Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
| Posted: 06 Apr 2014 08:30 AM PDT Soalan Saya ingin mengetahui apakah tanda-tanda kehamilan luar rahim. Apakah cara untuk mengesan kehamilan luar rahim dan apakah risikonya? Rose, Kuala Lumpur Jawapan Kandungan luar rahim atau istilah perubatannya kehamilan ektopik terjadi apabila fetus membesar di luar kawasan rahim atau uterus. Kandungan seumpama ini merupakan ancaman kepada nyawa si ibu kerana berisiko menyebabkan pendarahan yang banyak serta koyakan pada tisu sekeliling. Kes seperti ini berlaku apabila telur yang subur dan telah bersenyawa tidak tertanam di dalam rahim. Sebaliknya, dalam kebanyakan kes kandungan di luar rahim, telur tersebut tertanam di dalam salur fallopio atau kilang telur (ovari). Kadangkala terdapat juga keadaan telur tersebut melekat dalam ruang abdomen. Kehamilan jenis ini memerlukan rawatan perubatan segera. Jika telur yang akan berkembang menjadi embrio tertanam di luar kawasan uterus, maka secara logiknya ia tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk membesar. Bukan itu sahaja, embrio tersebut juga tidak mendapat nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran. Salur fallopio terlalu sempit untuk fetus yang membesar dengan pesat, jadi besar kemungkinan boleh terjadi kerosakan serta koyakan pada tisu di kawasan tersebut. Bila ia terjadi, maka pendarahan akan berlaku dan mengancam nyawa wanita tersebut. Punca Wanita yang pernah mengambil rawatan kesuburan mempunyai risiko lebih tinggi untuk berlaku kandungan luar rahim dan juga bagi wanita yang mempunyai sejarah pernah menghidapi inflamasi pada bahagian pelvik, kerana kesan penyakit tersebut menyempitkan salur fallopio. Keadaan itu menyebabkan telur yang subur terhalang untuk melalui salur fallopio dan terus ke uterus. Simptom Sebenarnya agak susah untuk menentukan kandungan berada di luar rahim terutama ketika usia kandungan masih terlalu awal. Rasa sakit yang dialami oleh wanita seperti dicucuk pada bahagian abdomen atau pelvis, merupakan tanda pertama kandungan luar rahim. Simptom lain ialah tekanan luar rahim, rasa loya, mual atau pitam. Pendarahan pada faraj (vagina) juga merupakan simptom biasa kandungan luar rahim. Jika anda mengalami satu atau lebih simptom seperti yang dinyatakan, anda patut segera menghubungi doktor kerana kemungkinan boleh berlaku pendarahan dalaman. Koyakan pada salur Fallopio biasanya diikuti dengan simptom pendarahan dan kesakitan yang ketara. Diagnosis Kandungan luar rahim biasanya didiagnosis pada minggu kelapan hingga 10 kandungan. Biasanya hormon kronionik gonadotrofin secara bersiri digunakan untuk membantu diagnosis kandungan luar rahim. Ujian imbasan ultrabunyi di bahagian pelvis akan memberitahu kedudukan sebenar fetus dan menentukan sama ada kandungan berlaku di luar rahim. Ujian laparoskopi juga membantu untuk menentukan lokasi kandungan sebenar dan rawatan yang sewajarnya dapat diberikan semasa prosedur tersebut. |
| Posted: 06 Apr 2014 08:30 AM PDT Kebaikan teh hijau Salah satu herba tradisional yang turut mendapat perhatian masyarakat dunia ialah teh hijau. Ia ialah daun teh yang masih hijau dan belum diproses untuk dijadikan serbuk untuk minuman. Daun teh hijau kaya dengan pelbagai komponen aktif yang baik terutamanya polifenol baik untuk kesihatan dan juga kecantikan. Lagi hijau daun teh itu, lagi tinggi kandungan polifenolnya. Menurut pakar nutrisi di Boston, Amerika Syarikat, Dr. Beth Reardon, teh hijau turut mengandungi bahan aktif Catechins yang mencegah kerosakan sel-sel di dalam badan. Teh hijau juga turut dipercayai melancarkan peredaran darah dan menurunkan kadar kolesterol. Kini teh hijau menjadi saranan kepada mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan jantung dan tekanan darah tinggi. Malah apa yang baik untuk badan, juga baik untuk otak. Satu kajian MRI di Switzerland membuktikan mereka yang mengamalkan pengambilan teh hijau setiap hari berjaya meningkatkan tahap memori dan menghalang pembentukan plag yang menjadi punya kepada penyakit Alzheimer. Menurut Dr. Reardon, teh hijau juga boleh diambil oleh penghidap kencing manis bagi menstabilkan paras gula dalam darah. Ubat sebelum sakit Kombinasi curcumin yang diekstrak daripada kunyit dan teh hijau merupakan kombinasi terbaik bagi melawan dan mencegah pelbagai jenis penyakit dengan mudah. Tidak terhad untuk mereka yang ingin mengatasi masalah kesihatan, curcumin dan teh hijau harus dijadikan amalan harian untuk menguatkan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kerosakan sel-sel badan. Pendek kata, kombinasi ini seumpama ubat untuk sebelum sakit. Kajian mendedahkan kunyit dan teh mengandungi khasiat yang dapat mencegah kita daripada pelbagai penyakit.Kita sering mengambil mudah bila diceritakan tentang kehebatan kunyit. Mungkin kerana ia bahan yang sering kita temui di dapur. Namun bahan yang digunakan nenek moyang kita kini mendapat perhatian yang serius daripada pakar-pakar hospital ternama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Kehebatan herba ini terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning kepada kunyit. Pigmen ini mempunyai banyak khasiat dan berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit dikenali sebagai curcumin. Curcumin Melawan Kanser Curcumin adalah antara bahan penyembuh yang terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden. Sebiji pil daripada ekstrak curcumin ini seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit yang terdapat di setiap dapur. Menurut pakar perubatan dari Pusat Kanser Texas, curcumin mempunyai keupayaan anti oksidan yang mampu meneutralkan radikal bebas yang menjadi akar umbi kepada penyakit kanser. Radikal bebas merupakan bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel-sel dalam badan. Menurut salah seorang pasukan penyelidik ini, Dr. Thomas Evans, curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polifenol membantu mencegah tanda-tanda awal kanser. Anti radang Selain kanser, curcumin juga sangat baik untuk melawan radang yang menyebabkan bengkak, angin, sakit-sakit sendi dan sengal badan. Kepada mereka yang mengalami sakit-sakit artritis yang disebabkan juga oleh radikal bebas, curcumin ialah bahan utama yang meringankan beban kesakitan. Dalam kajian ke atas para pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat-ubatan tahan sakit moden seperti phenylbutazone. Malah didapati para penghidap artritis merasakan kekurangan sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan. Selain itu, curcumin juga membantu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


