Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
11 defendan lain tuntut RM128.5j Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT KUALA LUMPUR 1 Nov. - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf hari ini memfailkan saman terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan 11 yang lain untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM128.5 juta atas dakwaan melakukan pendakwaan salah dan berat sebelah terhadapnya. Ramli, 61, selaku pihak plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman, Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi di sini. Dalam pernyataan tuntutan setebal 34 muka surat, Ramli menyatakan Abdul Gani mempunyai budi bicara untuk memulakan, mengendalikan dan memberhentikan sebarang prosiding undang-undang serta mempunyai kawalan ke atas kesemua pegawai bawahannya. Selain Abdul Gani, Ramli menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan; dan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais sebagai defendan pertama hingga defendan keempat. Yang turut disaman ialah Deputi Supritendan (DSP) Chew Kam Soon; Ketua Unit Siasatan SPRM, E. Sok One; tiga Pegawai Penyiasat SPRM iaitu, Saiful Ezral Ariffin, Azmi Ismail, Wan Abdul Rahman, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kelima hingga ke-12. Ramli menyifatkan pendakwaan terhadapnya antara 2006 dan 2007 oleh pihak defendan, berniat jahat dan tanpa sebab munasabah mendakwa beliau atas beberapa pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah. Akibatnya, dakwa Ramli, reputasi, watak dan kerjayanya telah terjejas dan mengalami kerugian serta kerosakan. Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas RM1.5 juta, ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlah, ganti rugi punitif RM50 juta, ganti rugi teruk RM50 juta dan ganti rugi RM27 juta serta memohon beberapa perintah lain. Ramli sebelum ini pernah didakwa dan dibicarakan atas empat pertuduhan termasuk rasuah dan salah guna kuasa sewaktu memegang jawatan tersebut. Bagaimanapun, pada 12 Mac 2010, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham. Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 27 Julai tahun sama turut melepas dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya. |
30 dibicara terbabit keganasan Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT KOTA KINABALU 1 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 17 hari bermula 6 Januari depan untuk mendengar kes 30 individu yang didakwa terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah. Hakim Stephen Chung menetapkan 6 hingga 10, 15-17, dan 27-30 Januari serta 10 hingga 14 Februari bagi mendengar kes itu di Penjara Sabah yang diisytihar sebagai mahkamah terbuka. Beliau turut menetapkan 15 Disember ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan dokumen dan fakta yang dipersetujui kedua-dua pihak. Mahkamah pada mulanya menetapkan tempoh 11 hari bermula 17 September lepas untuk mendengar kes itu namun menangguhkannya selepas menerima permohonan peguam yang memberitahu mereka memerlukan masa untuk meneliti pelbagai dokumen dan rakaman serta imej satelit berhubung kes berkenaan, yang diterima oleh mereka. Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tempoh perbicaraan yang panjang adalah bagi memastikan prosiding berjalan lancar dengan sekurang-kurangnya 50 saksi akan dipanggil. - BERNAMA "Bilangan saksi yang akan dipanggil mungkin bertambah, mungkin kurang. Pada masa yang sama kita juga harus membenarkan pihak pendakwaan menyoal balas dan harus diingat ada 30 saksi," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu. Antara 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan antara 9 Februari dan 10 April ialah tiga penduduk tempatan termasuk seorang wanita, Norhaida Ibnahi, 46, kerana melindungi sekumpulan pengganas manakala Abd. Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong. Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh 26 lagi rakyat Filipina termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas dan melindungi sekumpulan pengganas. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |