Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Keistimewaan asam pedas Pak Sheikh
- Kelong memancing mampu jadi produk pelancongan
- 7,000 sertai program pengkaderan
Keistimewaan asam pedas Pak Sheikh Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT Oleh FADZLY IZAB SHEIKH Ikhzan Seikh Salleh (belakang), pemilik Pak Sheikh Asam Pedas bersama kakitangannya menunjukkan isyarat bagus sambil mempamerkan masakan asam pedas di Taman Semabok Perdana, Melaka, baru-baru ini. MELAKA 31 Mac - Hidangan Pak Sheikh Asam Pedas sememangnya mempunyai kekuatan rasanya tersendiri malah amat berbeza dengan kebanyakan restoran yang menyajikan hidangan sama di negeri ini. Walaupun baharu beroperasi selama dua minggu, kebanyakan pengunjung restoran ditemui mengakui keunikan hidangan tersebut malah yakin ia berpotensi untuk bersaing dengan restoran asam pedas lain yang banyak terdapat di bandar raya ini. Seorang pengunjung dari Seremban, Negeri Sembilan, Kamarul Hazman Abu Hurairah, 29, memberitahu, beliau sememangnya meminati asam pedas Melaka dan sering mencuba tempat-tempat baharu bagi merasa kelainannya. Katanya, beliau yang kali pertama mencuba masakan di Pak Sheikh Asam Pedas yang terletak di Taman Semabok Perdana berdekatan Bandar Hilir, bersetuju rasa dan keunikan hidangan tersebut mempunyai kelalaian rasa terutamanya kuah serta kepekatan asam pedas tersebut. Saya sering mencuba pelbagai jenis asam pedas di negeri ini dan Pak Sheikh Asam Pedas mempunyai kuahnya yang paling pekat namun rasanya tidak begitu pedas. Ini sangat sesuai dengan selera saya," katanya yang merupakan kakitangan kerajaan. Sementara itu, seorang pengunjung dari Bachang, Badrul Hisham Hashim, 33, berkata, Pak Sheikh Asam Pedas menyediakan pelbagai pilihan jenis ikan segar dengan harga berpatutan. Jelasnya, hidangan asam pedas tersebut enak dan berbeza dengan apa yang pernah dicubanya di restoran lain malah ia boleh didapati dengan harga serendah RM8 bagi satu set hidangan termasuk asam pedas dan nasi. Restoran ini juga amat sesuai dikunjungi seisi keluarga kerana ini turut menghidangkan pelbagai pilihan makanan lain yang enak termasuk nasi lemak dan Nasi Goreng Special Pak Sheikh," ujarnya. Seorang lagi pengunjung, Siti Zuraidah Izat, 30, berkata, beliau berminat untuk berkunjung ke restoran tersebut melihat kepada konsep dan kebersihan yang diketengahkan. Saya mendapati restoran ini amat menekankan aspek kebersihan dan konsep dapur terbuka yang diketengahkan memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri bagaimana penyediaan sesuatu hidangan oleh tukang masak," tambahnya yang merupakan seorang guru agama. |
Kelong memancing mampu jadi produk pelancongan Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT SEBAHAGIAN daripada 20 kaki pancing yang terdiri daripada pengamal media pelbagai agensi membuat persiapan untuk memancing ikan di sebuah kelong Pantai Siring, Serkam, Melaka, kelmarin. - Utusan/Gaie Uchel JASIN 31 Mac - Aktiviti memancing di kelong kini menjadi kegiatan yang semakin menarik perhatian dan boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan yang mempunyai nilai komersial. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, aktiviti tersebut wajar dibangunkan memandangkan Melaka terletak di pesisir Selat Melaka dari Kuala Linggi di utara Melaka hingga ke selatan di Sungai Rambai. Menurutnya, keadaan itu sebenarnya memberi kelebihan jika lebih banyak kelong dapat dibangunkan untuk menjadi daya tarikan kaki pancing, khususnya dari luar negeri ini. "Kelong memancing kurang popular di negeri ini kerana hanya beberapa buah sahaja yang diusahakan oleh nelayan atau individu terutama di Serkam, Kuala Sebatu dan Kuala Sungai Kesang di Sungai Rambai. "Justeru, saya akan membawa perkara ini dalam mesyuarat kerajaan negeri tidak lama lagi bagi mendapat pandangan untuk membangunkan kelong sebagai aktiviti memancing. "Saya juga akan memikirkan bagaimana peruntukan dapat disalurkan kepada nelayan atau Persatuan Nelayan bagi membangunkan kelong yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas, bilik mandi, tempat memasak dan jika boleh calet dibina di atas kelong, katanya. Beliau mengulas program Santai Memancing Media di Kelong Abu, Pantai Siring, Serkam dekat sini malam Sabtu lalu. Program yang disertai 20 wartawan dan jurugambar dari Utusan Malaysia, Berita Harian, Joran Berita Harian, majalah Umpan, NST, RTM dan Harian Metro itu turut ditaja syarikat Mamee-Double Decker (M) Berhad. Hasan berkata, program tersebut dianjurkan bagi membawa pihak media melihat dari dekat aktiviti memancing di kelong yang mampu menjadi produk pelancongan menarik di negeri ini. "Saya melihat aktiviti memancing di kelong boleh menjadi produk pelancongan utama dan mendatangkan sumber pendapatan tambahan seperti mana dibangunkan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, katanya. Menurutnya, beliau yakin jika kelong serba moden dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tempat tidur, aktiviti tersebut mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya. "Aktiviti memancing semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai, khususnya apabila diadakan pertandingan memancing, ramai kaki pancing dari luar Melaka sanggup datang, ujarnya lagi. Sehubungan itu, Hasan berkeyakinan tinggi jika aktiviti memancing di kelong dapat diwujudkan lebih banyak lagi khususnya di Melaka Utara iaitu dari Kuala Linggi hingga ke Tanjong Bidara, sekali gus menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada di Masjid Tanah. Di samping itu, katanya, wujudnya kelong memancing secara tidak langsung boleh menjadi pos keselamatan pesisir pantai dan tempat persinggahan nelayan untuk berteduh jika dilanda ribut dan ombak kuat. Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa buah kelong yang didapati uzur di Kuala Sebatu dan Kuala Sungai Kesang akan dibaik pulih melalui peruntukan yang akan diusahakannya kelak. |
7,000 sertai program pengkaderan Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT Oleh Farabi Sheikh Said Al Jabri KUALA PILAH 31 Mac - Sebanyak 7,000 ahli Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO negeri ini akan dilatih menerusi program pengkaderan yang sedang dilaksanakan sebagai persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) menjelaskan, buat permulaan, sebanyak 1,000 ahli parti daripada kedua-dua sayap berkenaan akan dilatih dalam sesi ketujuh di Ulu Sepri, Rembau. Jelas beliau, tujuan pengkaderan in perlu bagi mempersiap diri dengan pelbagai ilmu yang bermanfaat dalam menghadapi pilihan raya, selain meneruskan perjuangan parti untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) kelak. "Kita sedar pentingnya keupayaan kedua-dua sayap ini dan sebab itulah mulai sekarang, kita perlu mempersiap diri mereka dengan ilmu. Ini adalah agar apabila berdepan dengan pilihan raya nanti, kita akan lebih bersedia dalam pelbagai aspek. "Kita mahu perjuangan parti diteruskan dan diperkukuhkan kerana kedua-dua sayap ini merupakan jentera penggerak utama dalam meraih sokongan rakyat kepada parti, katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pertandingan Sepak Takraw Tertutup dan Skuad Gempur Pemuda UMNO Kuala Pilah di sini semalam. Malah katanya, pengkaderan yang dilakukan menerusi Biro Tata Negara (BTN) ini bertujuan bagi menyuntik semangat dan disiplin tinggi dalam kalangan generasi muda agar memiliki semangat kemelayuan untuk mempertahankan bangsa Melayu dan Islam daripada terus dijadikan bahan pembangkang. Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Besar mahu supaya pemimpin di kawasan ini terus merapatkan saf dan bersatu padu jika mereka mahu melihat parti menang dengan cemerlang pada pilihan raya akan datang. "Usah berpecah dan bertelagah sesama sendiri, sebaliknya perlu memperkukuh hubungan di segenap lapisan dan hubungan masyarakat di luar bandar. "Kita perlu ingat bahawa masyarakat luar bandarlah yang menjadi teras dan penyumbang kemenangan parti, sekali gus menjadikan kawasan ini sebagai kubu kuat BN di negeri ini. Usah dipersiakan mandat dan amanah rakyat yang diberikan, katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |