{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kesihatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kesihatan


Bahaya berdengkur

Posted: 31 Mar 2014 11:55 PM PDT

Adakah anda ataupun pasangan anda sering mengalami dengkuran ketika tidur pada waktu malam? Keadaan tersebut menyebabkan waktu tidur terganggu akibat selalu terjaga secara mengejut dan kadang-kadang mengalami sesak nafas.

Tambahan, situasi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada anda, malahan ahli keluarga terdekat juga turut terganggu dengan bunyi dengkuran tersebut kerana bunyinya yang kuat dan adakalanya membingitkan telinga yang mendengar.

Lantaran itu, kesan tidur yang terganggu pada malam hari menyebabkan sebahagian rutin harian anda di siang hari terjejas akibat rasa mengantuk yang tidak dapat dikawal, malahan paling bahaya sekiranya anda tertidur semasa memandu.

Jika anda sedang mengalami situasi seperti di atas kemungkinan anda mengalami Obstructive Sleep Apne (OSA).

Berdasarkan kajian, sebanyak 80 peratus individu yang menghidap masalah ini tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit tersebut dan menyebabkan tiada sebarang tindakan dilakukan untuk merawatnya.

Menurut Profesor Perubatan dari Fakulti Perubatan, Universiti Colorado Denver, Amerika Syarikat, Dr. Teofilo L.Lee-Chiong Jr. , OSA berlaku apabila laluan udara dari hidung dan mulut ke bahagian paru-paru tersekat . Ia merupakan gangguan tidur biasa yang dialami oleh individu menyebabkan pernafasan mereka terhenti seketika ketika sedang tidur beberapa saat.

Dianggarkan di Malaysia, sebanyak tiga juta orang mungkin menghidap masalah dengkuran tetapi kebanyakan mereka tidak menyedari masalah ini.Walaupun dianggap perkara lumrah terutama dalam kalangan lelaki dengan purata seorang daripada enam orang menghidapnya, tetapi masalah itu tidak seharusnya dipandang ringan oleh wanita kerana mereka juga terdedah dengan perkara ini.

Dianggarkan seorang daripada sepuluh orang wanita menghadapi masalah ini dan kebanyakan daripada mereka berada dalam lingkungan umur pertengahan.

Jika berlarutan tanpa mendapatkan rawatan yang selanjutnya mereka terdedah kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti tekanan, sakit jantung, strok, kegagalan fungsi jantung dan kemurungan," katanya

Dr. Chiong Jr. menambah, individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap OSA sama ada ibu atau ayah lebih berisiko mempunyai penyakit ini apabila mereka mencapai usia pertengahan.

Individu tersebut apabila lebih berusia risiko mendapat OSA lebih tinggi juga sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang menghidap OSA, mempunyai masalah berat badan berlebihan dan mengambil alkohol.

Mereka yang mempunyai masalah tisu berlebihan di anak tengkak dan kesan pengambilan ubat yang membuatkan seseorang tertidur dan mengalami darah tinggi juga perlu lebih berhati-hati.

Individu yang muda dan sihat tidak bermakna selamat dan tidak terdedah dengan OSA kerana penyakit ini menyerang secara senyap." jelasnya.

Ujar Dr. Chiong Jr., beliau menyarankan individu yang mempunyai simptom seperti berdengkur dengan ritma yang kuat, sakit kepala terutama waktu pagi, berasa tidak selesa kerana tidak dapat memberikan tumpuan kepada kerja dan mengalami gangguan dan tekanan perasaan digalakkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan segera.

Antara rawatan yang berkesan membantu individu mengurangkan masalah dengkuran adalah melalui rawatan Continouse Positive Airway Pressure (CPAP) dan juga melakukan pembedahan dengan doktor yang selayaknya.

Dr. Chiong Jr. juga menerangkan, kualiti tidur setiap hari sangat penting bagi seseorang individu kerana waktu tidur yang baik akan memudahkan rutin harian di siang hari.

Tidur yang baik akan mempengaruhi kesan kepada kesihatan seseorang dalam jangka masa panjang termasuk dalam aspek pertumbuhan sel badan, metabolisme, keseimbangan tenaga dalam badan, fungsi sistem imun dan juga proses perkembangan serta pembelajaran minda.

Malangnya, sebahagian masyarakat Malaysia tidak menghargai waktu tidur mereka di malam hari. Sebaliknya masa emas itu mereka lebih gemar gunakannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen sehingga lewat malam, melayari internet dan berjumpa dengan rakan-rakan untuk berkongsi cerita.

Kajian yang dilakukan juga menunjukkan sejak 40 tahun lalu masyarakat di dunia telah mengalami perubahan dari segi waktu tidur yang semakin berkurangan dari satu hingga dua jam. Daripada jumlah tersebut juga sebanyak satu pertiga daripada orang dewasa mempunyai waktu tidur yang tidak baik iaitu kurang daripada enam hingga tujuh jam," katanya.

Tambahnya, individu yang dikesan kurang waktu tidur dan dalam masa yang sama mempunyai masalah OSA berhadapan dengan impak yang bahaya kepada diri dan masyarakat.

Jelas Dr. Chiong Jr., kesan gangguan tidur yang jika tidak mendapatkan rawatan pada peringkat awal akan menyebabkan berlaku insiden yang membahayakan keselamatan diri dan menyebabkan antaranya meningkatkan 10 peratus kemalangan melibatkan motosikal, lebih 50 peratus terlibat dengan kemalangan di tempat kerja, dan 20 peratus juruterbang melakukan kesalahan serius melibatkan pesawat kerana tertidur.

Mereka yang mengalami gangguan tidur ini juga adalah dalam kalangan pekerja yang bekerja secara shif, gemar menonton television sehingga lewat malam, kesan pengambilan ubat-ubatan dan masalah ketagihan ubatan," jelasnya.

- Siti Aishah Yusof

Tiada alasan wanita malas bersenam

Posted: 31 Mar 2014 11:55 PM PDT

Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

AGAK sukar untuk seseorang itu khususnya wanita Melayu hendak memulakan sesuatu senaman terutamanya jika individu tersebut sememangnya jarang bersenam.

Sudah terlalu banyak program-program kesedaran amalan gaya hidup sihat yang diadakan oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun sejauh mana kesedaran wanita Melayu tentang perkara ini masih menjadi titik persoalan.

Kaum wanita melalui pelbagai perubahan fizikal dalam kehidupan mereka dari zaman remaja, seterusnya ke fasa kehamilan, kemudian menjadi seorang ibu sehinggalah sampai ke tahap menopaus.

Oleh sebab terlalu banyak fasa yang perlu ditempuhi oleh golongan wanita, mereka perlu mengekalkan kehidupan aktif untuk membantu membina kecergasan selain memberi tenaga untuk menjalani hari yang sibuk.

Jika ditinjau, wanita Cina mempunyai kesedaran yang amat tinggi tentang amalan gaya hidup sihat dan tidak hairanlah hanya kelibat mereka sahaja yang melakukan senaman pada setiap pagi dan petang di taman-taman rekreasi.

Selain melakukan senaman tai chi dan yoga, mereka juga mengamalkan pemakanan yang sihat dengan mengambil sayur-sayuran, minum air putih serta mengamalkan pengambilan jus buah-buahan untuk penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Kajian menunjukkan bahawa wanita Cina mempunyai jangka hayat paling lama iaitu 79.8 tahun, wanita India (76.2 tahun), wanita Bumiputera (75.3 tahun), lelaki Cina (74.4 tahun), lelaki Bumiputera (70.5 tahun) dan lelaki India (68 tahun).

Tidak mustahil mereka mampu hidup lebih lama dan kekal sihat walaupun pada usia emas atas faktor-faktor amalan penjagaan kesihatan yang baik.

Alasan seperti kurang bertenaga, tak larat, semput, sudah berusia, tiada masa, malu, tiada pakaian yang sesuai, dan ketiadaan kemudahan untuk muslimah menjadi antara alasan wanita Melayu tidak mahu bersenam.

Tanpa sedar, kita memandang remeh dan kurang peka tentang kepentingan penjagaan kesihatan, walaupun amalan gaya hidup sihat boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit.

Ini diakui sendiri oleh Salmah Hamid, 63, yang ditemui dalam program Jom Senam 2014 yang bersetuju bahawa wanita Melayu kurang kesedaran untuk bersenam seperti yang dilakukan masyarakat Cina.

Umur saya sudah mencecah 60-an tetapi tiada sedikit pun halangan untuk saya bersama-sama bersenam dengan orang muda dan bagi mereka yang memberi alasan tentang faktor usia, sebenarnya tiada umur yang dikatakan terlalu lewat untuk mula bersenam, walaupun sudah memasuki umur emas.

Semua orang pun sudah sedia maklum bahawa semakin kita berusia, semakin banyak risiko penyakit yang menunggu. Jadikanlah senaman sebagai aktiviti harian untuk penjagaan kesihatan dan walaupun kita sudah ada penyakit, bersenam boleh membantu kita mengawal penyakit dengan lebih baik," katanya.

Bagi Rahmah Abdul Rahman, 52, pula, dia yang sentiasa bersenam pada setiap hari mengambil peluang menyertai aktiviti kesihatan yang diadakan di kawasan tempat tinggalnya kerana memikirkan kebaikan yang diperolehnya dengan bersenam.

Selain menyihatkan badan, kita juga dapat mencerdaskan minda seterusnya dapat kekal aktif untuk menguruskan hal di rumah dan saya amat menggalakkan wanita-wanita di luar sana bersenam untuk sihat luaran dan dalaman," katanya.

Dia yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Jalan Ikhlas, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, menyifatkan wanita yang gemar memberi alasan tidak mahu bersenam mempunyai minda yang terkongkong yang hanya akan membiarkan kesihatan merosot tanpa berbuat apa-apa sehingga hari tua.

Sebenarnya diri sendiri sahaja yang menjadi halangan terbesar wanita tidak mahu bersenam kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Cuba motivasikan diri, lama-kelamaan kita sendiri akan sedar tentang kepentingan penjagaan kesihatan fizikal," tambahnya.

Senaman jelasnya, adalah satu aspek yang penting bagi mereka yang mahu mengurangkan berat badan dan sekiranya seseorang telah memulakan pelan pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman akan membantu mempercepatkan lagi proses pengurangan berat badan dan pembakaran lemak tersebut dan mengelakkan pelbagai permasalahan yang mungkin dihadapi sekiranya mempunyai berat badan yang tinggi atau obes.

Meredakan tekanan

Ketua Wanita UMNO Bandar Tun Razak, Salmah Pin, 50, berkata, aktiviti kecergasan yang dilakukan dalam kumpulan besar dapat mengeratkan silaturrahim antara wanita di samping dapat berkongsi pelbagai cerita.

Kita bukan bersenam semata-mata tetapi dapat juga dijadikan platform meredakan tekanan yang kita hadapi seharian," ujarnya,

Katanya, dia ingin melihat lebih banyak individu melakukan senaman khususnya wanita Melayu, tidak kira sama ada mereka mengenakan pakaian sukan atau apa sahaja, asalkan mereka dapat bersenam dengan selesa.

Selain itu katanya, bersenam juga dapat menerapkan contoh yang baik untuk keluarga serta anak-anak agar mereka juga menjaga kesihatan dari usia yang muda dan aktiviti mingguan keluarga ini amat menyeronokkan dan dapat mengukuhkan lagi talian kekeluargaan.

Dalam pada itu, pengasas gooddeeds Malaysia, Armie Baizura Abu Bakar berkata, pihaknya memandang serius terhadap masalah kesihatan dalam kalangan wanita di Malaysia.

Setakat tahun lepas, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa negara ini mendahului negara-negara Asia Tenggara dan berada di tempat keenam bagi rantau Asia Pasifik bagi kategori penyakit obesiti serta kencing manis.

Perkara ini amat membimbangkan kerana sedikit sebanyak akan menjejaskan kesejahteraan umum dan merencatkan rancangan pembangunan negara.

Kami mahu menjadi pencetus kepada langkah pencegahan yang telah lama dilaungkan oleh kerajaan dengan menggalakkan lebih ramai wanita bersenam kerana senaman merupakan salah satu amalan pencegahan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kanser," katanya.

Program Jom Senam 2014 merupakan anjuran gooddeeds Malaysia bersama Studio SayFitness diadakan bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti wanita dan secara tidak langsung memberi peluang kepada kaum wanita untuk berkecimpung dalam bidang sukarelawan.

Dalam pada itu, gooddeeds Malaysia adalah sebuah syarikat khidmat masyarakat yang memfokuskan kepada penyebaran dan penerapan nilai-nilai murni melalui khidmat komuniti secara berterusan dan menyediakan platform untuk para penderma dan para sukarelawan untuk beramal dengan cara yang paling mudah dan menyeronokkan.

gooddeeds Malaysia yang ditubuhkan pada Januari tahun ini diterajui oleh empat orang sahabat yang memiliki visi yang sama dalam penyebaran dan penerapan nilai-nilai murni melalui program-program kemasyarakatan,

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut tentang pertubuhan ini, emelkan kepada gooddeedsmalaysia@gmail.com dan melayari Facebook gooddeeds di www.facebook.com/gooddeedsmalaysia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat