Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- NGO pencetus perpaduan
- Seminar Hala Tuju Ayahanda himpun NGO Melayu
- Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup PATI
Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST Oleh SOFIAN BAHAROM Ibrahim Ali (belakang empat dari kanan) bersama Ahmad Maslan (lima dari kanan), U. Thamotharan (dua dari kanan) , Choy Chee Wai dan sebahagian kanak-kanak pelbagai kaum bergambar sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Taman Bolton, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pertubuhan berasaskan kaum dan agama di negara ini bukan sahaja menjadi pencetus persefahaman antara rakyat tetapi juga pemangkin kepada perpaduan nasional. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kewujudan pertubuhan-pertubuhan seumpama itu yang menjalankan kerjasama erat antara satu sama lain ternyata mampu menghasilkan imbangan sosial berkesan. Katanya, kombinasi antara semangat jati diri kaum dengan aspirasi kebangsaan dapat melahirkan masyarakat beridentitikan Malaysia tulen yang mampu mengekalkan kestabilan, bukan berbahaya seperti didakwa segelintir pihak. Beliau percaya ketelusan kesemua pertubuhan itu dalam mengangkat semangat perpaduan dan Perlembagaan Persekutuan dapat menghindari sebarang ketegangan kaum atau agama, malah perselisihan faham antara masyarakat pelbagai budaya di negara ini. "Titik ketegangan kaum tidak dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi parti-parti politik tegar yang memodalkan isu perkauman terutama selepas Pilihan Raya Umum 2008. Perkara ini jelas dengan sentimen yang dimainkan DAP terhadap masyarakat Cina. "Kita NGO pelbagai kaum berganding bahu dalam mempromosikan perpaduan nasional seperti hari ini. Kita Perkasa, Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam) dan Persatuan Cina 1Malaysia (Percisama) bersama-sama menjayakan majlis Deepavali ini," katanya kepada pemberita dalam majlis Sambutan Deepavali 2013 anjuran Perinbam di sini hari ini. Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Presiden Perinnbam, U. Thamotharan dan Presiden Percisama, Choy Chee Wai. |
Seminar Hala Tuju Ayahanda himpun NGO Melayu Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST Syed Husain Al-Shahab (tiga dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada sebahagian NGO Melayu di Kuala lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 9 Nov. - Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bertaraf Ayahanda akan berhimpun dalam Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda di ibu negara pada 23 November ini. Seminar yang julung-julung kali diadakan itu diharap dapat menyusun kembali perjuangan setiap NGO untuk mendaulatkan martabat kaum Melayu, agama Islam dan tanah air. Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab berkata, kesemua NGO yang menyertai seminar berkenaan adalah berbai'ah dengan taraf Ayahanda dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). "Matlamat kami melalui penganjuran seminar ini adalah untuk mengangkat kedudukan ayahanda-ayahanda sebagai tulang belakang dan tonggak perpaduan Melayu, benteng pertahanan syiar Islam dan pendokong kedaulatan institusi raja-raja Melayu dan pejuang setia negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas program taklimat khas bersama para pemimpin daripada 50 NGO Melayu bertaraf Ayahanda bersempena penganjuran seminar tersebut. Dalam pada itu, Syed Husain berkata, seminar itu juga akan dijadikan platform untuk membersihkan persepsi masyarakat dan memberi penerangan mengenai tanggungjawab sebenar NGO bertaraf Ayahanda. "Saya ingin memberi penekanan bahawa YAS serta semua NGO Melayu ini menyokong tindakan polis melaksanakan Op Cantas dan kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap ayahanda-ayahanda yang songsang dan mengingkari undang-undang negara," katanya. Menurut Syed Husain, penubuhan YAS adalah sebagai badan penyelaras dan perantara kepada semua NGO Melayu bertaraf Ayahanda di negara ini untuk menghimpunkan isu dan permasalahan yang dapat diutarakan kepada pemimpin negara. "Saya ingin menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan menteri yang khusus menjaga NGO termasuk NGO berbai'ah bertaraf Ayahanda. "Memang kita tahu NGO perlu didaftar dengan ROS di bawah Kementerian Dalam Negeri tetapi kita perlukan menteri yang khusus agar semua garis panduan, bantuan dan pelaksanaan benar-benar sampai ke akar umbi," katanya. |
Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup PATI Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST SHAH ALAM 9 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menahan mereka bersama seorang tekong warga Indonesia di perairan Selangor kelmarin. Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Daerah Maritim 4 Klang, Kepten Maritim Christopher Ravindran Dass berkata, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi penguatkuasaan kira-kira pukul 7.30 malam mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju dipercayai dari negara jiran. "Setelah diamati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran. Pasukan kami cuba menahan bot tersebut tetapi pemandunya memecut laju menghala ke daratan. "Setelah dikejar, bot peronda Maritim Malaysia berjaya menahan bot pancung itu yang tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya ketika dihubungi hari ini. Christopher berkata, setelah diperiksa pihaknya mendapati tekong bot itu cuba membawa masuk tiga penumpang berusia 28 hingga 45 tahun iaitu dua lelaki dan seorang wanita Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan dan penjara tidak melebihi 10 tahun. "Bot pancung berkenaan telah ditunda ke jeti Maritim Malaysia Klang untuk tindakan lanjut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |