanda yang memulakan operasi di bandar raya ini pada Mei 2011.

Kini institusi tersebut menawarkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Pengangkutan Maritim, Pengurusan Pelabuhan dan Pengurusan Perkapalan.

Malek berkata, selain pembukaan kampus baharu di Educity Nusajaya tidak lama lagi, terdapat tiga kursus baharu diperkenalkan mulai September ini iaitu Kesihatan Maritim, Keselamatan dan Persekitaran serta Undang-Undang Maritim dan Logistik.

Lima rumah, satu kedai rosak

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

MANGSA ribut membaiki bumbung rumah mereka yang rosak di Jalan Awang,Kampung Batu 23, Lenga, Muar, Johor, semalam. - Utusan/Zulhisham Isahak

MUAR 1 April - Lima rumah dan sebuah kedai mencuci kenderaan di Jalan Awang, Kampung Batu 23, Lenga, dekat sini rosak teruk akibat dipukul ribut dipercayai yang paling buruk pada tahun ini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang yang mencemaskan penduduk kerana diiringi dengan hujan lebat dan petir itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Pemilik kedai cuci kenderaan, Mohd. Nazarudin Musa, 23, berkata, semasa kejadian dia memberanikan diri berlari meredah hujan lebat berserta kilat pulang ke rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari kedainya.

"Saya berlari menyelamatkan diri sebaik sahaja mendengar bunyi hentaman kuat pada bahagian bumbung sebelum kedai saya ranap ditimpa bumbung balai raya yang tercabut.

"Pengalaman ini amat menakutkan dan bersyukur tiada perkara yang tidak diingini berlaku ke atas saya kerana semasa kejadian saya ada di dalam kedai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Mohd. Nazarudin turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu ujian kerana kedainya baru beroperasi seminggu lalu setelah siap pembinaannya sebulan lalu.

"Mujur ketika kejadian, tiada kenderaan pelanggan sedang dicuci dan jika tidak terpaksa menanggung kerugian yang setakat ini dianggarkan berjumlah RM20,000," katanya.

Seorang warga emas, Ismail Wagiman, 77, pemilik rumah yang paling teruk terjejas dengan keseluruhan bumbung bahagian dapurnya tercabut berkata, semasa kejadian dia dan isterinya sedang menunaikan solat Asar sebelum dikejutkan bunyi guruh kuat dari arah dapur.

"Selesai solat saya ke dapur untuk mengambil minuman tetapi terkejut mendapati bumbung sudah tercabut. Selalu berlaku hujan lebat dan angin kuat, tetapi tak sangka kali ini berlaku ribut sehingga tercabut bumbung.

"Separuh ruang rumah basah dengan air hujan selepas bumbung tercabut dan saya sempat mengalihkan peralatan elektrik bagi mengelakkannya daripada rosak," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Mukim Lenga, Rohazid Baki berkata, seramai 20 anggota ditugaskan membantu membaiki rumah semua mangsa ribut bermula pagi ini.

"Dengan cara ini dapat meringankan beban mereka (mangsa) terutamanya kos baik pulih rumah yang sedang mereka tanggung akibat kejadian tersebut," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat