{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Johor siap sedia hadapi banjir

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

AYUB Rahmat menerima sijil penghargaan daripada Azmi Sukiman (kanan) sambil diperhatikan oleh Abdul Aziz Siamin (dua, kiri) di Dewan Terbuka Bandar Putra, Segamat, semalam.

SEGAMAT 12 Nov. - Kerajaan negeri sudah bersedia untuk menghadapi bencana banjir pada bila-bila masa yang kebiasaannya berlaku pada setiap penghujung tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, dalam mesyuarat mingguan Exco yang lalu beliau telah meminta pihak Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya memberi taklimat tentang keadaan itu kepada anggota Exco terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden.

"Ini kerana kita menjangkakan musim banjir di negeri ini setiap penghujung tahun kerana kini telah masuk musim tengkujuh yang bermula bulan ini hingga Mac setiap tahun dan kena bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya selepas merasmikan Sukaneka Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Bandar Putra bersama Pejabat Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Segamat, di Dewan Terbuka Bandar Putra semalam.

Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, kerajaan negeri turut menjangkakan jika berlaku banjir waktunya adalah sama ada pada pertengahan Disember atau awal Januari.

Turut hadir ialah Ketua Cawangan PPDNKK Segamat, Abdul Aziz Siamin; Pengerusi KRT Bandar Putra, Azmi Sukiman dan 200 orang penduduk Taman Bandar Putra.

Ayub turut minta masyarakat mengikuti maklumat daripada Jabatan Meteorologi berkaitan dengan cuaca dan maklumat-maklumat yang akan disiarkan dalam media cetak dan elektronik.

"Selain itu semua agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta sukarelawan juga telah bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

"Sebagai persiapan menghadapi banjir di daerah ini satu siri latihan persedian menghadapi banjir telah diadakan di Empangan Juaseh oleh anggota bomba dan penyelamat dan PDRM dan penubuhan Segamat Water Rescue Team yang melakukan kerja-kerja menyelamat di air," katanya.

Kesedaran masyarakat mengenai hidupan liar penting - Raja Zarith Sofiah

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah melawat pameran selepas merasmikan Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2013 di Pusat Konvensyen Persada, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 12 Nov. - Kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar dan hidupan liar dalam kalangan masyarakat perlu dipupuk seawal usia kanak-kanak di samping meningkatkan tahap penguatkuasaan bagi menangani ancaman terhadap kelestarian spesies haiwan tersebut.

Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, sehingga kini dianggarkan separuh daripada hutan yang menjadi habitat lebih 80 peratus biodiversiti dunia lenyap, sebahagian lagi dibersihkan pada kadar 10 kali lebih pantas daripada penanaman semula dan dunia kehilangan hampir 17 juta hektar hutan hujan tropika.

"Tidak dapat dinafikan, pembangunan merupakan proses berterusan yang mesti dilaksanakan tetapi malangnya, sering kali kita lihat bagaimana pembangunan yang dilaksanakan mengabaikan aspek alam sekitar yang menjadi habitat pelbagai jenis flora dan fauna termasuk hidupan liar.

"Setiap seorang daripada kita ada peranan yang boleh menyumbang ke arah pemuliharaan hidupan liar. Sekiranya kita tidak mengimbangi pembangunan fizikal dan pemuliharaan biodiversiti termasuk hidupan liar, kita bakal kehilangan khazanah alam yang tidak ternilai harganya," titah baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah demikian ketika berucap merasmikan pertandingan Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Juita, Datin Seri Rosni Omar; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff.

Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengarah Urusan Kulim (M) Berhad, Ahamad Mohamad; Timbalan Pengerusi Pertandingan dan wakil-wakil Malaysian Nature Society serta Wildlife Conservation Society.

Program yang bermula sejak Ogos lalu hingga Mac tahun hadapan itu merupakan pertandingan berkumpulan terbuka kepada murid sekolah kebangsaan, pelajar sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Tiga cabaran disediakan iaitu reka cipta kemeja T, penganjuran minggu kesedaran hidupan liar di sekolah/IPT dan penggunaan multimedia.

Terdahulu para peserta pertandingan yang terdiri daripada 10 sekolah kebangsaan, 10 sekolah menengah dan empat IPT di negeri ini mendengar ceramah motivasi yang disampaikan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sebelum menerima sijil pendaftaran daripada Raja Zarith Sofiah sendiri.

Menurut baginda, Raja Zarith Sofiah Wildlife Defenders Challenge 2013 merupakan lanjutan daripada penganjuran Hari Kesedaran Pemuliharaan Hidupan Liar anjuran JCorp dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2 April lalu, dengan tumpuan utama kepada golongan pelajar sebagai pewaris masa depan.

"Dalam program ini, peserta diuji secara 'hands-on' dari segi pengetahuan, kreativiti dan inovasi dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memulihara alam sekitar yang turut melibatkan masyarakat setempat.

"Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dianjurkan dan diteruskan pada masa depan. Saya juga berharap akan ada lebih banyak komuniti korporat mencontohi inisiatif dan komitmen JCorp dalam menyumbang usaha ke arah pemuliharaan hidupan liar ini sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka," titah baginda lagi.

Ekspedisi UTM perkenal bio-diesel

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh ZAINAL AZHAR
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 12 Nov. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan kesinambungan ekspedisi Trans-Johor Bio-diesel edisi Ke-6 dengan melibatkan seramai 25 mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Kimia baru-baru ini.

Ekspedisi selama sehari sejauh 370 km yang bermula dan berakhir di UTM Skudai merupakan permulaan kepada ekspedisi merentasi Semenanjung yang dijadualkan diadakan pada tahun depan.

Pengarah Publisiti Program, Nurul Izati Nazirah Abdul Rozab berkata, ekspedisi Trans-Johor Bio-diesel bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat luar tentang penggunaan bio-diesel yang telah diuji pada bas UTM.

Menurutnya, keistimewaan ekspedisi kali ini ialah bahan bakar tersebut dihasilkan oleh mahasiswa UTM dalam tempoh 10 hari dan antara kelebihan bio-diesel ialah dapat mengurangkan kadar pencemaran udara yang semakin kritikal ketika ini.

"Selain itu, kos penghasilan bio-diesel lebih murah berbanding diesel kerana bio-diesel yang dihasilkan oleh mahasiswa ini menggunakan 100 peratus minyak masak terpakai. Sepanjang perjalanan itu, mahasiswa turut singgah di kawasan Felda Lok Heng untuk mempromosikan bio-diesel kepada komuniti di situ.

"Pemilihan kawasan Felda pada ekspedisi kali ini kerana kawasan tersebut terdiri daripada kawasan pertanian utama bagi kelapa sawit yang menjadi sumber penting dalam penghasilan bio-diesel," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu Penyelia Felda Lok Heng, Ismail Sani berkata, bio-diesel pernah dikomersialkan, tetapi kos yang tinggi menyebabkan bahan bakar itu kurang mendapat sambutan ramai.

"Setelah melihat bio-diesel hasil adunan minyak masak terpakai, kami bersetuju jika penggunaannya diperluaskan dalam kalangan masyarakat kerana mampu mengurangkan pencemaran udara dan pembaziran.

"Sebelum ini saya hanya mengetahui tentang bio-diesel menerusi media massa dan berharap program tersebut dapat diteruskan dengan meluas dan sentiasa aktif dalam mempromosikan penggunaan bio-diesel ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat