Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
'Tiada lagi Mizz Nina yang lama' Posted: 'Tiada lagi Mizz Nina yang lama'PULANG daripada menunaikan ibadah haji pada hujung bulan Oktober lalu, perubahan mendadak penyanyi urban Mizz Nina mencuri tumpuan khalayak. Bukan saja imej baharu dengan menutup aurat dan bertudung, hijrah Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 33, turut merangkumi aspek muzik dan karier seninya. "Selepas ini, tiada lagi Mizz Nina yang lama, daripada segi muzik dan lagu-lagu saya semuanya akan berubah. Saya akan tinggalkan terus dunia muzik yang lama dan bermula semula dengan arah baharu. "Insya-Allah, pada tahun depan saya akan menghasilkan sebuah single baharu yang lebih bersifat kerohanian dan menyampaikan mesej tersirat pada masa sama. "Tapi buat masa sekarang saya perlu fokus untuk diri sendiri dulu dan berehat seketika daripada dunia seni," ujarnya yang ditemui ketika acara Shout! Awards di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kata Nina, kehidupan peribadinya masih sama seperti dahulu dan dia enggan menjadi hipokrit selepas diberikan hidayah dan peluang untuk melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya kali ini. "Hidup saya masih sama tiada apa yang berubah cuma sekarang saya rasa lebih gembira dan bebas. Alhamdulillah saya bersyukur atas penghijrahan ini dan apabila mendapat seruan untuk menunaikan haji di Tanah Suci Mekah, nikmat itu tidak tergambar oleh kata-kata. "Tambahan, saya dapat menunaikan haji bersama suami dan keluarga saya bersama-sama yang telah lama saya idamkan, tidak seperti kawan-kawan saya yang lain terpaksa pergi berasingan. "Apabila dapat berdua-duaan dengan suami menunaikan haji di Mekah, saya rasa bahagia dan sangat direstui. Lagipun, sudah lama saya ingin untuk menunaikan haji," kata Nina. MIZZ NINA terharu dengan kemenangannya meraih Anugerah Flava pada Shout! Awards 2013. Tudung Ditanya apakah antara doa yang dipanjatkan sepanjang mengerjakan ibadah rukun Islam kelima itu, jawab Nina, dia berdoa agar dipercepatkan rezeki untuk memperoleh zuriat setelah dua tahun mendirikan rumah tangga bersama Noh Salleh. "Setiap pasangan akan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan rumah tangga dan kebaikan dalam kehidupan, bukan saya berdoa untuk dikurniakan zuriat semata-mata. "Insya-Allah, sekarang pun kami masih berusaha untuk mendapatkan zuriat, ada rezeki adalah," tambahnya. Memilih keputusan untuk bertudung ujar Nina banyak dipengaruhi oleh kawan-kawan sekelilingnya. Ada antara sahabat karibnya memperkenal dan mendekatkan Nina dengan hijab sebelum menunaikan haji lagi. "Keluarga saya sudah lama mengetahui hasrat saya untuk bertudung dan Alhamdulillah mereka menyokong saya dan gembira atas pilihan ini. Suami pun lebih sayang! "Ini semua satu pengorbanan untuk menjadi diri saya yang lebih baik daripada sebelum ini dan bertudung adalah perkara yang lahir daripada hati secara ikhlas untuk melakukannya," kata Nina yang masih mencari-cari imej terkini yang sesuai dengan dirinya. Pernah suatu ketika, Nina meluahkan hasrat untuk berkolaborasi dengan penyanyi pop antarabangsa Rihanna sebelum ini dan ketika diajukan soalan bagaimanakah dia akan meneruskan niat itu, Nina terdiam seketika. "Selepas ini tidak akan ada lagi sebarang kolaborasi dengan artis luar atau klip video seperti sebelum ini. Sekarang adalah Mizz Nina baharu, saya tidak menyesal dan yakin dengan pilihan ini!" ulasnya. Noh tidak paksa Berkongsi pengalaman menunaikan haji baru-baru ini, kata Noh, dia bersyukur diberikan peluang untuk melengkapkan rukun Islam kelima pada tahun ini. "Sebelum ini saya dan Nina pernah berbincang dan merancang untuk menunaikan haji tapi atas kesibukan kerja masing-masing, hasrat itu terpaksa 'ditangguhkan' seketika sehingga ke tahun depan pada asalnya. "Tapi perjalanan kali ini Alhamdulillah dipermudahkan Allah dan memang niat kami untuk menunaikan haji sebelum dapat cahaya mata," ujarnya. NOH dan Nina berkongsi momen indah ketika mengerjakan haji di Mekah. Berkongsi pengalaman menarik sepanjang menunaikan haji, cerita Noh, momen ketika berkhemah di Mina sebelum melontar Jamrah Aqabah adalah detik terindah sepanjang di Mekah. "Perasaan ketika itu sebak dan rasa lain macam, pada masa sama rasa begitu hiba dan penuh syukur. Selain itu, ketika wukuf di Padang Arafah juga antara detik-detik yang tidak dapat saya lupakan sepanjang menunaikan haji," kata Noh. Sementara itu, vokalis band Hujan itu mula menyedari perubahan isterinya sekitar tiga bulan lalu apabila Nina semakin kerap mengajaknya untuk mengaji Al-Quran bersama-sama. "Hidupnya berubah 360 darjah dan lebih cenderung untuk mendalami ilmu agama Islam tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa melainkan kehendak dirinya sendiri. "Mula-mula dia sering mengajak saya untuk mengaji al-Quran bersama-sama dan mengejutkan saya bangun awal-awal pagi untuk menunaikan solat Subuh. Apabila keluarga menyatakan hasrat untuk menunaikan haji di Mekah, perasaan terujanya tambah berkobar-kobar. "Saya tidak memaksa Nina untuk berhijrah kerana dia sendiri boleh berfikir baik dan buruknya, Nina juga seorang yang bijak dan tidak perlu disuruh untuk melakukan sesuatu malah kalau ada sebarang ketidakpuasan hati, dia sendiri yang akan suarakan," ujarnya yang bakal merakamkan single bersifat kerohanian bersama Nina tidak lama lagi. | ||
Posted: Isu lagu Permata AlyahOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
PROGRAM Muzik Muzik merupakan medan pertembungan antara lagu-lagu baharu dalam kalangan penyanyi serta komposer untuk dipertandingkan setelah berada dalam carta selama beberapa minggu. Bagaiamanapun, terbaharu, sempena pertandingan Muzik Muzik 28, wujud isu yang mana lagu lama yang diberi nafas baharu turut meraih pencalonan antara 30 lagu baharu yang dipertandingkan. Ia seperti tidak adil untuk komposer dan artis lain yang mempertandingkan lagu baharu mereka. Lagu yang dimaksudkan berjudul Permata alunan Alyah yang telah dicipta pada tahun 2002. Selepas berjaya mendapat tempat di separuh akhir Muzik Muzik 28 dan kemudian layak bertanding pada Anugerah Juara Lagu 28. Namun, pihak TV3 ada jawapan tersendiri tentang isu tersebut. Ikuti temu bual bersama Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 28, Muhamad Sufian Che Isa pada sidang akhbar di Terrace, The Curve, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kosmo!: Permata merupakan lagu lama yang diberi nafas baharu. Kenapa ia layak bertanding dalam Muzik Muzik? SUFIAN: Kami lihat dari segi kesesuaian lagu itu untuk bertanding. Lagu Permata tidak pernah bertanding dalam pertandingan Muzik Muzik sebelum ini. Jadi, tahun ini kami longgarkan syarat penyertaaan dan benarkan lagu seumpama itu bertanding. Bagaimanapun, tahun hadapan kami akan merombak semula garis panduan tersebut. AKSI Alyah ketika berkolaborasi bersama Ben Idola Kecil 5 menyampaikan lagu Permata pada separuh akhir Muzik Muzik 28. Adakah pihak Muzik Muzik sendiri tahu Permata sebenarnya lagu lama yang telah diberi nafas baharu? Kami memang sedia maklum akan perkara tersebut. Namun, ia merupakan sebuah lagu lama yang tidak diketengahkan atau dimasukkan ke dalam mana-mana carta sebelum ini. Buat masa ini, kami beri peluang kepada semua lagu tidak kira baharu atau lama untuk masuk bertanding. Bagaimanapun, tahun hadapan perkara ini akan dibincang semula. Beralih kepada pencalonan, kini kelihatan ada beberapa artis lama yang tarik diri daripada pertandingan ini biarpun lagu mereka tercalon. Adakah ia perkembangan yang baik atau tidak? Seperti yang diketahui, kami memang beri kelonggaran dengan membenarkan penyanyi lain untuk menyampaikan lagu tersebut jika komposernya ingin bertanding. Namun, kami sendiri berharap ia tidak perpanjangan dan mengalu-alukan semua komposer serta artis untuk masuk bertanding. Komen anda tentang hal ini? Itu sebenarnya hak mereka untuk masuk bartanding atau tidak. Jika boleh, kami juga tidak mahu tetapkan syarat yang terlalu ketat. Ada penyanyi asal tidak mahu bertanding, tetapi komposernya mahu. Namun, diharap mereka faham tentang objektif Muzik Muzik dan harap ia tidak akan berterusan. Masyarakat ingin lihat lagu kesukaan mereka dipertandingkan oleh nyanyian artis pujaan mereka. Ia juga sebenarnya diibaratkan seperti tanggungjawab penyanyi itu untuk menyampaikan lagu yang ditulis oleh komposer untuk mereka. | ||
Posted: Ahmad Busu dalam kenanganOleh HARYATI KARIM
PASTI ramai yang masih ingat dengan telatah dan kelucuan watak Mat Deris dalam sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang cukup popular sekitar tahun 90-an. Kini, watak Mat Deris hanya tinggal kenangan apabila pelakonnya, Allahyarham Ahmad Busu pulang menemui Ilahi pada usia 60 tahun pada pukul 7.05 malam Ahad lalu. Berita itu cukup mengejutkan bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga rakan serta peminatnya. Sebelum ini, arwah pernah dimasukkan ke hospital pada tahun 2009 akibat strok. Sejak itu kesihatan arwah bertambah pulih dan tidak menghidap sebarang penyakit yang kronik. Namun, tidak disangka arwah yang dibawa anaknya ke hospital pada Sabtu lalu kerana demam biasa akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang akibat demam yang semakin teruk dan sesak nafas. Salah seorang teman rapat arwah, pelakon Imuda yang sama-sama berlakon dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, dia amat terkejut apabila mendapat berita pemergian arwah. "Saya sangat berdukacita dengan pemergiannya. Bagi saya arwah seorang teman yang baik. Walaupun bekerja dalam bidang seni, arwah sentiasa ingat pada agama dan tidak pernah meninggalkan solat," ujarnya. Tambah Imuda, persahabatan yang lama terjalin menyebabkan pemergian arwah cukup dirasainya. "Memang saya sedih sebab kami mula berlakon dan popular bersama. Saya kenal sangat arwah, walaupun orang lihat arwah seperti pelawak sebenarnya dia bukan kaki lawak dengan rakan-rakan," katanya.
Seorang lagi teman baik arwah, pelakon veteran Hamid Gurkha mengatakan, dia bagai tidak percaya apabila menerima berita tersebut dan segera bergegas ke rumah arwah di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor. Jelas Hamid, dia terlalu sedih kerana hubungan mereka sangat rapat dan sudah menganggap arwah seperti anaknya sendiri. "Arwah umpama anak saya dan kami sangat rapat. Kami akan pergi ke mana-mana bersama. Jika ada mesyuarat persatuan dia akan bertanya saya pergi atau tidak. Jika saya tidak pergi, arwah tidak akan pergi," ucapnya sedih. Jika teman-teman baik arwah cukup merasai pemergiannya, kesedihan yang dirasai keluarganya lagi menggunung apabila permintaan terakhirnya untuk bertemu dengan saudara-mara serta rakan lama di Perak telah tertunai. Menurut anak kedua arwah, Mohd. Afiq, 28, arwah bapanya meminta untuk bertemu dengan saudara serta rakan lama di Perak pada minggu lalu. "Sebelum meninggal dunia, arwah ayah seperti biasa sahaja, tidak pula menunjukkan sikap yang lain. Disebabkan itu kami semua terkejut kerana memang tidak jangka langsung, "Alhamdulillah, permintaannya untuk bertemu dengan saudara mara dan rakan-rakan lama di Perak telah tertunai pada minggu lalu," katanya. Sebelum menghembuskan nafas terakhir arwah sempat berpesan kepada Afiq dan adik-beradiknya yang lain supaya sentiasa ingat pada agama, menjaga ibadah dan tidak meninggalkan solat. Jenazahnya disembahyangkan di Surau Seri Andalas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 10 pagi, semalam. Arwah meninggalkan seorang balu dan empat orang anak. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |