Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST Oleh AZIZI MAJID AZAHAR Abd. Rahman (lima dari kanan) dan Abdul Manaf Abd. Rahman (empat dari kanan) bersama penduduk kampung dan ahli Biro Pengaduan Awam UMNO Gelang Patah menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran pencerobohan jet pejuang disyaki milik Singapura di pekarangan SMK Tanjung Adang, Gelang Patah, Nusajaya, Johor, semalam. NUSAJAYA 15 Nov. - Seramai 62 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang, Gelang Patah di sini yang sedang menduduki peperiksaan mendakwa terganggu dengan bunyi kuat apabila setiap kali pesawat pejuang, disyaki dari negara jiran melintasi kawasan persekolahan berkenaan. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Azahar Abd. Rahman berkata, kehadiran pesawat pejuang itu disedari penduduk setempat sejak 7 November lalu apabila melalui ruang udara di kawasan berkenaan hampir setiap hari kecuali cuti hujung minggu. ''Kehadiran jet-jet pejuang disyaki dari Singapura ini telah mengganggu tumpuan para pelajar yang sedang menduduki peperiksaan kerana boleh dikatakan selang beberapa minit ada sahaja jet pejuang akan lalu. ''Bunyinya pula cukup kuat kerana terbang pada ketinggian sederhana dan sekurang-kurangnya 10 kali pesawat ini berulang alik dari ruang udara di sini bermula pukul 10 pagi hingga ke petang," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Azahar, masalah tersebut perlu ditangani segera kerana bukan hanya mengganggu para pelajar ketika menduduki peperiksaan, malah melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara. Ketua Kampung Tiram Duku, Abdul Manaf Abd. Rahman berkata, pencerobohan ruang udara disyaki oleh pesawat tentera udara republik tersebut bukan pertama kali terjadi kerana masalah sama pernah berlaku sebelum ini. Katanya, sehingga kini, mereka juga tidak dimaklumkan sama ada pesawat pejuang tersebut dibenarkan untuk menggunakan ruang udara negara ini atau sebaliknya. ''Agak lama juga jet-jet pejuang tersebut tidak melalui ruang udara di sini dan kali ini kembali semula. Ini menunjukkan bahawa pihak pemerintah Singapura tidak menghormati keputusan kerajaan Malaysia berkaitan dengan larangan menggunakan ruang udara negara ini bagi jet-jet Singapura. ''Justeru, saya berharap pihak yang berkenaan seperti Kementerian Pertahanan dan Wisma Putra memandang serius perkara ini termasuklah membuat bantahan kepada pemerintah Singapura," katanya. Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam UMNO Gelang Patah, Mohd. Faiz Abdullah yang menerima aduan berhubung kejadian tersebut telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Gelang Patah di sini semalam. |
Rokok, arak bernilai lebih RM2 juta dirampas Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST RAMLI Johari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada rokok dan minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar di Menara Kastam di Johor Bahru, Johor, semalam. JOHOR BAHRU 15 Nov. - Sejumlah 1.085 juta batang rokok putih dan 687 botol minuman keras bernilai lebih RM2 juta termasuk cukai dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dirampas di Bangunan Sultan Iskandar di sini kelmarin. Pengarah Kastam negeri, Datuk Ramli Johari berkata, barangan tersebut dirampas dalam lima buah kenderaan penumpang dari Singapura yang melalui laluan masuk kenderaan di bangunan tersebut pukul 12.05 tengah malam. Menurutnya, dua lelaki berusia 40 hingga 50 tahun yang memandu dua daripada lima van berkenaan ditahan, manakala tiga lagi sempat melarikan diri dan meninggalkan kenderaan yang dipandu mereka. "Rokok putih dan minuman keras yang dirampas sepasukan anggota penguat kuasa kastam itu dipercayai belum mendapat kelulusan," katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini. Beliau berkata, kesemua rokok putih yang dirampas itu bernilai RM173,500 dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM1.7 juta, manakala nilai minuman keras pula berjumlah RM45,882 dengan cukai terlibat adalah sebanyak RM153,349. Katanya, kedua-dua barangan tersebut merupakan barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan mengenai import) 2012 dan memerlukan lesen import daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kastam 1977. "Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari terlibat dalam mengangkut barang larangan dengan niat untuk mengelak daripada apa-apa larangan yang terpakai bagi barang-barang itu. "Siasatan lanjut sedang giat dijalankan dan dua suspek itu kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 26 November ini," katanya |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |