Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Ujian amniosentesis semasa hamil Posted: 17 Nov 2013 04:47 AM PST Soalan DOKTOR menasihati saya menjalani ujian amniosentesis. Saya kurang jelas berkenaan ujian tersebut. Harap doktor dapat menjelaskannya. Terima kasih. Mentari, Sabah Jawapan Amniosentesis ialah ujian diagnostik khas yang melibatkan pengambilan sampel cecair amnion (ketuban) dari uterus (rahim) anda dan menganalisisnya dalam makmal untuk melihat sama ada bayi dalam kandungan mempunyai sebarang ketaknormalan yang serius. Cecair amnion mengandungi sel-sel kulit bayi yang luruh dan sel-sel inilah yang akan dianalisis. Ia adalah satu ujian diagnostik, yang bermakna boleh memberitahu dengan hampir tepat jika bayi anda mempunyai kecacatan tertentu selain jantinanya. Amniosentesis boleh mengenal pasti beratus jenis kecelaruan genetik termasuk yang paling biasa berlaku. Ia biasanya digunakan untuk mengesan kecacatan kromosom seperti sindrom Down, Patau dan Edward. Amniosentesis tidak mengesan setiap jenis ketaknormalan. Contohnya, ia tidak dapat mengesan sekiranya bayi anda mengalami sumbing bibir atau langit-langit. Amniosentesis boleh digunakan untuk mengenal pasti kecacatan tiub neural seperti spina bifida, tetapi masalah ini biasanya lebih mudah dikesan melalui ujian darah atau imbasan ultrabunyi terperinci (dipanggil imbasan anomali) yang biasanya dilakukan pada minggu ke-18 hingga 20 kehamilan. Sesetengah wanita mahu tahu sebanyak mana yang boleh mengenai bayi mereka sebelum dilahirkan; sesetengah yang lain pula lebih suka menunggu sehingga bayi mereka lahir. Jika anda tahu dari awal lagi bahawa bayi anda akan dilahirkan dengan ketaknormalan tertentu, anda mempunyai masa untuk belajar kaedah-kaedah yang dapat membantunya apabila diperlukan nanti. Secara umumnya, anda akan disyorkan menjalani ujian amniosentesis sekiranya keputusan daripada ujian saringan seperti pada trimester pertama menunjukkan bahawa bayi anda berisiko lebih tinggi daripada biasa mempunyai sindrom Down; keputusan daripada imbasan ultrabunyi (ultrasound) menunjukkan terdapat masalah dengan bayi anda, seperti masalah jantung yang merupakan tanda ketaknormalan kromosom; ujian tiga serangkai yang dilakukan dalam trimester kedua menunjukkan bahawa anda berisiko lebih tinggi daripada biasa mengandungkan anak dengan sindrom Down; anda berusia lebih daripada 35 tahun dan belum pernah disaring untuk sindrom Down; anda mempunyai seorang atau lebih saudara-mara yang mempunyai kecelaruan genetik dan kehamilan anda sebelum ini dijejaskan dengan ketaknormalan genetik. Jika anda dinasihatkan supaya minum banyak air sebelum ujian amniosentesis dijalankan untuk memastikan gambar ultrabunyi anda lebih jelas, anda mungkin akan rasa tidak selesa dengan prosedur ini. Ramai wanita berkata mereka rasa pedih apabila jarum dimasukkan dan tekanan apabila jarum dikeluarkan. Sesetengah doktor akan mengebaskan kulit perut dengan bius setempat menggunakan semburan atau suntikan. Bagaimanapun, setiap orang rasa berbeza mengenai prosedur ini, malah setiap kehamilan juga memberi rasa yang berbeza. |
Posted: 17 Nov 2013 04:47 AM PST Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN Wanita yang bercadang untuk hamil dinasihatkan menjalani ujian gula darah bagi mengelakkan komplikasi. RAMAI dalam kalangan wanita hamil menghidap kencing manis, yang dikenali sebagai diabetes gestasi. Diabetes akan berlaku apabila badan tidak boleh menghasilkan insulin yang secukupnya, iaitu hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin mengawal jumlah gula dalam darah yang digunakan untuk tenaga dan membolehkan gula yang tidak diperlukan segera disimpan. Semasa kehamilan, badan seorang ibu akan menghasilkan lebih insulin untuk memenuhi keperluan bayi, terutamanya dari pertengahan kehamilan dan seterusnya. Jika badan tidak boleh menyediakan insulin tambahan, si ibu akan mempunyai terlalu banyak gula dalam darah dan menimbulkan diabetes gestasi. Diabetes gestasi selalunya akan hilang dengan sendiri selepas bayi dilahirkan, berbeza dengan jenis diabetis lain yang merupakan penyakit seumur hidup. Boleh dikatakan semua orang mengetahui mengenai komplikasi yang melibatkan pesakit diabetes. Biasanya pesakit diabetes yang tidak terkawal terdedah kepada pelbagai komplikasi seperti buah pinggang, masalah mata, jantung dan luka yang sukar sembuh. Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran berkata, terdapat dua golongan wanita iaitu pertama, yang mempunyai diabetes sebelum hamil dan kedua, yang tidak ada diabetes tetapi mempunyai masalah penghadaman gula semasa hamil dinamakan diabetes gestasi. "Golongan pertama pula terbahagi kepada mereka yang mengetahui menghidapi diabetes dan tidak mengetahui mereka menghidapi diabetes," katanya. Golongan pertama yang mengetahui diri mereka mempunyai diabetes sepatutnya mendapatkan nasihat dan kaunseling doktor sebelum hamil. "Mereka perlu mengawal kandungan gula dalam darah dan menukar ubat kepada suntikan insulin bagi menstabilkan gula dalam darah," katanya. Bagaimanapun golongan ini biasanya datang berjumpa doktor selepas mendapat tahu diri mereka hamil dan ini mendedahkan ibu dan bayi kepada pelbagai risiko. "Paling bahaya apabila wanita yang hamil tidak mengetahui mereka menghidapi diabetes dan terdedah kepada pelbagai komplikasi. "Biasanya doktor akan mula dengan suntikan insulin bagi mengawal kandungan gula dalam darah dan mereka ini biasanya perlu berada di wad bagi tujuan pemantauan," katanya. Golongan ketiga adalah wanita yang berisiko menghidapi diabetes semasa hamil atau dikatakan menghadapi masalah penghadaman gula. Ujian yang disarankan untuk diagnosis diabetis gestasi adalah ujian toleransi glukosa oral (OGTT) di mana ujian gula darah diambil semasa berpuasa dan dua jam selepas minum air gula. Jika si ibu berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi mendapat diabetis gestasi, mereka akan diberikan ujian ini antara minggu ke-24 dan minggu ke-28 kehamilan. Bacaan gula semasa puasa perlu kurang daripada 5.6 mmol/liter dan 7.8 mmol/liter selepas dua jam minum air gula. Jika bacaan ujian OGTT lebih tinggi daripada yang disarankan, pesakit perlu dirujuk kepada dietitian bagi menggalakkan mereka makan sedikit dan selalu. Wanita hamil yang menghidapi diabetes perlu melahirkan anak dua minggu lebih awal bagi mengelakkan komplikasi seperti bayi terlalu besar atau bayi meninggal di dalam kandungan akibat plasenta tidak berfungsi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |