Utusan Online - Luar Negara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Luar Negara |
Brunei mula laksanakan hukum hudud Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT Sultan Hassanal Bolkiah BANDAR SERI BEGAWAN 2 April - Brunei muncul negara Asia Timur pertama melaksanakan hukum hudud bermula semalam, yang menyaksikan semua rakyatnya termasuk masyarakat bulan Islam turut tertakluk di bawah undang-undang tersebut. Pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah menyelia sendiri peralihan itu yang antaranya memperuntukkan hukuman berasaskan undang-undang Islam terhadap pelbagai kesalahan seperti mencuri, merogol, berzina, meliwat, minum minuman keras dan terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Brunei sebelum ini telah pun melaksanakan undang-undang syariah, namun hanya terhad kepada masalah melibatkan perkahwinan, wasiat dan keluarga Islam. Bermula semalam, perundangan Islam itu diperluaskan lagi melibatkan hukuman seperti direjam sampai mati kerana kesalahan berzina dan sebatan sekiranya melakukan pengguguran bayi. Badan bebas, Global Voices Online yang beribu pejabat di Amsterdam, Belanda sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah pernah memberi amaran bahawa individu yang menentang pelaksanaan hukum hudud boleh didakwa. Akhbar berbahasa Inggeris India, Deccan Chronicle pula melaporkan, keputusan Brunei untuk melaksanakan hukuman hudud dan memperkenalkan semula hukuman mati, menerima banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Selain itu, perkara tersebut turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bukan Islam Brunei, yang turut tertakluk dalam beberapa ketetapan kod berkenaan. Penasihat Undang-Undang Antarabangsa Asia Tenggara, Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) Emerlynne Gil dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah berkata, jika peraturan baharu itu dilaksanakan, pencabulan hak asasi manusia yang serius bakal berlaku. "Brunei tidak mengamalkan hukuman mati sebelum ini dan keputusan melaksanakannya begitu mengejutkan," ujar Gil. |
Gempa bumi, tsunami landa Chile Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT Beberapa buah bot nelayan rosak selepas dipukul tsunami setinggi dua meter berikutan gempa bumi yang menggegar Riquelme, di Iquique, utara Chile, semalam. - AFP SANTIAGO 2 April - Satu gempa bumi sekuat 8.2 pada skala Ritcher melanda pantai utara Chile semalam, mencetuskan tsunami setinggi dua meter dan menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terkorban. Menurut agensi berita, NBC News, seramai 900,000 penduduk melarikan diri ke kawasan tanah tinggi disebabkan gempa bumi itu. Kejadian yang berlaku pada pukul 8.46 malam waktu tempatan (7.46 pagi waktu Malaysia) itu turut menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan di beberapa negara termasuk Ecuador dan Peru. Indonesia yang pernah terjejas teruk akibat tsunami Aceh pada 2004, turut menasihati rakyatnya supaya menjauhi kawasan pantai. Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam Nasional Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho menyatakan, negara itu terdedah kepada tsunami setinggi 1.6 meter menjelang pagi esok. Di Chile, Presiden, Michelle Bachelet mengumumkan kawasan dilanda gempa bumi itu sebagai zon bencana. Pusat gempa terletak pada kedalaman 10 kilometer sejauh 83 kilometer dari Iquique di kawasan pantai Chile, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS). Pengarah agensi bantuan bencana Pejabat Kecemasan Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri (ONEMI), Ricardo Toro berkata, gempa bumi itu menyebabkan menara kawalan di lapangan terbang Iquique terjejas, rumah-rumah rosak selain bekalan elektrik terputus di sebahagian besar bandar Arica. Di bahagian utara bandar Iquique yang merupakan kawasan terdekat dengan pusat gempa bumi itu, kira-kira 300 banduan lolos daripada sebuah penjara wanita ketika keadaan kelam-kabut. Pusat Amaran Pasifik Tsunami yang berpangkalan di Hawaii, Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tsunami selama enam jam kepada penduduk yang mendiami kawasan pantai Amerika Selatan dan Amerika Tengah sepanjang 4,800 kilometer. - AFP/AGENSI |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |