Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: RM1.5 juta dana pelajaran
KEMPEN Menginspirasikan Hari Esok oleh syarikat tenusu terkenal, Dutch Lady Milk Industries Berhad yang dijayakan selama 10 bulan berjaya mengukir senyuman pada wajah 50 kanak-kanak Malaysia yang bertuah. Ini kerana kesemua mereka menerima polisi insurans berjumlah RM1.5 juta untuk tujuan membantu mereka mengecapi impian dan inspirasi masing-masing pada masa depan. Setiap kanak-kanak itu memperoleh polisi insurans bernilai RM30,000 yang akan matang ketika mereka berusia 18 tahun. Kempen tersebut dijayakan bersama UniAsia Life Assurance Berhad. Pihak penaja yakin polisi tersebut akan menjadi satu bentuk pelaburan yang baik untuk masa depan kanak-kanak yang terlibat. Kempen itu dilancarkan sebagai sebahagian daripada sambutan meraikan ulang tahun Dutch Lady Malaysia yang ke-50 tahun. Ia seiring dengan matlamat syarikat tersebut untuk membantu rakyat Malaysia maju ke depan dalam kehidupan dengan pengambilan nutrisi tenusu yang boleh dipercayai. Selain itu, kempen Menginspirasikan Hari Esok dilahirkan bagi memulakan langkah pertama dalam mewujudkan program yang mampu memberi kesan meluas terhadap kanak-kanak. Seramai 50 kanak-kanak terpilih untuk menerima dana pelajaran dalam bidang kepakaran yang ingin diceburi mereka. Mereka dipilih berdasarkan tiga kategori iaitu 10 daripadanya dipilih melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, 10 orang daripada rumah kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia dan 30 yang lain dipilih menerusi pertandingan rakaman video umum. Manfaat Pengurus Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Ramjeet Kaur Virik berkata, kempen tersebut merupakan satu lagi hasil kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memberi manfaat kepada masyarakat.
"Maklum balas terhadap kempen ini sungguh mengujakan sekali gus menunjukkan ibu bapa di Malaysia amat menitikberatkan pelaburan untuk pelajaran anak mereka pada masa depan. "Kami akan terus memainkan peranan untuk menjadi inspirasi dan menyemarakkan semangat generasi muda negara ini," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Kira-kira 800 penyertaan diterima, 156 daripadanya dari sekolah di Kelantan dan Terengganu. Setiap sekolah hanya dibenarkan untuk menghantar satu penyertaan dan nama murid bagi penyertaan tersebut dicadangkan oleh guru besar sekolah berkenaan. Penyertaan daripada orang awam pula memerlukan ibu bapa menghantar rakaman video tentang bagaimana mereka memberi inspirasi kepada anak-anak dalam mencari potensi sebenar. Sebanyak 625 rakaman video diterima penganjur dan daripada jumlah tersebut sebanyak 30 penerima bertuah telah dipilih oleh juri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelajaran dan wakil penganjur. Selain itu, juri lain yang terlibat ialah pakar psikologi, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor, penyanyi terkenal, Ziana Zain dan Faizal Tahir. Sokongan orang ramai membuatkan pihak penganjur berhasrat untuk memanjangkan tempoh kempen dengan mengadakan bengkel Menginspirasikan Hari Esok kepada 50 kanak-kanak tersebut sehingga bulan depan. Bengkel kepimpinan dan nutrisi bakal dilaksanakan secara bersiri. Tumpuan yang lebih diberikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia. Ia merupakan usaha untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang dalam menyebarkan harapan yang memupuk hubungan erat antara ibu bapa dan anak mereka. | ||
Posted: Bumi pada tahun 2050Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN PORRITT menunjukkan buku terbaharunya, The World We Made pada majlis pelancarannya di ibu negara baru-baru ini. KOMITMEN Sir Jonathon Porritt terhadap isu-isu alam sekitar berkembang sejak beliau menjadi seorang pendidik kira-kira 40 tahun lalu di sebuah sekolah di Shepherd's Bush, barat London, United Kingdom (UK). Keterujaan Porritt, 63, yang merupakan anak kepada bekas Gabenor Jeneral New Zealand ke-11 iaitu Lord Arthur Porritt, dalam memperjuangkan isu-isu alam sekitar berterusan apabila cabang ideanya mula diterjemahkan melalui penulisan buku pertama pada tahun 1984, Seeing Green. Melihat senario perdebatan hangat mengenai nasib bumi pada masa hadapan, bekas Pengerusi Bersama Parti Green di UK itu mengambil inisiatif melancarkan buku terbaharu di negara ini yang berjudul The World We Made: Alex McKay's Story from 2050 (The World We Made) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur baru-baru ini. Buku setebal 328 halaman itu menghuraikan keadaan dunia yang lebih baik pada tahun 2050 menerusi kaca mata Alex McKay, satu watak yang digambarkan sebagai seorang guru sejarah berusia 50 tahun. "Idea yang dibangkitkan dalam buku ini bukan sains fiksyen. Buku The World We Made menekankan potensi pelbagai penyelesaian teknologi untuk membawa kita menuju masa depan yang lebih mampan," katanya. Jonathon yang juga pengasas Forum for the Future, sebuah pertubuhan bukan kerajaan mengenai alam sekitar menolak tanggapan bahawa bumi pada masa hadapan terjejas teruk akibat pencemaran. Sebaliknya, beliau menggambarkan dunia pada tahun 2050 adalah tempat yang diimpikan oleh setiap penduduk. Memaparkan peristiwa-peristiwa penting, penciptaan teknologi baharu dan revolusi gaya hidup yang mengubah planet ini, buku itu juga dipenuhi dengan imej untuk menghidupkan dunia teknologi tinggi tersebut. Ia termasuk gambar-gambar, grafik dan lukisan tangan futuristik. SEBAHAGIAN koleksi buku yang ditulis oleh Porritt. The World We Made meliputi pelbagai topik yang merangkumi 'internet tenaga' kepada pengembaraan kapal udara, percetakan tiga dimensi ke robotik dan pertanian urban melalui pandangan teknologi terkini. Dalam satu bab, Urban Makeover, McKay telah menceritakan tentang Menara Baharu Petronas di Kuala Lumpur yang siap dibina pada tahun 2042. Menara itu digambarkan mempunyai ketinggian 750 meter dan ia beroperasi dengan 92 peratus bekalan tenaga dijana oleh bangunan itu sendiri. Karya terhebat Buku terbaharu terbitan Phaidon tersebut mempunyai 135 imej berwarna, 50 ilustrasi hitam-putih dan dijual pada harga AS$39.95 (RM128) senaskhah. Hingga saat ini, bekas guru bahasa Inggeris yang dikurniakan dua anak perempuan dengan masing-masing berusia 23 dan 22 tahun itu telah menghasilkan sembilan buah buku yang kesemuanya terarah kepada isu alam sekitar. Porritt yang dilahirkan di Cheltenham, sekitar 160 kilometer dari London menjadikan penulis wanita terkenal dari Amerika Syarikat, Rachel Carson sebagai idolanya. "Buku Rachel pada tahun 1962 berjudul Silent Spring adalah sebuah karya hebat. Ia menceritakan kesan racun pemusnah serangga terhadap alam sekitar," katanya. Pencinta alam itu memberitahu bahawa walaupun karya-karyanya belum mendapat sebarang anugerah, perkara lebih penting adalah idea yang diperjuangkan memberi kesan kepada masyarakat. "Saya pernah menjadi guru selama 10 tahun di sebuah sekolah di London dan saya suka berkomunikasi dan salah satunya dengan menulis buku. "Buku membuatkan anda fokus dan ia menyebabkan kita berfikir tentang kelompok pembaca tertentu dan siapa yang akan membaca buku kita," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |