{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Horizon

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Horizon


Terapung bagaikan Iron Man

Posted:

Terapung bagaikan Iron Man

Terapung bagaikan Iron Man

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


PENUNGGANG jet ski merupakan individu penting yang mengawal tekanan air melalui saluran hos di kaki pemain Flyboard.


DALAM kesibukan menguruskan kerjaya hariannya sebagai Pegawai Kanan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Zuraini Salmi Mohammed Ali, 48, masih sempat meluangkan masa untuk melakukan aktiviti riadah pada hujung minggu.

Sukan ekstrem seperti memanjat tembok, mendaki gunung dan bukit merupakan antara aktiviti kegemarannya.

Bermula Januari lalu, Zuraini mempunyai satu hobi baharu. Melalui perkenalan dengan Raja Aris Dzulkifli, dia mencuba sukan air Flyboard di Marina Putrajaya, Presint 5, Putrajaya.

Tanpa latar belakang dalam sukan air, minatnya bercambah apabila melihat Raja Aris beraksi di tasik itu.

"Dalam masa dua bulan, saya telah bermain Flyboard sebanyak empat kali. Cabaran utama sukan ini ialah berada dalam posisi terapung di permukaan tasik. Sukan ini memerlukan imbangan kaki sewaktu berada di permukaan air," ujarnya ketika ditemui Kosmo! sewaktu menjalani latihan di Marina Putrajaya baru-baru ini.

Flyboard merupakan satu sukan baharu yang diperkenalkan di negara ini pada tahun lalu dan dikendalikan oleh Kelab Sukan Kraft Air Malaysia (KSKAM) menerusi Flyboard Malaysia.

Diperkenalkan

Sukan Flyboard diperkenalkan oleh seorang pelumba jet ski dari Marseille, Perancis iaitu Franky Zapata. Beliau turut membangunkan peralatan sukan air itu tiga tahun lalu.

Zapata juga merupakan satu-satunya pembekal peralatan sukan Flyboard di seluruh dunia.

Mereka yang pertama kali melihat sukan itu dimainkan di Marina Putrajaya, pemain Flyboard kelihatan seperti gerakan watak adiwira Iron Man yang terapung di permukaan tasik.

Sepasang kasut jenama Flyboard diimport dari Perancis yang dilengkapi dengan sistem hos besi dan getah menjadi peralatan utama sukan air itu.

Menurut statistik penjualan alat sukan itu yang diperoleh KSKAM, dianggarkan sebanyak 1,500 unit Flyboard dijual di seluruh dunia sejak dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KSKAM, Raja Aris memberitahu, jet ski dan kasut Flyboard merupakan antara komponen penting untuk bermain sukan air itu.

Menurutnya, Flyboard yang dipakai pada kaki pemain boleh terapung pada permukaan tasik dengan bantuan jet ski.

"Hos getah yang direka pada kasut Flyboard akan disambungkan pada enjin di bawah badan jet ski bagi tujuan mengepam air keluar dan masuk. Air yang dipam dari enjin akan disalurkan melalui hos terus ke Flyboard. Apabila picu atau pendikit minyak di hendal jet ski ditekan, tekanan air dalam hos membuatkan Flyboard terapung.

"Hos getah itu direka khas agar pemain Flyboard sentiasa berada di hadapan jet ski bagi memudahkan penunggang memerhatikan pemain. Komunikasi antara penunggang jet ski dengan pemain Flyboard juga penting kerana mereka mempunyai peranan tersendiri. Sekiranya pemain ingin melakukan sebarang aksi ketika terapung, ia bergantung kepada kadar kelajuan jet ski," jelasnya.

Tambahnya, yang merupakan antara individu terawal memperkenalkan sukan Flyboard di Malaysia, apabila hos getah disambungkan pada bahagian enjin jet ski berkapasiti 260 kuasa kuda, pergerakan kenderaan air itu dikawal sepenuhnya oleh pemain Flyboard.


AHLI KSKAM merupakan penggerak terawal yang memperkenalkan sukan air Flyboard di negara ini.


Kos

Asas sukan Flyboard sama seperti permainan ekstrem papan luncur dan wakeboard yang memerlukan keseimbangan yang baik sewaktu bermain. Sungguhpun kelihatan mudah, Flyboard secara asasnya sukar terapung dan amat mudah terhempas.

Walaupun sudah setahun KSKAM mengendalikan sukan air itu di negara ini, kelab tersebut hanya mempunyai sepasang kasut Flyboard.

Jelas Raja Aris, Flyboard dikategorikan sebagai sukan air berkos tinggi kerana kelengkapan yang digunakan diimport dari luar negara.

"Sepasang kasut Flyboard berharga RM25,000 manakala sebuah jet ski pula berharga RM50,000. Alatan yang kami sediakan khas untuk kegunaan ahli," jelasnya.

Selain itu, setiap pemain wajib memakai jaket keselamatan dan topi keledar.

Pihak Flyboard Malaysia juga mengadakan ujian keyakinan diri kepada setiap pemain yang pertama kali menyertai sesi latihan.

Melalui sesi itu, mereka diajar berenang dengan memakai jaket keselamatan untuk membiasakan diri di dalam air sebelum bermain Flyboard.

Menurut Raja Aris, dua posisi berenang akan diajar kepada pemain sebagai langkah asas sebelum memulakan sesi latihan.

"Posisi tersebut ialah berenang mendada dan berbaring di permukaan air. Posisi berbaring merupakan kaedah terbaik bagi mengawal Flyboard. Bagaimanapun, pemain boleh menggunakan kedua-dua teknik itu mengikut keselesaan mereka," jelasnya.

TOPENG Iron Man merupakan antara aksesori tambahan yang dipakai oleh Muhammad Shukri sewaktu sesi latihan.


Langkah asas

Langkah asas mengendalikan Flyboard ialah mengimbangi bahagian hadapan dan belakang kasut yang dipakai. Pemain perlu menahan tekanan air yang disalurkan pada hos yang disambungkan di bahagian kaki dengan menggerakkan kasut itu ke atas dan bawah.

Sekiranya berjaya mengimbangi tekanan air itu, pemain mampu terapung setinggi tiga meter di permukaan air. Bagi pemain profesional, kebanyakan mereka boleh terapung setinggi enam meter di permukaan tasik.

Jika gagal mengawal tekanan, pemain akan terhempas ke dalam air. Namun, pemain tidak perlu panik setiap kali gagal mengapungkan Flyboard kerana dilengkapi jaket keselamatan.

Apabila pemain menguasai langkah asas itu, mereka boleh mencuba melakukan pelbagai aksi lain dengan bimbingan jurulatih Flyboard Malaysia.

Seorang ahli Flyboard Malaysia, Muhammad Shukri Mohd. Ali, 25, memberitahu, latihan intensif amat digalakkan bagi mereka yang ingin serius dalam sukan air itu.

Dia yang aktif sejak tujuh bulan lalu, kini bermampuan melakukan aksi libas belakang, gaya ikan lumba-lumba dan chasing the jet ski.

"Saya bermula sebagai salah seorang krew jet ski untuk kumpulan X1 Jet Racing. Sejak aktif dalam perlumbaan jet ski, saya lihat Flyboard merupakan salah satu sukan air yang unik sekali gus berminat untuk mencuba.

"Saya mengambil masa berbulan lamanya untuk belajar mengimbangi Flyboard agar terapung dengan sempurna di permukaan air.

"Pengalaman berguru selama dua hari bersama jaguh Flyboard dari Turki, Ali Komsusu banyak membantu saya memahirkan diri dalam sukan ini," ujar pelajar tahun akhir Fakulti Pengurusan Kewangan di Universiti Multimedia, Cyberjaya itu.

Menurutnya yang bakal mewakili negara dalam kejohanan Flyboard dunia di Marina Putrajaya pada bulan Ogos ini, mereka yang terlibat dengan sukan itu perlu mengikut arahan dan teknik yang diajar oleh jurulatih agar dapat mengatasi perasaan gayat sewaktu terapung di permukaan air.

Malaysia tuan rumah kejohanan Flyboard

Posted:

Malaysia tuan rumah kejohanan Flyboard

Malaysia tuan rumah kejohanan Flyboard


KEJOHANAN Flyboard juga merupakan salah satu pendekatan terbaik untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.


TIDAK hanya tertumpu kepada sesi latihan pada setiap Sabtu dan Ahad, KSKAM kini sedang giat meneruskan usaha mencari bakat-bakat baharu. Ia merupakan persediaan awal mencari individu untuk mewakili negara dalam kejohanan Flyboard di Marina Putrajaya yang dijangka berlangsung pada Ogos depan.

Presiden KSKAM, Dr. Raja Putra Shah Raja Shahar Shah berkata, pihaknya memerlukan 10 orang bagi mewakili Malaysia di Kejohanan Skywalker Aquabatic yang pertama kali dianjurkan di negara ini.

Menurutnya, KSKAM memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menyertai latihan serta memberi bimbingan kepada bakat-bakat baharu.

"Muhammad Shukri dan cef terkemuka iaitu Nik Micheal Imran merupakan dua orang peserta yang terpilih mewakili negara. Kami mencari lapan orang lagi peserta sebagai persediaan untuk kejohanan itu.

"Peserta yang terpilih juga akan mendapat tajaan daripada kerajaan negeri Perak dan bakal menjalani latihan selama tiga bulan. Kejohanan itu juga merupakan platform terbaik untuk meluaskan maklumat mengenai Flyboard dalam kalangan generasi muda di negara ini," ujarnya.

Kejohanan itu dijangka menarik penyertaan dari 20 negara seperti Amerika Syarikat, Thailand, Mexico, Finland dan Qatar.

Tiga kategori utama iaitu akuabatik, muzikal dan kostum bakal dipertandingkan dalam kejohanan tersebut.

"Setiap kategori yang dipertandingkan mempunyai tarikan tersendiri. Bagi kategori akuabatik, peserta bebas melakukan sebarang aksi manakala muzikal pula memberi pilihan kepada peserta untuk melakukan aksi Flyboard mengikut alunan muzik.

Kategori kostum bakal menjadi acara pilihan kerana peserta boleh memakai sebarang pakaian contohnya, adiwira seperti Batman dan Superman semasa melakukan aksi," jelasnya.

Tambah Raja Putra Shah, selain KSKAM, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga bertindak sebagai penaja utama kejohanan tersebut.

Darth Vader 'takluk' Putrajaya

Posted:

Darth Vader 'takluk' Putrajaya

Darth Vader 'takluk' Putrajaya

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN

WATAK penjahat dalam filem fiksyen Star Wars, Darth Vader berjaya memukau hadirin di fiesta Belon Panas Antrabangsa di Putrajaya.


WARGA Putrajaya pada 27 Mac lalu dikejutkan dengan kedatangan Darth Vader iaitu watak penjahat dalam filem fiksyen tersohor, Star Wars.

Tidak cukup dengan itu, kejutan kedua terus menyelubungi mereka apabila melihat penunggang motosikal berkuasa tinggi berada di udara dengan di sampingnya terdapat aiskrim.

Namun kejutan tersebut tidak berpanjangan kerana yang 'menakluk' Putrajaya ketika itu hanya kepala Darth Vader dan ia sebenarnya belon panas yang didatangkan khas dari Belgium.

Ia dikendalikan oleh Benoit Lambert dan pembantunya, Caroline de Ville.

Penunggang motosikal berkuasa tinggi dan aiskrim itu juga merupakan belon panas yang didatangkan dari United Kingdom serta Belgium. Ia dikendalikan oleh Dr. Richard Allen dan Benoit Simeons.

Mereka merupakan sebahagian daripada pengemudi 18 belon panas dari 12 negara seperti Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Taiwan, Hong Kong, Korea, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Vietnam dan Belgium yang mengambil bahagian pada fiesta Belon Panas Antarabangsa kali ke-6 di Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya.

Acara selama empat hari itu berjaya menarik minat 300,000 pengunjung yang rata-ratanya tidak mahu melepaskan peluang melihat belon panas dengan pancaindera mereka.


SEAWAL pukul 7 pagi, jurumudi sudah mula membuat persediaan belon panas masing-masing.


Petugas media

Pada hari tersebut, penganjur bermurah hati apabila memberi peluang kepada petugas media untuk merasai sendiri pengalaman menaiki belon panas selama 20 minit pada anggaran ketinggian 100 hingga 200 meter dari paras tanah bersama jurumudi berpengalaman.

Selain Kosmo! penganjur turut memberi peluang kepada petugas media dan jurugambar termasuk daripada Utusan Malaysia iaitu Zaki Amiruddin, Sharaimei Shaik Ahmedullah dan Juani Munir Abu Bakar.

Seawal pukul 7 pagi, jurumudi-jurumudi belon panas tersebut mula mengembangkan belon panas masing-masing sebelum kesemuanya terbang sejam kemudian.

Penulis diberi peluang menaiki belon panas nombor 9 kendalian Gilles Leclercq, 64, dari Perancis yang mempunyai pengalaman selama sedekad dalam bidang itu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia telah menjelajah ke banyak negara dengan kerjayanya tersebut seperti Vietnam, Jerman, Syria, Libya, Kanada dan Taiwan.

Di Malaysia sahaja, Gilles sudah tiga kali datang ke sini.

"Saya sangat teruja dengan kerjaya saya ini. Saya akan ke Filipina pula selepas acara di sini tamat.

"Penat memanglah penat kerana anda bercakap mengenai pemunggahan dan penyimpanan belon seberat 80 kilogram setiap kali hendak beraksi tetapi itulah cabaran yang perlu dihadapi dan saya tidak menyesalinya," katanya ketika ditemu ramah Kosmo! pada ketinggian kira-kira 200 meter di udara.


FIESTA Belon Panas Antarabangsa menyaksikan kreativiti jurumudi mencipta belon panas luar daripada kelaziman seperti belon panas berbentuk motosikal.


Sambil berbual-bual, tangannya sesekali mengepam gas berapi untuk memastikan haba di dalam belon kekal untuk mengimbangi kami pergi ke mana-mana mengikut arah tiupan angin.

Belon yang kami naiki berbentuk lonjong dan berwarna-warni dengan bakulnya diperbuat daripada rotan berwarna coklat.

Terdapat dua tong gas silinder di dalamnya yang mampu bertahan selama satu setengah jam menurut Gilles.

Ketika di udara, Gilles meminta saya mengambil gambar refleksi belon panas lain ketika melalui tasik Putrajaya menggunakan telefon bimbit dan dia sempat memetik sejenis buah dari pucuk sebatang pokok untuk diberikan kepada saya. Namun saya tidak pasti jenisnya.

Orang ramai di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya yang ketika itu hendak keluar bekerja turut teruja dengan belon panas tersebut dan ada yang sanggup memberhentikan kenderaan masing-masing semata-mata untuk mengambil gambar.

Selepas 20 minit, Gilles akhirnya memilih satu tempat lapang dekat kawasan perumahan di Cyberjaya iaitu kira-kira lima kilometer dari tempat kami berlepas untuk mendarat.

"Pegang kuat-kuat," pesan Gilles ketika bakul hendak menyentuh tanah. Pesannya itu penulis ikuti dan pendaratan yang kemas oleh Gilles membuatkan kami selamat mendarat pada hari itu sebelum kembali ke Monumen Alaf Baru, Presint 2 dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda penganjur.

Acara belon panas merupakan acara yang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh orang ramai, malah kepada peminat fotografi kerana ia memberi peluang untuk mengasah dan memperkemaskan bakat dalam merakamkan saat indah tersebut.


SEMUA belon panas diterbangkan ke udara dengan ketinggian 100 meter hingga 200 meter dari paras tanah.


Fiesta Belon Panas Antarabangsa kali ke-6 di Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya itu menunjukkan peningkatan pengunjung sehingga mencecah 300,000 orang.

Pengendali belon

Dengan tema Mewarnai Langit, fiesta yang menampilkan belon panas pelbagai corak, bentuk dan warna tersebut merupakan antara acara yang termasuk dalam kalendar tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya.

Pengerusi fiesta tersebut, Mohammad Sobri Saad berkata, acara itu mengumpulkan pengendali belon panas tercekap di dunia.

Katanya, acara itu sedikit sebanyak menjadi tarikan pengunjung untuk melawat Putrajaya dan Malaysia.

"Selain berpeluang menaiki belon panas yang ditambat, pengunjung juga boleh menaiki helikopter, mencabar diri di Zon Ekstrem Mountain Dew, berkelah dan memasuki pertandingan mengambil gambar yang menawarkan hadiah utama sebanyak RM10,000.

"Orang ramai boleh membawa keluarga masing-masing untuk bergembira dan mengambil gambar untuk dijadikan kenang-kenangan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, pihak penganjur menjangkakan kehadiran lebih 300,000 pengunjung berdasarkan pengalaman pada acara tahun lalu.

Acara itu tidak memerlukan pengunjung membayar apa-apa untuk masuk cuma mereka yang ingin menaiki helikopter akan dikenakan bayaran sebanyak RM130, menaiki belon panas yang ditambat (RM20) dan Zon Ekstrem Mountain Dew (RM5 hingga RM25).

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat